Monday, 27 January 2025

KEMAHIRAN YANG WAJIB KITA ADA

1. Kemahiran menyemak fakta

2. Kemahiran mengenal pasti bias

3. Kemahiran memahami propaganda 

Saturday, 25 January 2025

MPPK: MASIH RELEVANKAH IA?

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah lama wujud sebagai platform rasmi antara pelajar dan kerajaan untuk membincangkan isu berkaitan pendidikan dan kebajikan pelajar. Namun, relevansi MPPK semakin dipersoalkan dalam dunia yang serba moden dan berorientasikan perubahan pantas. Dalam realiti semasa, pelbagai kelemahan yang ada menunjukkan sudah tiba masanya untuk kita tidak lagi mempertahankan institusi ini. Lebih drastik, MPPK perlu dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan yang lebih demokratik, bebas, dan efektif.

MPPK tidak lebih daripada sebuah badan simbolik yang hanya memberi cadangan tanpa kuasa untuk memastikan perubahan dilaksanakan. Walaupun perbincangan dilakukan, keputusan sebenar bergantung kepada kerajaan, yang sering kali meminggirkan cadangan mahasiswa.

Ahli MPPK kebanyakannya terdiri daripada pemimpin pelajar universiti yang dipilih melalui proses yang tidak inklusif dan kurang demokratik. Ini menyebabkan MPPK tidak benar-benar mencerminkan suara pelajar akar umbi yang menghadapi masalah harian seperti kos sara hidup, pinjaman pendidikan, dan tekanan akademik.

Isu-isu kritikal seperti krisis perumahan pelajar, kebajikan mahasiswa B40, dan peningkatan yuran pengajian tidak diselesaikan dengan efektif oleh MPPK. Ia hanya mampu mengeluarkan kenyataan media desakan dan pernyataan kekesalan, mengutarakan cadangan polisi dan membentangkan kertas kerja (melalui Mesyuarat MPPK), tanpa jaminan tindakan, oleh kerana strukturnya yang rigid. Sebarang advokasi mengenai sesuatu isu hanya terhenti di peringkat penyampaian isu kepada kerajaan tanpa tindakan susulan mahupun kempen kesedaran. MPPK juga kurang turun padang untuk meninjau secara langsung isu-isu mahasiswa (Untuk rekod, perkara ini disentuh dalam buku Student Union: Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa).

Sebagai badan di bawah pengawasan kerajaan, MPPK sering dianggap hanya menjadi alat kosmetik untuk mengaburi mata pelajar. Tindakannya jarang mencabar polisi kerajaan yang menekan pelajar, menyebabkan ia kehilangan kredibiliti sebagai suara perjuangan mahasiswa.

Era hari ini menuntut keberkesanan, ketelusan, dan keupayaan untuk bertindak segera. MPPK, dengan strukturnya yang kaku dan birokratik, gagal memenuhi tuntutan ini. Media sosial dan gerakan mahasiswa telah menjadi saluran yang lebih berkesan untuk menyampaikan suara pelajar dan mendapat perhatian umum.

MPPK cenderung untuk berkompromi dengan kerajaan, menyebabkan ia gagal menjadi platform yang benar-benar mewakili suara mahasiswa. Sebaliknya, sebuah kesatuan mahasiswa yang bebas dapat lebih lantang mencabar dasar-dasar yang menindas dan memberi tekanan kepada pelajar.

Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan ialah sebuah badan nasional yang berfungsi sebagai payung kepada semua kesatuan pelajar di institusi pengajian tinggi. Ia dibentuk secara bebas oleh mahasiswa, tanpa pengaruh kerajaan, untuk memastikan perjuangan mahasiswa benar-benar didasarkan kepada keperluan dan kehendak mereka sendiri.

Kesatuan ini bebas daripada kawalan kerajaan atau mana-mana pihak luar. Ini memastikan suara pelajar tidak ditapis atau disekat oleh mana-mana pihak berkepentingan. Ia juga bukan sekadar platform konsultatif tetapi memiliki kuasa untuk mengambil tindakan langsung, seperti melancarkan kempen nasional, membuat advokasi dasar, dan mendesak kerajaan melalui saluran undang-undang atau demonstrasi aman.

Dengan autonomi penuh, kesatuan ini dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa perlu melalui lapisan birokrasi seperti dalam MPPK. Kesatuan ini memberi kuasa kepada mahasiswa untuk memperjuangkan hak mereka sendiri, bukan bergantung kepada pihak luar seperti kerajaan. Dengan struktur yang lebih fleksibel dan berorientasikan tindakan, kesatuan ini dapat memberi respons segera terhadap isu yang timbul, sama ada di peringkat institusi atau nasional. Kesatuan ini menjadi platform tunggal untuk semua pelajar di Malaysia, memperkukuhkan solidariti mahasiswa dalam memperjuangkan isu bersama.

MPPK telah gagal menjadi platform yang benar-benar membela dan memperjuangkan hak mahasiswa. Dalam era di mana suara pelajar perlu lebih lantang dan tindakan lebih segera diperlukan, MPPK tidak lagi relevan. Menggantikan MPPK dengan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan adalah langkah yang lebih tepat untuk memastikan mahasiswa di Malaysia mempunyai platform yang efektif, bebas, dan demokratik.

Sekiranya ada pihak yang ingin menafikan ketidakcekapan MPPK, satu persoalan perlu dijawab oleh pihak terbabit: Apakah pencapaian MPPK sepanjang kewujudannya? Gerak kerja MPPK pun jarang dilaporkan kepada mahasiswa. Mana mahasiswa tidak bengang?

Sudah tiba masanya mahasiswa mengambil alih kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri, tanpa terikat dengan struktur lama yang tidak lagi berfungsi. Hapuskan MPPK, hidupkan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan!

Catatan: Karya ini bukan bertujuan untuk menyerang mereka yang berada dalam MPPK pada ketika ini, sebaliknya struktur organisasi itu sendiri. Mereka yang enggan mengakui hakikat bahawa badan ini dalam bentuknya yang sedia ada telah terbukti gagal untuk memperkasakan mahasiswa, adalah mereka yang bukan benar-benar berhasrat untuk melaksanakan perubahan.

Tambahan

Baru-baru ini, pihak MPPK telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Himpunan Rakyat Benci Rasuah, dimana mereka mengklarifikasikan bahawa mereka tidak menghalang perhimpunan tersebut, namun kesal kerana ada kes pijak logo universiti. 

Persoalan pokok yang perlu ditanya adalah, adakah ia dengan atau tanpa sengaja? Perlu ditegaskan bahawa insiden tersebut berkemungkinan besar berlaku di luar kawalan semua pihak, termasuk orang yang dikatakan memijaknya. Dalam pada itu, saya merasakan adalah wajar untuk MPPK menghubungi pihak penganjur terlebih dahulu bagi menentusahkan apa yang sebenarnya berlaku sebelum mengeluarkan kenyataan pra-matang sebegitu.

Hal ini juga membantu menjustifikasikan pelupusan MPPK yang sudah usang. Saya tak tahu siapa yang mengarahkan kenyataan ini dibuat, memandangkan badan ini lazim menjadi lidah elitis. Akan tetapi, ada keperluan untuk menekankan hipokrasi pihak ini yang kononnya menekankan perihal adab, namun diam membisu apabila berlakunya amalan buli dan ableisme secara terang-terangan dan meluas dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. 

Kenyataan ini juga adalah contoh utama pemikiran sang penguasa dan penyokong mereka yang selektif soal mendefinisikan perkara yang menjatuhkan reputasi universiti. Tindakan sebegini yang belum tentu dilakukan secara sengaja dan tiada arahan pun untuk berbuat demikian daripada mana-mana pihak dikatakan merosakkan imej institusi pendidikan tinggi, namun tidak tindakan lain seperti buli, intimidasi, fitnah, kronisme, dan sebagainya.

Mereka yang defensif mungkin akan mendakwa bahawa mereka menentang semua bentuk salah laku. Persoalannya, sejauh manakah mereka benar-benar mengambil tindakan yang konsisten? Mahasiswa tidak perlu kuliah moral daripada mereka yang membisu ketika keadilan diinjak-injak.

Di atas ada saya selitkan nota bahawa seruan untuk menggantikan MPPK dengan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan bukanlah serangan peribadi terhadap mereka yang berada dalam badan tersebut. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa memang wujud golongan yang memang bermasalah di dalam badan itu. Tidak semua, tetapi kebanyakan.

Kepada mereka ini, saya mahu kalian menjawab satu soalan: Di manakah kalian sewaktu isu rasuah bermaharajalela dan menjejaskan mahasiswa? Kenapa hanya bersuara apabila logo universiti dipijak, tetapi tidak apabila isu besar seperti rasuah berleluasa? Apakah ada agenda tersembunyi di sebalik penciptaan naratif sebegini untuk isu yang sangat kecil jika hendak dibandingkan korupsi yang menjalar di negara ini, sehingga menyebabkan nama Malaysia busuk di pentas antarabangsa?

Edit: Dilampirkan merupakan rakaman video yang mengandungi bukti di mana mereka yang terpijak logo universiti diminta untuk memperbetulkan kedudukan mereka dan mengalihkan kain rentang yang mengandungi logo tersebut ke hadapan (Pada minit 46:56).


Sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada pihak yang memfitnah melulu berkenaan isu ini. Sangat ironi memandangkan mereka mendakwa bahawa mereka menjunjung tinggi adab dan tatasusila.








DOSA-DOSA GENERASI TERDAHULU

1. Industrialisasi dan pencemaran menyumbang kepada perubahan iklim, penebangan hutan, dan penipisan sumber semula jadi.

2. Pembuangan sisa plastik dan pencemaran laut semakin memburukkan keadaan ekosistem laut.

3. Polisi yang membenarkan pengumpulan kekayaan secara berlebihan mencipta jurang besar antara kaya dan miskin, menyebabkan belia menghadapi masalah ekonomi.

4. Polisi perumahan yang menyebabkan harga rumah melambung tinggi menjadikan golongan muda sukar memiliki rumah.

5. Urbanisasi yang tidak terkawal membawa kepada kepadatan bandar dan kos sara hidup yang membebankan.

6. Polisi tindakan afirmatif berasaskan kaum memupuk perpecahan dan menghalang perpaduan.

7. Sistem pencen yang tidak mampan menambah kos beban pencen yang tinggi.

8. Ketagihan gajet akibat penggunaan internet yang berlebihan.

9. Polisi yang memihak kepada kenderaan persendirian dan bukannya pengangkutan awam menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan kemalangan jalan raya.

10. Walaupun kesan negatif industri minyak dan gas diketahui, generasi terdahulu tetap menyokong polisi yang memberi keuntungan kepada industri ini, menghalang peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan memperburuk krisis iklim serta pemanasan global.

11. Inflasi dalam sektor pendidikan membuatkan ramai yang terpaksa mendapatkan ijazah walaupun pekerjaan tersebut tidak memerlukannya.

12. Ketiadaan polisi keselamatan siber yang kukuh menyebabkan peningkatan kes buli siber dan penipuan dalam talian.

13. Gajet digunakan sebagai "pengasuh" bagi anak-anak, yang menyebabkan masalah tumpuan dan gangguan dalam proses pembelajaran.

14. Normalisasi makanan terproses membawa kepada pelbagai isu kesihatan.

15. Kekurangan pendidikan digital menyebabkan orang muda terdedah kepada berita palsu dan bahaya media sosial.

16. Perkembangan pesat dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) mengakibatkan kehilangan pekerjaan serta mengurangkan minat terhadap seni.

16. Ketidaksamarataan akses kepada pendidikan berkualiti, menyebabkan jurang pencapaian antara pelajar luar bandar dan bandar semakin melebar.

17. Pencemaran udara akibat penggunaan bahan api fosil dan kenderaan berasaskan petrol, menyumbang kepada masalah kesihatan seperti penyakit pernafasan.

18. Kekurangan polisi pengurusan sisa yang cekap, menyebabkan tempat pembuangan sampah yang tidak terkawal dan pencemaran tanah.

19. Peningkatan penyakit mental dalam kalangan belia akibat tekanan sosial, ekonomi, dan ketidakseimbangan kehidupan digital.

20. Polisi buruh yang tidak melindungi pekerja gig dan pekerja kontrak, mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dan hak pekerja yang terabai.

21. Kurangnya kawalan terhadap eksploitasi alam semula jadi untuk pembangunan ekonomi, mengakibatkan kemusnahan ekosistem dan kepupusan hidupan liar.

22. Pembaziran makanan dalam rantaian bekalan makanan, walaupun ramai yang masih menghadapi masalah kekurangan makanan.

23. Kemudahan kesihatan yang tidak mencukupi atau mahal, menyebabkan akses kepada rawatan yang berkualiti sukar bagi golongan berpendapatan rendah.

24. Amalan pertanian intensif yang menyebabkan penipisan tanah, pengurangan biodiversiti, dan penggunaan bahan kimia berbahaya.

25. Penggunaan tenaga nuklear yang tidak diuruskan dengan baik, membawa risiko bencana alam sekitar dan kesihatan manusia. 

26. Ketidakpedulian generasi terdahulu terhadap pembangunan lestari, mengakibatkan kesan alam sekitar yang berpanjangan kepada generasi akan datang.

27. Pengabaian kebajikan orang kurang upaya (OKU), mengakibatkan kesukaran dalam aksesibiliti fizikal dan sosial.

28. Pembangunan yang mengabaikan aspek warisan dan kebudayaan, menyebabkan hilangnya identiti dan warisan tempatan.

29. Pengaruh besar syarikat multinasional yang mengakibatkan monopoli pasaran, menindas perniagaan tempatan dan menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi.

30. Kekurangan inisiatif untuk tenaga kerja hijau, menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan dalam industri yang lestari dan mesra alam.

31. Sistem kesihatan mental yang tidak mencukupi, menyebabkan ramai individu yang memerlukan bantuan kesihatan mental tidak menerima rawatan yang sewajarnya.

32. Pengeluaran pakaian secara besar-besaran (fast fashion) yang menyumbang kepada pencemaran air, pembaziran, dan keadaan buruh yang tidak berperikemanusiaan.

33. Pembangunan tanpa perancangan bandar yang mampan, mengakibatkan banjir kilat dan kemusnahan alam sekitar.

34. Penggunaan antibiotik yang berlebihan dalam industri penternakan, menyebabkan peningkatan rintangan antibiotik yang memberi kesan kepada kesihatan manusia.

35. Sistem percukaian regresif yang memberi manfaat lebih kepada golongan kaya dan menambah beban kepada golongan berpendapatan rendah.

36. Pengabaian terhadap pengurusan sumber air yang berkesan, mengakibatkan kekurangan air bersih dan pencemaran sumber air.

37. Kebangkitan politik populisme yang mengeksploitasi kebencian dan ketakutan, mengakibatkan ketegangan antara kaum dan agama.

38. Kurangnya sokongan terhadap penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains dan teknologi, menghalang kemajuan negara dalam era digital.

39. Normalisasi budaya kerja berlebihan (hustle culture), yang mengakibatkan tekanan kerja, masalah kesihatan mental, dan ketidakseimbangan hidup dan kerja.

40. Kekurangan pendidikan kewangan dalam kalangan belia, menyebabkan mereka mudah terjerat dengan hutang dan sukar merancang kewangan masa depan.

41. Peningkatan kegiatan jenayah alam sekitar seperti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar, mengancam spesies terancam dan mengganggu ekosistem.

42. Kurangnya polisi untuk mengurangkan kesan pelancongan berlebihan (over-tourism), mengakibatkan kemusnahan tapak-tapak alam semula jadi dan peninggalan sejarah.

43. Polisi imigresen yang tidak fleksibel, menyebabkan ketidakadilan terhadap pelarian dan imigran yang mencari kehidupan lebih baik.

44. Kekurangan akses kepada perkhidmatan jagaan kesihatan reproduktif, menyebabkan risiko kesihatan yang lebih tinggi dalam kalangan wanita dan golongan terpinggir.

45. Kekurangan undang-undang perlindungan data peribadi yang kukuh, menyebabkan individu terdedah kepada penyalahgunaan maklumat peribadi dan pencurian identiti.

46. Ketiadaan dasar sokongan untuk golongan warga emas, menyebabkan ramai orang tua hidup dalam kemiskinan dan tanpa penjagaan yang mencukupi.

47. Penggunaan teknologi pengawasan yang meluas tanpa pengawalseliaan yang jelas, menimbulkan isu privasi dan kebebasan individu.

48. Penyalahgunaan data oleh syarikat teknologi besar, menyebabkan eksploitasi data pengguna untuk keuntungan tanpa persetujuan yang jelas.

49. Pembinaan projek-projek mewah yang mengabaikan keperluan masyarakat setempat, menyebabkan jurang sosial yang lebih luas dan peminggiran komuniti berpendapatan rendah.

50. Kekurangan sokongan untuk seni dan budaya tempatan, menyebabkan kebudayaan asli semakin dilupakan dan tidak dihargai.

51. Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, menyebabkan kurangnya kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.

52. Pengabaian hak pekerja domestik, menyebabkan mereka terdedah kepada eksploitasi, penderaan, dan gaji yang tidak adil.

53. Penutupan ruang awam hijau untuk pembangunan komersial, menyebabkan pengurangan kawasan rekreasi dan peningkatan pencemaran udara.

54. Kekurangan program-program untuk belia terpinggir, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada jenayah, penyalahgunaan dadah, dan kegagalan dalam kehidupan.

55. Sistem pemilikan tanah yang tidak adil, mengakibatkan peminggiran komuniti pribumi dan penduduk luar bandar dari tanah tradisi mereka.

56. Kurangnya inisiatif untuk memperkasakan wanita dalam bidang STEM, menyebabkan kurangnya penyertaan wanita dalam sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik.

57. Normalisasi kerja sambilan dan kontrak jangka pendek, menyebabkan kurangnya kestabilan pekerjaan dan kesukaran dalam membina masa depan yang kukuh.

58. Penularan budaya tidak bertanggungjawab terhadap kesihatan mental, di mana orang ramai digalakkan untuk "menahan diri" daripada mendapatkan rawatan atau bantuan.

59. Pembangunan industri kelapa sawit tanpa mematuhi standard kelestarian, menyebabkan kemusnahan hutan hujan dan habitat hidupan liar.

60. Kurangnya perhatian terhadap krisis air bersih global, menyebabkan banyak komuniti di seluruh dunia kekurangan akses kepada air minuman yang selamat.

61. Ketidakstabilan politik yang berpanjangan, menyebabkan ketidakpastian ekonomi dan menghalang pembangunan negara.

62. Penyalahgunaan subsidi oleh golongan kaya dan syarikat besar, menghalang golongan yang lebih memerlukan daripada menerima bantuan yang sepatutnya.

63. Peningkatan gangguan keselamatan siber, menyebabkan ancaman kepada infrastruktur penting negara seperti tenaga, air, dan sistem perbankan.

64. Penularan ideologi ekstremis dalam kalangan belia akibat kekurangan pendidikan berasaskan toleransi, perpaduan, dan hak asasi manusia.

65. Normalisasi pekerjaan tanpa hak cuti atau manfaat kesihatan, menyebabkan pekerja terdedah kepada masalah kesihatan dan keletihan yang berterusan.

66. Dasar Penswastaan

67. Menerima teknologi baru tanpa mempertimbangkan implikasi etika atau kebebasan individu, menyebabkan kerosakan pada privasi dan hak asasi manusia.

68. Memelihara budaya patriarki yang menyekat kemajuan hak wanita dan kesetaraan gender, yang mengakibatkan ketidakseimbangan kuasa dalam pelbagai aspek kehidupan sosial, ekonomi, dan politik.



MENILAI SEMULA PERANAN MAHASISWA DALAM MASYARAKAT

Kuasa mahasiswa bukan sekadar mitos sejarah yang hanya diceritakan dalam buku atau dokumentari. Ia adalah satu realiti yang telah mencorakkan dunia, menjatuhkan rejim, dan menggoncangkan status quo. Namun, persoalan terbesar yang perlu kita tanya ialah: Di manakah mahasiswa kita sekarang?

Mahasiswa dahulu tidak gentar bersuara, walau berdepan risiko besar. Mereka adalah suara yang menuntut keadilan sosial, membela golongan tertindas, dan mencabar hegemoni kuasa. Namun, hari ini, mahasiswa sering terperangkap dalam kerangka akademik semata-mata, kurang menyedari potensi sebenar mereka untuk membawa perubahan.

Sistem pendidikan kita, malangnya, sering memadam semangat kritikal mahasiswa. Kita dilatih untuk menjadi pekerja, bukan pemimpin. Kebanyakan universiti lebih fokus kepada pencapaian statistik, ranking global, dan penghasilan graduan “boleh guna” daripada membina individu yang mampu berfikir secara bebas dan berani mencabar norma yang salah.

Tetapi adakah ini alasan untuk kita diam? Jika mahasiswa zaman dahulu boleh bangkit tanpa kemudahan teknologi yang ada hari ini, mengapa kita memilih untuk menjadi pasif? Apakah benar kita sudah selesa dengan apa yang kita ada, atau adakah kita sebenarnya takut?

Ketakutan adalah senjata paling ampuh dalam mengekalkan status quo. Kita takut kepada risiko gagal, takut dikecam, takut dihukum. Namun, dalam ketakutan itu, kita lupa bahawa perubahan hanya akan datang apabila ada yang berani untuk mencabar dan bangkit.

Mahasiswa harus memahami bahawa kuasa mereka terletak pada suara kolektif. Individu boleh ditekan, tetapi gerakan massa sukar untuk ditumpaskan. Kita perlu kembali kepada asas perjuangan: menyedari bahawa setiap ketidakadilan yang kita biarkan berlaku hari ini adalah warisan yang kita tinggalkan kepada generasi akan datang.

Saya menulis ini bukan untuk menunding jari, tetapi untuk mencabar kita semua—termasuk diri saya sendiri. Kita perlu melihat di mana kita berdiri dalam masyarakat. Adakah kita hanya sekadar pelengkap sistem, atau adakah kita mahu menjadi pencetus perubahan?

Kuasa mahasiswa bukan sekadar sejarah. Ia adalah tanggungjawab. Kini masanya untuk kita berhenti menjadi pemerhati dan mula menjadi pelaku. Jika kita benar-benar mahu mewariskan dunia yang lebih baik, ia bermula dengan satu langkah kecil: keberanian untuk bersuara.

Generasi akan datang akan menilai kita bukan melalui GPA atau pekerjaan pertama kita, tetapi melalui soalan ini: Apakah kita telah berjuang untuk keadilan, atau adakah kita hanya menjadi pengikut dalam sistem yang kita tahu pincang? Jawapannya terletak pada diri kita sendiri.

Friday, 24 January 2025

AKTA KESATUAN MAHASISWA

Cadangan mewujudkan Akta Kesatuan Mahasiswa yang serupa dengan Akta Kesatuan Sekerja tetapi diadaptasi untuk konteks pendidikan tinggi merupakan langkah yang sangat wajar diteroka oleh pihak berwajib. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks dan mencabar, mahasiswa memerlukan platform yang sah dan berstruktur untuk memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Akta ini akan menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan pelajar menubuhkan kesatuan mahasiswa yang bebas daripada campur tangan dan pengaruh universiti, serta memberi mereka kuasa untuk menjalankan "collective bargaining" atau rundingan kolektif dalam isu-isu penting seperti yuran pengajian, polisi akademik, penempatan, keselamatan, bantuan kewangan, dan pengangkutan.

Keperluan dan Peranan Kesatuan Mahasiswa

Kesatuan mahasiswa yang dicadangkan ini bukan sahaja perlu diberi kebebasan dan autonomi, tetapi juga kuasa untuk memungut dana bagi membiayai aktivitinya serta memberikan bantuan kepada ahli yang memerlukan. Ia perlulah dibenarkan untuk memiliki aset dan akaun bank sendiri. Kesatuan mahasiswa juga mestilah diberikan kuasa untuk menandatangani perjanjian, memasuki kontrak dan bermacam-macam lagi. Dengan kuasa yang ada, kesatuan mahasiswa boleh berfungsi sebagai suara yang sah bagi pelajar dalam mengemukakan pandangan dan cadangan kepada pihak universiti dan kerajaan. Ini termasuklah mempengaruhi perubahan dalam dasar-dasar akademik yang lebih mesra pelajar, memastikan keselamatan kampus yang lebih terjamin, serta memperjuangkan hak-hak pelajar yang kurang bernasib baik melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan.

Lebih penting lagi, kesatuan mahasiswa tidak seharusnya dihadkan kepada satu kampus atau universiti sahaja. Sebaliknya, perlu ada satu federasi kesatuan-kesatuan mahasiswa di peringkat nasional yang dapat menyelaraskan usaha dan perjuangan di seluruh negara. Dengan wujudnya Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan, isu-isu yang bersifat nasional seperti kenaikan yuran pengajian atau pengurangan bantuan kewangan boleh ditangani dengan lebih efektif melalui satu suara yang padu dan tersusun.

Penggantian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

Cadangan untuk menggantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kesatuan mahasiswa adalah selaras dengan tujuan untuk memperkukuhkan kedudukan pelajar dalam membuat keputusan di institusi pendidikan tinggi. MPP yang sedia ada sering kali terhad kuasanya dan lebih banyak berfungsi sebagai badan yang memudahkan komunikasi antara pelajar dan pengurusan universiti. Namun, dengan kesatuan mahasiswa yang benar-benar autonomi, pelajar boleh mempunyai platform yang lebih kuat untuk menyuarakan pendapat mereka, termasuklah dalam isu-isu yang sensitif seperti penapisan akademik, kebebasan bersuara, dan hak berhimpun.

Perlindungan Undang-undang untuk Mahasiswa

Satu aspek penting dalam cadangan ini adalah perlindungan undang-undang yang perlu diberikan kepada pelajar untuk memastikan hak mereka dihormati. Pelajar yang menyertai kesatuan mahasiswa tidak boleh disekat atau didiskriminasi oleh universiti. Ini termasuklah hak untuk bersuara tanpa risiko dikenakan tindakan tatatertib yang tidak adil, serta hak untuk berhimpun secara aman. Selain itu, perlu ada satu badan khas yang bertanggungjawab untuk mendengar dan menyelesaikan aduan pelanggaran hak pelajar. Mahkamah atau tribunal khas ini perlu diwujudkan untuk memastikan setiap kes dilayan dengan adil dan saksama, tanpa ada unsur berat sebelah atau campur tangan daripada pihak universiti.

Terlalu ramai mahasiswa yang lantang bersuara dalam memperjuangkan hak mereka telah diugut dengan tindakan tatatertib oleh pihak universiti atas alasan merosakkan imej institusi tersebut. Walau bagaimanapun, pengurusan universiti yang enggan mendengar suara mahasiswa, yang sebenarnya boleh menyelesaikan isu-isu terbabit lebih awal, tidak dikenakan sebarang tindakan apabila imej universiti terjejas akibat tindakan mereka sendiri. Akta Kesatuan Mahasiswa akan mengelakkan ketidakadilan ini dengan memberikan pelajar saluran yang sah dan berkesan untuk memperjuangkan hak mereka tanpa takut dianiaya.

Autonomi Kesatuan Mahasiswa

Autonomi kesatuan mahasiswa adalah elemen utama dalam cadangan ini. Kesatuan mahasiswa perlu diberi kebebasan untuk merancang dan melaksanakan aktiviti mereka tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak pengurusan universiti. Kebebasan ini penting untuk memastikan kesatuan mahasiswa dapat berfungsi dengan efektif dan tidak terikat dengan mana-mana pihak yang mungkin mempunyai agenda tertentu. Dalam konteks ini, kesatuan mahasiswa boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti kampus, meningkatkan semangat kebersamaan, dan memperkasakan pelajar untuk mengambil peranan aktif dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

Faedah Kesatuan Mahasiswa kepada Kehidupan Profesional dan Penglibatan Awam

Walaupun cadangan ini mungkin menghadapi bantahan daripada pihak-pihak tertentu yang berpendapat ia akan menjejaskan keharmonian akademik atau bertentangan dengan objektif pendidikan, adalah penting untuk diingat bahawa mendengar dan memenuhi tuntutan pelajar sebenarnya boleh mengurangkan keperluan untuk protes. Dengan adanya kesatuan mahasiswa yang kuat dan berkesan, pelajar dapat menyalurkan ketidakpuasan mereka melalui saluran yang sah dan rasmi, tanpa perlu mengambil langkah-langkah yang lebih radikal. Ini juga akan mempersiapkan mereka untuk kehidupan profesional di mana mereka akan menghadapi cabaran yang sama dalam dunia pekerjaan. Pengalaman dalam pengurusan dan rundingan yang diperoleh melalui kesatuan mahasiswa akan menjadi aset yang tidak ternilai apabila mereka memasuki dunia pekerjaan.

Mansuhkan AUKU dan Peruntukan Akta Lain Terlebih Dahulu

Untuk merealisasikan cadangan mewujudkan Akta Kesatuan Mahasiswa, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah keperluan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terlebih dahulu. Peruntukan tertentu dalam akta-akta lain berkaitan pendidikan tinggi seperti Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1976 [Akta 173] juga perlu dimansuhkan. Tanpa pemansuhan ini, kewujudan Akta Kesatuan Mahasiswa akan menjadi redundant dan tidak berkesan sepenuhnya.

AUKU, yang selama ini telah mengehadkan kebebasan pelajar dalam bersuara dan berhimpun, akan bertentangan dengan objektif Akta Kesatuan Mahasiswa yang dicadangkan. Akta baru ini memerlukan kebebasan penuh untuk mahasiswa menubuhkan kesatuan mereka, menjalankan rundingan kolektif, dan melindungi hak-hak mereka tanpa sekatan yang dikenakan oleh AUKU. Oleh itu, pemansuhan AUKU adalah langkah pertama dan kritikal yang perlu diambil sebelum Akta Kesatuan Mahasiswa dapat diwujudkan dan dilaksanakan dengan berkesan. 

Dengan memansuhkan AUKU, kita boleh memastikan bahawa pelajar mempunyai platform yang sah dan berkesan untuk memperjuangkan hak-hak mereka dalam suasana yang lebih bebas dan adil.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, mewujudkan Akta Kesatuan Mahasiswa adalah satu langkah penting dalam memperbaiki suasana akademik dan memastikan hak pelajar dihormati. Bagi mengelakkan  Langkah ini tidak hanya menguntungkan pelajar, tetapi juga mempersiapkan mereka untuk kehidupan profesional dan penglibatan awam yang lebih aktif dan bermakna. Pihak berwajib perlu bertindak segera untuk merealisasikan cadangan ini bagi memastikan generasi muda Malaysia dibekalkan dengan alat dan platform yang diperlukan untuk membina masa depan yang lebih cerah dan adil.

BEBAN GURU: FAKTOR DAN LANGKAH PENYELESAIAN

Dalam bidang pendidikan, guru merupakan wira yang tidak didendang, umpama lilin, sanggup membakar dirinya sendiri demi menerangi orang lain. Gurulah yang bertanggungjawab untuk mendidik anak bangsa Malaysia. Akan tetapi, walaupun tugas utama guru ialah mendidik, mereka tidak boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut secara berkesan dek kerana terbeban dengan tugasan pentadbiran. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) atau lebih dikenali sebagai NUTP yang merupakan akronim bagi National Union of Teaching Profession pada tahun 2022 telah menggesa agar jawatankuasa khas diwujudkan segera oleh pihak kerajaan bagi mengkaji semula beban tugas guru. 

Menurut NUTP, antara tugasan yang membebankan guru termasuklah kerja-kerja perkeranian. Sebuah kajian mendapati secara purata seorang guru menghabiskan 64.1 jam seminggu untuk menyiapkan tugasan mereka. Daripada jumlah itu, 39.5 jam (61.3 peratus) digunakan untuk urusan akademik, manakala 24.6 jam (38.7 peratus) digunakan untuk urusan bukan akademik. Artikel ini akan membincangkan tentang impak perkara tersebut kepada pihak-pihak berkaitan serta mengusulkan beberapa langkah penyelesaian untuk meringankan beban guru.

Apakah Tugas yang Membebankan Guru?

Perkara utama yang paling membebankan guru yang pengarang ingin tekankan secara khusus ialah tugas pentadbiran. Guru sering ditugaskan dengan pengumpulan data seperti rekod kehadiran pelajar, markah ujian, dan maklumat demografi, mengalihkan tumpuan mereka daripada mengajar. Seterusnya, keperluan untuk menjana laporan terperinci, termasuk laporan kemajuan, penilaian prestasi, dan rancangan pengajaran harian/tahunan menambah beban pentadbiran yang ketara. Lambakan kertas kerja, termasuk mengekalkan portfolio pelajar, mendokumentasikan rancangan pengajaran, dan melengkapkan borang pentadbiran, turut memakan banyak masa guru. Tambahan pula, kehadiran mandatori ke pelbagai mesyuarat, bengkel dan sesi latihan boleh membawa guru menjauhi masa yang berharga di dalam kelas dan mengganggu jadual pengajaran mereka. Walaupun penggredan adalah bahagian penting dalam pengajaran, beban pentadbiran meningkat apabila digabungkan dengan rangka kerja penilaian yang kompleks, ujian piawai dan keperluan maklum balas yang meluas.

Kesan Beban Tugas yang Berat

Antara impak utama tugas guru yang membebankan ialah “burnout.” Burnout ialah keadaan dimana seseorang itu keletihan dari segi emosi, fizikal dan mental yang boleh mengakibatkan kehilangan semangat untuk bekerja, penurunan prestasi dan perasaan “detachment.” Umum mengetahui bahawa tugas utama guru ialah mengajar anak muridnya. Akan tetapi, selain mengajar, guru juga dibebani oleh tugas perkeranian seperti mengumpul data, membuat laporan dan sebagainya. Hal ini sudah tentunya akan menyebabkan tekanan buat para guru. Menurut NUTP, dianggarkan bahawa lebih kurang 10 ribu orang guru telah membuat pilihan untuk bersara awal. Menghadapi tekanan dan kemurungan merupakan salah satu faktor mereka berbuat demikian. Pendidik yang dahulunya bersemangat untuk mendidik anak bangsa, kini tertekan dek beban berlebihan. Dalam perkembangan lain, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan bahawa lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri. Tekanan yang dikaitkan dengan beban kerja yang berat boleh menyebabkan gangguan tidur, menjejaskan kualiti dan tempoh tidur. Rehat yang tidak mencukupi boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mental, menyumbang kepada kitaran keletihan yang tiada penghujungnya. Tekanan pada kesihatan mental juga boleh mengurangkan kepuasan kerja. Guru yang mendapati diri mereka terbeban dengan tugas pentadbiran mungkin bergelut untuk mencari kegembiraan dan kepuasan dalam profesion mereka, yang membawa kepada penurunan dalam kepuasan kerja. Pergelutan kesihatan mental boleh mempunyai manifestasi fizikal, seperti sakit kepala, ketegangan otot, dan keletihan. Persimpangan kesihatan mental dan fizikal boleh mewujudkan satu set cabaran yang kompleks untuk pendidik.

Selain itu, masa yang diluangkan oleh guru dengan murid juga berkurang. Kadang-kala, ada guru yang perlu menghadiri mesyuarat walaupun mempunyai kelas pada waktu itu. Hal ini menyebabkan berkurangnya interaksi bermakna antara guru dan murid mereka, yang penting untuk menjamin pendidikan yang berkualiti. Murid-murid juga berisiko ketinggalan dari segi akademik memandangkan kelas terpaksa “ditangguhkan” sekiranya guru perlu menghadiri mesyuarat. Perkara ini mempunyai impak gelombang (ripple effect) kepada keseluruhan sistem pendidikan negara.

Langkah Penyelesaian Isu Beban Tugas Pentadbiran Guru

Bagi menyelesaikan isu ini, pertama sekali, jawatan pembantu guru perlulah diwujudkan untuk mengambil alih beban tugas berkaitan perkeranian daripada guru. Cadangan ini sudah lama diusulkan namun masih belum dilaksanakan. Dr. Anuar bin Ahmad, pensyarah di Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat bahawa usaha itu dapat meningkatkan keupayaan guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Jelasnya, cadangan itu bermula sejak 2018 dan di kebanyakan negara maju, wujudnya jawatan pembantu guru yang membantu guru dari aspek perkeranian. Apabila guru sudah tidak lagi dibebani dengan tugas perkeranian, mereka boleh menumpukan perhatian kepada mendidik anak-anak murid mereka secara lebih efektif.

Ada sesetengah pihak yang menentang cadangan ini, atas alasan bahawa kos lantikan jawatan pembantu guru adalah agak tinggi. Pada hemat pengarang, pelaburan awal adalah perlu untuk manfaat jangka masa panjang yang mungkin akan menyebabkan lebih banyak kehilangan dari segi kos dan tenaga kerja. Pewujudan jawatan ini juga perlulah bergantung kepada keperluan. Di sekolah di kawasan bandar terutamanya, guru mungkin lebih memerlukan pembantu kerana perlu mengurus ramai pelajar. Para guru perlu diberi autonomi untuk memilih sama ada mereka memerlukan pembantu atau tidak. Dalam erti kata lain, jawatan ini diwujudkan berdasarkan keperluan. Oleh hal yang demikian, isu kos tidak menjadi sesuatu yang patut dirisaukan. Jawatan tersebut juga mungkin boleh dipegang oleh para sukarelawan yang sukarela melakukan tugas pentadbiran tanpa mengharapkan upah/hanya mendapat elaun. 

Di samping itu, skop tugas guru juga perlu diwartakan dan tugas yang tidak termasuk dalam skop kerja mereka wajar dilakukan oleh pihak lain. Di sesetengah sekolah, ada guru yang terpaksa melakukan kerja-kerja seperti mengecat, mengemas bilik darjah dan sebagainya. Pewartaan skop kerja guru adalah penting agar tugas hakiki mereka–mendidik–tidak terganggu.

Perspektif Pengarang

Menjadi anak kepada seorang guru yang sangat hebat memberikan pengarang perspektif unik tentang pengaruh pendidik di luar bilik darjah. Pengarang menyaksikan komitmen ibunya yang tidak berbelah bahagi kepada muridnya, menghabiskan masa yang tidak terkira banyaknya untuk menyediakan kondisi pembelajaran yang menarik dan memupuk persekitaran pembelajaran yang positif. Pengaruhnya meluas jauh melangkaui bidang akademik; beliau menerapkan nilai ingin tahu, empati, dan daya tahan dalam diri muridnya. Walaupun peranannya datang dengan cabaran dan beban pentadbiran, melihat kesan transformatif yang beliau ada pada kehidupan muda mengukuhkan fakta mengenai betapa pentingnya pendidikan. Ia meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam diri pengarang, membuat pengarang menghargai peranan penting yang dimainkan oleh guru dalam membentuk masa depan generasi bakal pemimpin negara. Dedikasi ibu pengarang terhadap profesion perguruan telah menjadi sumber inspirasinya, mencetuskan keinginan dalam dirinya untuk mengikuti jejak langkahnya walaupun menyedari sepenuhnya cabaran yang datang dengan pekerjaan itu. Menyaksikan keupayaan beliau untuk mengharungi beban pentadbiran, memberi inspirasi kepada muridnya, dan menyumbang secara positif kepada kehidupan mereka telah menanamkan dalam diri pengarang kekaguman yang mendalam terhadap kesan yang boleh dimiliki oleh pendidik dalam membentuk jati diri manusia.  

Sebagai cahaya mata kepada seorang pendidik yang begitu berdedikasi, pengarang ingin merayu agar langkah segera diorak bagi menoktahkan isu ini. Profesion perguruan sepatutnya menyeronokkan, bukan memurungkan. Sudahlah tugas berat, upah pula tidak setimpal. Bahkan, terdapat guru yang terpaksa mengeluarkan wang ringgit demi membiayai kos bahan-bahan pengajaran. Usahlah menyeksa insan semulia guru sebegini rupa. Jika tidak ditangani, tidak mustahil negara kita akan mengalami isu kekurangan tenaga pengajar pada masa hadapan. Golongan belia mungkin tidak berminat untuk menceburi bidang pendidikan kerana risau menghadapi takdir yang sama. Selain itu, para guru sedia ada berisiko mengalami masalah kesihatan mental kronik jangka panjang, yang mungkin berterusan walaupun selepas bersara. Mengiktiraf dan mengutamakan kesihatan mental adalah penting untuk kesihatan keseluruhan dan kemampanan profesion perguruan.

Rumusannya, menyelesaikan isu beban pentadbiran guru memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan perubahan dasar, penstrukturan semula pentadbiran, dan komitmen untuk menyokong pendidik. Dengan melaksanakan langkah-langkah penyelesaian ini, Malaysia boleh membuka jalan kepada sistem pendidikan yang lebih berkualiti di mana guru boleh memberi tumpuan kepada misi teras mereka–memupuk minda generasi akan datang–tanpa dihalang oleh kerumitan pentadbiran. Pewujudan persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja pelaburan dalam kesejahteraan pendidik tetapi juga langkah strategik ke arah memupuk masa depan yang lebih cerah untuk negara.

Kesimpulannya, menangani beban pentadbiran ke atas guru bukan hanya soal dasar; ia merupakan satu langkah penting ke arah memupuk persekitaran di mana para pendidik boleh berkembang maju dan, seterusnya, menyediakan pendidikan berkualiti tinggi kepada generasi akan datang. Sudah tiba masanya untuk memastikan profesion perguruan bukan sahaja dihormati tetapi juga disokong secukupnya.

Thursday, 23 January 2025

TENTANG PODCAST "POLITIK KAMPUS DARI KACAMATA MAHASISWA TAHUN 1 SAINS POLITIK"

Dalam entri kali ini, aku akan mengulas sedikit sebanyak berkenaan poin-poin yang dibangkitkan dalam podcast "Politik Kampus dari Kacamata Mahasiswa Tahun 1 Sains Politik UKM" kendalian Pertubuhan Kongres Nasional dengan kerjasama Kelab Keris.

Isu pertama yang aku mahu ulas adalah berkenaan pendidikan politik buat mahasiswa Tahun 1. Aku rasa ini isi pokok yang aku nak ulas dalam entri kali ini. Pada hemat aku, pendidikan politik buat mahasiswa Tahun 1 itu ada. Akan tetapi, ia dibuat secara tergesa-gesa dan keberkesanannya diragui. Pihak Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2024/2025 telah melakukan jelajah ke setiap kolej kediaman bagi melakukan inisiatif pendidikan politik. Walau bagaimanapun, inisiatif ini dibuat secara terlampau pantas. Kehadiran mahasiswa Tahun 1 juga kurang memberangsangkan. 

Sebenarnya, isu keefektifan pendidikan politik buat mahasiswa Tahun 1 ini aku rasa timbul akibat satu faktor utama iaitu pindaan AUKU. Seperti yang kita semua sedia maklum, pindaan AUKU telah mula berkuatkuasa pada bulan Oktober 2024. Pindaan ini mendatangkan pelbagai kesan. Antaranya termasuklah pembubaran awal Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) bagi memberi laluan kepada PMPP. Menurut sebuah infografik yang dikeluarkan oleh pihak JPMPP sendiri, KMUKM pada sesi lepas mempunyai tempoh pentadbiran yang paling singkat dalam sejarah badan perwakilan pelajar UKM. Pemilihan pada sesi ini diadakan pada tahun yang sama pemilihan sesi lepas diadakan. 

Natijahnya, PMPP dilakukan secara lebih awal daripada kebiasaan, iaitu tak sampai beberapa bulan sahaja selepas mahasiswa Tahun 1 mendaftarkan diri. Perkara ini juga ada dibangkitkan oleh pihak JPMPP semasa Townhall JPMPP tempoh hari. Apabila dikatakan bahawa pilihan raya kampus perlu diadakan tidak berapa lama saja selepas pelajar baharu mendaftarkan diri, aku sudah mula risau tentang Mahasiswa Tahun 1. 

Aku melihat ada keperluan untuk sesuatu dilakukan bagi memastikan mahasiswa Tahun 1 sekurang-kurangnya celik politik lebih awal sebelum menjejakkan kaki ke universiti jika amalan ini ingin diteruskan. Jika tidak, pihak yang tidak bertanggungjawab akan mudah mengambil kesempatan untuk meraih sokongan mahasiswa Tahun 1 yang tidak tahu apa-apa.

Sejujurnya, aku pun tak pasti niat di sebalik pindaan AUKU yang menyebabkan isu ini. Sekiranya amalan sebelum ini mempunyai kekurangan, secara peribadi, aku merasakan bahawa amalan terbaru ini lebih banyak kekurangannya dan aku berpendapat bahawa cara paling bagus untuk menangani kesan negatif akibat isu ini adalah dengan meminda semula klausa berkaitan. Mahasiswa Tahun 1 perlulah diberikan tempoh yang secukupnya untuk kenal dengan suasana politik kampus sebelum memilih wakil mereka di universiti. Tempoh kurang daripada 50 hari, menurut perspektif aku, adalah terlalu singkat. Ada mahasiswa yang masih belum kenal walaupun asas politik kampus di UKM. 

Selain itu, perlu ada inisiatif pendidikan politik yang efektif dan komprehensif di peringkat sekolah bagi mempersiapkan anak muda dengan ilmu politik yang secukupnya. Seperti yang kita semua sedia maklum, had umur mengundi telahpun diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Selepas PRU15 yang lepas, ramai pihak yang beranggapan bahawa langkah ini adalah suatu kesilapan. Sejujurnya, bagi aku, kesilapannya bukanlah soal penurunan had umur mengundi tersebut. Kesilapannya adalah tidak memberikan pendidikan politik kepada bakal pengundi pada masa yang sama pindaan ingin dilakukan. 

Mungkin boleh dipertimbangkan untuk Kelas Politik diadakan semasa Minggu Apresiasi Watan (MAW) bagi memastikan mahasiswa baharu bersedia memilih wakil mereka dalam PMPP akan datang. Salah satu tujuan utama pendidikan politik adalah untuk melatih mahasiswa berfikir secara kritis. Hal ini kritikal dalam suasana politik kampus, kerana mahasiswa sering menjadi sasaran propaganda dan indoktrinasi politik.

Sewaktu perenggan ini ditulis, aku sedang berada di pertengahan video. Aku ingin menjawab juga isu yang dibangkitkan pada pertengahan video itu yang mana dipersoalkan tindakan parti politik UKM memperjuangkan isu luar. Pertanyaan aku, apa salahnya? Isu yang diperjuangkan itu juga melibatkan mahasiswa. Setidak-tidaknya, kita sebagai manusia perlulah menyokong saudara kita yang ditindas. Jika kita boleh misalnya bersolidariti dengan mereka yang berada lagi jauh nun di Timur Tengah sana, mengapa tidak mereka yang senegara dengan kita walaupun dipisahkan oleh lautan? Bukannya parti politik berkenaan tidak memperjuangkan isu kampus. Malah, berdasarkan pengamatan aku sendiri, merekalah yang lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu di kampus walaupun turut sibuk dengan perjuangan isu luar. 

KOLEJ KEDIAMAN: MERIT ATAU KEPERLUAN?

Sistem merit untuk menentukan kelayakan menduduki kolej kediaman bukanlah sesuatu yang asing di institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara. Hampir semua universiti mempunyai sistem yang serupa bagi menentukan mereka yang layak menduduki kolej kediaman bagi setiap semester. Sistem ini pada dasarnya memberi keutamaan kepada pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan yang berjaya mengumpul merit melalui pelbagai penyertaan dalam aktiviti kampus.

Persoalannya, adakah sistem ini adil? Adakah ia juga wajar diteruskan? Sistem ini pernah dipertimbangkan untuk dihapuskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sewaktu ia dikepalai oleh Khaled Nordin. Namun begitu, tiada perkembangan mengenai perkara tersebut apabila tampuk kepimpinan kementerian bertukar tangan.

Penggemar sistem ini lazim menggunakan alasan bahawa meritokrasi merupakan sistem paling ideal dalam menentukan kelayakan menduduki kolej kediaman. Walaupun meritokrasi dilihat sebagai satu cara yang adil dan objektif untuk menentukan siapa yang layak menduduki kolej, sistem ini sebenarnya tidak mengambil kira pelbagai aspek penting yang mempengaruhi kehidupan mahasiswa. Pada hemat aku, sistem ini tidak sepenuhnya tidak bagus, cuma sistem meritokrasi perlulah mengambil kira keperluan tertentu mahasiswa. 

Sistem merit berfungsi dengan andaian bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengumpul merit, tetapi realitinya adalah jauh berbeza. Bayangkan, mahasiswa yang mampu duduk di luar kolej dapat menduduki kolej, sebaliknya mahasiswa yang mempunyai isu kewangan perlu menyewa rumah atau bilik yang kosnya mencekik darah. Apabila mereka terbeban dengan kos sedemikian, sudah tentunya mereka tidak mempunyai peluang yang tinggi untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan merit untuk mereka menduduki kolej pada semester seterusnya. Mereka perlu bekerja secara sambilan demi meringankan beban kewangan masing-masing. Natijahnya, mereka terus-menerus gagal menduduki kolej walaupun mereka memerlukannya.

Satu lagi aspek yang kritikal ialah pelajar yang menduduki kolej kediaman mempunyai kelebihan besar dalam mengumpul merit. Dengan tinggal di kampus, mereka lebih dekat dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan merit dan dapat menyertai dengan lebih mudah. Mereka juga tidak perlu risau tentang masalah pengangkutan atau masa perjalanan yang panjang. Ini berbanding dengan pelajar yang tinggal di luar kampus, yang sering kali perlu menguruskan masa untuk perjalanan yang lebih jauh, dan oleh itu, kurang peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti ini. Secara tidak langsung, pelajar yang sudah berada di dalam kolej kediaman cenderung untuk terus mengekalkan kedudukan mereka semester demi semester, manakala mereka yang tinggal di luar kampus semakin sukar untuk mendapatkan tempat.

Ini mewujudkan satu kitaran yang tidak adil, di mana pelajar yang sangat memerlukan kemudahan kolej tidak dapat mengumpul merit kerana kekangan kewangan, manakala pelajar yang datang daripada keluarga yang lebih berkemampuan, dan yang tidak bergantung kepada kolej kediaman, lebih cenderung untuk mendapat tempat kerana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti yang memberikan merit.

Berkaitan "kemampuan" mahasiswa, aku ingin tekankan juga bahawa tanggungan keluarga yang masih bersekolah atau menuntut di universiti juga perlu diambil kira selain pendapatan. Pendapatan pun berbeza klasifikasinya mengikut kawasan.

Sistem meritokrasi ini tidak mengambil kira situasi sebegini dan menguntungkan mereka yang mempunyai kelebihan. Itulah sebabnya negara kita ada dasar tindakan afirmatif seperti Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Ekonomi Baru. Untuk memberikan gelanggang pertarungan sama rata untuk semua pihak. Walau bagaimanapun, dasar ini mempunyai kelemahannya yang tersendiri kerana berdasarkan bangsa dan bukannya keperluan.

Dalam contoh yang diberikan tadi, mereka yang dapat menduduki kolej mempunyai kelebihan utama berbanding dengan mereka yang perlu menetap di luar kampus. Ibarat sipu bersaing dengan harimau kumbang dalam suatu pertandingan lumba lari.

Apabila bercakap mengenai keperluan pula, bukan mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan sahaja yang memerlukan kolej kediaman. Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit mental—dua golongan ini sering dianaktirikan dalam permohonan kolej. Bukan mudah untuk duduk di luar kampus bagi OKU. OKU sering menghadapi masalah mobiliti, dan kawasan tempat tinggal di luar kampus belum tentu menyediakan aksesibiliti yang mereka perlukan. Infrastruktur dan pengangkutan yang tidak mesra OKU menyebabkan mereka menghadapi cabaran besar untuk bergerak ke kampus, apatah lagi untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengukur kelayakan mereka menduduki kolej hanya berdasarkan merit kerana banyak faktor yang di luar kawalan mereka. 

Di samping itu, pesakit mental juga memerlukan akses kepada perkhidmatan sokongan dan kesihatan. Hal ini sukar didapati di luar kampus. Ada dalam kalangan mereka ini yang perlu dipantau oleh orang sekeliling kerana berisiko mencederakan diri sendiri serta berisiko memb*nuh diri. Jika mereka mempunyai ideation sebegini, tinggal di kolej kediaman bakal memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan dalam kadar segera. Warga rumah sewa misalnya belum tentu mempunyai latihan atau pengalaman yang sama seperti mereka di kolej kediaman dalam menguruskan situasi sebegini.

Memaksa mereka ini untuk bersaing bersama dengan pelajar lain ibarat menguji gajah, paus dan monyet untuk memanjat pokok. Tidak semua pihak mempunyai kemampuan yang sama. Universiti mempunyai tanggungjawab sosial dalam memastikan bahawa keperluan mereka ini diambil kira. 

Sistem meritokrasi mutlak/mengutamakan meritokrasi menyebabkan ramai pelajar yang duduk dekat dengan kampus, yang datang dari latar belakang keluarga yang berkemampuan dan sebagainya, berjaya mendapat kolej, hanya sebab mereka mempunyai merit kolej yang tinggi. Hal ini langsung tidak mengambil kira kelebihan atau cheat code yang mereka ada.

Kelayakan menduduki kolej kediaman tidak seharusnya hanya bergantung pada merit semata-mata, tetapi juga mengambil kira keperluan individu pelajar. Pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental perlu diberikan pertimbangan khas walaupun mereka mungkin tidak mempunyai merit yang tinggi.

Bayangkan diri anda sebagai seorang pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah, terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup. Setiap hari, anda perlu mengimbangi antara kerja, pelajaran, dan kehidupan seharian, dan pada masa yang sama, anda juga perlu bersaing dengan rakan-rakan yang lebih berkemampuan untuk mengumpul merit. Mereka yang mampu menyertai aktiviti di kampus dengan mudah, tanpa perlu risau tentang wang, masa, atau pengangkutan. Anda pula, walaupun memerlukan tempat di kolej, sukar untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit kerana terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan anda. Apa yang anda rasakan? Kecewa, terpinggir, atau seakan-akan tiada peluang? Situasi ini realiti bagi ramai pelajar. Universiti perlu berusaha ke arah mewujudkan sistem yang benar-benar inklusif dan adil untuk semua pelajar.

Kuota patut ditetapkan bagi golongan memerlukan sebegini. Golongan seperti OKU pula sewajarnya mendapat kolej secara automatik sehingga tamat pengajian.

Selain itu, program-program yang menawarkan merit juga perlu direka semula untuk menjadi lebih inklusif. Ini bagi memastikan semua pihak dapat menyertainya walaupun mempunyai kekangan tertentu. Program wajib diadakan di tempat yang boleh diakses oleh OKU, dan wajar dilakukan secara hibrid bagi mengalakkan penyertaan mereka yang tidak boleh turut serta dalam program secara fizikal. Jenis program-program yang diadakan juga perlulah mengambil kira kewujudan golongan yang tidak boleh menyertai program tertentu. Misalnya, tidak semua OKU boleh menyertai program seperti larian, manakala tidak semua pesakit mental boleh mengikuti program yang agak triggering.

Persaingan yang tinggi untuk mendapatkan kolej kediaman juga wujud kesan kekurangan kapasiti kolej kediaman untuk menampung jumlah pelajar yang begitu ramai. Oleh itu, adalah perlu untuk meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan persaingan dan memastikan lebih ramai pelajar boleh mendapatkan penempatan di kolej. Mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian dalam pelajaran selain aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan, dan bukannya perlu khuatir tentang kerja sambilan atau rumah sewa. 

Mungkin akan ada yang berhujah bahawa sistem sedia ada sudah cukup adil. Walaupun sistem ini pada permukaannya dianggap sebagai sebuah sistem berdasarkan merit, adakah ia benar-benar mengambil kira merit? Terdapat golongan pelajar yang layak mendapat kolej secara automatik apabila melibatkan diri dalam badan beruniform atau badan pelajar tinggi. Bagi mereka yang berada dalam badan beruniform mungkin tiada isu sangat, tapi mereka yang berada di badan pelajar boleh membuat kerja sambil lewa, tidak menunaikan manifesto dan sebagainya dan masih akan mendapat penempatan di kolej kediaman. Itu belum cerita soal mereka yang mendapatkan merit setelah memegang jawatan tinggi dalam program-program yang dilaksanakan, namun, pada hakikatnya, merupakan seorang free rider. Tak kurang juga mereka yang membolot segala jawatan demi mengumpul merit setinggi yang boleh. Sistem sedia ada juga terdedah kepada penyalahgunaan, dengan pelajar yang tidak menyertai program boleh mendapat merit kerana mengisi borang kehadiran yang pautannya mudah didapati. Sistem ini mementingkan kuantiti daripada kualiti. Sistem ini sudah terbukti tidak adil. Jika hendak mengatakan bahawa sistem baru yang akan diadaptasi berisiko tidak adil, sekurang-kurangnya sistem tersebut tidak mengenepikan mereka yang jelas berhak mendapat kemudahan kolej.

Anggapan umum adalah bahawa seseorang yang mempunyai merit yang tinggi merupakan seorang yang sangat aktif. Ini tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar. Ada pula mahasiswa yang tidak mempunyai begitu banyak merit, tapi masih aktif dengan menyertai aktiviti yang tidak menawarkan merit di luar kampus seperti program anjuran NGO dan sebagainya. Adakah mereka ini tidak aktif? Tidak sama sekali. Bercakap mengenai merit juga, mengumpul merit saja tidak mampu menjamin seseorang itu layak untuk mendapat penempatan di kolej kediaman. Ada merit minimum yang mereka perlu kumpulkan bagi melayakkan mereka menduduki kolej dan meirt ini tidak tetap, bahkan kadangkala tidak didedahkan kepada mahasiswa. Mereka yang tidak mendapat kolej kediaman tidak selalunya tidak aktif. Cumanya, terdapat pelajar yang lebih aktif daripada mereka. Pelajar yang aktif tersebut pula mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa lapang, wang ringgit, kesihatan tubuh badan yang mengizinkan mereka melibatkan diri dalam sebanyak aktiviti yang boleh serta mengumpul merit semaksimum yang mungkin. Bagaimana pula dengan nasib mereka ini? Mungkin mereka tiada kelebihan untuk sertai begitu banyak aktiviti. Bukankah kalau begitu, sia-sia sahaja mereka mengumpulkan merit? Sekurang-kurangnya, penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang mengumpul merit melebihi purata. Penghargaan ini boleh diberikan dalam bentuk seperti pembawaan nilai merit ke semester hadapan, mahupun bantuan untuk mendapatkan penempatan di luar kampus. 

Kesimpulannya, sistem merit yang sedia ada wajar dikaji semula untuk memastikan ia lebih inklusif dan adil. Keperluan pelajar yang kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental tidak boleh diabaikan. Sistem yang adil bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang aktif dalam kokurikulum, tetapi juga mengambil kira keperluan sebenar mahasiswa, terutamanya mereka yang paling memerlukan sokongan. Dengan pembaharuan yang betul, sistem ini boleh menjadi lebih adil dan setara untuk semua.


LONG COVID SEBAGAI KETIDAKUPAYAAN

Long COVID atau sindrom COVID berpanjangan merupakan suatu keadaan yang dihadapi oleh sebahagian mereka yang pernah dijangkiti COVID-19.

Baru-baru ini, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa sindrom ini menjadi halangan buat jutaan rakyat Amerika Syarikat daripada bekerja.

Long COVID merupakan keadaan kronik dengan gejala yang berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas jangkitan COVID-19.

Antara simptom utama termasuklah keletihan, perubahan dalam ingatan, sesak nafas dan masalah untuk memberi tumpuan.

Bagi sesetengah individu, simptom Long COVID mungkin tidak terlalu teruk. Tapi ada juga yang mengalami gejala yang sangat teruk yang berpanjangan terlalu lama.

Ini sangat membimbangkan memandangkan ia boleh menjurus kepada ketidakupayaan. Di AS, mereka yang mempunyai Long COVID dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) jika keadaan mereka secara signifikan menghalang satu atau lebih aktiviti seharian.

Di Malaysia, walaubagaimanapun, penghidap Long COVID dikecualikan daripada kategori OKU. KKM pernah menerima cadangan ini dan berkata bahawa kajian terperinci diperlukan sebelum dimuktamadkan klasifikasi tersebut.

Setelah lebih dua tahun, masih tiada berita berkenaan perkara ini. Kerajaan digesa agar mempertimbangkan semula cadangan tersebut dan sekiranya memerlukan kajian mendalam, lakukanlah dalam kadar segera.

CADANGAN PENYELESAIAN ISU KURSUS CITRA UKM

Kursus-kursus citra digembar-gemburkan sebagai kursus yang ditawarkan bagi menggalakkan mahasiswa untuk memilih kursus yang mereka minati sebagai kursus elektif. Walau bagaimanapun, kelemahan sistem sedia ada menjadikan objektif ini mustahil, memandangkan ada pelajar yang tidak dapat memilih kursus yang diminati oleh mereka. Sebaliknya, mereka terpaksa mendaftar kursus yang mereka tidak minati, dek kerana kekurangan yang ada pada sistem semasa. Bagi memastikan bahawa niat utama penawaran kursus citra ini benar-benar tercapai, beberapa cadangan penyelesaian adalah dengan ini aku kemukakan:

1. Pelajar tidak dibenarkan mengambil lebih daripada satu kursus bagi setiap domain citra (contohnya, C1) untuk memastikan semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengakses kursus. Ini mengelakkan situasi di mana beberapa pelajar cenderung 'memborong' kursus dalam satu domain, menyebabkan pelajar lain tidak mempunyai pilihan yang cukup dalam domain yang sama. 

2. Daripada membuka pendaftaran pada tengah malam, adalah lebih baik untuk memulakan pendaftaran pada waktu pagi. Membuka pendaftaran pada waktu pagi memberikan akses yang lebih adil kepada semua pelajar, terutamanya mereka yang mungkin mempunyai masalah kesihatan, tanggungjawab keluarga, atau kekangan waktu yang menyukarkan mereka berjaga sehingga tengah malam. 

3. Semua kursus perlu dibuka secara serentak pada waktu pendaftaran. Dengan membuka semua kursus serentak, pelajar mempunyai peluang yang sama untuk memilih kursus yang diingini tanpa dibatasi oleh masa. Jika kursus dibuka secara berperingkat, ia boleh menyebabkan kekeliruan dan ketidakadilan, terutamanya apabila kursus popular cepat penuh sebelum pelajar lain mempunyai peluang mendaftar.

4. Memudahkan proses pendaftaran manual dengan mengambil contoh proses perakuan permohonan zakat. Pelajar yang hendak mendaftar sesuatu kursus secara manual boleh memilih kursus yang dikehendaki dan e-mel untuk memohon kelulusan akan dihantar kepada pensyarah tersebut secara automatik.

5. Memberikan keutamaan pendaftaran kepada pelajar senior adalah penting untuk memastikan mereka dapat menyelesaikan pengajian mereka tepat pada masanya. Pelajar senior biasanya berada di tahun akhir pengajian dan keperluan untuk menyelesaikan kursus-kursus penting dalam tempoh masa yang ditetapkan adalah lebih mendesak. Keutamaan kepada mereka mengurangkan risiko mereka terpaksa melanjutkan pengajian hanya kerana kursus yang mereka perlukan penuh.

6. Memastikan kapasiti kursus mencukupi untuk menampung semua pelajar adalah kunci untuk mengelakkan pelajar terpaksa mengambil kursus alternatif yang tidak mereka minati. Universiti boleh mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak set untuk kursus yang popular atau menawarkan kursus tambahan jika permintaan tinggi.

7. Membuka pra-pendaftaran bagi pelajar untuk memilih kursus yang mereka minati dapat membantu universiti menganggarkan permintaan untuk setiap kursus. Dengan maklumat ini, universiti dapat membuat keputusan lebih baik mengenai jumlah set yang perlu ditawarkan serta mencari tenaga pengajar tambahan.

8. Menerapkan pendaftaran berdasarkan tahun pengajian (contohnya, seminggu untuk pelajar tahun akhir, seminggu untuk pelajar tahun kedua, dan seminggu untuk pelajar baru) dapat mengurangkan tekanan pada sistem pendaftaran. Ini juga membolehkan universiti menyesuaikan jumlah tempat dan sumber yang diperlukan untuk setiap kelompok pelajar. Ini juga membolehkan pelajar dalam setiap tahun pengajian untuk memilih kursus dengan lebih tenang dan tanpa tekanan.

9. Memperkenalkan sistem senarai menunggu automatik yang membolehkan pelajar yang menarik diri daripada kursus digantikan oleh pelajar lain yang sedang menunggu. Pelajar akan menerima pemberitahuan segera jika mereka mendapat tempat, mengurangkan tempoh menunggu dan ketidakpastian.

10. Menyediakan fitur yang membolehkan pelajar menukar kursus tanpa perlu menggugurkan kursus sedia ada. Ini memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk membuat keputusan yang lebih baik tanpa risiko kehilangan tempat dalam kursus lain. Banyak pelajar bimbang untuk menukar kursus kerana takut kehilangan tempat dalam kursus yang sedang diduduki. 

11. Memastikan pendaftaran dibuka sebelum pelajar kembali ke kampus dapat membantu mengelakkan isu akses internet semasa pendaftaran. Banyak pelajar menghadapi isu akses internet apabila berada di kampus, terutamanya pada awal semester apabila ramai pelajar sedang menggunakan rangkaian kampus secara serentak. Pelajar yang berada di rumah atau tempat dengan sambungan internet yang lebih stabil akan dapat mendaftar tanpa tekanan atau kebimbangan tentang kualiti rangkaian.

12. Membuka pendaftaran mengikut domain tertentu pada hari-hari tertentu (contohnya, domain C1 pada Isnin, C2 pada hari lain) dapat membantu dalam pengurusan aliran pendaftaran dan mengurangkan kesesakan pada sistem.

13. Menyediakan maklumat lengkap dan jelas tentang setiap kursus, termasuk silibus, pensyarah, dan keperluan pendaftaran, supaya pelajar dapat membuat keputusan yang lebih berinformasi. Ini mengelakkan kekecewaan selepas mendaftar apabila pelajar mendapati kursus tersebut tidak memenuhi jangkaan mereka.

14. Menyediakan sesi soal jawab atau sokongan untuk membantu pelajar dengan pertanyaan mengenai pendaftaran dan pilihan kursus.

15. Sokongan buat pelajar yang masih tidak dapat mendaftar sebarang kursus citra setelah proses pendaftaran manual tamat.

16. Menjadikan kursus citra kursus elektif.





KERTAS POLISI RINGKAS 1: KOPERASI PERUMAHAN MAHASISWA

Ringkasan Eksekutif 

Krisis penempatan mahasiswa di Malaysia semakin meruncing, dengan kos sewa yang semakin meningkat, kekurangan tempat tinggal, serta keadaan perumahan yang tidak memuaskan. Kertas polisi ringkas ini mencadangkan penubuhan Koperasi Perumahan Mahasiswa sebagai penyelesaian lestari bagi isu ini yang diterajui oleh mahasiswa sendiri. Model koperasi ini membolehkan mahasiswa mengurus dan memiliki tempat tinggal secara bersama, memastikan ia berkualiti dan mampu milik.

Kertas ini menggariskan rasional, objektif, cabaran, serta langkah-langkah tindakan yang diperlukan untuk mewujudkan KPM di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Pengenalan

Akses kepada perumahan yang mampu milik, selamat, dan berkualiti adalah keperluan asas bagi mahasiswa. Namun begitu, ramai mahasiswa menghadapi cabaran seperti kos sewa yang tinggi, kekurangan tempat tinggal, dan keadaan perumahan yang tidak memuaskan. Peningkatan pengambilan mahasiswa universiti memburukkan lagi situasi ini dan membebankan sumber sedia ada.

Koperasi Perumahan Mahasiswa yang dicadangkan adalah inisiatif yang dipimpin oleh mahasiswa untuk menyediakan perumahan berkualiti dengan kos rendah, di samping memupuk penglibatan komuniti dan tadbir urus kendiri. Kertas polisi ini mengupas potensi KPM sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu perumahan mahasiswa.

Objektif

1. Menyediakan Perumahan Mampu Milik

Menyediakan pilihan perumahan dengan kos efektif melalui pemilikan bersama dan operasi tanpa untung.

2. Memperkasa Mahasiswa

Membangunkan kemahiran kepimpinan, pengurusan, dan kewangan melalui penglibatan aktif dalam koperasi.

3. Menggalakkan Kelestarian

Melaksanakan amalan mesra alam dalam pengurusan dan operasi perumahan.

4. Membangunkan Komuniti

Memupuk rasa kebersamaan dan sokongan bersama di kalangan mahasiswa.

Rasional

Model koperasi yang berasaskan tadbir urus demokratik dan pemilikan bersama menawarkan alternatif mampan kepada sistem perumahan konvensional. Tidak seperti pemilik rumah persendirian atau perusahaan komersial, KPM beroperasi berdasarkan pemulihan kos, mengutamakan kebajikan ahli daripada keuntungan.

Cabaran dan Penyelesaian

1. Kekangan Dana

Cabaran: Modal permulaan yang terhad untuk memperoleh atau membangunkan perumahan.

Penyelesaian: Mendapatkan dana permulaan melalui geran kerajaan, peruntukan universiti, dan kerjasama dengan sektor swasta.

2. Tadbir Urus dan Pengurusan

Cabaran: Kekurangan kepakaran dalam pengurusan koperasi di kalangan mahasiswa.

Penyelesaian: Menyediakan program latihan dan bimbingan daripada pakar koperasi.

3. Penglibatan Ahli yang Rendah

Cabaran: Sikap apati atau kurang kesedaran di kalangan mahasiswa.

Penyelesaian: Memberikan insentif seperti pengurangan sewa atau dividen kepada ahli yang aktif.

4. Halangan Birokrasi

Cabaran: Kelewatan mendapatkan kelulusan dan sokongan daripada pihak pentadbiran universiti.

Penyelesaian: Melibatkan pemegang taruh lebih awal dan menyelaraskan dasar di peringkat institusi dan kebangsaan.

Pelan Pelaksanaan

Fasa 1: Kajian Kebolehlaksanaan

Lakukan tinjauan untuk menilai keperluan dan permintaan perumahan di kalangan mahasiswa.

Kenal pasti harta tanah atau tanah yang berpotensi untuk perumahan koperasi.

Fasa 2: Penubuhan Koperasi

Bentuk jawatankuasa pemandu yang dipimpin mahasiswa.

Daftarkan koperasi dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Fasa 3: Mobilisasi Sumber

Dapatkan dana melalui geran, pinjaman, dan kerjasama.

Libatkan pemegang taruh seperti universiti, kerajaan tempatan, dan sektor swasta.

Fasa 4: Perolehan/Perkembangan Perumahan

Sewa, beli, atau bina unit perumahan berdasarkan kapasiti kewangan koperasi.

Fasa 5: Operasi dan Pengurusan

Laksanakan struktur tadbir urus yang telus.

Sediakan latihan dan bimbingan kepada ahli koperasi.

Fasa 6: Pemantauan dan Penilaian

Lakukan penilaian berkala terhadap keadaan perumahan, prestasi kewangan, dan kepuasan ahli.

Buat penyesuaian yang perlu untuk memperbaiki operasi.

Cadangan Dasar

1. Sokongan Kerajaan

Berikan geran atau pinjaman rendah faedah kepada KPM di bawah inisiatif perumahan dan pendidikan.

Masukkan KPM dalam kerangka Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

2. Kerjasama Universiti

Sediakan tanah atau bangunan untuk pembangunan KPM.

Fasilitasi sokongan pentadbiran dan kewangan untuk inisiatif koperasi.

3. Kemudahan Perundangan

Permudahkan proses pendaftaran koperasi pelajar di bawah Akta Koperasi 1993.

4. Kerjasama Awam-Swasta (PPP)

Galakkan pemaju swasta untuk bekerjasama dengan KPM dengan menawarkan insentif cukai.

Manfaat Dasar

1. Penjimatan Kos: Kos perumahan yang lebih rendah berbanding kadar pasaran.

2. Kepimpinan Mahasiswa: Melatih mahasiswa dalam kemahiran pengurusan dan tadbir urus.

3. Kelestarian: Penggunaan sumber yang mampan dalam operasi perumahan.

4. Komuniti Mahasiswa: Menggalakkan rasa kebersamaan di kalangan pelajar.

Dengan melaksanakan dasar ini, universiti dapat membantu mengurangkan beban perumahan mahasiswa dan membina komuniti kampus yang lebih inklusif dan mampan.

MANSUHKAN HEP, WUJUDKAN KESATUAN MAHASISWA

Pernah tak korang terfikir, kenapa perlu ada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di institusi-institusi pendidikan tinggi? Kita ni zaman sekolah lagi ke yang ada Penolong Kanan (PK) Hal Ehwal Murid (HEM) apa semua? Kenapa hal ehwal mahasiswa perlu diuruskan oleh mereka yang bukan mahasiswa?

Segala hal ehwal mahasiswa sepatutnya diuruskan sendiri oleh mahasiswa. Konsep kerajaan mahasiswa mementingkan perkara ini dengan segala urusan pelajar ditadbir oleh mereka sendiri, dari pelaksanaan program hinggalah ke operasi bas kampus. 

Tak molek aku rasa jika di sini aku tak bincangkan sekali mengenai "kerisauan" sesetengah pihak jika mahasiswa diberikan semula autonomi sebesar itu. Ada yang membangkitkan isu ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Persoalannya ialah, adakah perkara itu tiada langsung dalam sistem sedia ada? Adakah HEP benar-benar suci daripada segala perkara negatif? Jika akan ada sekalipun isu ketirisan apabila mahasiswa mempunyai autonomi penuh nanti, sekurang-kurangnya kita boleh memecat mereka yang bertanggungjawab. Proses audit oleh pihak ketiga juga bukannya tidak boleh dilakukan. 

Mahasiswa telah lama menguruskan hal ehwal mereka sendiri sebelum kemunculan HEP, dan mereka lebih proaktif dalam menjaga kebajikan mahasiswa jika mahu dibandingkan dengan keadaan semasa. Dakwaan segelintir pihak bahawa mahasiswa hanyalah tin kosong tanpa tunjuk ajar HEP bukan sahaja menunjukkan bahawa mereka memandang rendah kemampuan mahasiswa, malah jahil sejarah. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) sebelum dihapuskan melalui penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadi saksi betapa cekap mahasiswa boleh mengurus hal ehwalnya sendiri.

Ada pihak yang mendakwa bahawa tugas mahasiswa masuk ke universiti adalah untuk belajar. Aku setuju. Tetapi pembelajaran tidak terhad hanya kepada belajar di dalam kelas mahupun latihan industri sahaja. Model kesatuan mahasiswa di mana mahasiswa menguruskan hal ehwal mereka sendiri juga boleh dijadikan peluang untuk mahasiswa belajar cara mentadbir urusan mereka sendiri, mengasah kemahiran kepimpinan mereka. Jika mahu gunakan logik bahawa tugas mahasiswa adalah untuk belajar dan bukannya mengurus, mahasiswa juga bukan tugasnya berpolitik. Tetapi itulah yang dilakukan oleh sesetengah pihak, seolah-olah hidup berkiblatkan politik. Pembelajaran mereka bagaimana? Dan bukannya tak wujud model kesatuan mahasiswa di mana meskipun mahasiswa memimpin kesatuan, operasi harian kesatuan dijalankan oleh pegawai-pegawai yang direkrut oleh kesatuan mahasiswa, lebih kurang dengan sistem sedia ada. Namun begitu, dalam model ini, mahasiswa lebih berkuasa. 

Berbalik semula kepada isu pokok, jika kerajaan serius dalam usaha pemerkasaan mahasiswa, institusi HEP tidak wajar untuk kekal wujud. Kewujudannya telah lama menjadi penghalang utama kepada perkembangan diri mahasiswa dengan halangan birokrasi. Jika di UKM, meskipun mahasiswa dianggap bebas melaksanakan aktiviti, pada hakikatnya, tidak. Kebenaran HEP masih diperlukan. Belum cerita soal kewujudan sistem iStar yang menyulitkan lagi pelaksanaan aktiviti secara "sah". Beginilah cara mereka mengawal mahasiswa. Program yang diadakan perlu sah untuk mendapat merit, dan merit yang tinggi diperlukan untuk layak menduduki kolej kediaman (Tidak semestinya).

Sel kanser bernama HEP ini wajar dimusnahkan sepenuhnya sebelum merebak dan menghancurkan keseluruhan ekosistem universiti. Kesatuan mahasiswa yang sebenar hendaklah memainkan peranan penting dalam mengambil alih tugas HEP soal mengendalikan hal ehwal mahasiswa. Jika mereka gagal, kita gantikan mereka pula melalui mesyuarat agung tahunan atau pilihan raya.

Berhubung kenyataan saya di atas ini, ada yang mendakwa bahawa kewujudan HEP sedikit sebanyak telah mempermudahkan hidup mahasiswa. Persoalannya, adakah ia lebih banyak memudahkan ataupun sebaliknya? Saya bukannya tiada pengalaman berurusan dengan HEP. Karenah birokrasinya bukan main merumitkan. Kertas kerja perlulah sempurna meskipun kerja mereka kadangkala tak sempurna juga.

Mungkin mereka tidak menyedari hakikat ini tapi tingkah laku mereka yang mengagung-agungkan HEP ini juga boleh digunakan sebagai justifikasi untuk memansuhkannya. Kewujudan HEP telah melahirkan sebuah generasi mahasiswa yang memandang rendah kebolehan mahasiswa lain dan hanya melihat bahawa HEP sebagai satu-satunya institusi yang mampu menguruskan mahasiswa, walhal pengalaman telah membuktikan bahawa banyak isu mahasiswa yang gagal diselesaikan oleh mereka, dan isu yang diselesaikan takkan boleh berjaya diselesaikan tanpa bantuan dan sumbangan mahasiswa juga.

Bagi menjawab tuduhan bahawa saya tidak membaca dan tidak mengkaji terlebih dahulu sebelum mengeluarkan penulisan ini, hasrat untuk menulis entri ini saya dapat setelah membaca buku Student Union: Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa oleh Zulkifli Hasan dan rakan-rakan beliau.

Akhir kalam, mesej saya kepada pihak yang mahu HEP kekal relevan, daripada sibuk menyerang saya, eloklah menggesa penambahbaikan terhadap institusi HEP itu sendiri supaya saya tiada modal nak menyerangnya. 

Tambahan:

Cadangan ini memang kontroversial. Namun begitu, sekiranya ada mana-mana pihak yang mempersoalkan cadangan ini, lebih-lebih lagi mereka yang merasakan bahawa mereka ini golongan terpelajar yang lebih tinggi IQnya (Pengukuran kecerdikan yang dah basi) daripada saya, saya galakkan kita untuk melawan hujah melalui penulisan dan tidak melabel orang itu dan ini sesuka hati. Ia tak membuktikan apa-apa pun, dan hanya menunjukkan kekeringan dan ketandusan idea serta isi pihak yang melakukan perkara tersebut. Responlah terhadap sesuatu isu dengan lebih profesional dan matang. 

Nota kaki: Entri ini telah diedit dengan menambah hujahan balas kepada hujah-hujah yang dikemukakan oleh beberapa individu. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana telah membantu saya menambah justifikasi mengapa institusi HEP wajar dimansuhkan.

CADANGAN TOPIK PERBINCANGAN MAHASISWA

1. Young adult gr*oming

2. Kisah perhambaan OA

3. Kepentingan sains sosial di sebalik pemfokusan kepada bidang STEM 

4. Asbab penggunaan GenAI tidak wajar digalakkan walau apa jua alasan sekalipun

5. Pencerobohan tanah adat OA

6. Impak perlombongan REE terhadap alam sekitar

7. Kelesuan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa

8. Bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga

9. Ke arah pendidikan tinggi percuma

10. Krisis penempatan mahasiswa

11. Penambahbaikan syarat kelayakan menduduki kolej kediaman

12. Kata cerca

13. Budaya politik toksik

14. Overconsumption dan FOMO

15. Aktivisme marhaen dan elitis

Wednesday, 22 January 2025

REFORMASI SISTEM POLIS

1. Kriteria pemilihan yang lebih ketat

2. Ujian kemahiran interpersonal 

3. Kelayakan akademik yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang, kriminologi dan lain-lain yang bersesuaian 

4. Syarat kecergasan yang optimum

5. Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
 

PAKATAN HARAPAN LUPA DARATAN

Marah dan kecewa. Demikianlah dua perasaan utama aku sewaktu membaca kenyataan-kenyataan daripada pihak kerajaan yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH) terkait Himpunan Rakyat Benci Rasuah. Ada hikmahnya mengapa aku tidak lagi bersama dengan mereka ini. Malu aku jika masih ya. 

Kerajaan yang ada pada hari ini seolah-olah lupa akan asal-usul mereka yang bermula daripada protes di jalanan. Mereka ingat mereka siapa tanpa sokongan rakyat kebanyakan? Kini, setelah duduk selesa di tampuk kuasa, mereka tak tumpah seperti kerajaan yang mereka juga pada suatu ketika dahulu tentang. 

Perhimpunan aman menolak rasuah, suatu amalan jijik yang membarah dalam negara, dihalang dan dilabel menyalahi undang-undang. Mesej apa yang kerajaan kini ingin sampaikan sebenarnya? Bukannya rakyat berhimpun mengajak buat benda yang jahat. Melawan rasuah pun rasa terancam ke?

Menggunakan alasan bahawa undang-undang berkata demikian adalah ironi dan tidak masuk akal. Pertama, sewaktu mereka menjadi pembangkang dulu, adakah mereka mengikut undang-undang? Jika tidak, mereka fikir mereka siapa untuk memberi ceramah kepada rakyat? Sudahlah ceramah pun datang daripada individu yang kalah dalam pilihan raya. Tak reti-reti sedar diri yang dia boleh naik jadi menteri dan tindas rakyat pun sebab adanya sistem haprak Senator tinggalan rejim Barisan Nasional.

Selain itu, dah tahu undang-undang bersifat begitu, kenapa tidak mahu tambah baik? Ke mana perginya slogan reformasi yang sering dijerit, atau memang ia hanya sekadar retorik untuk mendapatkan kuasa? Atau mereka selesa dengan undang-undang ini kerana ia melindungi kepentingan mereka?

Perhimpunan aman, lebih-lebih lagi jika bertujuan murni seperti menentang rasuah, sewajarnya dipermudahkan, bukannya disulitkan. Aku kadangkala bingung dengan gaya pemikiran pemerintah. Kalian halang perhimpunan ini atas dasar apa sebenarnya? Usah berselindung di sebalik melanggar undang-undang kerana kita semua tahu mereka pun dua kali lima sahaja dahulu, malah lebih teruk. 

Kepada mereka yang masih menyokong kerajaan ini tanpa soal, tanyalah diri sendiri: apakah sokongan anda berlandaskan prinsip atau hanya kesetiaan buta? Jangan sampai kita menjadi bangsa yang lupa, yang terlalu mudah diperbodohkan dengan janji-janji yang tidak pernah ditunaikan. Ingatlah, demokrasi adalah milik kita, rakyat, bukan milik segelintir elit politik yang rakus kuasa. Dan jika mereka terus begini, rakyat akan bangkit sekali lagi. Jangan sampai terlambat untuk mereka sedar, kuasa itu bukan milik mutlak mereka.

Kenyataan Anwar Ibrahim mengenai pengurangan hukuman Najib Razak adalah satu lagi tamparan kepada rakyat yang memperjuangkan keadilan. Bagi sebahagian besar pengundi, kenyataan ini bukanlah suatu tindakan mulia, tetapi pengkhianatan kepada perjuangan melawan rasuah.

Najib Razak bukan sekadar seorang pesalah biasa. Dia adalah simbol korupsi yang menyebabkan negara kerugian besar. Hukuman yang diterimanya sudah cukup ringan – jauh lebih ringan daripada kesan yang ditanggung oleh rakyat akibat rasuahnya. Apa pula keperluan untuk memberi simpati yang melampau? Jika penderitaan Najib dipandang sebagai alasan meringankan hukuman, adakah kerajaan bercadang untuk memansuhkan terus hukuman penjara, termasuk bagi kesalahan kecil seperti mencuri susu bayi atau sardin?

Sebagai seorang pemimpin yang pernah memperjuangkan prinsip reformasi, Anwar seharusnya memahami bahawa keadilan mesti bersifat menyeluruh. Kenyataan seperti ini bukan sahaja merendahkan integriti perjuangan anti-rasuah tetapi juga memberi isyarat yang salah kepada rakyat – bahawa keadilan boleh dibeli, dan keistimewaan diberikan kepada mereka yang berkuasa.

Rakyat menginginkan tindakan yang jelas dan konsisten dalam melawan rasuah serta memperjuangkan keadilan. Jika kerajaan terus memilih untuk memberi keistimewaan kepada golongan elit sambil mengetepikan penderitaan rakyat biasa, mereka akan berdepan dengan kesan buruk pada masa depan. Kuasa adalah amanah, dan rakyat tidak akan teragak-agak untuk menarik semula amanah itu jika ia disalahgunakan.

Isu ini juga membangkitkan persoalan tentang keberkesanan sistem kepolisan negara. Aku mencadangkan reformasi menyeluruh dalam pengambilan dan latihan pegawai polis. Salah satu langkah utama ialah mewajibkan pegawai polis, terutama yang berperingkat tinggi, untuk memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan seperti undang-undang, kriminologi, atau sains sosial.

Tujuannya adalah memastikan polis benar-benar memahami undang-undang, bukan sekadar menjadi alat pemerintah. Dengan pengetahuan ini, mereka tidak mudah dimanipulasi oleh elit politik dan lebih cenderung untuk berpihak kepada rakyat. Reformasi ini penting untuk memastikan institusi kepolisan menjadi benteng keadilan, bukan sekadar menjalankan arahan secara membuta tuli.

SELARASKAN AKTA UiTM DENGAN PINDAAN AUKU

Pada awal tahun ini, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia. Pindaan ini bertujuan untuk memodenkan rangka kerja kawal selia yang mentadbir universiti dengan memberikan autonomi kepada mahasiswa dalam mentadbir kewangan organisasi pelajar dan memindahkan kuasa pengurusan tindakan tatatertib daripada Naib Canselor kepada Lembaga Universiti.

Namun, Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak merasai manfaat pindaan ini kerana UiTM tidak tertakluk kepada AUKU. Sebaliknya, UiTM mempunyai akta tersendiri—Akta UiTM 1976 [Akta 173]—yang masih belum dipinda untuk selari dengan AUKU. Perbezaan ini menyebabkan UiTM terpinggir daripada penambahbaikan yang diterapkan ke universiti-universiti lain.

Mantan Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin, pernah memberi jaminan bahawa Akta UiTM akan dipinda bersama dengan AUKU, tetapi jaminan ini belum dilaksanakan. 

Kelewatan meminda Akta UiTM telah menimbulkan kebimbangan mengenai UiTM ketinggalan ketimbang universiti-universiti lain dari segi tadbir urus dan autonomi pelajar. Ketidakupayaan untuk melaksanakan perubahan yang serupa dengan AUKU bermakna pelajar UiTM tidak menikmati hak dan kuasa yang dipertingkatkan kepada rakan sejawatan mereka di institusi lain. Kekurangan penjajaran ini menghalang keupayaan UiTM untuk memupuk sebuah badan pelajar yang lebih berautonomi, sekaligus menjejaskan keseluruhan persekitaran pendidikan dan pengalaman pelajarnya.

Kerajaan digesa untuk meminda Akta UiTM supaya ia sepadan dengan pindaan AUKU, memastikan semua universiti, termasuk UiTM, menikmati hak dan autonomi yang sama.

Namun, terdapat juga kontroversi mengenai pindaan AUKU, terutamanya yang memberikan kuasa kepada Lembaga untuk memendekkan atau memanjangkan tempoh pelantikan badan perwakilan pelajar. Pengkritik berpendapat bahawa perubahan ini berpotensi menjejaskan proses demokrasi dalam tadbir urus pelajar. Kebimbangannya adalah memusatkan terlalu banyak kuasa di tangan Lembaga boleh menyebabkan pengurangan perwakilan dan autonomi pelajar, yang boleh menjejaskan fungsi keseluruhan organisasi pelajar.

Pada pendapat saya, adalah wajar untuk memansuhkan AUKU dan akta-akta pendidikan tinggi lain, dan menggantikannya dengan satu akta komprehensif yang lebih adil dan bebas dari kecacatan sedia ada.

Rujukan dan bacaan lanjut:


PELATIH INDUSTRI BUKAN BURUH PERCUMA

Pelatih industri wajar menerima elaun latihan industri. Jika kau tak bersetuju, maknanya kau anggap latihan industri ini hanya sesuai untuk mereka yang berduit sahaja. "Kalau kau miskin, kau tak layak untuk ikuti latihan industri." Latihan industri tanpa elaun menafikan orang miskin daripada mengikuti latihan industri. Penawaran elaun latihan industri mamlu menjamin peluang sama rata kepada semua pihak.

Ya, memang mereka ini sekadar pelatih industri, tapi mereka pun dijangka bekerja seperti pekerja, dan menyumbang kepada organisasi. 

Tipulah kalau kerja yang dilakukan oleh pelatih industri tiada sebarang impak besar kepada organisasi. Kerja yang mereka buat ada nilai sebenar dan mengupah mereka menunjukkan bahawa sesuatu organisasi menghargai sumbangan mereka.

Ada saja organisasi yang memberikan elaun kepada pelatih mereka. Jadi, apa alasannya? Nak kata tak mampu, organisasi kecil pun ada saja. 

Meskipun mungkin kurang berlaku, ketiadaan elaun dan perlindungan buat pelatih industri membuka ruang kepada organisasi untuk mengambil kesempatan ke atas mereka. Mereka mungkin dikerah lebih keras berbanding pekerja biasa, malah dinafikan cuti dan rehat.

Kau bayangkan, pelajar ni belajar. Mereka tiada duit yang banyak. Tapi, mereka mempunyai komitmen seperti orang bekerja. Jadi, berempatilah sedikit.

Kalau kau nak bandingkan dengan zaman kau dahulu, banyak bezanya. Cabaran yang berlainan dan kos sara hidup juga jauh berbeza ibarat langit dengan bumi. Sedangkan orang yang bekerja pada hari ini pun susah nak hidup, apatah lagi mereka yang tidak. Ramai yang perlu buat dua kerja untuk hidup.

Sebelum nak bandingkan, cuba hidup di tempat mereka dulu. Sebab kalau nak bandingkan dengan zaman kau, semua benda berbeza. Harga rumah zaman kau pun berapa saja. Zaman ni, rumah mampu milik saja dah beratus ribu harganya. 

Kemudian, ada pula yang minta pelatih industri buat dua kerja. Apa yang kau tak faham? Mereka sepatutnya belajar dan kalau bekerja pun, hanya dalam kes latihan industri dan wajar diberi elaun. Apabila berlakunya protes berkaitan isu latihan industri, bukan main kata tugas hakiki pelajar ialah belajar. Sekarang, mahu mereka bekerja pula?

Aku sarankan agar digubal suatu Akta Latihan Industri. Akta ini hendaklah mengandungi provisi berkaitan elaun minimum latihan industri. Elaun ini perlulah mengambil kira bukan sahaja sumbangan pelatih kepada organisasi tetapi juga kos sara hidup setempat.

Bagi organisasi kecil, kerajaan boleh memberi insentif untuk mengalakkkan mereka mengambil pelatih industri.

Pada hemat aku juga, latihan industri perlulah dijadikan pilihan, terutamanya bagi program-program yang tidak memerlukan sangat latihan industri.

Latihan industri juga perlulah dipelbagaikan bentuknya, dengan latihan industri secara atas talian, mahupun latihan industri berasaskan projek. Ini boleh dipanggil latihan industri berbentuk mikro.

Suatu tabung kebajikan buat pelatih industri juga boleh diwujudkan, dengan sumbangan oleh para alumni yang mampu mendanainya.

Universiti juga perlulah memainkan peranan dalam hal ini. Mereka juga perlulah membantu pelajar yang memerlukan bantuan kewangan semasa latihan industri.

Suatu portal juga perlulah diwujudkan bagi memudahkan pelajar mencari organisasi yang menawarkan latihan industri dengan kadar elaun yang sesuai buat mereka.

Selain elaun minimum, organisasi juga boleh menawarkan bonus buat pelatih industri berasaskan produktiviti mereka. 

Organisasi juga boleh menawarkan mini biasiswa buat para pelatih industri, dengan menyerap mereka bekerja apabila sudah tamat latihan industri. Jika tidak, mereka perlu membayar semula biasiswa yang diberikan.


CUTI KESIHATAN MENTAL BUAT MAHASISWA

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Perundingan Latihan Sumber Manusia Quantum Inno Creat Sdn Bhd (QIC), Dinesh Sekhar telah mengemukakan cadangan untuk cuti kesihatan mental mandatori buat pekerja, atau cuti tekanan dimasukkan sebagai salah satu pindaan kepada Akta Kerja 1955, sama seperti peruntukan berkaitan cuti sakit.

Aku menyokong penuh idea ini, selain ingin mencadangkan agar ia turut diperluaskan kepada mahasiswa. Mahasiswa perlulah dibenarkan untuk mengambil cuti kesihatan mental mandatori, terutamanya dalam suasana akademik yang semakin mencabar. Cuti kesihatan mental ini akan memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengambil masa sejenak daripada tekanan akademik tanpa perlu risau akan prestasi atau kehadiran kelas.

Mungkin akan ada yang mempersoalkan kerelevanan cuti ini memandangkan cuti sakit sudah wujud. Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan cuti sakit, mahasiswa perlu berjumpa dengan doktor, dan doktor berisiko mengamalkan medical gaslighting, dengan merendah-rendahkan situasi yang dihadapi oleh mahasiswa. Maka, inisiatif ini ditawarkan untuk mengelakkan mahasiswa menjadi mangsa isu ini. 

Bagi mengelakkan penyalahgunaan, untuk peringkat awal, cuti ini boleh ditawarkan buat mereka yang sudah ada penyakit mental. Pelajar yang tidak mempunyai penyakit mental boleh berjumpa dengan kaunselor universiti untuk mendapatkan cuti ini. Perjumpaan ini tidak semestinya berlaku secara fizikal. Ia boleh juga berlaku secara atas talian.

Selain cuti mandatori, mungkin pihak universiti boleh mempertimbangkan pengurangan penalti terhadap kehadiran bagi mahasiswa yang memerlukan cuti mental, terutama sekali bagi mereka yang didiagnos dengan penyakit mental seperti kemurungan, kebimbangan atau PTSD. Dalam situasi ini, mahasiswa tidak seharusnya dihukum, sebaliknya mereka perlu diberikan ruang dan sokongan untuk pulih. 

Sekurang-kurangnya, mereka yang mengalami isu kesihatan mental perlulah diberikan kelonggaran untuk mengikuti kelas secara atas talian. Setidaknya, mereka tidak perlu risau akan ketinggalan kelas kerana mengalami episod kesihatan mental. 

Perlu juga diadakan latihan khusus kepada pensyarah dan kakitangan universiti mengenai tanda-tanda awal masalah kesihatan mental dan kaedah sokongan yang berkesan. Dengan cara ini, mereka dapat mengenal pasti mahasiswa yang memerlukan bantuan dan menawarkan sokongan awal sebelum keadaan menjadi lebih serius. 

Akhir sekali, bagi memastikan kelangsungan inisiatif ini, universiti boleh mempertimbangkan untuk melantik seorang wakil mahasiswa sebagai “Duta Kesihatan Mental” di setiap fakulti atau jabatan. Wakil ini boleh menjadi rakan yang dipercayai untuk mahasiswa lain, yang mungkin merasa lebih selesa untuk berkongsi masalah mereka.

ARKIB ISU MAHASISWA

1. Isu pemimpin mahasiswa yang diintimidasi¹

2. Isu gangguan seksual²

3. Isu penempatan³

4. Komersialisasi ruang universiti

5. Cuti datang bulan buat mahasiswi

6. Kad Siswa Rahmah

7. Penambahbaikan sesi orientasi

8. Autonomi mahasiswa

9. Polisi Baki Sifar di UM

10. Syarat Diskriminatif PIDN JPA¹⁰

11. Reformasi sistem penajaan pendidikan tinggi¹¹

12. Kelemahan sistem merit kolej kediaman¹²

13. Pemantapan kesatuan mahasiswa¹³

14. Penyelarasan pindaan AUKU dan Akta UiTM¹⁴

15. Kebajikan pelatih industri¹⁵

16. Cuti kesihatan mental buat mahasiswa¹⁶

17. Perubahan sistem pemilihan MEP¹⁷

18. Polisi kehadiran ke kuliah¹⁸

19. Ketidakrelevanan PLKN¹⁹

20. Kelapukan kawad kaki mandatori²⁰

21. Rejuvenasi subjek MPV²¹

22. Kerelevanan MPPK²²

23. Peranan mahasiswa dalam kalangan masyarakat²³

24. Cadangan penyelesaian isu kursus citra UKM²⁴

25. Subsidi pendidikan orang kaya²⁵



Bonus: Idea Polisi Taqeem

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...