Monday, 1 July 2024

BUDAYA REWANG DALAM KALANGAN MASYARAKAT DI MALAYSIA

Hai dan apa khabar, semua? Dalam perkongsian kali ni, saya ingin membincangkan tentang rewang, satu amalan tradisi yang kaya dengan nilai murni dan perpaduan.

Pertama sekali, apa itu rewang? Rewang membawa maksud gotong-royong sebagai persiapan menjayakan sesuatu majlis, terutamanya majlis kenduri perkahwinan. Perkataan "rewang" berasal dari bahasa Jawa. 

Di Malaysia, amalan ini telah menjadi suatu budaya dan tradisi sejak sekian lama. Amalan ini masih wujud, namun kurang diamalkan di bandar-bandar. Hal ini mungkin disebabkan oleh faktor seperti kesukaran mencari sukarelawan bagi aktiviti merewang, selain kewujudan alternatif yang lebih mudah iaitu perkhidmatan katering. Masyarakat di bandar juga ramai yang bekerja dengan majikan, menyukarkan mereka untuk mengambil cuti bagi melakukan aktiviti merewang. 



Merewang Mengeratkan Hubungan Silaturahim

Aktiviti ini lazimnya akan dilakukan beberapa hari sebelum sesuatu majlis berlangsung dan melibatkan jiran-jiran serta saudara-mara terdekat. Hal ini menjurus kepada hubungan silaturahim yang lebih erat. Kerja juga menjadi mudah dengan kerjasama ramai orang. Setiap individu mempunyai tugasnya yang tersendiri mengikut kemampuan mereka. Ia turut memupuk semangat tolong-menolong antara satu sama lain. Kadangkala, aktiviti merewang juga turut disertai oleh individu dari pelbagai latar belakang kaum, memupuk perpaduan yang lebih erat antara masyarakat setempat.

Selain itu, berbanding dengan perkhidmatan katering, ia juga lebih menjimatkan. Hal ini demikian kerana aktiviti ini melibatkan sukarelawan yang tidak dibayar upah. Namun begitu, kebiasaannya, mereka yang turut serta dalam aktiviti ini akan dihargai oleh tuan rumah dalam pelbagai bentuk, sekurang-kurangnya dalam bentuk makanan. 

Di samping itu, penglibatan dalam aktiviti merewang juga boleh dianggap sebagai suatu gaya hidup yang aktif yang boleh mendatangkan berbagai-bagai manfaat kesihatan. Manfaat ini bukanlah hanya dari segi fizikal, malah dari segi mental juga. Aktiviti merewang boleh membuatkan anda lupa tentang perkara yang membuatkan anda tertekan, selain menimbulkan rasa puas hati kerana dapat membantu orang lain.

Aktiviti rewang juga melibatkan mereka yang datang dari pelbagai peringkat umur. Hal ini mempromosikan "penurunan" ilmu daripada generasi lama kepada generasi yang lebih muda. 

Dari segi alam sekitar pula, aktiviti rewang dilihat lebih mesra alam kerana tidak menghasilkan begitu banyak sisa. Bahan-bahan yang digunakan untuk memasak juga adalah bahan lokal, meminimumkan jejak karbon.

Bagi mereka yang berasal dari bandar pula, penyertaan dalam aktiviti merewang memberikan pengalaman berharga yang mungkin hanya akan terjadi sekali seumur hidup. 

Secara keseluruhannya, rewang bukan sahaja memudahkan persiapan majlis tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat. 

Sumber: 



No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...