Persoalannya, adakah sistem ini adil? Adakah ia juga wajar diteruskan? Sistem ini pernah dipertimbangkan untuk dihapuskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sewaktu ia dikepalai oleh Khaled Nordin. Namun begitu, tiada perkembangan mengenai perkara tersebut apabila tampuk kepimpinan kementerian bertukar tangan.
Penggemar sistem ini lazim menggunakan alasan bahawa meritokrasi merupakan sistem paling ideal dalam menentukan kelayakan menduduki kolej kediaman. Walaupun meritokrasi dilihat sebagai satu cara yang adil dan objektif untuk menentukan siapa yang layak menduduki kolej, sistem ini sebenarnya tidak mengambil kira pelbagai aspek penting yang mempengaruhi kehidupan mahasiswa. Pada hemat aku, sistem ini tidak sepenuhnya tidak bagus, cuma sistem meritokrasi perlulah mengambil kira keperluan tertentu mahasiswa.
Sistem merit berfungsi dengan andaian bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengumpul merit, tetapi realitinya adalah jauh berbeza. Bayangkan, mahasiswa yang mampu duduk di luar kolej dapat menduduki kolej, sebaliknya mahasiswa yang mempunyai isu kewangan perlu menyewa rumah atau bilik yang kosnya mencekik darah. Apabila mereka terbeban dengan kos sedemikian, sudah tentunya mereka tidak mempunyai peluang yang tinggi untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan merit untuk mereka menduduki kolej pada semester seterusnya. Mereka perlu bekerja secara sambilan demi meringankan beban kewangan masing-masing. Natijahnya, mereka terus-menerus gagal menduduki kolej walaupun mereka memerlukannya.
Satu lagi aspek yang kritikal ialah pelajar yang menduduki kolej kediaman mempunyai kelebihan besar dalam mengumpul merit. Dengan tinggal di kampus, mereka lebih dekat dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan merit dan dapat menyertai dengan lebih mudah. Mereka juga tidak perlu risau tentang masalah pengangkutan atau masa perjalanan yang panjang. Ini berbanding dengan pelajar yang tinggal di luar kampus, yang sering kali perlu menguruskan masa untuk perjalanan yang lebih jauh, dan oleh itu, kurang peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti ini. Secara tidak langsung, pelajar yang sudah berada di dalam kolej kediaman cenderung untuk terus mengekalkan kedudukan mereka semester demi semester, manakala mereka yang tinggal di luar kampus semakin sukar untuk mendapatkan tempat.
Ini mewujudkan satu kitaran yang tidak adil, di mana pelajar yang sangat memerlukan kemudahan kolej tidak dapat mengumpul merit kerana kekangan kewangan, manakala pelajar yang datang daripada keluarga yang lebih berkemampuan, dan yang tidak bergantung kepada kolej kediaman, lebih cenderung untuk mendapat tempat kerana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti yang memberikan merit.
Berkaitan "kemampuan" mahasiswa, aku ingin tekankan juga bahawa tanggungan keluarga yang masih bersekolah atau menuntut di universiti juga perlu diambil kira selain pendapatan. Pendapatan pun berbeza klasifikasinya mengikut kawasan.
Sistem meritokrasi ini tidak mengambil kira situasi sebegini dan menguntungkan mereka yang mempunyai kelebihan. Itulah sebabnya negara kita ada dasar tindakan afirmatif seperti Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Ekonomi Baru. Untuk memberikan gelanggang pertarungan sama rata untuk semua pihak. Walau bagaimanapun, dasar ini mempunyai kelemahannya yang tersendiri kerana berdasarkan bangsa dan bukannya keperluan.
Dalam contoh yang diberikan tadi, mereka yang dapat menduduki kolej mempunyai kelebihan utama berbanding dengan mereka yang perlu menetap di luar kampus. Ibarat sipu bersaing dengan harimau kumbang dalam suatu pertandingan lumba lari.
Apabila bercakap mengenai keperluan pula, bukan mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan sahaja yang memerlukan kolej kediaman. Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit mental—dua golongan ini sering dianaktirikan dalam permohonan kolej. Bukan mudah untuk duduk di luar kampus bagi OKU. OKU sering menghadapi masalah mobiliti, dan kawasan tempat tinggal di luar kampus belum tentu menyediakan aksesibiliti yang mereka perlukan. Infrastruktur dan pengangkutan yang tidak mesra OKU menyebabkan mereka menghadapi cabaran besar untuk bergerak ke kampus, apatah lagi untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengukur kelayakan mereka menduduki kolej hanya berdasarkan merit kerana banyak faktor yang di luar kawalan mereka.
Di samping itu, pesakit mental juga memerlukan akses kepada perkhidmatan sokongan dan kesihatan. Hal ini sukar didapati di luar kampus. Ada dalam kalangan mereka ini yang perlu dipantau oleh orang sekeliling kerana berisiko mencederakan diri sendiri serta berisiko memb*nuh diri. Jika mereka mempunyai ideation sebegini, tinggal di kolej kediaman bakal memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan dalam kadar segera. Warga rumah sewa misalnya belum tentu mempunyai latihan atau pengalaman yang sama seperti mereka di kolej kediaman dalam menguruskan situasi sebegini.
Memaksa mereka ini untuk bersaing bersama dengan pelajar lain ibarat menguji gajah, paus dan monyet untuk memanjat pokok. Tidak semua pihak mempunyai kemampuan yang sama. Universiti mempunyai tanggungjawab sosial dalam memastikan bahawa keperluan mereka ini diambil kira.
Sistem meritokrasi mutlak/mengutamakan meritokrasi menyebabkan ramai pelajar yang duduk dekat dengan kampus, yang datang dari latar belakang keluarga yang berkemampuan dan sebagainya, berjaya mendapat kolej, hanya sebab mereka mempunyai merit kolej yang tinggi. Hal ini langsung tidak mengambil kira kelebihan atau cheat code yang mereka ada.
Kelayakan menduduki kolej kediaman tidak seharusnya hanya bergantung pada merit semata-mata, tetapi juga mengambil kira keperluan individu pelajar. Pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental perlu diberikan pertimbangan khas walaupun mereka mungkin tidak mempunyai merit yang tinggi.
Bayangkan diri anda sebagai seorang pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah, terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup. Setiap hari, anda perlu mengimbangi antara kerja, pelajaran, dan kehidupan seharian, dan pada masa yang sama, anda juga perlu bersaing dengan rakan-rakan yang lebih berkemampuan untuk mengumpul merit. Mereka yang mampu menyertai aktiviti di kampus dengan mudah, tanpa perlu risau tentang wang, masa, atau pengangkutan. Anda pula, walaupun memerlukan tempat di kolej, sukar untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit kerana terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan anda. Apa yang anda rasakan? Kecewa, terpinggir, atau seakan-akan tiada peluang? Situasi ini realiti bagi ramai pelajar. Universiti perlu berusaha ke arah mewujudkan sistem yang benar-benar inklusif dan adil untuk semua pelajar.
Kuota patut ditetapkan bagi golongan memerlukan sebegini. Golongan seperti OKU pula sewajarnya mendapat kolej secara automatik sehingga tamat pengajian.
Selain itu, program-program yang menawarkan merit juga perlu direka semula untuk menjadi lebih inklusif. Ini bagi memastikan semua pihak dapat menyertainya walaupun mempunyai kekangan tertentu. Program wajib diadakan di tempat yang boleh diakses oleh OKU, dan wajar dilakukan secara hibrid bagi mengalakkan penyertaan mereka yang tidak boleh turut serta dalam program secara fizikal. Jenis program-program yang diadakan juga perlulah mengambil kira kewujudan golongan yang tidak boleh menyertai program tertentu. Misalnya, tidak semua OKU boleh menyertai program seperti larian, manakala tidak semua pesakit mental boleh mengikuti program yang agak triggering.
Persaingan yang tinggi untuk mendapatkan kolej kediaman juga wujud kesan kekurangan kapasiti kolej kediaman untuk menampung jumlah pelajar yang begitu ramai. Oleh itu, adalah perlu untuk meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan persaingan dan memastikan lebih ramai pelajar boleh mendapatkan penempatan di kolej. Mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian dalam pelajaran selain aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan, dan bukannya perlu khuatir tentang kerja sambilan atau rumah sewa.
Mungkin akan ada yang berhujah bahawa sistem sedia ada sudah cukup adil. Walaupun sistem ini pada permukaannya dianggap sebagai sebuah sistem berdasarkan merit, adakah ia benar-benar mengambil kira merit? Terdapat golongan pelajar yang layak mendapat kolej secara automatik apabila melibatkan diri dalam badan beruniform atau badan pelajar tinggi. Bagi mereka yang berada dalam badan beruniform mungkin tiada isu sangat, tapi mereka yang berada di badan pelajar boleh membuat kerja sambil lewa, tidak menunaikan manifesto dan sebagainya dan masih akan mendapat penempatan di kolej kediaman. Itu belum cerita soal mereka yang mendapatkan merit setelah memegang jawatan tinggi dalam program-program yang dilaksanakan, namun, pada hakikatnya, merupakan seorang free rider. Tak kurang juga mereka yang membolot segala jawatan demi mengumpul merit setinggi yang boleh. Sistem sedia ada juga terdedah kepada penyalahgunaan, dengan pelajar yang tidak menyertai program boleh mendapat merit kerana mengisi borang kehadiran yang pautannya mudah didapati. Sistem ini mementingkan kuantiti daripada kualiti. Sistem ini sudah terbukti tidak adil. Jika hendak mengatakan bahawa sistem baru yang akan diadaptasi berisiko tidak adil, sekurang-kurangnya sistem tersebut tidak mengenepikan mereka yang jelas berhak mendapat kemudahan kolej.
Anggapan umum adalah bahawa seseorang yang mempunyai merit yang tinggi merupakan seorang yang sangat aktif. Ini tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar. Ada pula mahasiswa yang tidak mempunyai begitu banyak merit, tapi masih aktif dengan menyertai aktiviti yang tidak menawarkan merit di luar kampus seperti program anjuran NGO dan sebagainya. Adakah mereka ini tidak aktif? Tidak sama sekali. Bercakap mengenai merit juga, mengumpul merit saja tidak mampu menjamin seseorang itu layak untuk mendapat penempatan di kolej kediaman. Ada merit minimum yang mereka perlu kumpulkan bagi melayakkan mereka menduduki kolej dan meirt ini tidak tetap, bahkan kadangkala tidak didedahkan kepada mahasiswa. Mereka yang tidak mendapat kolej kediaman tidak selalunya tidak aktif. Cumanya, terdapat pelajar yang lebih aktif daripada mereka. Pelajar yang aktif tersebut pula mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa lapang, wang ringgit, kesihatan tubuh badan yang mengizinkan mereka melibatkan diri dalam sebanyak aktiviti yang boleh serta mengumpul merit semaksimum yang mungkin. Bagaimana pula dengan nasib mereka ini? Mungkin mereka tiada kelebihan untuk sertai begitu banyak aktiviti. Bukankah kalau begitu, sia-sia sahaja mereka mengumpulkan merit? Sekurang-kurangnya, penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang mengumpul merit melebihi purata. Penghargaan ini boleh diberikan dalam bentuk seperti pembawaan nilai merit ke semester hadapan, mahupun bantuan untuk mendapatkan penempatan di luar kampus.
Kesimpulannya, sistem merit yang sedia ada wajar dikaji semula untuk memastikan ia lebih inklusif dan adil. Keperluan pelajar yang kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental tidak boleh diabaikan. Sistem yang adil bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang aktif dalam kokurikulum, tetapi juga mengambil kira keperluan sebenar mahasiswa, terutamanya mereka yang paling memerlukan sokongan. Dengan pembaharuan yang betul, sistem ini boleh menjadi lebih adil dan setara untuk semua.
No comments:
Post a Comment