MPPK tidak lebih daripada sebuah badan simbolik yang hanya memberi cadangan tanpa kuasa untuk memastikan perubahan dilaksanakan. Walaupun perbincangan dilakukan, keputusan sebenar bergantung kepada kerajaan, yang sering kali meminggirkan cadangan mahasiswa.
Ahli MPPK kebanyakannya terdiri daripada pemimpin pelajar universiti yang dipilih melalui proses yang tidak inklusif dan kurang demokratik. Ini menyebabkan MPPK tidak benar-benar mencerminkan suara pelajar akar umbi yang menghadapi masalah harian seperti kos sara hidup, pinjaman pendidikan, dan tekanan akademik.
Isu-isu kritikal seperti krisis perumahan pelajar, kebajikan mahasiswa B40, dan peningkatan yuran pengajian tidak diselesaikan dengan efektif oleh MPPK. Ia hanya mampu mengeluarkan kenyataan media desakan dan pernyataan kekesalan, mengutarakan cadangan polisi dan membentangkan kertas kerja (melalui Mesyuarat MPPK), tanpa jaminan tindakan, oleh kerana strukturnya yang rigid. Sebarang advokasi mengenai sesuatu isu hanya terhenti di peringkat penyampaian isu kepada kerajaan tanpa tindakan susulan mahupun kempen kesedaran. MPPK juga kurang turun padang untuk meninjau secara langsung isu-isu mahasiswa (Untuk rekod, perkara ini disentuh dalam buku Student Union: Generasi Baharu Gerakan Mahasiswa).
Sebagai badan di bawah pengawasan kerajaan, MPPK sering dianggap hanya menjadi alat kosmetik untuk mengaburi mata pelajar. Tindakannya jarang mencabar polisi kerajaan yang menekan pelajar, menyebabkan ia kehilangan kredibiliti sebagai suara perjuangan mahasiswa.
Era hari ini menuntut keberkesanan, ketelusan, dan keupayaan untuk bertindak segera. MPPK, dengan strukturnya yang kaku dan birokratik, gagal memenuhi tuntutan ini. Media sosial dan gerakan mahasiswa telah menjadi saluran yang lebih berkesan untuk menyampaikan suara pelajar dan mendapat perhatian umum.
MPPK cenderung untuk berkompromi dengan kerajaan, menyebabkan ia gagal menjadi platform yang benar-benar mewakili suara mahasiswa. Sebaliknya, sebuah kesatuan mahasiswa yang bebas dapat lebih lantang mencabar dasar-dasar yang menindas dan memberi tekanan kepada pelajar.
Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan ialah sebuah badan nasional yang berfungsi sebagai payung kepada semua kesatuan pelajar di institusi pengajian tinggi. Ia dibentuk secara bebas oleh mahasiswa, tanpa pengaruh kerajaan, untuk memastikan perjuangan mahasiswa benar-benar didasarkan kepada keperluan dan kehendak mereka sendiri.
Kesatuan ini bebas daripada kawalan kerajaan atau mana-mana pihak luar. Ini memastikan suara pelajar tidak ditapis atau disekat oleh mana-mana pihak berkepentingan. Ia juga bukan sekadar platform konsultatif tetapi memiliki kuasa untuk mengambil tindakan langsung, seperti melancarkan kempen nasional, membuat advokasi dasar, dan mendesak kerajaan melalui saluran undang-undang atau demonstrasi aman.
Dengan autonomi penuh, kesatuan ini dapat bergerak dengan lebih pantas tanpa perlu melalui lapisan birokrasi seperti dalam MPPK. Kesatuan ini memberi kuasa kepada mahasiswa untuk memperjuangkan hak mereka sendiri, bukan bergantung kepada pihak luar seperti kerajaan. Dengan struktur yang lebih fleksibel dan berorientasikan tindakan, kesatuan ini dapat memberi respons segera terhadap isu yang timbul, sama ada di peringkat institusi atau nasional. Kesatuan ini menjadi platform tunggal untuk semua pelajar di Malaysia, memperkukuhkan solidariti mahasiswa dalam memperjuangkan isu bersama.
MPPK telah gagal menjadi platform yang benar-benar membela dan memperjuangkan hak mahasiswa. Dalam era di mana suara pelajar perlu lebih lantang dan tindakan lebih segera diperlukan, MPPK tidak lagi relevan. Menggantikan MPPK dengan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan adalah langkah yang lebih tepat untuk memastikan mahasiswa di Malaysia mempunyai platform yang efektif, bebas, dan demokratik.
Sekiranya ada pihak yang ingin menafikan ketidakcekapan MPPK, satu persoalan perlu dijawab oleh pihak terbabit: Apakah pencapaian MPPK sepanjang kewujudannya? Gerak kerja MPPK pun jarang dilaporkan kepada mahasiswa. Mana mahasiswa tidak bengang?
Sudah tiba masanya mahasiswa mengambil alih kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri, tanpa terikat dengan struktur lama yang tidak lagi berfungsi. Hapuskan MPPK, hidupkan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan!
Catatan: Karya ini bukan bertujuan untuk menyerang mereka yang berada dalam MPPK pada ketika ini, sebaliknya struktur organisasi itu sendiri. Mereka yang enggan mengakui hakikat bahawa badan ini dalam bentuknya yang sedia ada telah terbukti gagal untuk memperkasakan mahasiswa, adalah mereka yang bukan benar-benar berhasrat untuk melaksanakan perubahan.
Tambahan
Baru-baru ini, pihak MPPK telah mengeluarkan kenyataan berkenaan Himpunan Rakyat Benci Rasuah, dimana mereka mengklarifikasikan bahawa mereka tidak menghalang perhimpunan tersebut, namun kesal kerana ada kes pijak logo universiti.
Persoalan pokok yang perlu ditanya adalah, adakah ia dengan atau tanpa sengaja? Perlu ditegaskan bahawa insiden tersebut berkemungkinan besar berlaku di luar kawalan semua pihak, termasuk orang yang dikatakan memijaknya. Dalam pada itu, saya merasakan adalah wajar untuk MPPK menghubungi pihak penganjur terlebih dahulu bagi menentusahkan apa yang sebenarnya berlaku sebelum mengeluarkan kenyataan pra-matang sebegitu.
Hal ini juga membantu menjustifikasikan pelupusan MPPK yang sudah usang. Saya tak tahu siapa yang mengarahkan kenyataan ini dibuat, memandangkan badan ini lazim menjadi lidah elitis. Akan tetapi, ada keperluan untuk menekankan hipokrasi pihak ini yang kononnya menekankan perihal adab, namun diam membisu apabila berlakunya amalan buli dan ableisme secara terang-terangan dan meluas dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Kenyataan ini juga adalah contoh utama pemikiran sang penguasa dan penyokong mereka yang selektif soal mendefinisikan perkara yang menjatuhkan reputasi universiti. Tindakan sebegini yang belum tentu dilakukan secara sengaja dan tiada arahan pun untuk berbuat demikian daripada mana-mana pihak dikatakan merosakkan imej institusi pendidikan tinggi, namun tidak tindakan lain seperti buli, intimidasi, fitnah, kronisme, dan sebagainya.
Mereka yang defensif mungkin akan mendakwa bahawa mereka menentang semua bentuk salah laku. Persoalannya, sejauh manakah mereka benar-benar mengambil tindakan yang konsisten? Mahasiswa tidak perlu kuliah moral daripada mereka yang membisu ketika keadilan diinjak-injak.
Di atas ada saya selitkan nota bahawa seruan untuk menggantikan MPPK dengan Kesatuan Mahasiswa Kebangsaan bukanlah serangan peribadi terhadap mereka yang berada dalam badan tersebut. Namun begitu, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa memang wujud golongan yang memang bermasalah di dalam badan itu. Tidak semua, tetapi kebanyakan.
Kepada mereka ini, saya mahu kalian menjawab satu soalan: Di manakah kalian sewaktu isu rasuah bermaharajalela dan menjejaskan mahasiswa? Kenapa hanya bersuara apabila logo universiti dipijak, tetapi tidak apabila isu besar seperti rasuah berleluasa? Apakah ada agenda tersembunyi di sebalik penciptaan naratif sebegini untuk isu yang sangat kecil jika hendak dibandingkan korupsi yang menjalar di negara ini, sehingga menyebabkan nama Malaysia busuk di pentas antarabangsa?
Edit: Dilampirkan merupakan rakaman video yang mengandungi bukti di mana mereka yang terpijak logo universiti diminta untuk memperbetulkan kedudukan mereka dan mengalihkan kain rentang yang mengandungi logo tersebut ke hadapan (Pada minit 46:56).
Sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada pihak yang memfitnah melulu berkenaan isu ini. Sangat ironi memandangkan mereka mendakwa bahawa mereka menjunjung tinggi adab dan tatasusila.
No comments:
Post a Comment