Saturday, 31 August 2024

HARI MALAYA

Apabila kita membincangkan sejarah Malaysia, istilah "Hari Merdeka" sering kali dikaitkan dengan perayaan kemerdekaan negara dari penjajahan British. Walau bagaimanapun, perayaan ini sebenarnya lebih merujuk kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau the Federation of Malaya pada 31 Ogos 1957, dan bukan Malaysia secara keseluruhannya.

Perbezaan ini sering mengaburkan garis pemisah antara kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia yang berlaku pada 16 September 1963. Untuk menangani kekeliruan ini, konsep Hari Malaya muncul sebagai satu peringatan yang tepat dan berbeza, yang membantu memperjelas detik-detik penting dalam sejarah negara kita.

Lahirnya Sebuah Negara: 31 Ogos 1957

Tanggal 31 Ogos 1957 menandakan hari Tanah Melayu, sebuah persekutuan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu, mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Tarikh ini begitu terukir dalam ingatan kolektif rakyat Malaysia kerana ia melambangkan kemenangan rakyat dalam perjuangan mereka untuk pemerintahan sendiri dan kedaulatan negara. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diakui bahawa kemerdekaan ini adalah khusus untuk Tanah Melayu—sebuah entiti politik yang berbeza daripada Malaysia yang kita kenali hari ini.

Istilah "Hari Merdeka" secara tradisional digunakan untuk merujuk kepada hari bersejarah ini, tetapi seiring berjalannya waktu, penggunaannya telah meluas ke seluruh negara, menyebabkan kekeliruan sejarah. Malaysia, sebagai sebuah negara yang bersatu, tidak wujud sehingga 16 September 1963, apabila Tanah Melayu, bersama Sabah, Sarawak, dan Singapura (yang kemudian berpisah pada tahun 1965), membentuk Persekutuan Malaysia.

Kenapa Hari Malaya?

Memperkenalkan istilah Hari Malaya mempunyai beberapa tujuan:

1. Ketepatan Sejarah: Hari Malaya dengan jelas mengenal pasti kemerdekaan Tanah Melayu, membezakannya daripada pembentukan Malaysia. Ini membantu dalam mendidik generasi akan datang mengenai peristiwa sejarah khusus yang membentuk negara ini.
  
2. Signifikansi Budaya: Dengan mengiktiraf Hari Malaya, kita memberi penghormatan kepada pengorbanan dan perjuangan mereka yang berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Ia memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada momen penting dalam sejarah kita.

3. Perpaduan Nasional: Merayakan Hari Malaya bersama-sama dengan Hari Malaysia (16 September) menekankan sejarah yang berbeza tetapi saling berkait antara wilayah-wilayah yang kini membentuk Malaysia. Ia memperkukuhkan idea bahawa kekuatan Malaysia terletak pada asal-usulnya yang pelbagai dan masa ini yang bersatu.

Merayakan Hari Malaya

Untuk mempromosikan konsep Hari Malaya, beberapa pendekatan boleh diambil:

- Inisiatif Pendidikan: Sekolah dan universiti boleh memasukkan Hari Malaya dalam kurikulum mereka, dengan fokus pada sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia selepas itu.
  
- Acara Awam: Acara peringatan boleh dianjurkan pada 31 Ogos, yang memberi tumpuan khusus kepada perjalanan Tanah Melayu menuju kemerdekaan, dengan persembahan budaya, pameran sejarah, dan perbincangan.

- Representasi Media: Media boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan Hari Malaya dengan menghasilkan dokumentari, artikel, dan program yang mengkaji sejarah Tanah Melayu dan kepentingannya kepada Malaysia moden.

Kesimpulan

Pengenalan Hari Malaya menawarkan cara untuk menghormati sejarah kita dengan lebih tepat dan menghargai peristiwa-peristiwa khusus yang membentuk negara kita. Dengan membezakan dengan jelas antara kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia, kita dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang masa lalu kita dan rasa identiti nasional yang lebih kuat. Pada masa kita terus meraikan kedua-dua Hari Malaya dan Hari Malaysia¹, marilah kita mengingati jalan yang unik yang membawa kepada kelahiran negara kita dan kepentingan setiap langkah dalam perjalanan kita menuju perpaduan dan kemerdekaan.

¹Hari Malaysia sewajarnya disambut sebagai Hari Kebangsaan Malaysia yang sebenar.

Friday, 30 August 2024

PINDA JADUAL KESEMBILAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Berita terkini. Malaysia telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi acara Sukan SEA 2027. Ia akan dianjurkan dengan kerjasama negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebagai hos bersama. 

Beberapa pengguna media sosial memberi reaksi negatif berkenaan berita ini, dengan mempersoalkan tindakan kerajaan menerima tanggungjawab ini, meskipun mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai begitu banyak dana untuk membiayai sistem kesihatan awam¹.

Persoalan ini dijawab oleh seorang pengguna media sosial lain yang menekankan bahawa ia dianjurkan dengan kerjasama dan dana daripada kerajaan-kerajaan negeri juga².

Hal ini menimbulkan satu persoalan di fikiran aku: Kalau mereka boleh sumbangkan dana untuk anjurkan acara sukan, mengapa tidak sumbangkan dana untuk memantapkan sistem kesihatan awam negara?

Di Malaysia, buat masa ini, bidang kuasa berkenaan pendidikan dan kesihatan berada di bawah Senarai Persekutuan. Bagi merealisasikan idea aku ini, adalah diperlukan untuk Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memindahkan pendidikan dan kesihatan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama. Ini bermakna, tanggungjawab untuk mengurus dan membiayai dua sektor kritikal ini akan dikongsi antara kerajaan pusat dan negeri, membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat dan pengurusan yang lebih cekap.

Hal ini bukan sahaja akan mengurangkan beban kerajaan pusat, malah akan membantu menambah baik sistem pendidikan dan kesihatan negara.

Tujuan memindahkan mereka kepada Senarai Bersama dan bukannya Senarai Negeri adalah untuk membenarkan kerajaan pusat membantu negeri yang kurang berkemampuan seperti negeri-negeri Pantai Timur. Manakala, negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang sewajarnya menetapkan sebahagian daripada belanjawan mereka bagi tujuan tersebut.

Cadangan untuk memindahkan kuasa pendidikan dan kesihatan kepada Senarai Bersama bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki dua sektor kritikal ini, tetapi juga untuk memastikan bahawa kerajaan pusat dan negeri dapat bekerjasama secara efektif. Langkah ini mencerminkan keperluan untuk memperbaharui struktur pemerintahan yang ada agar lebih sesuai dengan realiti semasa, demi kepentingan rakyat dan negara. 

Thursday, 29 August 2024

MENGUPAS MUKADIMAH RUKUN NEGARA

"Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan..."

Itu merupakan petikan lirik daripada lagu dendangan Allahyarham Dato' Sudirman Arsyad, antara seniman terulung negara.

Tarikh ini bukan sahaja merupakan tarikh keramat di mana sebuah negara berdaulat bernama Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, malah ia juga merupakan tarikh pengisytiharan Rukun Negara, iaitu pada Hari Kebangsaan bagi tahun 1970. Ia diproklamasikan sebagai falsafah kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 di Dataran Merdeka.

Rukun Negara merupakan hasil usaha Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dikepalai oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Tun Abdul Razak Hussein. Ia diformulasi sebagai tindak balas kepada detik hitam dalam sejarah negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

Pembikinan Rukun Negara turut melibatkan tokoh-tokoh seperti:

1. Tun Tan Siew Sin, bekas Menteri Kewangan
2. Tan Sri Khoo Khay Kim, sejarawan
3. Tun Muhammad Ghazali Shafie, diplomat
4. Syed Hussein Alatas, ahli sosiologi 

"Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar, akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut, berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan 
4. Kedaulatan Undang-undang 
5. Kesopanan dan Kesusilaan"

Disenaraikan merupakan prinsip-prinsip Rukun Negara. Namun begitu, tahukah anda bahawa ini bukanlah teks Rukun Negara yang penuh?

Ya, teks yang dibaca oleh pengawas (termasuk aku) semasa di bangku persekolahan dahulu bukan merupakan teks penuh Rukun Negara.

Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian kedua ialah bahagian di atas, manakala bahagian yang satu lagi dipanggil mukadimah, dan mengandungi "cita-cita" yang dimaksudkan.

Berikut merupakan teks mukadimah Rukun Negara:

"Bahawasanya Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya 
2. Memelihara satu cara hidup demokratik 
3. Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dengan pelbagai corak
5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden"

Nisbah cita-cita dan prinsip-prinsip adalah sama rata iaitu 5:5.

Penulisan kali ini akan mengupas lebih dalam cita-cita yang digariskan.

Pertamanya, cita-cita yang pertama. Kata kuncinya ialah perpaduan. Perpaduan merupakan tiang seri kepada keharmonian dalam sesebuah negara. Cita-cita ini boleh dicapai dengan mengaplikasikan prinsip kedua dan kelima Rukun Negara. 

Rakyat kita sering menuduh golongan tertentu tidak menghormati atau melanggar Rukun Negara, tanpa menyedari bahawa mereka telah melanggarnya sendiri. 

Contohnya adalah mereka yang tidak mengaplikasikan prinsip kelima, dengan menggunakan kata-kata cerca berkait bangsa seperti K*ling, Jakun, Sakai dan sebagainya yang merujuk kepada bangsa India, suku kaum Orang Asli dan lain-lain. Hal ini bertentangan dengan seruan untuk bersikap sopan dan menjaga tatasusila, seterusnya menjadi penghalang untuk kita mencapai cita-cita berkaitan perpaduan. Tidak lupa juga situasi di mana sesetengah kaum dinafikan daripada menyewa rumah mahupun menyambung pengajian ke peringkat tertiari. Politik identiti yang kerap dipromosikan oleh beberapa pihak pula boleh memperbesar jurang antara kumpulan etnik dan agama. Misalnya, penggunaan sentimen perkauman dalam kempen politik sering kali menyebabkan ketegangan dan konflik dalam masyarakat.

Seterusnya, cita-cita yang kedua. Cita-cita ini terhalang daripada menjadi kenyataan kerana ada yang melanggar prinsip ketiga: Keluhuran Perlembagaan. Akta Hasutan yang diperdebatkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terus digunakan untuk membisukan seteru politik mahupun orang biasa, sesuatu yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara demokrasi. Kebebasan bersuara dan berhimpun pula secara kerap dinafikan dan dipersoalkan. Belum cerita isu rasuah yang sangat mengancam demokrasi di negara kita.

Cita-cita ketiga pula berkait rapat dengan pengaplikasian prinsip kedua terakhir iaitu Kedaulatan Undang-undang. Kita gagal dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, dengan undang-undang yang dibuat seolah-olah hanya untuk orang miskin, dan orang kaya ibarat kalis undang-undang. Eksekusi undang-undang juga berbeza antara darjat, dengan rakyat biasa yang melakukan jenayah kecil seperti mencuri tin sardin kerana terdesak dan kebuluran dipenjarakan, manakala golongan bangsawan yang melakukan jenayah mahabesar diberikan pengurangan hukuman.

Bagi cita-cita keempat dan kelima, aku menebalkan perkataan 'liberal' dan 'progresif.'

Liberal merupakan suatu perkataan yang agak sensitif di Malaysia. Disebabkan oleh amalan membaca hanya bahagian kedua Rukun Negara sewaktu kita sekolah dulu, apabila mereka tahu tentang kewujudan perkataan ini dalam Rukun Negara, ada pihak yang menuduh bahawa ia ditambah oleh kerajaan terkini. Walhal, ia sudah wujud sejak Rukun Negara dirangka pada tahun 1970. Oleh itu, secara teknikalnya, sesiapa yang agak anti dengan liberalisme, juga tidak menghormati Rukun Negara. Mereka ini pula jika diminta untuk mendefinisikan perkataan tersebut, majoriti tidak akan mampu berbuat demikian. Mereka yang dimaksudkan ini terutamanya ialah golongan konservatif.

Bercakap pasal konservatisme pula, ideologi ini sebenarnya tidak sejajar dengan cita-cita kelima, yang menekankan ideologi progresifisme. Hakikatnya, parti-parti politik yang memegang ideologi politik berbentuk konservatif sewajarnya ditolak oleh rakyat memandangkan ia tidak selari dengan Rukun Negara. Ini termasuklah parti yang berteraskan kaum seperti UMNO, BERSATU, PEJUANG, serta parti bertunjangkan agama seperti PAS. Parti-parti politik ini mempunyai ideologi konservatif yang menolak perubahan atau reformasi, seterusnya membantutkan usaha mewujudkan sebuah negara yang progresif. 

Demikianlah sedikit sebanyak kupasan perihal mukadimah Rukun Negara. 

Rukun Negara adalah panduan penting yang mendasari aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan progresif. Walaupun cita-cita ini jelas dan relevan, pelaksanaannya menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.

Namun, dengan komitmen bersama dan tindakan yang berpandukan prinsip Rukun Negara, Malaysia boleh mengatasi cabaran-cabaran ini. Pendidikan yang lebih baik, reformasi sosial dan politik, serta dialog terbuka mengenai nilai-nilai liberal dan kemajuan teknologi adalah kunci kepada kejayaan ini.



Tuesday, 27 August 2024

INSURANS KESIHATAN MENTAL

Aku tertarik dengan satu artikel Sinar Harian yang bertajuk "Insurans kesihatan mental mampu tampung kos rawatan"¹

Buat masa ini, kesihatan mental tidak diliputi dalam perlindungan insurans, membuatkan ramai yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan kerana kos yang agak tinggi. Ramai individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan, atau gangguan bipolar, menghadapi kesulitan dalam mendapatkan rawatan yang sesuai dek kerana isu ini².

Sebagai pesakit mental, aku bersetuju. Meskipun aku mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kosnya tetap tinggi. Aku perlu membayar RM5 setiap kali janji temu. Itu belum kira kos pengangkutan dan kos kehilangan gaji akibat terpaksa mengambil cuti atau masa keluar. 

Dengan meningkatnya kesedaran mengenai isu kesihatan mental, adalah wajar agar insurans meliputi servis kesihatan mental seperti sesi terapi dan kaunseling, penjagaan psikiatri dan sebagainya.

Insurans kesihatan mental menjamin akses kepada rawatan buat mereka yang memerlukannya tanpa perlu bimbang akan kos yang tinggi.

Kos rawatan untuk penyakit mental di pusat rawatan swasta begitu tinggi. Kos rawatan yang tidak diliputi oleh insurans boleh menjadi beban yang besar, terutamanya apabila rawatan memerlukan tempoh yang panjang atau sesi terapi yang kerap. Di pusat rawatan kerajaan pula, wujud isu seperti kekurangan pakar dan waktu menunggu yang lama bagi pesakit.

Oleh hal yang demikian, digesa agar pihak kerajaan terutamanya Jemaah Menteri untuk meluluskan usul yang dijangka akan dibawa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)³ iaitu usul untuk memasukkan kesihatan mental dalam perlindungan pakej insurans kesihatan.

Monday, 26 August 2024

ISU PENERJUN DAN GIMNAS WANITA TERENGGANU

Tahukah anda bahawa Kerajaan Negeri Terengganu melarang penerjun dan gimnas wanita mereka daripada menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak baru-baru ini¹?

Hal ini secara jelas menunjukkan manifestasi nyata daripada diskriminasi yang berterusan terhadap wanita di negara ini. 

Isu aurat dalam sukan ini bukan isu baru dan larangan-larangan yang dikenakan bukannya berkisar pasal aurat sangat pun. Ia lebih kepada hendak mengawal tubuh wanita. Sama seperti bola sepak. Wanita tidak boleh main bola sepak kerana isu aurat. Tetapi, lelaki yang memakai seluar pendek bebas bermain bola sepak tanpa sebarang kecaman.

Ini menunjukkan bahawa isu aurat yang sering dijadikan alasan sebenarnya lebih kepada usaha sistemik untuk mengawal tubuh wanita, bukannya untuk melindungi maruah atau moral masyarakat. Apabila aurat lelaki tidak dianggap sebagai isu besar dalam sukan, tetapi aurat wanita dijadikan alasan untuk menafikan hak mereka untuk bersukan, jelas sekali bahawa ini adalah satu bentuk diskriminasi yang tidak berasas dan tidak adil.

Kebebasan wanita untuk bersukan dan menyertai aktiviti yang mereka minati adalah sebahagian daripada hak asasi manusia yang seharusnya dilindungi. Dengan melarang penyertaan wanita dalam sukan, kerajaan negeri Terengganu bukan sahaja menyekat kebebasan mereka tetapi juga mencabul hak mereka untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang yang mereka ceburi. Ini adalah satu bentuk diskriminasi yang mencabar prinsip keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya menjadi asas dalam pembentukan dasar-dasar negara.

Selain itu, larangan ini juga mempunyai implikasi yang lebih luas terhadap perkembangan sukan wanita di Malaysia. Dengan menyekat penyertaan wanita dalam acara sukan, kita bukan sahaja menafikan peluang mereka untuk bersaing dan meraih kejayaan di peringkat kebangsaan, tetapi juga menyekat perkembangan bakat-bakat muda yang mungkin dapat membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Kesannya, Malaysia mungkin kehilangan ramai atlet wanita berbakat yang mampu mengharumkan nama negara.

Tindakan kerajaan negeri Terengganu juga mendedahkan hipokrasi yang wujud dalam cara kita menangani isu aurat di peringkat tempatan berbanding dengan tindakan yang kita kritik di peringkat global. Kita sering kali mengkritik negara-negara Barat, seperti Perancis, kerana tindakan mereka mengawal cara wanita Muslim berpakaian, seperti larangan terhadap pemakaian hijab di tempat awam. Namun, kita sendiri tidak segan silu melakukan perkara yang hampir serupa dengan melarang wanita daripada menyertai sukan atas alasan aurat.

Dalam konteks ini, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah kita benar-benar memperjuangkan hak wanita untuk memilih, atau adakah kita hanya menegakkan satu set peraturan yang berpihak kepada budaya patriarki? Jika kita marah dengan tindakan Perancis yang mengawal pakaian wanita Muslim, kita seharusnya sama-sama marah dengan tindakan di dalam negara kita yang mengawal tubuh wanita atas nama aurat. Kedua-dua tindakan ini, walaupun berlaku dalam konteks yang berbeza, sebenarnya adalah bentuk penindasan yang sama, di mana wanita dipaksa untuk mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tanpa diberi ruang untuk membuat pilihan sendiri.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin hak kesamarataan dan melarang sebarang bentuk diskriminasi berdasarkan jantina. Larangan terhadap atlet wanita Terengganu ini boleh dilihat sebagai satu pencabulan terhadap hak tersebut, dan ia seharusnya dicabar di mahkamah. 

Seperti yang dicadangkan oleh seorang pengguna Twitter², atlet wanita yang terkesan seharusnya mempertimbangkan untuk menyaman kerajaan negeri atas dasar diskriminasi gender. Tindakan ini bukan sahaja penting untuk melindungi hak mereka, tetapi juga sebagai satu langkah penting untuk menyedarkan masyarakat bahawa diskriminasi jantina tidak boleh diterima, tidak kira atas alasan apa sekalipun.

Sukan sepatutnya menjadi medan untuk memperkasakan individu, tidak kira jantina, dan bukannya menjadi alat untuk menindas atau mengawal tubuh mereka. Jika kita benar-benar ingin mencapai kemajuan dalam sukan dan masyarakat, kita perlu berani untuk menolak diskriminasi dan memperjuangkan keadilan untuk semua, termasuk wanita yang sering kali menjadi mangsa dalam isu-isu seperti ini.

BERHENTI KITAR SEMULA PESARA

Di Malaysia, bagi sesetengah individu, bersara bukanlah "bersara" yang sebenar. Mereka termasuklah penjawat awam berpangkat tinggi, serta ahli politik. Ketiadaan had umur bagi jawatan tertentu, terutamanya dalam arena politik, mengakibatkan mereka yang telah bersara ini dikitar semula.

Antara hujah yang dikemukakan termasuklah kekurangan bakat muda, sehinggalah kepakaran mereka masih diperlukan. Jika kepakaran mereka masih diperlukan, mereka boleh sahaja berperanan sebagai penasihat tanpa perlu dilantik memegang jawatan penting yang sepatutnya diberikan kepada bakat muda. Tipulah kalau nak kata Malaysia tiada bakat muda. Alasan sebegitu hanya menunjukkan bahawa kita (mereka yang dikitar semula tersebut) gagal melahirkan generasi pelapis. Generasi pelapis pun gagal lahirkan, macam mana rakyat nak percaya bahawa mereka betul-betul pakar dalam sesuatu bidang?

Baru-baru ini, mantan Ketua Setiausaha Negara yang telah bersara, Tan Sri Mohd Zuki Ali diumumkan sebagai Pengerusi KWSP yang baharu¹. Amalan ini bukan amalan baru. Ramai sahaja penjawat awam mahupun ahli politik yang dilantik merupakan pesara. Misalnya, ramai pesara guru atau tentera yang bertanding dalam pilihan raya. 

Hal ini bukan sahaja ibarat memandang rendah terhadap belia dan orang muda, namun akan membantutkan usaha reformasi sesuatu organisasi. Kita mendambakan sentuhan orang muda dalam organisasi-organisasi penting negara. Orang muda mungkin akan kurang motivasi dek isu ini, seterusnya tidak melibatkan diri dalam industri tersebut langsung. Ini kerana mereka merasakan bahawa peluang untuk mereka menjawat jawatan sebegitu adalah sukar. Ini juga boleh menyumbang kepada penghijrahan cendekiawan atau brain drain.

Mengitar semula orang lama akan menghalang kemasukan idea baru, menjurus kepada genangan idea. Ia juga akan mewujudkan persepsi dalam kalangan masyarakat akan wujudnya budaya kronisme dalam kerajaan, yang kemudiannya menyebabkan kehilangan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.

Bagi menyelesaikan isu ini, dicadangkan agar satu polisi dirangka di mana pesara tidak boleh dilantik untuk memegang jawatan sebegini. Jika perlu sekalipun, pelantikan tersebut perlulah diluluskan oleh Parlimen terlebih dahulu.

Penetapan had umur atau had tempoh memegang jawatan juga boleh diteroka. Misalnya, seseorang itu tidak boleh melebihi 65 tahun untuk dilantik memegang jawatan penting. Mereka yang dilantik pula tidak boleh memegang jawatan melebihi 10 tahun. Ini bagi menjamin kesegaran kepimpinan sesebuah organisasi.

Sunday, 25 August 2024

SEKOLAH VERNAKULAR BUAT BUMIPUTERA SAHAJA?

Kembali lagi kita dalam rancangan "Politikus Cadangkan Idea Karut Apa Hari Ini?"

Dalam edisi kali ini, kita akan membincangkan cadangan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Ahmad Zahid Hamidi agar sistem sekolah rendah seakan-akan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diwujudkan. Dalam erti kata lain, dia mencadangkan agar suatu sekolah vernakular khas buat orang Bumiputera ditubuhkan. Agak pelik idea sebegini datang daripada individu dari sebuah parti politik yang anti dengan sekolah vernakular, walhal sekolah vernakular menerima saja pelajar daripada bangsa lain. 

Pendek kata, idea dia adalah penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (B). B adalah untuk Bumiputera. Berbeza dengan SJK (C) dan (T), sekolah ini tidak akan menerima pelajar dalam kalangan bukan Bumiputera.

Rasanya aku tak perlu cakap banyak. Idea ni karut lagikan tak masuk akal. Daripada sibuk buat sekolah sebegini, baik fokuskan penambahbaikan ekosistem sekolah kebangsaan yang dah semakin teruk sehinggakan orang Melayu pun ambil keputusan untuk hantar anak mereka ke SJK mahupun sekolah antarabangsa.

Tak cukup dengan universiti khas Bumiputera, nak pula sekolah rendah khas Bumiputera. Tak payah sembang soal hak keistimewaan. Kalian juga yang tentang sebarang bentuk sekolah yang berasaskan bangsa (walhak SJK berasaskan bahasa iaitu Tamil dan Cina).





NAIKKAN CAJ RAWATAN RM1?

Masyarakat kita ini pelik. Apabila pelarian yang memegang kad UNHCR diberikan diskaun 50% daripada caj rawatan warga asing, mereka bising. Hujah mereka ialah diskaun hanya layak diberikan kepada warganegara Malaysia (yang memang sudah menikmati caj murah). Akan tetapi, golongan sebegini jugalah yang menyokong cadangan untuk menaikkan caj rawatan di Klinik Kesihatan dan yang seangkatan dengannya. Pelik bin Janggal.

Sistem penjagaan kesihatan universal bukanlah sesuatu yang negatif. Malah, ia diadaptasi oleh negara-negara termaju di dunia, seperti kelompok negara Nordik yang terdiri daripada Denmark, Finland, Norway dan Sweden. Negara-negara ini berada di kedudukan tertinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia.

Antara hujah yang sering diulang oleh mereka adalah kerana sistem kesihatan awam negara kini mempunyai masalah dana. Oleh itu, adalah wajar untuk caj rawatan dinaikkan. Hujah ini sebahagiannya benar dan aku sedikit bersetuju. Namun begitu, tahukah anda bahawa langkah ini takkan mendatangkan kesan yang besar jikalau caj rawatan yang dikutip tidak dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia?

Di Malaysia, segala hasil kerajaan akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun yang diberi nama Akaun Wang Disatukan atau Consolidated Fund. Sekiranya hasil yang dikutip daripada caj rawatan tersebut tidak dikembalikan semula kepada KKM semasa pembentangan belanjawan tahunan, tiada guna pun.

Langkah yang lebih bijak adalah untuk menggesa kerajaan agar menyalurkan lebih banyak dana kepada KKM melalui bajet tahunan. Negara kita bukannya tiada duit. Namun, duit disalurkan kepada perkara yang tidak/kurang penting. 

Sistem kesihatan awam negara mengalami ancaman bukan kerana ianya percuma (ini tidak betul, warganegara masih perlu membayar caj rawatan, dan warga asing masih perlu membayar caj rawatan yang tinggi), tetapi kerana kerajaan tidak menyalurkan dana yang mencukupi kepada KKM. Seperti yang disebutkan sebelum ini, banyak saja negara yang mengadaptasi sistem ini. Mereka berjaya berbuat demikian kerana kerajaan menyalurkan dana yang cukup. Dana pula dikutip daripada rakyat mengikut pendapatan mereka. Tapi di Malaysia, orang kaya pun mengelat daripada membayar cukai. 

Menaikkan caj kesihatan hanya akan membebankan mereka yang miskin. Seolah-olah mengatakan bahawa orang miskin dilarang sakit. Perlu ditekankan bahawa penyakit berpunca daripada pelbagai faktor dan bukannya hanya pesakit yang tak reti menjaga kesihatan.

Jika kemaruk sangat nak suruh naikkan caj rawatan pun, kemukakanlah cadangan yang cerdik sikit. Misalnya, naikkan caj rawatan mengikut tangga pendapatan. Semakin tinggi pendapatan seseorang, semakin tinggi caj yang perlu mereka bayar. 

Kemudian, mai pula hujah lain. Kata mereka, ramai yang salah gunakan kemudahan tersebut, seperti pergi ke jabatan kecemasan walaupun tidak ada kecemasan. Kebanyakan contoh yang mereka kemukakan tidak langsung menjurus kepada penyalahgunaan pun. Kebanyakan orang miskin hanya kurang pendedahan. Dan kalau mereka merasakan bahawa perkara itu mencemaskan, siapa kita untuk menafikan perasaan mereka? Nak suruh mereka ke klinik, klinik mana saja yang buka pada waktu malam? Nak suruh mereka hanya makan Panadol saja, kosnya pun bukannya murah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang susah. Jika benarlah sekalipun ada yang betul-betul menyalahgunakan kemudahan ini, wajarkah kita menghukum semua orang akibat perbuatan beberapa orang individu? Isu ini agak peribadi bagi aku memandangkan aku sendiri pun kadangkala tak pergi janji temu kerana tiada wang.

Berbicara pasal wang, jangan ingat kos rawatan di negara ini hanya RM1 saja ya. Pengalaman aku sendiri, kos untuk satu sesi rawatan saja boleh mencecah puluhan ringgit. Caj rawatan untuk bertemu dengan pakar pun bukan RM1 ya, tapi RM5. Ini tak termasuk kos pengangkutan, kos kehilangan gaji akibat cuti dan sebagainya. Ada yang perlu hantar anak ke pusat jagaan semasa mereka pergi ke janji temu. Itu makan kos juga. Disebabkan ini jugalah ramai yang tak nak dapatkan rawatan walaupun nampak macam dah cukup murah. Itupun tergamak nak naikkan lagi kos. Itupun ada hati nak kata penjagaan kesihatan di negara ini percuma. 

Yang peliknya, ada juga doktor yang kongsi pemikiran sama. Aku faham kau underpaid, tapi cadangan yang kau sokong ni takkan manfaatkan kau pun. Silap haribulan, dana yang dikutip tu akan digunakan untuk naikkan gaji politikus. 

Berbalik semula kepada isu salah guna jabatan kecemasan, ada juga doktor yang beranggapan sama. Persoalannya, mana tahu pesakit salah guna dengan niat? Jangan sesuka hati ingat pesakit akan datang ke jabatan kecemasan kalau tiada rasa cemas¹. Nak pergi ke jabatan kecemasan tu pun makan masa, tenaga dan wang untuk kos pengangkutan. Yakinkah anda mereka dengan sengaja dan dengan niat, menyalahgunakan jabatan kecemasan? Anda tu doktor tau. Bukan tugas anda untuk menghakimi pesakit. Kalau rasa isu ini perlu diselesaikan, bisinglah pada orang atasan anda. Bukannya sebarkan kebencian terhadap orang miskin! Jangan menyalak pada pokok yang salah! 

Sementara kalian sibuk mengecam mereka yang juga mangsa keadaan, mereka yang berada di atas enak menggoyangkan kaki. Mereka juga ada yang menerima gaji yang lebih tinggi berbanding pegawai perubatan.

Solusi sebenar bagi segala isu ini adalah:

1. Semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi cukai pendapatan.
2. Sekurang-kurangnya 5% daripada KDNK hendaklah disalurkan kepada KKM. 

Perbincangan mengenai isu ini juga menyebabkan ramai yang mula bersuara mengenai pengalaman mereka di jabatan kecemasan, dengan ada yang ditolak kerana kononnya perkara remeh, tapi akhirnya dibuktikan sebaliknya. Jadi aku rasa daripada orang sibuk menuduh orang salah guna jabatan kecemasan tanpa bukti kukuh, baik fokuskan isu ini yang lagi mengancam nyawa.

Cakap pasal bukti, kajian polisi kesihatan menunjukkan bahawa orang miskin ni jangankan salah guna jabatan kecemasan, rawatan pun mereka tak mahu dapatkan sebab tak mampu. Ini data sebenar ya. Orang miskin takut untuk dapatkan rawatan kerana stigma sosial.

Kebanyakan tuduhan penyalahgunaan ini sebenarnya tidaklah teruk mana. Bukanlah pesakit sampai datang ke jabatan kecemasan setiap hari pasal isu sama. Lagi satu, bukan ke boleh laporkan polis kes-kes sebegini? Kalau tak boleh, patut bolehkan ia. Kalau dah boleh, kenapa tak laporkan? Kenapa perlu hukum orang ramai yang tak tahu apa akibat tindakan segelintir individu? 

Berbalik kepada isu pesakit yang sebenarnya kritikal ditolak oleh jabatan kecemasan, ada istilah untuk fenomena ini yang dinamakan medical gaslighting²,di mana para doktor yang merasakan mereka serba tahu, tidak menghiraukan keadaan pesakit. Ramai golongan wanita yang menjadi mangsa. Itu belum cerita pasal bias bangsa, darjat dan sebagainya. Apabila pesakit datang ke jabatan kecemasan ditolak, tapi apabila tahu pesakit ada ahli keluarga yang juga ada latar belakang perubatan, terus terima. Adakah ini bukti bahawa doktor tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna?



Friday, 23 August 2024

WARGA ASING JUGA BAYAR CUKAI?

Di Malaysia, wujud satu sikap di mana kita merasakan bahawa seseorang itu layak mendapat kemudahan hanya apabila dia merupakan seorang warganegara Malaysia, tidak kira kaya atau miskin, dan bukan atas dasar keperluan. Antara hujah yang digunakan oleh penyebar naratif ini adalah kerana warga asing tidak membayar cukai.

Mitos ini bukan saja salah malah berniat jahat. Ia boleh digelar sebagai satu bentuk disinformation, di mana maklumat palsu disebarkan dengan tujuan untuk mempengaruhi pendapat umum dan mengaburkan kebenaran. 

Cukai di Malaysia ada banyak, dan tidak terhad kepada cukai pendapatan saja. Aku rasa ramai kena ambil kursus PAD370 memandangkan salah faham berkenaan perkara ini sangat berleluasa. Kita semua (termasuklah warga asing), tanpa kita sedari, menyumbang kepada hasil kutipan cukai negara. Misalnya, apabila kita membeli barang atau menggunakan sesuatu perkhidmatan, akan dikenakan sejenis cukai tidak langsung yang berbentuk regresif diberi nama Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Ia merupakan sejenis consumption tax. Malah, ada yang menyumbang kepada hasil kutipan cukai bentuk ini lebih daripada sumbangan beberapa individu kepada hasil cukai pendapatan. 

Sedikit selingan, adalah menjengkelkan untuk kita menafikan hak asasi manusia kepada golongan tertentu kerana mereka tidak membayar cukai (walhal hakikatnya mereka bayar), namun tidak menafikan hak asasi manusia buat beberapa individu yang telah dibuktikan mempunyai tunggakan cukai pendapatan mencecah RM1 bilion. Malah, mereka ini masih disanjung oleh beberapa individu yang turut menyebarkan naratif percukaian ini.

Selain itu, di Malaysia, kita mempunyai pekerja asing seramai lebih 2 juta orang. Mereka ini bukanlah bekerja saja tanpa menyumbang kepada hasil negara. Mereka juga membeli barang. Dan meskipun gaji yang mereka dapat tidak setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, gaji mereka turut dipotong untuk membayar levi tahunan¹, iaitu suatu bentuk labour tax

Jadi, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa warga asing juga membayar cukai. Levi tahunan ini, bagi seseorang pekerja boleh mencapai sehingga RM2 ribu. Anggaran jumlah kutipan levi tahunan adalah kira-kira RM3 bilion setahun. Levi bagi seseorang pekerja ini melebihi jumlah cukai pendapatan yang dibayar oleh sesetengah rakyat selama setahun. Misalnya, mereka yang bergaji RM6 ribu lebih hanya membayar cukai pendapatan tidak sampai RM200 sebulan. 

Perlu ditekankan juga bahawa tidak semua rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan. Ada antara kita yang mengganggur, kanak-kanak, remaja, warga emas (yang ditanggung pula oleh pencen). Namun, mereka masih menikmati kemudahan warganegara. Sewajarnya, warga asing juga patut menikmati kemudahan seperti warganegara, memandangkan mereka juga menyumbang kepada hasil kerajaan. Tapi, ia tidak berlaku, dan aku separa setuju. Ini kerana ada saja warga asing yang kaya. Cumanya, bagi mereka yang memerlukan dan tidak mampu, gunakanlah hasil kutipan cukai daripada golongan ini untuk "membayar" bil yang tertunggak itu. Akan ada yang mengatakan itu secara teknikalnya warga asing lain membayar bagi warga asing lain. Namun, bukankah itu situasi sama seperti warganegara? Pembayar cukai pendapatan secara hakikatnya membayar bil mereka yang tidak membayar cukai pendapatan.

Sebenarnya terlampau banyak jenis cukai di Malaysia yang kita tak sedar disumbangkan oleh warga asing seperti cukai hartanah. Pelancong juga menyumbang kepada hasil kerajaan dengan melancong di Malaysia. Syarikat antarabangsa membayar cukai korporat. Pelajar antarabangsa di Malaysia membayar yuran pengajian dan banyak lagi. Mustahil tiada sesen pun yang disumbangkan oleh warga asing. Punyalah busuk hati rakyat kita dengan warga asing sampai mereka tak boleh atau enggan melihat kebenaran. Nak label aku penjilat warga asing? Silakan. Nak aku ambil mereka bawa balik rumah? Entah-entah rumah kau pun mereka yang bina. Aku tak bezakan sangat pun warganegara dengan warga asing. Tak diajar dalam Islam untuk membeza-bezakan antara manusia. Kita semua hamba yang hina. Maka, renung-renungkanlah. 

Maka, hujah bahawa warga asing tidak layak untuk mendapatkan kemudahan seperti warganegara Malaysia kerana mereka tidak membayar cukai adalah dengan ini, patah. Aku tidak kisah mereka dikenakan caj warga asing. Tapi, jika ada dalam kalangan mereka yang memerlukan dan tidak mampu, manfaatkanlah hasil kutipan SST dan labour tax untuk membayar bil mereka. Realitinya, tiada wang rakyat yang digunakan dan kita pun menikmati hasil daripada warga asing, bukan sahaja dari segi SST dan levi, malah hasil seperti bangunan, tanaman dan sebagainya.

Seterusnya, tahukah anda bahawa warga asing juga bukanlah semua mereka tidak membayar bil hospital? Mereka yang bayar adalah lebih ramai daripada mereka yang tak bayar. Hasil daripada bayaran oleh warga asing yang diterima oleh kerajaan adalah hampir RM200 juta setahun, menghampiri hasil daripada warganegara. Perlu ditekankan di sini bahawa populasi mereka lebih sedikit dan caj mereka lebih tinggi. Ini juga merupakan lagi satu contoh di mana warga asing menyumbang kepada hasil negara.

Tapi, akan ada pula yang mengatakan bahawa hasil itu semua menjadi hak warganegara. Pula dah? Sekejap kata mereka yang membayar cukai saja layak dapat kemudahan, kini kata walaupun mereka membayar cukai, mereka tak layak dapat kemudahan kerana mereka bukan warganegara? Aku pun tergamam. Tapi, ada saja senario di mana kemudahan diberikan kepada warga asing, seperti kes baru-baru ini. Masa tu tak ramai pula yang pertikaikan warga asing menikmati hasil cukai. Alasan apa pula? Kerana mereka berperangai baik dan akan kembali semula ke negara mereka? Dalil mana yang kalian kutip yang mengatakan hanya orang baik saja yang layak dibantu? Rakyat Malaysia yang jahat pun ada saja yang dapat kemudahan ini. Bercakap pasal kembali semula pula, ada saja dalam kalangan mereka yang tinggal di sini. Mereka ini tak layak dibantu ke? Padahal ada saja yang sokong mereka ini. 

Bantulah mereka yang perlu tanpa mengira apa pun waima perangai, bangsa, kewarganegaraan, umur, latar belakang dan lain-lain. Tidak lokek pun berkongsi rezeki. Jika nak bising pasal isu duit cukai, banyak lagi contoh pembaziran wang cukai rakyat. Untunk membayar hutang 1MDB misalnya. Tak bising pula. Haih masyarakat.

Hakikatnya, tunggakan bil warga asing itu sangat umum. Maka, susah untuk menghakimi mana-mana golongan. Boleh jadi ramai yang culas bayar bil adalah golongan ekspatriat, pelancong dan pelajar asing dan bukannya pelarian mahupun migran. Tunggakan tersebut juga merangkumi tunggakan oleh mereka yang stateless atau tanpa sebarang kewarganegaraan. Mereka ini bukanlah bukan warganegara tapi yang dinafikan hak kewarganegaraannya. Mereka ini bukanlah warga asing tapi rakyat Malaysia sendiri. Mereka lahir dan menetap di sini sejak beberapa generasi tapi tidak mempunyai kewarganegaraan akibat beberapa faktor seperti dokumentasi. Yang banyak terkesan adalah Orang Asli, orang asal dan orang India. Mereka ini tidak boleh bekerja secara sah kerana tidak mempunyai kewarganegaraan. Bayangkan ya. Sedangkan warga asing pun boleh bekerja di Malaysia secara sah. Mereka ini tidak boleh, mengakibatkan mereka tidak mampu membayar bil. Mereka juga dikenakan caj warga asing di fasiliti kesihatan, memandangkan ketiadaan kewarganegaraan. Itu sebabnya bil ini tinggi di Sabah², memandangkan populasi stateless di sana sangat ramai. 

Maka, adalah tidak adil untuk memukul rata semua warga asing, lebih-lebih lagi pelarian dan migran sedangkan tunggakan itu berlaku disebabkan oleh kegagalan kerajaan kita sendiri dalam menyelesaikan isu statelessness. Percayalah, jika selesai, hanya berapa saja tunggakan yang tinggal. Tunggakan tersebut pula boleh dibayar oleh kerajaan bagi pihak warga asing dengan menggunakan hasil kutipan seperti levi tahunan. Sejujurnya, jika mereka tidak menyumbang apa-apa hasil pun, aku rela duit cukai aku digunakan untuk membayar bil mereka yang miskin dan perlu, berbanding golongan kaya. Banyak lagi juga contoh pembaziran cukai sebenar oleh pihak kerajaan, tapi yang dihentam hanyalah "pembaziran" membayar bil warga asing. 

Bercakap mengenai tunggakan ni, ada perbezaan dalam jumlah tunggakan yang dilaporkan. Ada yang mengatakan RM100 juta pada awalnya. Namun, lebih kurang sebulan kemudian, Timbalan Menteri Kesihatan mengatakan bahawa jumlahnya adalah RM40 juta³. Beliau menekankan bahawa angka RM100 juta itu adalah palsu. Tambah beliau, fasiliti kesihatan di Wilayah Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dalam tunggakan bil perubatan yang tidak dibayar. Perlu ditekankan bahawa ini adalah jumlah tunggakan keseluruhan dan bukannya tahunan. Walaupun angkanya masih banyak, bukankah penyebaran berita palsu membuktikan bahawa tujuan utama golongan terpaling pro-warganegara ini adalah untuk menyebarkan kebencian?

Menurut KKM juga, warga asing dari negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jerman, Finland, Singapura dan Jepun juga tidak lari dari culas menjelaskan bil hospital. Antara kes popular ialah seorang warga UK yang berjanji untuk melunaskan bil hospital berjumlah RM20k setelah pulang ke negaranya. Dia ditimpa kemalangan jalan raya dan dikejarkan ke sebuah hospital di Lembah Klang. Dia masih belum membayarnya sehingga ke hari ini. Namun, kurang kebencian terhadap warga asing dari UK. 

Selain itu, tidak mustahil pun ada rakyat kita sendiri yang lari daripada membayar bil. Cumanya, perlukan data untuk perkara ini. Dan seperti yang dibincangkan sebelum ini, tunggakan ini merangkumi pekerja migran (ada dokumen dan tiada dokumen), pelarian, pelancong, pelancong kesihatan, golongan tanpa kewarganegaraan dan sebagainya yang dikategorikan secara am sebagai warga asing. Tiada statistik golongan demi golongan. Maka, tidak adil untuk sebarkan naratif bahawa seolah-olah hanya kumpulan tertentu seperti pelarian yang mengelak daripada membayar bil. Tapi, portal berita seperti Berita Harian mendakwa golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mempunyai tunggakan tertinggi, tidak selari dengan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tunggakan ini juga sebegitu banyak kerana caj bagi warga asing telah meningkat secara mendadak, menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu membayarnya. Aku rasa perlu ada empati bagi golongan sebegini dengan sekurang-kurangnya meminta mereka untuk membayar semana yang mampu, daripada tak bayar langsung. 

Kemudian, marah orang tak bayar bil, tapi tak benarkan mereka untuk bekerja secara sah. Macam mana mereka nak bayar bil kalau begitu? Cuba pilih nak yang mana satu. Tak boleh nak dua-dua. Sama ada benarkan mereka bekerja secara sah untuk bayar bil, atau tolong bayarkan bil mereka. Kebanyakan pekerja migran pula menerima upah yang sangat minimum, menyebabkan mereka tidak mampu membayarnya. Salah merekakah atau majikan yang tidak membayar gaji yang bermaruah? Aku rasa perlu ada perbezaan caj bagi kategori warga asing. Golongan seperti pekerja migran yang underpaid dan pelarian yang tidak dibenarkan pekerja wajar dikenakan caj yang lebih rendah berbanding warga asing lain seperti pelancong yang sudah tentu mempunyai wang.

Di Twitter (kini dikenali sebagai X) tengah bermaharajalela disinformation berkenaan warga asing. Isu asalnya ialah ada yang mendakwa bahawa pemegang kad UNHCR mendapat diskaun caj rawatan sebanyak 50%. Ini hanya separa benar dan ia telah diperbetulkan oleh seorang pengguna. Mereka dapat diskaun daripada caj rawatan warga asing. Bukannya caj rawatan warganegara yang serendah RM1 dan mereka hanya perlu bayar 50 sen saja. Tapi, kenyataan beliau diputar-belit oleh netizen yang mendakwa semua warga asing menikmati diskaun tersebut dan menganggap bahawa diskaun tersebut adalah diskaun daripada caj warganegara. Ini kenyataan yang jelas berniat jahat. Hanya pelarian yang berdaftar dengan UNHCR sahaja yang layak mendapat kemudahan tersebut. Pelarian lain dan warga asing lain masih perlu membayar caj rawatan penuh yang jauh lebih tinggi daripada warganegara. Mereka siap membandingkan caj rawatan di Malaysia dengan luar negara¹⁰. Memanglah caj rawatan warga asing di luar negara tinggi. Malaysia pun. Yang dapat diskaun hanyalah pelarian di bawah UNHCR dan di negara seperti Sepanyol dan Scotland, mereka ini tidak dikenakan sebarang caj langsung¹¹. Tak nak bandingkan ini pula ya?

Ada satu lagi solusi yang paling konkrit pada hemat aku. Solusi ini dikemukakan oleh para ahli akademik di Universiti Malaya (UM)¹². Pada tahun 2019, kutipan SPIKPA atau Skim Insurans Perubatan Pekerja Asing adalah sekitar RM200 juta. Hasil ini secara mudahnya boleh digunakan untuk melunaskan tunggakan bil. Namun, hanya 10% sahaja yang dituntut, menyebabkan keuntungan besar buat syarikat insurans. Kadar tuntutan yang rendah ini berpunca dari kurangnya kesedaran. Pekerja tidak mengetahui manfaat jika mereka mengambil insurans ini dan bagaimana mereka boleh menuntutnya. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran berkenaan kewujudan skim ini untuk memastikan wang ini pergi kepada kerajaan dan bukannya syarikat swasta¹³. Disarankan agar kad insurans SPIKPA diwujudkan dan risalah yang mengandungi penerangan mengenai manfaat skim ini dan proses menuntut insurans diedarkan.

Pihak ahli akademik UM mencadangkan agar duit insurans ini dikutip oleh kerajaan seperti di Thailand¹⁴. Skim insurans yang dikawal oleh pihak kerajaan mengurangkan bebanan kewangan warga asing, selain membantu KKM melunaskan bil yang tertunggak oleh warga asing.

Mereka juga mencadangkan agar hasil yang dikutip iaitu levi tahunan pekerja asing digunakan untuk menampung bil tertunggak dalam kalangan warga asing yang tidak mempunyai insurans. Hasil kutipan ini boleh disalurkan semula kepada KKM sebagai sumber pembiayaan bagi mereka yang tidak mempunyai insurans seperti pekerja ladang, undocumented workers, selain pelarian dan pencari suaka.

Ada lagi beberapa solusi lain yang boleh diteroka. Benarkan mereka bekerja secara sah, sekurang-kurangnya dalam sektor yang memerlukan pekerja tapi tiada pekerja tempatan yang mahu. Berikan sedikit subsidi buat mereka yang berpendapatan rendah dan tidak bekerja. Caj warga asing penuh masih boleh dikenakan kepada warga asing yang kaya atau ekspatriat.

Suatu tabung juga boleh diwujudkan dengan menyalurkan hasil kutipan cukai tenaga kerja terutamanya, ke dalamnya. Dana tersebut boleh digunakan untuk membiayai mereka yang memerlukan namun tidak mampu. 

Kerajaan juga boleh menandatangani perjanjian dengan kerajaan negara lain yang mempunyai warga yang banyak berhutang dengan kita seperti UK, AS, Singapura, Finland, Jerman dan Jepun untuk mereka membayar tunggakan bil warganegara mereka. Warganegara mereka kemudiannya sekurang-kurangnya akan berhutang pula dengan kerajaan masing-masing. Namun, langkah ini pada hemat aku hanya sesuai untuk golongan seperti pelancong dan ekspatriat. Ini kerana bagi golongan pelarian, situasi di negara mereka sendiri pun bergolak. 

Mahu atau tak mahu, keengganan kita untuk membolehkan mereka yang miskin mendapatkan rawatan yang sewajarnya akan mengakibatkan kesan sosial yang jauh lebih buruk. Menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan kepada warga asing yang miskin boleh mengelakkan berlakunya kekacauan sosial dan ketidakstabilan dalam negara. Apabila warga asing merasakan bahawa mereka dilayan dengan baik, mereka lebih akan berintegrasi dalam komuniti dan menyumbang kepada masyarakat setempat. Jaminan ini juga akan mengelakkan penularan wabak penyakit yang boleh merisikokan warga tempatan. Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti pekerja asing, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa akses kepada rawatan yang baik juga, warga asing akan menunggu sehingga keadaan menjadi sangat kritikal untuk mendapatkan rawatan, menyebabkan kebanjiran wad kecemasan dan membebankan sistem kesihatan negara. Pelabur juga mungkin teragak-agak untuk melabur di Malaysia. Imej negara akan tercemar dengan masyarakat antarabangsa menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang hanya mahukan khidmat warga asing tanpa melayan mereka dengan baik. Pelancong juga mungkin mengelakkan diri daripada berkunjung ke Malaysia kerana risau akan menerima kecaman hebat. 

Pengecualian sosial dan keterdesakan ekonomi mungkin memaksa mereka melakukan jenayah seperti mencuri atas tujuan untuk meneruskan kehidupan. Hal ini boleh meningkatkan kadar jenayah, seterusnya mengancam keselamatan orang tempatan. Mereka yang dinafikan hak untuk bekerja secara sah pula mungkin akan bekerja secara haram dan upah mereka juga tidak dikenakan cukai. Keburukan tidak menerima cadangan-cadangan yang dikemukakan melebihi manfaatnya. 

Kesimpulannya, janganlah anti sangat dengan golongan warga asing. Jika mereka tidak layak dicaj sebagai warganegara, lunaskanlah hutang mereka yang lain dengan menggunakan hasil daripada golongan mereka juga. Malah, ia secara tidak langsung turut membantu rakyat kita sendiri.


POLITIKUS DAN "LABU" BOLA SEPAK

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa dia berhasrat untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA)¹. Budaya ahli politik ketagih jawatan dalam persatuan bola sepak bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan olehnya. Bekas Presiden KLFA pun merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad. Selain itu, Nik Nazmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam juga pernah menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden KLFA². Amalan ini bukanlah baru wujud sejak Pakatan Harapan (PH) mentadbir Malaysia malah sudah wujud sejak sekian lama³.

Pada hemat aku, budaya ini adalah budaya tidak baik yang wajar diubah oleh kerajaan yang pro-reformasi. Ahli politik berjanji macam-macam apabila bertanding bagi jawatan sebegini namun pada akhirnya, gagal menunaikan janji-janji tersebut. 

Ahli politik, lebih-lebih lagi seorang Menteri tidak sewajarnya memegang begitu banyak jawatan, apatah lagi jawatan yang wujud bersamanya konflik kepentingan. Sedangkan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pun perlu meletakkan jawatan lain yang disandangnya sebelum layak bertanding, mengapa tidak Menteri? 

Politikus pun bukan hanya memegang jawatan sebagai Menteri, malah ada jawatan penting dalam parti. Menyandang terlalu banyak jawatan secara logiknya memerlukan banyak masa dan tenaga yang mungkin menjejaskan prestasi seseorang itu. 

Jawatan seperti presiden persatuan bola sepak pula memerlukan pemimpin yang ada pengetahuan dan pengalaman spesifik berkenaan bola sepak, dan bukannya individu yang fokus utamanya ialah jawatan lain.

Amalan ini turut berisiko menyumbang kepada rasuah, dengan politikus menyalahgunakan posisi mereka untuk kepentingan peribadi dan politik. Ini termasuklah memanipulasi keputusan berkaitan bola sepak untuk memanfaatkan diri mereka, sekutu mereka dan kerjaya politik mereka, lebih daripada sukan itu sendiri.

Praktis ini juga menghalang peluang orang lain yang lebih layak menjawat jawatan penting. Memegang terlalu banyak jawatan juga boleh menjurus kepada burnout, mengurangkan kecekapan dan keberkesanan pembuatan keputusan. Ia juga boleh menyumbang kepada proses pembuatan keputusan yang lembab, menatijahkan dampak buruk.






Thursday, 22 August 2024

HAD TEMPOH JAWATAN WAKIL RAKYAT

Sejak Pilihanraya Umum ke-15 pada hujung tahun 2022, kita telah menyaksikan sebelas Pilihanraya Kecil (PRK) di mana tujuh daripadanya merupakan PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bakinya merupakan PRK bagi Dewan Rakyat. Dari sebelas PRK ini juga, kira-kira enam daripadanya diadakan kerana kematian penyandangnya. Persoalannya, bagaimanakah isu ini boleh diselesaikan?

Bagi penjawat awam dan kebanyakan pekerja lain, apabila mencecah umur 60 tahun atau umur lain, mereka diwajibkan untuk bersara. Namun, perkara ini tidak terpakai bagi ahli politik. Ada juga yang menjadikan ahli politik sebagai kerjaya selepas bersara daripada profesion mereka. Misalnya, ada yang merupakan bekas tentera, bekas guru dan bekas doktor. Seperti yang kita sedia maklum, semakin meningkat umur seseorang itu, semakin dekat dia dengan kematian. Warga emas juga terdedah kepada penyakit-penyakit yang boleh membawa maut, terutamanya penyakit berkaitan jantung.

Meskipun ada polisi seperti pemeriksaan kesihatan secara kerap bagi wakil rakyat, sejauh manakah keberkesanan pendekatan ini? Adakah wakil rakyat tersebut akan diminta untuk meletakkan jawatan? Di Malaysia, kebanyakan universiti mempunyai polisi kemasukan yang menghalang sesetengah individu yang mempunyai penyakit daripada diterima masuk. Alasannya ialah mereka ini dikhuatiri tidak akan menghabiskan pembelajaran. Untuk rekod, aku menentang polisi ini. Akan tetapi, mengapa polisi sebegini tidak terpakai bagi mereka yang hendak menjadi wakil rakyat? Kesannya lebih besar, dengan pengeluaran wang yang lebih banyak bagi tujuan PRK.

Bagi menyelesaikan isu ini, ada dua solusi yang mungkin boleh dilaksanakan.

Solusi pertama adalah dengan mengehadkan tempoh memegang jawatan wakil rakyat bagi ahli politik yang melepasi umur persaraan semasa bertanding kepada dua penggal sahaja. Selain itu, ahli politik yang berada di bawah umur persaraan tapi melebihi umur belia pula perlu dihadkan tempoh memegang jawatan wakil rakyat kepada lima penggal. Manakala, ahli politik belia wajar dibenarkan untuk memegang jawatan selama tujuh penggal. Solusi ini walaupun agak kompleks untuk dilakukan, merupakan solusi terbaik pada pendapat aku.

Solusi kedua berbentuk lebih mudah iaitu melarang ahli politik yang melepasi umur persaraan atau umur 70 tahun daripada bertanding. 

Ada yang mengatakan solusi kedua ini merupakan diskriminasi umur. Akan tetapi, diskriminasi umur turut terpakai bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun. Bagi Dewan Negara pula, hanya mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas sahaja boleh dilantik. Mereka ini semuanya secara realitinya didiskriminasi atas umur mereka. Namun, atas sebab yang munasabah. Begitu juga dengan menetapkan had umur wakil rakyat. Sedangkan penjawat awam pun ada umur persaraan, mengapa tidak wakil rakyat? Wakil-wakil rakyat ini masih boleh menyumbang kepada negara mereka melalui pendekatan lain. 

Langkah-langkah ini bukan sahaja mampu mengelakkan berlakunya keperluan untuk mengadakan PRK akibat kematian penyandangnya, malah mengalakkan pembaharuan kepimpinan dengan kerap. Kini, negara masih dipimpin oleh generasi pemimpin masa lalu. Drama politik masa lalu juga masih membelenggu negara kita. Hal ini sudah semestinya membantutkan perkembangan negara ke arah yang lebih baik. Malaysia sewajarnya dipimpin oleh pemimpin muda berpemikiran segar, tahu keperluan semasa dan yang lebih penting, kurang berisiko daripada meninggal dunia semasa menjawat jawatan.

Ada juga cadangan yang lebih kompleks seperti mengubah sistem pengundian pilihan raya untuk menjadikan sesuatu kerusi itu milik parti. Apabila penyandangnya meninggal dunia, parti boleh meletakkan individu baru untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. Setidaknya, semasa pilihan raya, setiap calon boleh mempunyai calon pengganti yang turut bertanding bersama. Apabila berlakunya kekosongan, calon pengganti ini akan mengisinya.

Bercakap mengenai parti, parti-parti politik juga perlulah memainkan peranan dalam mengelakkan isu ini dengan mencalonkan calon-calon yang lebih muda.

Wednesday, 21 August 2024

LELAKI DAN PENJAGAAN MUKA

Aku tak faham kenapa ada orang yang rasa hanya wanita sahaja yang dibenarkan untuk menjaga kulit mereka. Kononnya lelaki haram berbuat demikian. Hukum mana yang dikutip ni? Golongan lelaki pun ada kulit, jadi apa masalahnya menjaga kulit? 

Apabila ada lelaki yang menjaga kulit, digelar lembut dan p*ndan. Dah kenapa pula? Sejak bila penjagaan kulit ini hanya terhad kepada wanita saja? Sebab lebih banyak wanita yang jaga kulit? Jadi, memasak yang lebih banyak wanita buat membawa maksud lelaki haram memasak atau bagaimana? Sebab kalau masak akan berkelakuan seperti wanita? Bagaimana pula dengan menjaga anak? Adakah haram juga? Mengemas rumah, mencuci pinggan? Bagaimana pula dengan sifat lelaki? Adakah perempuan haram bekerja dan sebagainya? Meh aku tolong jawabkan. Kesemua ini kelakuan yang bersifat uniseks, yang membawa maksud tidak terikat kepada mana-mana jantina. Lelaki juga ada kulit, jadi logiklah untuk jaga kulit.

Bukankah Islam mengajar untuk menjaga kebersihan dan kurniaan Allah? Kulit kan kurniaan Allah? Jadi, apa isunya? Aku rasa sebab orang anggap menjaga kulit itu sama dengan mekap. Padahal berbeza. Tapi bercakap pasal mekap pun, tetap tak haram buat lelaki dari segi Islam. Asalkan minimum dan tidak menyerupai wanita kan? 

Entah siapalah yang rasa hanya perempuan yang layak untuk menjaga muka. Tapi yang menghairankan, mereka ni tak bising pula pasal lelaki cuci muka. Penjagaan muka juga tu. Ini sampai nak d*ra anak lelaki yang jaga muka. Kalian dah kenapa? Kemudian nanti bila dah besar dan tak ramai wanita nakkan dia, kau juga bising. Hidup tu boleh tak gunakan otak yang dikurniakan oleh Allah SWT? 

Tiada dalil pun yang mengharamkan penjagaan muka bagi golongan lelaki. Kalian saja yang mempunyai pemikiran kolot. Kalau lelaki yang komen sebegini aku anggap okay lagi. Perempuan pun ada yang rasakan lelaki tak patut jaga muka ya. Masyarakat kita rosak. Aku tak faham bagaimana ia rosak tapi ia rosak. Rosak dari pelbagai sudut. Apa yang aku tahu, golongan lelaki yang anti dengan lelaki jaga muka kebanyakannya yang jenis hisap rokok yang terang-terangan haram dalam Islam. Itupun ada hati nak berbicara soal halal haram.

Kita hidup dalam zaman di mana persekitaran tercemar. Ini menyebabkan kulit cepat rosak. Maka masuk akallah untuk jaga kulit. Lapisan ozon pun semakin menipis. Tapi ada dalam kalangan kita yang menjadikan lelaki pakai pelindung matahari sebagai isu.

Masing-masing tak nak lelaki jaga kulit, tapi pilih lelaki yang berkulit elok. Yang lelaki pula tak nak lelaki jaga kulit, tapi sakit hati apabila ditolak oleh perempuan.

Kalau ditelusuri dari segi sejarah pun, ramai saja lelaki yang pakai mekap. Jadi, siapa kau nak kata hanya perempuan saja yang layak jaga kulit dan pakai mekap? Dari segi apa? Dari segi agama hanya haram kalau menyerupai wanita. Tapi kalau ikutkan sejarah, lelaki pun pakai.

Pokok pangkalnya kalau benda tak haram, kau tak payah nak pertikai. Sekian, sama-sama.

Rujukan dan bacaan lanjut:

APA ITU DEDOK?

Latar Belakang

Dedok (gabungan perkataan 'dedah' dan 'dokumen') (Kata kerja: mendedok) atau doxxing boleh didefinisikan sebagai perbuatan mencari dan mendedahkan maklumat peribadi seseorang, lazimnya sebagai suatu bentuk hukuman atau ugutan, tanpa izin empunya maklumat peribadi.

Terma doxxing dalam bahasa Inggeris berasal daripada istilah "dropping documents (dox)," sejenis slanga yang digunakan oleh penggodam apabila maklumat peribadi seseorang dibocorkan.

Antara maklumat peribadi yang sering didedok ialah:

Personally Identifiable Information (PII)

1. Nama penuh
2. No. Kad Pengenalan 
3. Alamat rumah
4. Tarikh lahir

Maklumat Perhubungan

1. No. telefon
2. Alamat e-mel
3. Media sosial

Data Kewangan

1. No. kad kredit/debit
2. Perincian akaun bank

Lain-lain 

1. Gambar dan video yang tidak diingini 

Maklumat peribadi ini diperolehi melalui pelbagai cara, dari cara seperti mengkaji pangkalan data atau media sosial yang tersedia secara umum, sehingga cara ekstrem seperti menggodam mahupun mencari domain dan alamat IP seseorang.

Dedok boleh menjadi negatif atau positif bergantung kepada matlamatnya. Ada yang melakukan perbuatan ini untuk membantu pihak berkuasa mencari penjenayah. Akan tetapi, ada juga yang menggunakan taktik ini untuk mengugut seseorang. Namun, matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Dan, hanya disebabkan sesuatu informasi itu tersedia kepada umum membolehkan ia dikumpulkan dan disebarkan dengan cara yang mengancam seseorang.

Dedok dari Segi Undang-undang di Malaysia

Di Malaysia pada buat masa ini, dedok tidak dikategorikan sebagai suatu kesalahan jenayah. Walau bagaimanapun, pada hemat aku, ia wajar dikategorikan sebagai suatu kesalahan jenayah dengan pengecualian tertentu, terutamanya apabila digunakan bagi tujuan mengugut, seperti mengugut peniup wisel (whistleblower). 

Seperti yang disebutkan di atas, maklumat peribadi ini boleh diperoleh melalui pengkajian laman media sosial seseorang. Di Malaysia, perbuatan sebegini boleh dikategorikan sebagai mengendap, yang merupakan suatu jenayah di Malaysia. Perbuatan hendap juga boleh dilakukan oleh pihak ketiga yang mempunyai maklumat yang dikongsikan oleh pededok. 

Kebiasaannya, jika kes sebegini dilaporkan, ia akan disiasat di bawah undang-undang seperti:

1. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
2. Seksyen 509 Kanun Keseksaan
3. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
4. Akta Jenayah Komputer 1997

Mengikut Seksyen 130(1)(a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, ia merupakan suatu kesalahan untuk mendedahkan maklumat peribadi seseorang, secara cuai atau dengan niat, tanpa izin empunya maklumat peribadi. Namun, seksyen ini hanya terpakai bagi maklumat peribadi yang diproses untuk transaksi komersial. Ia tidak merangkumi senario di mana maklumat peribadi dicapai melalui kajian umum.

Wujud juga polisi berkaitan dedok di platform media sosial tertentu.

Pengalaman Peribadi dan Dampak Dedok

Aku sendiri pernah menjadi mangsa perbuatan ini. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, taktik ini kebiasaannya digunakan oleh mereka yang enggan berdebat di media sosial. Ada juga yang kononnya melakukan perkara ini bagi tujuan memberi pengajaran kepada seseorang yang didakwa melakukan sesuatu kesalahan, berlagak seperti penguatkuasa undang-undang.

Mereka yang melakukan perbuatan ini juga boleh terlibat dalam aktiviti seperti perompakan atau pencurian identiti, di mana mereka menyamar sebagai empunya maklumat peribadi tersebut. 

Dedak boleh mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada empunya maklumat peribadi seperti kehilangan pekerjaan, pencemaran reputasi, mengancam keselamatan dan keguguran nyawa.

Cara Elakkan Diri daripada Menjadi Mangsa Dedok

1. Elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi secara langsung atau tidak langsung di platform awam.
2. Manfaatkan tetapan privasi di platform media sosial.
3. Gunakan kata kunci yang kuat dan unik.
4. Aktifkan Pengesahan Dua-Faktor (2FA) untuk sekuriti berganda.

Apa yang Perlu Dilakukan Jika Didedok?

1. Laporkan hantaran kepada platform media sosial.
2. Ambil tangkap layar sebagai bahan bukti.
3. Peribadikan akaun media sosial buat sementara waktu.

Apa pendapat anda? Wajarkah dedok dijadikan kesalahan jenayah di Malaysia?

Kemas Kini: Pindaan kepada Kanun Keseksaan

Sedang aku bersiap-siap untuk kelas bahasa asing, aku terdetik untuk menyemak semua RUU terkini yang diusulkan oleh pihak kerajaan. Antara RUU yang aku telusuri ialah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2024. RUU ini bertujuan untuk meminda Kanun Keseksaan dan menambahkan seksyen-seksyen baharu. Antara seksyen baharu yang menarik perhatian aku adalah Seksyen 507 (E), (F) dan (G). Menurut pemahaman aku, seksyen ini antara lain akan menjadikan dedok suatu perbuatan jenayah! Akhirnya!

Rujukan dan bacaan lanjut:





Tuesday, 20 August 2024

ROHINGYA JUGA MANUSIA

Masyarakat kita tak sah kalau tak hipokrit, performatif dan memilih dalam memperjuangkan sesuatu isu. Ini boleh dilihat apabila isu berkaitan Rohingya timbul. Sangat berbeza layanan masyarakat kita terhadap isu di Timur Tengah sana dan isu tempatan walaupun kedua-dua isu melibatkan saudara seagama kita. 

Nota: Sila baca artikel ini untuk hadam, bukan untuk hentam.

Ada yang kata bahawa jangan samakan kedua-dua isu tersebut. Aku setuju. Kenapa? Terkejut? Aku setuju sebab memang terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Antaranya ialah satu isu berlaku jauh dari Malaysia, manakala yang satu lagi berlaku berhampiran dan di dalam Malaysia.

Tapi ini bukanlah sebab mengapa orang kata jangan samakan kedua-dua isu ini. Sebab yang kerap mereka bangkitkan adalah kerana perangai orang di sana tidak sama seperti orang Rohingya. Mereka enggan melayan golongan Rohingya seperti manusia dan menyifatkan mereka tidak layak dibantu kerana mereka mengatakan bahawa golongan ini berperangai buruk.

Sekejap. Semua merekakah? Statistik jenayah di Malaysia menyatakan bahawa jenayah banyak dilakukan oleh orang tempatan. Malah, apabila seseorang orang tempatan berperangai buruk, jarang kita bercakap mengenai bangsanya kecuali beberapa bangsa minoriti tertentu yang sering menjadi sasaran golongan rasis. 

Pernahkah kita terfikir, mengapa mereka berkelakuan sedemikian? Bukan mereka sahaja, malah manusia-manusia lain yang mempunyai perangai yang kurang baik. Adakah ia disebabkan oleh bangsa mereka? Mereka lahir-lahir terus berperangai buruk dan tak boleh diubah?

Jawapan utamanya ialah ketiadaan akses kepada pendidikan. Yalah, cuba fikir sejenak. Orang yang tak diajar, macam mana dia tidak kurang ajar? Sedangkan masyarakat kita yang dah cukup diajar pun ada yang masih kurang ajar. Kita sebagai satu masyarakat perlulah menyeru agar mereka ini diberikan akses kepada pendidikan yang sempurna. Bukannya menghina mereka, apatah lagi menghalau mereka balik ke negara mereka di mana mereka tidak dialu-alukan. 

Tapi betul ke dengan pendidikan mereka akan berubah? Belum cuba belum tahu bukan? Jangan bimbang, ada yang dah cuba dan memang terbukti pendidikan memainkan peranan dalam membentuk kelakuan seseorang. Ada yang dah cuba didik mereka dan memang berkesan. Pengalaman mereka dikongsikan di media sosial. Ada yang menerima ucapan hari lahir dari pelajar Rohingya. Anak murid yang kini sudah berpindah ke negara lain juga tidak lupa untuk bertanya khabar kepada bekas guru mereka. Sangatlah beradab jika nak dibandingkan dengan perangai sesetengah orang kita. Ada yang mesej pensyarah pun tak beri salam. Terdapat dalam kalangan mereka yang kini menetap di negara majoriti bukan Islam. Soalan yang kita patut tanya: Tak malukah kita apabila saudara seagama kita hidup lebih baik di negara majoriti bukan Islam berbanding negara majoriti Islam? Tak risaukah kita saudara seagama kita dibesarkan dalam persekitaran sedemikian—di sekeliling orang bukan Islam—berbanding dengan saudara seagama mereka sendiri?

Di kesempatan ini juga aku ingin mengajak para pembaca untuk meletakkan diri dalam kasut golongan Rohingya. Mereka sudah bergenerasi tidak dilayan seperti manusia, terpaksa lari dari negara mereka, dinafikan hak asasi manusia. Jika anda berada di tempat mereka, adakah anda rasa anda akan berkelakuan bak malaikat? Sedangkan mereka yang berada dalam kasut yang lebih selesa pun berperangai lebih buruk daripada iblis.

Sejujurnya dahulu pun aku pun bersikap agak "anti" terhadap mereka ini. Namun, setelah aku mendalami isu mereka, aku berubah fikiran. Tiada yang salah pun untuk ubah fikiran. 

Kenyataan yang kerap mereka ajukan kepada yang lantang bersuara demi Rohingya ialah kenyataan seperti "bawa mereka duduk rumah kau." 

Aku tak faham sikap segelintir orang kita yang jenis marah tak tentu pasal, tak kena pada tempatnya dan pada pihak yang salah. Mereka yang memperjuangkan isu ini juga mahukan yang terbaik untuk orang tempatan. Tiada pun mereka mengendahkan pengalaman orang kita. Tapi mereka dilabel macam-macam pula. Mereka bukan sahaja dah cadangkan polisi untuk menyelesaikan isu tersebut, malah turut terlibat dalam badan bukan kerajaan. Manakala yang lain pula hanya mampu mencerca perjuangan mereka tanpa mencadangkan solusi konkrit. 

Bercakap mengenai pengalaman, ada saja yang mempunyai pengalaman positif apabila berinteraksi dengan golongan Rohingya. Tapi apabila pengalaman ini diceritakan, orang kita yang kononnya berpengalaman berinteraksi dengan golongan Rohingya tadi menepis realiti dan mendakwa bahawa golongan Rohingya berpura-pura baik di hadapan sesetengah orang. Fikirkan sejenak. Aku pun tak tahu nak hurai macam mana. Mereka mengata orang tak kisah pengalaman mereka (walhal kisah), tapi mereka juga yang invalidate pengalaman orang lain. Ada juga pengalaman dari aktivis di lapangan, guru, malah mereka yang tinggal berdekatan dengan komuniti ini. Tapi macam biasalah, tidak mendapat banyak sambutan, mungkin kerana tak sesuai digunakan untuk sebarkan kebencian, sampai masyarakat hanya nampak yang negatif saja. Mereka ini juga tinggal lama berdekatan golongan ini. 

Mereka tak sedar bahawa apa yang mereka hadapi itu bertitik-tolak daripada kegagalan mereka sendiri sebagai sebuah masyarakat. Mereka hanya tahu mencerca orang lain dan menghina golongan tertindas tanpa mempertanggungjawabkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tuntas dan berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit. Aku pun tertanya-tanya juga, tak rasa penat ke asyik berinteraksi dengan pihak yang salah? Masalah masih tak selesai. Tak rasa nak ubah pendekatan ke? Aku rasa tak sebab pada hemat aku mereka ini tak kisah sangat pun pasal isu berkenaan. Hanya mahu menunjukkan sikap xenofobik mereka sahaja. Benci, benci, benci. Itulah perkataan yang di'highlight' dalam kamus hidup mereka. Akan ada yang terasa tapi cuba fikir kejap. Kalau orang ajak berhujah cara baik dan kau balas dengan kenyataan hostile, what does that says about you as a person, especially if you're a Muslim? Aku lihat dengan mata aku sendiri bagaimana orang yang berhujah dengan niat baik menerima kata carutan sana-sini. Kebanyakan yang berkelakuan sedemikian adalah beragama Islam, dan sudah hampir pasti menerima pendidikan yang sewajarnya. Itupun ada hati nak pertikai perilaku golongan Rohingya yang tiada akses kepada pendidikan. Tolonglah.

Semua ini takkan berlaku jika mereka ini tidak dibiarkan terkapai-kapai setelah dibawa masuk ke dalam negara. Tiada pekerjaan, tiada pendidikan. Hidup mereka tiada arah tuju. Kalau kau enggan percaya situasi sebegini menyumbang kepada kelakuan mereka, aku cabar kau besarkan anak kau dalam situasi sama. Jangan hantar dia ke sekolah terutamanya. Jangan juga didik dia sendiri. Baru kau tahu kenyataannya. Kenapa nak perli golongan yang memperjuangkan isu ini pula? Bagaimana dengan yang biarkan mereka dalam keadaan sebegitu? Mereka juga mangsa keadaan dan kegagalan kerajaan yang hanya tahu terima pelarian masuk tanpa sebarang perancangan. Tak nak kecam? Mestilah tidak sebab orang kita menjunjung golongan elit walhal golongan inilah yang menjadi punca pelbagai isu sosial. Hidup pun hanya mampu dan mahu menghentam golongan yang lemah saja, dan bacul nak bersuara menghentam autoriti. Tak cukup dengan itu, semua yang tak kongsi pemikiran kolot mereka dilabel sebagai orang Rohingya. Rasa macam kelakar pun ada. 

Cakap pasal golongan elit, aku yakin ramai yang apabila ditanya siapa yang bawa masuk golongan Rohingya, mesti mereka tak tahu. Kejutan, mereka dibawa masuk oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak dan disokong oleh PAS di bawah pimpinan Hadi Awang. Kenapa tiada siapa yang hentam mereka ini? Tapi isunya bukanlah pasal bawa masuk, tapi bawa masuk tanpa perancangan rapi. Masuk-masuk saja mereka ini, tidak boleh bersekolah, tidak boleh bekerja. Mereka juga mangsa keadaan dan kegagalan kerajaan kita dulu. Nak marah? Marahlah pembuat polisi! Dah tahu tak mampu tanggung, bawa juga masuk atas alasan solidariti dan ingin meraih undi golongan konservatif pada ketika itu. Tapi, bawa masuk saja tanpa perancangan rapi. Ibarat ambil anak angkat, nafikan dia daripada bersekolah, tak bagi dia makan, kemudian bising apabila perangainya tak semengah dan apabila dia meminta makanan. Ini kita panggil gaslighting. Tiba-tiba, golongan sebegini dan mereka yang mempunyai ideologi sama dengan mereka (konservatisme), bersikap hostile terhadap golongan Rohingya. Dari bersolidariti, terus menyebarkan kebencian. Tanpa sedar segalanya berpunca daripada mereka sendiri dan gagal menyeru pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu secara harmoni dan tuntas. 

Di kesempatan ini juga aku nak ingatkan juga bahawa saudara sebangsa, senegara, seagama kita juga sedang menjadi mangsa mentaliti sebegini di luar negara. Aku sangat tak faham sebenarnya mentaliti sesetengah orang kita yang menghukum sesuatu kaum akibat tingkah laku beberapa orang ahlinya. Bangsa kita jauh lebih banyak melakukan onar walaupun mempunyai akses pendidikan yang agak baik dan boleh bekerja secara sah. Tapi, tiada pula yang menghukum bangsa kita akibat perangai mereka yang berbuat onar. Kita pun akan marah apabila ahli bangsa lain menghukum bangsa kita dengan melalukan generalisasi seperti 'Melayu kaki rempit.' Kalau kau tak suka orang buat sebegitu dekat kau, kenapa kau buat dekat orang lain? Bukan itu saja, pemikiran sebegini juga diguna pakai oleh orang Melayu terhadap orang Melayu sendiri dari negeri berbeza. Ada saja yang menghukum semua orang Kelantan akibat perangai beberapa orang Kelantan yang mereka pernah tinggal bersama. Ada saja orang Kelantan yang dianggap mencuri peluang pekerjaan dari orang negeri lain.

Berbalik kepada perbincangan kita. Kita nafikan mereka hak kepada pendidikan dan hak untuk bekerja, tapi pada masa yang sama kita persoal perihal kelakuan mereka dan marah mereka mengemis, bising mereka tak bayar caj perubatan. Dah tu, kau nak mereka buat apa? 

Jadi, apa solusinya?

1. Ratifikasi Konvensyen Pelarian
2. Rangka polisi pelarian yang baik
3. Benarkan mereka turut serta dalam masyarakat 
4. Benarkan mereka untuk bekerja secara sah
5. Benarkan mereka untuk bersekolah

Tapi, rakyat kita sendiri pun hidup susah. Ini antara hujah yang menentang solusi-solusi ini. Dah tu, nak buat apa? Hantar mereka pulang ke negara mereka? Bukankah kita akan dikira bersubahat dengan rejim Myanmar kalau begitu? Di bawah undang-undang adat antarabangsa, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk tidak memaksa pulang pelarian ke situasi di mana nyawa atau kebebasannya terancam. Hal ini boleh dikira melanggar undang-undang adat antarabangsa jika dilakukan. Ia turut memakan kos yang tinggi. Pelarian juga berbeza dengan migran. Adalah lebih logik untuk meminta kerajaan agar menghantar pulang migran kembali ke negara asal mereka. Ini kerana migran tidak terancam nyawa dan kebebasannya jika kembali ke negara asal. Ini berbeza bagi pelarian. Maka, tunjukkanlah sedikit empati. Islam tak ajar kita tolak untuk berbuat baik kepada orang yang berkelakuan buruk, apatah lagi saudara seagama kita yang hanya berkelakuan sedemikian akibat penafian akses pendidikan dan pekerjaan oleh kita sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun melayan individu yang berkelakuan buruk dengan penuh lemah-lembut. Bukankah kita negara Islam? Atau sudah berubah? Tepuk dada, tanya iman.

Kita dah bawa mereka masuk, biarkan mereka terkapai-kapai, jadikan mereka lemah, tiba-tiba nak hantar mereka pulang? Kalian sedar tak betapa zalimnya idea ini? Malah sepatutnya kita meminta maaf kepada mereka kerana gagal menjadi saudara seagama yang baik. Kita nafikan mereka macam-macam, sebarkan kebencian terhadap mereka. Mereka bukan beban. Beban sebenar ialah golongan elit yang cukai pun tak reti bayar, kemudian hidup dengan hasil rakyat. 

Tak kurang juga yang menipu, mengatakan kita dah bantu dan tolong mereka, tapi mereka tak mahu berubah. Sejak bila? Mereka masih tak boleh bersekolah dan bekerja. Kalau setakat terima masuk, itu bukan bantu. Kalau begitu, aku pun boleh ambil beratus-ratus anak angkat dan biarkan mereka hidup tanpa bantuan, lalu mendakwa bahawa aku dah bantu mereka. Apa kebendanya? 

Cakap pasal menipu, manipulasi pun ada. Ada saja yang sebarkan maklumat yang bukan palsu tapi dalam cara yang memarakkan api kebencian. Contohnya, ada yang kongsi maklumat bahawa pegemang kad UNHCR mendapat diskaun 50% bil hospital. Ini bukan maklumat palsu, tapi, ada maklumat yang tertinggal. Diskaun tersebut adalah untuk caj bukan warganegara. Bukannya caj warganegara. Kalau dapat diskaun pun, caj yang mereka perlu bayar jauh lebih tinggi berbanding dengan kita. Misalnya, caj di klinik kesihatan. Bagi warganegara, ia hanya RM1. Tapi bagi bukan warganegara, ia mencecah RM160. Bagi pemegang kad UNHCR yang mendapat diskaun, mereka masih perlu membayar RM80. Tersangatlah banyak jika hendak dibandingkan dengan warganegara. Tambahan pula, mereka ini tidak dibenarkan bekerja di Malaysia. Kenapa kita marah mereka diberi diskaun kalau kita tak beri peluang untuk buat duit dan bayar bil secara penuh? Tak rasa jengkel ke? Tapi, kita boleh toleransi orang kaya yang tidak perlu membayar caj yang tinggi, hanya kerana mereka warganegara, walaupun ada antara mereka yang tak bayar mahupun mengelak daripada membayar cukai. Kan? 

Deception dan manipulasi ini membuktikan kebanyakan mereka ini hanya mahu menyebarkan naratif kebencian terhadap golongan Rohingya. Dan orang ramai pula termakan umpan tanpa menggunakan pemikiran kritis untuk mengkaji dengan lebih lanjut. Sepatutnya bil ini dibayar oleh mereka yang membawa masuk pelarian tanpa perancangan rapi dan juga kalian yang tak mahu mereka bekerja tapi mahu mereka membayar bil. Caj ini juga jika tidak silap aku, ditanggung oleh UNCHR sehingga RM400 jika pemegang kad tidak mampu membayarnya. Bakinya pula masih perlu dibayar oleh pemegang kad itu. Tapi, jangan hairanlah jikalau dah dapat diskaun pun mereka masih tak boleh bayar. Mereka tidak bekerja. Ibarat kau jangka gelandangan akan mampu bayar bil hospital. Gelandangan warganegara pun hanya perlu membayar caj warganegara saja yang jauh lebih murah. 

Ada yang sembang pula soal mereka ini tak bayar cukai. Memanglah, dah mereka tak dibenarkan untuk bekerja, nak bayar cukai macam mana? Dengan air liur? Daun? Kalian ni tak boleh berhenti dan berfikir dengan lebih dalam ke mengenai sesuatu isu? Kalau berhenti dan fikir sejenak kenapa orang Rohingya tak bayar cukai, kau takkan pertikai mereka tak bayar cukai. Tapi ada saja yang bayar cukai. Mereka mungkin tidak boleh bekerja tapi ada saja yang menerima sumbangan orang ramai, mahupun diambil bekerja oleh orang tempatan secara haram. Duit tersebut sudah pastu mereka habiskan untuk membeli barang keperluan yang menyumbang kepada ekonomi tempatan. Semua barang juga ada cukai. Apa? Kau ingat cukai hanya sejenis iaitu cukai pendapatan? Cukai jualan dan perkhidmatan atau SST, sejenis cukai tidak langsung berbentuk regresif, wujud di negara ini dan dibayar oleh hampir semua rakyat ya. Jadi, tiada isu tak bayar cukai. Cakap pasal tak bayar cukai, ada seorang individu tu yang cukai tertunggak sampai RM1 bilion lebih tapi tak langsung dinafikan daripada menikmati kemudahan hasil subsidi rakyat. Dan yang menikmati kemudahan ini bukan hanya warga Rohingya saja. Pelarian lain pun menikmatinya. Bukankah kalian sayang kepada pelarian yang berperangai mulia? Jadi, kenapa bantah polisi ini? Lagi dan lagi dan lagi, kalian dibuktikan tidak kisah wang subsidi anda disalahgunakan, tapi hanya ingin sebarkan naratif kebencian. Next.

Oh. Ada juga yang bangkitkan berita caj kesihatan warga asing yang tertunggak sehingga RM100 juta. Pertamanya, ini bukan tunggakan bagi seorang warga asing saja ya. Keduanya, statistik ini terlalu umum. Warga asing tidak semestinya pelarian dan migran. Ekspat juga boleh dikategorikan sebagai warga asing. Pelajar asing, pelancong dan pelancong kesihatan juga termasuk dalam kategori warga asing. Jadi sebelum nak buat apa-apa tafsiran, perlu ada data yang lebih terperinci dulu. Kemudiannya, di negara kita, mereka yang stateless juga dikategorikan sebagai warga asing. Walhal mereka ini kebanyakan rakyat Malaysia sendiri. Lahir di sini dan dah menetap di sini bergenerasi lamanya. Tapi, dinafikan hak kewarganegaraan. Sebenarnya kos ini berapalah sangat kalau nak dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh warga asing terhadap pembangunan negara kita. Dahlah mereka dibayar sedikit oleh orang kita sendiri. Sekali lagi, yang tertunggak cukainya sampai lebih RM1 bilion tiada isu sangat pula. Tunggakan cukai oleh seorang individu ya, bukan macam tunggakan warga asing tu yang melibatkan mungkin beribu-ribu mereka. Perlu ditekankan bahawa caj rawatan mereka juga lebih tinggi, menyumbang kepada kadar tunggakan yang tinggi, terutamanya bagi golongan yang tidak mampu membayarnya akibat penafian kita terhadap hak mereka untuk bekerja.

Ramai antara mereka ini tidak pun mendapatkan rawatan walaupun memerlukan, kerana tidak mampu membayar bil rawatan. Hanya beberapa sahaja yang mendapatkan rawatan. Itupun, kerana terpaksa dan kerana tidak mampu untuk bayar, ada dalam kalangan mereka yang tak bayar bil. Tapi, kita tidak sewajarnya memarahi mereka, kerana jika mereka tidak mendapatkan rawatan, mungkin kita juga akan terkena tempiasnya. Namun, tunggakan ini secara mudah boleh diselesaikan dengan menggunakan levi yang dikenakan terhadap warga asing yang mencapai RM 3 bilion setahun. Ya, orang asing bukan sahaja membayar cukai selain cukai pendapatan melalui pembelian barang, tetapi mereka juga menyumbang sebanyak RM3 bilikn levi tahunan buat Malaysia. Levi ini kadangkala dilabel sebagai cukai tenaga kerja, juga sejenis cukai. Jadi, tidak logik untuk mengatakan bahawa mereka tidak layak untuk menikmati kemudahan kerana tidak membayar cukai. Levi tahunan bagi seorang pekerja migran boleh mencecah hampir RM2 ribu setahun dan ditolak dari gaji mereka. Selain itu, pendapatan kerajaan daripada caj kesihatan warga asing juga boleh menampung tunggakan tersebut. Hakikatnya, ramai saja warga asing yang membayar caj tersebut, sehingga jumlah hasil yang dikutip daripada mereka menghampiri warganegara. Perlu ditekankan bahawa jumlah warga asing di Malaysia amatlah sedikit jika hendak dibandingkan dengan warganegara. Sejujurnya, aku tak kisah duit cukai aku dibelanjakan untuk membayar bil mereka ini, berbanding menanggung golongan mahakaya. Aku anggap ia hadiah kerana bekerja dengan gaji yang sedikit di Malaysia. Mereka pula bekerja dalam sektor yang tidak begitu mendapat tempat dalam kalangan orang kita, jadi kurang teoat untuk bangkitkan isu pencurian peluang pekerjaan. Kerja susah dan berat, gaji sedikit. Mereka lebih daripada layak untuk menikmati kemudahan ini. Jika tidak suka pendekatan ini, aku cadangkan upah mereka ditingkatkan dan mereka dikehendaki membayar cukai pendapatan, dengan syarat mereka mestilah mendapat manfaat sama seperti pembayar cukai warganegara, iaitu tidak perlu membayar caj warga asing. 

Tahukah anda bahawa Malaysia hanya merupakan negara transit untuk para pelarian? Mereka akan ditempatkan semula di negara ketiga jika ada kekosongan. Jadi, tiada isu bahawa pelarian dan generasi mereka akan tinggal di Malaysia buat selama-lamanya. Mereka hanya berada di sini sehingga keadaan kembali selamat untuk mereka pulang ke negara asal. Jadi, kalau kau nak lihat perkara ini berlaku, perjuangkanlah agar perkara ini menjadi realiti. Mustahillah mereka tak mahu pulang ke negara asal mereka apabila ia sudah aman nanti. Ada dalam kalangan mereka yang masih mempunyai ahli keluarga di sana. Mereka juga kurang diterima di sini, jadi agak janggal untuk mereka tidak pulang pada waktu itu. Cumanya, kita kena bersama-sama bantu jadikan ini realiti. Bukannya mencela orang yang memperjuangkan isu ini, menyuruh mereka membela golongan Rohingya dan sebagainya. Kalau ikutkan pun bukan boleh sesuka hati ambil orang Rohingya duduk dengan kita. Tak dibenarkan oleh undang-undang. Agak pelik untuk golongan konservatif mengalakkan pelanggaran undang-undang, bukan?

Semasa mereka tinggal sementara di sini walau bagaimanapun, tetap perlu diberikan akses kepada pendidikan dan pekerjaan. Hal ini supaya mereka boleh belajar untuk tidak kurang ajar, membayar cukai, membayar bil hospital dan menyumbang kepada masyarakat tempatan. Mereka tidak merampas kerja daripada sesiapa¹, lebih-lebih lagi anak cucu kita yang belum tentu akan menyaksikan situasi di Myanmar masih bergolak. Jika ada yang perlu dipersalahkan mengenai kekurangan peluang pekerjaan, ia adalah mereka yang enggan mengambil pekerja dan menggantikan mereka dengan mesin seperti AI dan robot. Marahlah kepada pihak yang betul. Kerajaan juga baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman dengan India untuk membawa masuk pekerja migran². Tapi, kurang tentangan daripada golongan konservatif. Dan sebenarnya, keadaan ini membuatkan kita berfikir, adakah Malaysia kekurangan tenaga kerja? Hakikatnya, negara kita juga merupakan antara negara yang berisiko mengalami kekurangan tenaga kerja pada masa hadapan. Penerimaan beberapa pelarian mahupun migran ke dalam masyarakat secara realitinya boleh membantu menyelesaikan masalah ini.

Ramai rakyat Malaysia yang risau pasal mereka ini menggunakan hujah bahawa jika mereka melakukan sesuatu kesalahan, mereka sukar dikesan sebab tiada dokumentasi. Dah tu, kenapa tak gesa kerajaan untuk ratifikasi Konvensyen Pelarian dan dokumentasi mereka semua? Kalian mahukan apa sebenarnya? Tak mahu mereka bersekolah, tapi mahu mereka berperangai seperti orang bersekolah. Tak mahu mereka mengemis dan diberi diskaun, mahu mereka bayar bil hospital, tapi tak mahu benarkan mereka bekerja. Logik tidak melogik.

Cakap pasal rakyat sendiri, tak ramai pun yang dari golongan ini yang turut memperjuangkan nasib rakyat susah. Golongan mahakaya masih disanjung, malah golongan bawahan saling memerli antara satu sama lain. Kemudian, sejak bila pendekatan ini diajar oleh Islam? Utamakan rakyat sendiri, hanya perlu bantu mereka yang berperangai baik? Saban tahun negara kita mengeluarkan sebahagian wang bagi tujuan membantu rakyat asing. Tiada isu pula? Cakap pula pasal perangai baik, individu seperti Najib Razak pun boleh diampunkan. Mengapa tidak golongan Rohingya yang kita sendiri aniayai?

Ada dalam kalangan penduduk Malaysia juga tiada akses kepada pendidikan dan pekerjaan, tidak boleh mengambil lesen memandu, tidak boleh buka akaun bank dan sebagainya. Golongan ini digelar golongan tanpa negara (stateless). Ramai Orang Asli dan pribumi serta orang India yang berada dalam golongan ini. Tapi kurang diperjuangkan juga oleh golongan konservatif dan masih tidak selesai. Mereka ini juga dikategorikan sebagai PATI di Malaysia, membuatkan mereka juga termasuk dalam statistik bil kesihatan tertunggak. Tapi, mereka juga sama, seperti golongan pelarian. Mereka tidak boleh bekerja. Jadi, tak boleh nak jangka mereka mampu bayar bil.

Kembali lagi ke topik asal, ada pula yang mengatakan bahawa Rohingya ini tidak layak dibantu kerana mereka ini lari dari medan perang. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ada hukum berkenaan lari dari perang. Namun, adakah dalil yang melarang kita daripada membantu mereka ini? Bukankah itu dosa antara mereka dengan Tuhan? Kerana ia dosa besar? Tapi, kita bantu saja orang lain tanpa mengira sama ada mereka melakukan dosa besar atau tidak. Bukan Muslim lun kita bantu. Ada yang 


Rujukan dan bacaan lanjut:


KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...