Friday, 23 August 2024

WARGA ASING JUGA BAYAR CUKAI?

Di Malaysia, wujud satu sikap di mana kita merasakan bahawa seseorang itu layak mendapat kemudahan hanya apabila dia merupakan seorang warganegara Malaysia, tidak kira kaya atau miskin, dan bukan atas dasar keperluan. Antara hujah yang digunakan oleh penyebar naratif ini adalah kerana warga asing tidak membayar cukai.

Mitos ini bukan saja salah malah berniat jahat. Ia boleh digelar sebagai satu bentuk disinformation, di mana maklumat palsu disebarkan dengan tujuan untuk mempengaruhi pendapat umum dan mengaburkan kebenaran. 

Cukai di Malaysia ada banyak, dan tidak terhad kepada cukai pendapatan saja. Aku rasa ramai kena ambil kursus PAD370 memandangkan salah faham berkenaan perkara ini sangat berleluasa. Kita semua (termasuklah warga asing), tanpa kita sedari, menyumbang kepada hasil kutipan cukai negara. Misalnya, apabila kita membeli barang atau menggunakan sesuatu perkhidmatan, akan dikenakan sejenis cukai tidak langsung yang berbentuk regresif diberi nama Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Ia merupakan sejenis consumption tax. Malah, ada yang menyumbang kepada hasil kutipan cukai bentuk ini lebih daripada sumbangan beberapa individu kepada hasil cukai pendapatan. 

Sedikit selingan, adalah menjengkelkan untuk kita menafikan hak asasi manusia kepada golongan tertentu kerana mereka tidak membayar cukai (walhal hakikatnya mereka bayar), namun tidak menafikan hak asasi manusia buat beberapa individu yang telah dibuktikan mempunyai tunggakan cukai pendapatan mencecah RM1 bilion. Malah, mereka ini masih disanjung oleh beberapa individu yang turut menyebarkan naratif percukaian ini.

Selain itu, di Malaysia, kita mempunyai pekerja asing seramai lebih 2 juta orang. Mereka ini bukanlah bekerja saja tanpa menyumbang kepada hasil negara. Mereka juga membeli barang. Dan meskipun gaji yang mereka dapat tidak setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, gaji mereka turut dipotong untuk membayar levi tahunan¹, iaitu suatu bentuk labour tax

Jadi, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa warga asing juga membayar cukai. Levi tahunan ini, bagi seseorang pekerja boleh mencapai sehingga RM2 ribu. Anggaran jumlah kutipan levi tahunan adalah kira-kira RM3 bilion setahun. Levi bagi seseorang pekerja ini melebihi jumlah cukai pendapatan yang dibayar oleh sesetengah rakyat selama setahun. Misalnya, mereka yang bergaji RM6 ribu lebih hanya membayar cukai pendapatan tidak sampai RM200 sebulan. 

Perlu ditekankan juga bahawa tidak semua rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan. Ada antara kita yang mengganggur, kanak-kanak, remaja, warga emas (yang ditanggung pula oleh pencen). Namun, mereka masih menikmati kemudahan warganegara. Sewajarnya, warga asing juga patut menikmati kemudahan seperti warganegara, memandangkan mereka juga menyumbang kepada hasil kerajaan. Tapi, ia tidak berlaku, dan aku separa setuju. Ini kerana ada saja warga asing yang kaya. Cumanya, bagi mereka yang memerlukan dan tidak mampu, gunakanlah hasil kutipan cukai daripada golongan ini untuk "membayar" bil yang tertunggak itu. Akan ada yang mengatakan itu secara teknikalnya warga asing lain membayar bagi warga asing lain. Namun, bukankah itu situasi sama seperti warganegara? Pembayar cukai pendapatan secara hakikatnya membayar bil mereka yang tidak membayar cukai pendapatan.

Sebenarnya terlampau banyak jenis cukai di Malaysia yang kita tak sedar disumbangkan oleh warga asing seperti cukai hartanah. Pelancong juga menyumbang kepada hasil kerajaan dengan melancong di Malaysia. Syarikat antarabangsa membayar cukai korporat. Pelajar antarabangsa di Malaysia membayar yuran pengajian dan banyak lagi. Mustahil tiada sesen pun yang disumbangkan oleh warga asing. Punyalah busuk hati rakyat kita dengan warga asing sampai mereka tak boleh atau enggan melihat kebenaran. Nak label aku penjilat warga asing? Silakan. Nak aku ambil mereka bawa balik rumah? Entah-entah rumah kau pun mereka yang bina. Aku tak bezakan sangat pun warganegara dengan warga asing. Tak diajar dalam Islam untuk membeza-bezakan antara manusia. Kita semua hamba yang hina. Maka, renung-renungkanlah. 

Maka, hujah bahawa warga asing tidak layak untuk mendapatkan kemudahan seperti warganegara Malaysia kerana mereka tidak membayar cukai adalah dengan ini, patah. Aku tidak kisah mereka dikenakan caj warga asing. Tapi, jika ada dalam kalangan mereka yang memerlukan dan tidak mampu, manfaatkanlah hasil kutipan SST dan labour tax untuk membayar bil mereka. Realitinya, tiada wang rakyat yang digunakan dan kita pun menikmati hasil daripada warga asing, bukan sahaja dari segi SST dan levi, malah hasil seperti bangunan, tanaman dan sebagainya.

Seterusnya, tahukah anda bahawa warga asing juga bukanlah semua mereka tidak membayar bil hospital? Mereka yang bayar adalah lebih ramai daripada mereka yang tak bayar. Hasil daripada bayaran oleh warga asing yang diterima oleh kerajaan adalah hampir RM200 juta setahun, menghampiri hasil daripada warganegara. Perlu ditekankan di sini bahawa populasi mereka lebih sedikit dan caj mereka lebih tinggi. Ini juga merupakan lagi satu contoh di mana warga asing menyumbang kepada hasil negara.

Tapi, akan ada pula yang mengatakan bahawa hasil itu semua menjadi hak warganegara. Pula dah? Sekejap kata mereka yang membayar cukai saja layak dapat kemudahan, kini kata walaupun mereka membayar cukai, mereka tak layak dapat kemudahan kerana mereka bukan warganegara? Aku pun tergamam. Tapi, ada saja senario di mana kemudahan diberikan kepada warga asing, seperti kes baru-baru ini. Masa tu tak ramai pula yang pertikaikan warga asing menikmati hasil cukai. Alasan apa pula? Kerana mereka berperangai baik dan akan kembali semula ke negara mereka? Dalil mana yang kalian kutip yang mengatakan hanya orang baik saja yang layak dibantu? Rakyat Malaysia yang jahat pun ada saja yang dapat kemudahan ini. Bercakap pasal kembali semula pula, ada saja dalam kalangan mereka yang tinggal di sini. Mereka ini tak layak dibantu ke? Padahal ada saja yang sokong mereka ini. 

Bantulah mereka yang perlu tanpa mengira apa pun waima perangai, bangsa, kewarganegaraan, umur, latar belakang dan lain-lain. Tidak lokek pun berkongsi rezeki. Jika nak bising pasal isu duit cukai, banyak lagi contoh pembaziran wang cukai rakyat. Untunk membayar hutang 1MDB misalnya. Tak bising pula. Haih masyarakat.

Hakikatnya, tunggakan bil warga asing itu sangat umum. Maka, susah untuk menghakimi mana-mana golongan. Boleh jadi ramai yang culas bayar bil adalah golongan ekspatriat, pelancong dan pelajar asing dan bukannya pelarian mahupun migran. Tunggakan tersebut juga merangkumi tunggakan oleh mereka yang stateless atau tanpa sebarang kewarganegaraan. Mereka ini bukanlah bukan warganegara tapi yang dinafikan hak kewarganegaraannya. Mereka ini bukanlah warga asing tapi rakyat Malaysia sendiri. Mereka lahir dan menetap di sini sejak beberapa generasi tapi tidak mempunyai kewarganegaraan akibat beberapa faktor seperti dokumentasi. Yang banyak terkesan adalah Orang Asli, orang asal dan orang India. Mereka ini tidak boleh bekerja secara sah kerana tidak mempunyai kewarganegaraan. Bayangkan ya. Sedangkan warga asing pun boleh bekerja di Malaysia secara sah. Mereka ini tidak boleh, mengakibatkan mereka tidak mampu membayar bil. Mereka juga dikenakan caj warga asing di fasiliti kesihatan, memandangkan ketiadaan kewarganegaraan. Itu sebabnya bil ini tinggi di Sabah², memandangkan populasi stateless di sana sangat ramai. 

Maka, adalah tidak adil untuk memukul rata semua warga asing, lebih-lebih lagi pelarian dan migran sedangkan tunggakan itu berlaku disebabkan oleh kegagalan kerajaan kita sendiri dalam menyelesaikan isu statelessness. Percayalah, jika selesai, hanya berapa saja tunggakan yang tinggal. Tunggakan tersebut pula boleh dibayar oleh kerajaan bagi pihak warga asing dengan menggunakan hasil kutipan seperti levi tahunan. Sejujurnya, jika mereka tidak menyumbang apa-apa hasil pun, aku rela duit cukai aku digunakan untuk membayar bil mereka yang miskin dan perlu, berbanding golongan kaya. Banyak lagi juga contoh pembaziran cukai sebenar oleh pihak kerajaan, tapi yang dihentam hanyalah "pembaziran" membayar bil warga asing. 

Bercakap mengenai tunggakan ni, ada perbezaan dalam jumlah tunggakan yang dilaporkan. Ada yang mengatakan RM100 juta pada awalnya. Namun, lebih kurang sebulan kemudian, Timbalan Menteri Kesihatan mengatakan bahawa jumlahnya adalah RM40 juta³. Beliau menekankan bahawa angka RM100 juta itu adalah palsu. Tambah beliau, fasiliti kesihatan di Wilayah Sabah mencatatkan jumlah tertinggi dalam tunggakan bil perubatan yang tidak dibayar. Perlu ditekankan bahawa ini adalah jumlah tunggakan keseluruhan dan bukannya tahunan. Walaupun angkanya masih banyak, bukankah penyebaran berita palsu membuktikan bahawa tujuan utama golongan terpaling pro-warganegara ini adalah untuk menyebarkan kebencian?

Menurut KKM juga, warga asing dari negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jerman, Finland, Singapura dan Jepun juga tidak lari dari culas menjelaskan bil hospital. Antara kes popular ialah seorang warga UK yang berjanji untuk melunaskan bil hospital berjumlah RM20k setelah pulang ke negaranya. Dia ditimpa kemalangan jalan raya dan dikejarkan ke sebuah hospital di Lembah Klang. Dia masih belum membayarnya sehingga ke hari ini. Namun, kurang kebencian terhadap warga asing dari UK. 

Selain itu, tidak mustahil pun ada rakyat kita sendiri yang lari daripada membayar bil. Cumanya, perlukan data untuk perkara ini. Dan seperti yang dibincangkan sebelum ini, tunggakan ini merangkumi pekerja migran (ada dokumen dan tiada dokumen), pelarian, pelancong, pelancong kesihatan, golongan tanpa kewarganegaraan dan sebagainya yang dikategorikan secara am sebagai warga asing. Tiada statistik golongan demi golongan. Maka, tidak adil untuk sebarkan naratif bahawa seolah-olah hanya kumpulan tertentu seperti pelarian yang mengelak daripada membayar bil. Tapi, portal berita seperti Berita Harian mendakwa golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mempunyai tunggakan tertinggi, tidak selari dengan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tunggakan ini juga sebegitu banyak kerana caj bagi warga asing telah meningkat secara mendadak, menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu membayarnya. Aku rasa perlu ada empati bagi golongan sebegini dengan sekurang-kurangnya meminta mereka untuk membayar semana yang mampu, daripada tak bayar langsung. 

Kemudian, marah orang tak bayar bil, tapi tak benarkan mereka untuk bekerja secara sah. Macam mana mereka nak bayar bil kalau begitu? Cuba pilih nak yang mana satu. Tak boleh nak dua-dua. Sama ada benarkan mereka bekerja secara sah untuk bayar bil, atau tolong bayarkan bil mereka. Kebanyakan pekerja migran pula menerima upah yang sangat minimum, menyebabkan mereka tidak mampu membayarnya. Salah merekakah atau majikan yang tidak membayar gaji yang bermaruah? Aku rasa perlu ada perbezaan caj bagi kategori warga asing. Golongan seperti pekerja migran yang underpaid dan pelarian yang tidak dibenarkan pekerja wajar dikenakan caj yang lebih rendah berbanding warga asing lain seperti pelancong yang sudah tentu mempunyai wang.

Di Twitter (kini dikenali sebagai X) tengah bermaharajalela disinformation berkenaan warga asing. Isu asalnya ialah ada yang mendakwa bahawa pemegang kad UNHCR mendapat diskaun caj rawatan sebanyak 50%. Ini hanya separa benar dan ia telah diperbetulkan oleh seorang pengguna. Mereka dapat diskaun daripada caj rawatan warga asing. Bukannya caj rawatan warganegara yang serendah RM1 dan mereka hanya perlu bayar 50 sen saja. Tapi, kenyataan beliau diputar-belit oleh netizen yang mendakwa semua warga asing menikmati diskaun tersebut dan menganggap bahawa diskaun tersebut adalah diskaun daripada caj warganegara. Ini kenyataan yang jelas berniat jahat. Hanya pelarian yang berdaftar dengan UNHCR sahaja yang layak mendapat kemudahan tersebut. Pelarian lain dan warga asing lain masih perlu membayar caj rawatan penuh yang jauh lebih tinggi daripada warganegara. Mereka siap membandingkan caj rawatan di Malaysia dengan luar negara¹⁰. Memanglah caj rawatan warga asing di luar negara tinggi. Malaysia pun. Yang dapat diskaun hanyalah pelarian di bawah UNHCR dan di negara seperti Sepanyol dan Scotland, mereka ini tidak dikenakan sebarang caj langsung¹¹. Tak nak bandingkan ini pula ya?

Ada satu lagi solusi yang paling konkrit pada hemat aku. Solusi ini dikemukakan oleh para ahli akademik di Universiti Malaya (UM)¹². Pada tahun 2019, kutipan SPIKPA atau Skim Insurans Perubatan Pekerja Asing adalah sekitar RM200 juta. Hasil ini secara mudahnya boleh digunakan untuk melunaskan tunggakan bil. Namun, hanya 10% sahaja yang dituntut, menyebabkan keuntungan besar buat syarikat insurans. Kadar tuntutan yang rendah ini berpunca dari kurangnya kesedaran. Pekerja tidak mengetahui manfaat jika mereka mengambil insurans ini dan bagaimana mereka boleh menuntutnya. Adalah penting untuk meningkatkan kesedaran berkenaan kewujudan skim ini untuk memastikan wang ini pergi kepada kerajaan dan bukannya syarikat swasta¹³. Disarankan agar kad insurans SPIKPA diwujudkan dan risalah yang mengandungi penerangan mengenai manfaat skim ini dan proses menuntut insurans diedarkan.

Pihak ahli akademik UM mencadangkan agar duit insurans ini dikutip oleh kerajaan seperti di Thailand¹⁴. Skim insurans yang dikawal oleh pihak kerajaan mengurangkan bebanan kewangan warga asing, selain membantu KKM melunaskan bil yang tertunggak oleh warga asing.

Mereka juga mencadangkan agar hasil yang dikutip iaitu levi tahunan pekerja asing digunakan untuk menampung bil tertunggak dalam kalangan warga asing yang tidak mempunyai insurans. Hasil kutipan ini boleh disalurkan semula kepada KKM sebagai sumber pembiayaan bagi mereka yang tidak mempunyai insurans seperti pekerja ladang, undocumented workers, selain pelarian dan pencari suaka.

Ada lagi beberapa solusi lain yang boleh diteroka. Benarkan mereka bekerja secara sah, sekurang-kurangnya dalam sektor yang memerlukan pekerja tapi tiada pekerja tempatan yang mahu. Berikan sedikit subsidi buat mereka yang berpendapatan rendah dan tidak bekerja. Caj warga asing penuh masih boleh dikenakan kepada warga asing yang kaya atau ekspatriat.

Suatu tabung juga boleh diwujudkan dengan menyalurkan hasil kutipan cukai tenaga kerja terutamanya, ke dalamnya. Dana tersebut boleh digunakan untuk membiayai mereka yang memerlukan namun tidak mampu. 

Kerajaan juga boleh menandatangani perjanjian dengan kerajaan negara lain yang mempunyai warga yang banyak berhutang dengan kita seperti UK, AS, Singapura, Finland, Jerman dan Jepun untuk mereka membayar tunggakan bil warganegara mereka. Warganegara mereka kemudiannya sekurang-kurangnya akan berhutang pula dengan kerajaan masing-masing. Namun, langkah ini pada hemat aku hanya sesuai untuk golongan seperti pelancong dan ekspatriat. Ini kerana bagi golongan pelarian, situasi di negara mereka sendiri pun bergolak. 

Mahu atau tak mahu, keengganan kita untuk membolehkan mereka yang miskin mendapatkan rawatan yang sewajarnya akan mengakibatkan kesan sosial yang jauh lebih buruk. Menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan kepada warga asing yang miskin boleh mengelakkan berlakunya kekacauan sosial dan ketidakstabilan dalam negara. Apabila warga asing merasakan bahawa mereka dilayan dengan baik, mereka lebih akan berintegrasi dalam komuniti dan menyumbang kepada masyarakat setempat. Jaminan ini juga akan mengelakkan penularan wabak penyakit yang boleh merisikokan warga tempatan. Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti pekerja asing, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa akses kepada rawatan yang baik juga, warga asing akan menunggu sehingga keadaan menjadi sangat kritikal untuk mendapatkan rawatan, menyebabkan kebanjiran wad kecemasan dan membebankan sistem kesihatan negara. Pelabur juga mungkin teragak-agak untuk melabur di Malaysia. Imej negara akan tercemar dengan masyarakat antarabangsa menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang hanya mahukan khidmat warga asing tanpa melayan mereka dengan baik. Pelancong juga mungkin mengelakkan diri daripada berkunjung ke Malaysia kerana risau akan menerima kecaman hebat. 

Pengecualian sosial dan keterdesakan ekonomi mungkin memaksa mereka melakukan jenayah seperti mencuri atas tujuan untuk meneruskan kehidupan. Hal ini boleh meningkatkan kadar jenayah, seterusnya mengancam keselamatan orang tempatan. Mereka yang dinafikan hak untuk bekerja secara sah pula mungkin akan bekerja secara haram dan upah mereka juga tidak dikenakan cukai. Keburukan tidak menerima cadangan-cadangan yang dikemukakan melebihi manfaatnya. 

Kesimpulannya, janganlah anti sangat dengan golongan warga asing. Jika mereka tidak layak dicaj sebagai warganegara, lunaskanlah hutang mereka yang lain dengan menggunakan hasil daripada golongan mereka juga. Malah, ia secara tidak langsung turut membantu rakyat kita sendiri.


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...