Sunday, 25 August 2024

NAIKKAN CAJ RAWATAN RM1?

Masyarakat kita ini pelik. Apabila pelarian yang memegang kad UNHCR diberikan diskaun 50% daripada caj rawatan warga asing, mereka bising. Hujah mereka ialah diskaun hanya layak diberikan kepada warganegara Malaysia (yang memang sudah menikmati caj murah). Akan tetapi, golongan sebegini jugalah yang menyokong cadangan untuk menaikkan caj rawatan di Klinik Kesihatan dan yang seangkatan dengannya. Pelik bin Janggal.

Sistem penjagaan kesihatan universal bukanlah sesuatu yang negatif. Malah, ia diadaptasi oleh negara-negara termaju di dunia, seperti kelompok negara Nordik yang terdiri daripada Denmark, Finland, Norway dan Sweden. Negara-negara ini berada di kedudukan tertinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia.

Antara hujah yang sering diulang oleh mereka adalah kerana sistem kesihatan awam negara kini mempunyai masalah dana. Oleh itu, adalah wajar untuk caj rawatan dinaikkan. Hujah ini sebahagiannya benar dan aku sedikit bersetuju. Namun begitu, tahukah anda bahawa langkah ini takkan mendatangkan kesan yang besar jikalau caj rawatan yang dikutip tidak dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia?

Di Malaysia, segala hasil kerajaan akan dimasukkan ke dalam sebuah akaun yang diberi nama Akaun Wang Disatukan atau Consolidated Fund. Sekiranya hasil yang dikutip daripada caj rawatan tersebut tidak dikembalikan semula kepada KKM semasa pembentangan belanjawan tahunan, tiada guna pun.

Langkah yang lebih bijak adalah untuk menggesa kerajaan agar menyalurkan lebih banyak dana kepada KKM melalui bajet tahunan. Negara kita bukannya tiada duit. Namun, duit disalurkan kepada perkara yang tidak/kurang penting. 

Sistem kesihatan awam negara mengalami ancaman bukan kerana ianya percuma (ini tidak betul, warganegara masih perlu membayar caj rawatan, dan warga asing masih perlu membayar caj rawatan yang tinggi), tetapi kerana kerajaan tidak menyalurkan dana yang mencukupi kepada KKM. Seperti yang disebutkan sebelum ini, banyak saja negara yang mengadaptasi sistem ini. Mereka berjaya berbuat demikian kerana kerajaan menyalurkan dana yang cukup. Dana pula dikutip daripada rakyat mengikut pendapatan mereka. Tapi di Malaysia, orang kaya pun mengelat daripada membayar cukai. 

Menaikkan caj kesihatan hanya akan membebankan mereka yang miskin. Seolah-olah mengatakan bahawa orang miskin dilarang sakit. Perlu ditekankan bahawa penyakit berpunca daripada pelbagai faktor dan bukannya hanya pesakit yang tak reti menjaga kesihatan.

Jika kemaruk sangat nak suruh naikkan caj rawatan pun, kemukakanlah cadangan yang cerdik sikit. Misalnya, naikkan caj rawatan mengikut tangga pendapatan. Semakin tinggi pendapatan seseorang, semakin tinggi caj yang perlu mereka bayar. 

Kemudian, mai pula hujah lain. Kata mereka, ramai yang salah gunakan kemudahan tersebut, seperti pergi ke jabatan kecemasan walaupun tidak ada kecemasan. Kebanyakan contoh yang mereka kemukakan tidak langsung menjurus kepada penyalahgunaan pun. Kebanyakan orang miskin hanya kurang pendedahan. Dan kalau mereka merasakan bahawa perkara itu mencemaskan, siapa kita untuk menafikan perasaan mereka? Nak suruh mereka ke klinik, klinik mana saja yang buka pada waktu malam? Nak suruh mereka hanya makan Panadol saja, kosnya pun bukannya murah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang susah. Jika benarlah sekalipun ada yang betul-betul menyalahgunakan kemudahan ini, wajarkah kita menghukum semua orang akibat perbuatan beberapa orang individu? Isu ini agak peribadi bagi aku memandangkan aku sendiri pun kadangkala tak pergi janji temu kerana tiada wang.

Berbicara pasal wang, jangan ingat kos rawatan di negara ini hanya RM1 saja ya. Pengalaman aku sendiri, kos untuk satu sesi rawatan saja boleh mencecah puluhan ringgit. Caj rawatan untuk bertemu dengan pakar pun bukan RM1 ya, tapi RM5. Ini tak termasuk kos pengangkutan, kos kehilangan gaji akibat cuti dan sebagainya. Ada yang perlu hantar anak ke pusat jagaan semasa mereka pergi ke janji temu. Itu makan kos juga. Disebabkan ini jugalah ramai yang tak nak dapatkan rawatan walaupun nampak macam dah cukup murah. Itupun tergamak nak naikkan lagi kos. Itupun ada hati nak kata penjagaan kesihatan di negara ini percuma. 

Yang peliknya, ada juga doktor yang kongsi pemikiran sama. Aku faham kau underpaid, tapi cadangan yang kau sokong ni takkan manfaatkan kau pun. Silap haribulan, dana yang dikutip tu akan digunakan untuk naikkan gaji politikus. 

Berbalik semula kepada isu salah guna jabatan kecemasan, ada juga doktor yang beranggapan sama. Persoalannya, mana tahu pesakit salah guna dengan niat? Jangan sesuka hati ingat pesakit akan datang ke jabatan kecemasan kalau tiada rasa cemas¹. Nak pergi ke jabatan kecemasan tu pun makan masa, tenaga dan wang untuk kos pengangkutan. Yakinkah anda mereka dengan sengaja dan dengan niat, menyalahgunakan jabatan kecemasan? Anda tu doktor tau. Bukan tugas anda untuk menghakimi pesakit. Kalau rasa isu ini perlu diselesaikan, bisinglah pada orang atasan anda. Bukannya sebarkan kebencian terhadap orang miskin! Jangan menyalak pada pokok yang salah! 

Sementara kalian sibuk mengecam mereka yang juga mangsa keadaan, mereka yang berada di atas enak menggoyangkan kaki. Mereka juga ada yang menerima gaji yang lebih tinggi berbanding pegawai perubatan.

Solusi sebenar bagi segala isu ini adalah:

1. Semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi cukai pendapatan.
2. Sekurang-kurangnya 5% daripada KDNK hendaklah disalurkan kepada KKM. 

Perbincangan mengenai isu ini juga menyebabkan ramai yang mula bersuara mengenai pengalaman mereka di jabatan kecemasan, dengan ada yang ditolak kerana kononnya perkara remeh, tapi akhirnya dibuktikan sebaliknya. Jadi aku rasa daripada orang sibuk menuduh orang salah guna jabatan kecemasan tanpa bukti kukuh, baik fokuskan isu ini yang lagi mengancam nyawa.

Cakap pasal bukti, kajian polisi kesihatan menunjukkan bahawa orang miskin ni jangankan salah guna jabatan kecemasan, rawatan pun mereka tak mahu dapatkan sebab tak mampu. Ini data sebenar ya. Orang miskin takut untuk dapatkan rawatan kerana stigma sosial.

Kebanyakan tuduhan penyalahgunaan ini sebenarnya tidaklah teruk mana. Bukanlah pesakit sampai datang ke jabatan kecemasan setiap hari pasal isu sama. Lagi satu, bukan ke boleh laporkan polis kes-kes sebegini? Kalau tak boleh, patut bolehkan ia. Kalau dah boleh, kenapa tak laporkan? Kenapa perlu hukum orang ramai yang tak tahu apa akibat tindakan segelintir individu? 

Berbalik kepada isu pesakit yang sebenarnya kritikal ditolak oleh jabatan kecemasan, ada istilah untuk fenomena ini yang dinamakan medical gaslighting²,di mana para doktor yang merasakan mereka serba tahu, tidak menghiraukan keadaan pesakit. Ramai golongan wanita yang menjadi mangsa. Itu belum cerita pasal bias bangsa, darjat dan sebagainya. Apabila pesakit datang ke jabatan kecemasan ditolak, tapi apabila tahu pesakit ada ahli keluarga yang juga ada latar belakang perubatan, terus terima. Adakah ini bukti bahawa doktor tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna?



No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...