Pada hemat aku, budaya ini adalah budaya tidak baik yang wajar diubah oleh kerajaan yang pro-reformasi. Ahli politik berjanji macam-macam apabila bertanding bagi jawatan sebegini namun pada akhirnya, gagal menunaikan janji-janji tersebut.
Ahli politik, lebih-lebih lagi seorang Menteri tidak sewajarnya memegang begitu banyak jawatan, apatah lagi jawatan yang wujud bersamanya konflik kepentingan. Sedangkan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pun perlu meletakkan jawatan lain yang disandangnya sebelum layak bertanding, mengapa tidak Menteri?
Politikus pun bukan hanya memegang jawatan sebagai Menteri, malah ada jawatan penting dalam parti. Menyandang terlalu banyak jawatan secara logiknya memerlukan banyak masa dan tenaga yang mungkin menjejaskan prestasi seseorang itu.
Jawatan seperti presiden persatuan bola sepak pula memerlukan pemimpin yang ada pengetahuan dan pengalaman spesifik berkenaan bola sepak, dan bukannya individu yang fokus utamanya ialah jawatan lain.
Amalan ini turut berisiko menyumbang kepada rasuah, dengan politikus menyalahgunakan posisi mereka untuk kepentingan peribadi dan politik. Ini termasuklah memanipulasi keputusan berkaitan bola sepak untuk memanfaatkan diri mereka, sekutu mereka dan kerjaya politik mereka, lebih daripada sukan itu sendiri.
Praktis ini juga menghalang peluang orang lain yang lebih layak menjawat jawatan penting. Memegang terlalu banyak jawatan juga boleh menjurus kepada burnout, mengurangkan kecekapan dan keberkesanan pembuatan keputusan. Ia juga boleh menyumbang kepada proses pembuatan keputusan yang lembab, menatijahkan dampak buruk.
No comments:
Post a Comment