Thursday, 22 August 2024

HAD TEMPOH JAWATAN WAKIL RAKYAT

Sejak Pilihanraya Umum ke-15 pada hujung tahun 2022, kita telah menyaksikan sebelas Pilihanraya Kecil (PRK) di mana tujuh daripadanya merupakan PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bakinya merupakan PRK bagi Dewan Rakyat. Dari sebelas PRK ini juga, kira-kira enam daripadanya diadakan kerana kematian penyandangnya. Persoalannya, bagaimanakah isu ini boleh diselesaikan?

Bagi penjawat awam dan kebanyakan pekerja lain, apabila mencecah umur 60 tahun atau umur lain, mereka diwajibkan untuk bersara. Namun, perkara ini tidak terpakai bagi ahli politik. Ada juga yang menjadikan ahli politik sebagai kerjaya selepas bersara daripada profesion mereka. Misalnya, ada yang merupakan bekas tentera, bekas guru dan bekas doktor. Seperti yang kita sedia maklum, semakin meningkat umur seseorang itu, semakin dekat dia dengan kematian. Warga emas juga terdedah kepada penyakit-penyakit yang boleh membawa maut, terutamanya penyakit berkaitan jantung.

Meskipun ada polisi seperti pemeriksaan kesihatan secara kerap bagi wakil rakyat, sejauh manakah keberkesanan pendekatan ini? Adakah wakil rakyat tersebut akan diminta untuk meletakkan jawatan? Di Malaysia, kebanyakan universiti mempunyai polisi kemasukan yang menghalang sesetengah individu yang mempunyai penyakit daripada diterima masuk. Alasannya ialah mereka ini dikhuatiri tidak akan menghabiskan pembelajaran. Untuk rekod, aku menentang polisi ini. Akan tetapi, mengapa polisi sebegini tidak terpakai bagi mereka yang hendak menjadi wakil rakyat? Kesannya lebih besar, dengan pengeluaran wang yang lebih banyak bagi tujuan PRK.

Bagi menyelesaikan isu ini, ada dua solusi yang mungkin boleh dilaksanakan.

Solusi pertama adalah dengan mengehadkan tempoh memegang jawatan wakil rakyat bagi ahli politik yang melepasi umur persaraan semasa bertanding kepada dua penggal sahaja. Selain itu, ahli politik yang berada di bawah umur persaraan tapi melebihi umur belia pula perlu dihadkan tempoh memegang jawatan wakil rakyat kepada lima penggal. Manakala, ahli politik belia wajar dibenarkan untuk memegang jawatan selama tujuh penggal. Solusi ini walaupun agak kompleks untuk dilakukan, merupakan solusi terbaik pada pendapat aku.

Solusi kedua berbentuk lebih mudah iaitu melarang ahli politik yang melepasi umur persaraan atau umur 70 tahun daripada bertanding. 

Ada yang mengatakan solusi kedua ini merupakan diskriminasi umur. Akan tetapi, diskriminasi umur turut terpakai bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun. Bagi Dewan Negara pula, hanya mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas sahaja boleh dilantik. Mereka ini semuanya secara realitinya didiskriminasi atas umur mereka. Namun, atas sebab yang munasabah. Begitu juga dengan menetapkan had umur wakil rakyat. Sedangkan penjawat awam pun ada umur persaraan, mengapa tidak wakil rakyat? Wakil-wakil rakyat ini masih boleh menyumbang kepada negara mereka melalui pendekatan lain. 

Langkah-langkah ini bukan sahaja mampu mengelakkan berlakunya keperluan untuk mengadakan PRK akibat kematian penyandangnya, malah mengalakkan pembaharuan kepimpinan dengan kerap. Kini, negara masih dipimpin oleh generasi pemimpin masa lalu. Drama politik masa lalu juga masih membelenggu negara kita. Hal ini sudah semestinya membantutkan perkembangan negara ke arah yang lebih baik. Malaysia sewajarnya dipimpin oleh pemimpin muda berpemikiran segar, tahu keperluan semasa dan yang lebih penting, kurang berisiko daripada meninggal dunia semasa menjawat jawatan.

Ada juga cadangan yang lebih kompleks seperti mengubah sistem pengundian pilihan raya untuk menjadikan sesuatu kerusi itu milik parti. Apabila penyandangnya meninggal dunia, parti boleh meletakkan individu baru untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. Setidaknya, semasa pilihan raya, setiap calon boleh mempunyai calon pengganti yang turut bertanding bersama. Apabila berlakunya kekosongan, calon pengganti ini akan mengisinya.

Bercakap mengenai parti, parti-parti politik juga perlulah memainkan peranan dalam mengelakkan isu ini dengan mencalonkan calon-calon yang lebih muda.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...