Nota: Sila baca artikel ini untuk hadam, bukan untuk hentam.
Ada yang kata bahawa jangan samakan kedua-dua isu tersebut. Aku setuju. Kenapa? Terkejut? Aku setuju sebab memang terdapat beberapa perbezaan yang ketara. Antaranya ialah satu isu berlaku jauh dari Malaysia, manakala yang satu lagi berlaku berhampiran dan di dalam Malaysia.
Tapi ini bukanlah sebab mengapa orang kata jangan samakan kedua-dua isu ini. Sebab yang kerap mereka bangkitkan adalah kerana perangai orang di sana tidak sama seperti orang Rohingya. Mereka enggan melayan golongan Rohingya seperti manusia dan menyifatkan mereka tidak layak dibantu kerana mereka mengatakan bahawa golongan ini berperangai buruk.
Sekejap. Semua merekakah? Statistik jenayah di Malaysia menyatakan bahawa jenayah banyak dilakukan oleh orang tempatan. Malah, apabila seseorang orang tempatan berperangai buruk, jarang kita bercakap mengenai bangsanya kecuali beberapa bangsa minoriti tertentu yang sering menjadi sasaran golongan rasis.
Pernahkah kita terfikir, mengapa mereka berkelakuan sedemikian? Bukan mereka sahaja, malah manusia-manusia lain yang mempunyai perangai yang kurang baik. Adakah ia disebabkan oleh bangsa mereka? Mereka lahir-lahir terus berperangai buruk dan tak boleh diubah?
Jawapan utamanya ialah ketiadaan akses kepada pendidikan. Yalah, cuba fikir sejenak. Orang yang tak diajar, macam mana dia tidak kurang ajar? Sedangkan masyarakat kita yang dah cukup diajar pun ada yang masih kurang ajar. Kita sebagai satu masyarakat perlulah menyeru agar mereka ini diberikan akses kepada pendidikan yang sempurna. Bukannya menghina mereka, apatah lagi menghalau mereka balik ke negara mereka di mana mereka tidak dialu-alukan.
Tapi betul ke dengan pendidikan mereka akan berubah? Belum cuba belum tahu bukan? Jangan bimbang, ada yang dah cuba dan memang terbukti pendidikan memainkan peranan dalam membentuk kelakuan seseorang. Ada yang dah cuba didik mereka dan memang berkesan. Pengalaman mereka dikongsikan di media sosial. Ada yang menerima ucapan hari lahir dari pelajar Rohingya. Anak murid yang kini sudah berpindah ke negara lain juga tidak lupa untuk bertanya khabar kepada bekas guru mereka. Sangatlah beradab jika nak dibandingkan dengan perangai sesetengah orang kita. Ada yang mesej pensyarah pun tak beri salam. Terdapat dalam kalangan mereka yang kini menetap di negara majoriti bukan Islam. Soalan yang kita patut tanya: Tak malukah kita apabila saudara seagama kita hidup lebih baik di negara majoriti bukan Islam berbanding negara majoriti Islam? Tak risaukah kita saudara seagama kita dibesarkan dalam persekitaran sedemikian—di sekeliling orang bukan Islam—berbanding dengan saudara seagama mereka sendiri?
Di kesempatan ini juga aku ingin mengajak para pembaca untuk meletakkan diri dalam kasut golongan Rohingya. Mereka sudah bergenerasi tidak dilayan seperti manusia, terpaksa lari dari negara mereka, dinafikan hak asasi manusia. Jika anda berada di tempat mereka, adakah anda rasa anda akan berkelakuan bak malaikat? Sedangkan mereka yang berada dalam kasut yang lebih selesa pun berperangai lebih buruk daripada iblis.
Sejujurnya dahulu pun aku pun bersikap agak "anti" terhadap mereka ini. Namun, setelah aku mendalami isu mereka, aku berubah fikiran. Tiada yang salah pun untuk ubah fikiran.
Kenyataan yang kerap mereka ajukan kepada yang lantang bersuara demi Rohingya ialah kenyataan seperti "bawa mereka duduk rumah kau."
Aku tak faham sikap segelintir orang kita yang jenis marah tak tentu pasal, tak kena pada tempatnya dan pada pihak yang salah. Mereka yang memperjuangkan isu ini juga mahukan yang terbaik untuk orang tempatan. Tiada pun mereka mengendahkan pengalaman orang kita. Tapi mereka dilabel macam-macam pula. Mereka bukan sahaja dah cadangkan polisi untuk menyelesaikan isu tersebut, malah turut terlibat dalam badan bukan kerajaan. Manakala yang lain pula hanya mampu mencerca perjuangan mereka tanpa mencadangkan solusi konkrit.
Bercakap mengenai pengalaman, ada saja yang mempunyai pengalaman positif apabila berinteraksi dengan golongan Rohingya. Tapi apabila pengalaman ini diceritakan, orang kita yang kononnya berpengalaman berinteraksi dengan golongan Rohingya tadi menepis realiti dan mendakwa bahawa golongan Rohingya berpura-pura baik di hadapan sesetengah orang. Fikirkan sejenak. Aku pun tak tahu nak hurai macam mana. Mereka mengata orang tak kisah pengalaman mereka (walhal kisah), tapi mereka juga yang invalidate pengalaman orang lain. Ada juga pengalaman dari aktivis di lapangan, guru, malah mereka yang tinggal berdekatan dengan komuniti ini. Tapi macam biasalah, tidak mendapat banyak sambutan, mungkin kerana tak sesuai digunakan untuk sebarkan kebencian, sampai masyarakat hanya nampak yang negatif saja. Mereka ini juga tinggal lama berdekatan golongan ini.
Mereka tak sedar bahawa apa yang mereka hadapi itu bertitik-tolak daripada kegagalan mereka sendiri sebagai sebuah masyarakat. Mereka hanya tahu mencerca orang lain dan menghina golongan tertindas tanpa mempertanggungjawabkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tuntas dan berkesan dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit. Aku pun tertanya-tanya juga, tak rasa penat ke asyik berinteraksi dengan pihak yang salah? Masalah masih tak selesai. Tak rasa nak ubah pendekatan ke? Aku rasa tak sebab pada hemat aku mereka ini tak kisah sangat pun pasal isu berkenaan. Hanya mahu menunjukkan sikap xenofobik mereka sahaja. Benci, benci, benci. Itulah perkataan yang di'highlight' dalam kamus hidup mereka. Akan ada yang terasa tapi cuba fikir kejap. Kalau orang ajak berhujah cara baik dan kau balas dengan kenyataan hostile, what does that says about you as a person, especially if you're a Muslim? Aku lihat dengan mata aku sendiri bagaimana orang yang berhujah dengan niat baik menerima kata carutan sana-sini. Kebanyakan yang berkelakuan sedemikian adalah beragama Islam, dan sudah hampir pasti menerima pendidikan yang sewajarnya. Itupun ada hati nak pertikai perilaku golongan Rohingya yang tiada akses kepada pendidikan. Tolonglah.
Semua ini takkan berlaku jika mereka ini tidak dibiarkan terkapai-kapai setelah dibawa masuk ke dalam negara. Tiada pekerjaan, tiada pendidikan. Hidup mereka tiada arah tuju. Kalau kau enggan percaya situasi sebegini menyumbang kepada kelakuan mereka, aku cabar kau besarkan anak kau dalam situasi sama. Jangan hantar dia ke sekolah terutamanya. Jangan juga didik dia sendiri. Baru kau tahu kenyataannya. Kenapa nak perli golongan yang memperjuangkan isu ini pula? Bagaimana dengan yang biarkan mereka dalam keadaan sebegitu? Mereka juga mangsa keadaan dan kegagalan kerajaan yang hanya tahu terima pelarian masuk tanpa sebarang perancangan. Tak nak kecam? Mestilah tidak sebab orang kita menjunjung golongan elit walhal golongan inilah yang menjadi punca pelbagai isu sosial. Hidup pun hanya mampu dan mahu menghentam golongan yang lemah saja, dan bacul nak bersuara menghentam autoriti. Tak cukup dengan itu, semua yang tak kongsi pemikiran kolot mereka dilabel sebagai orang Rohingya. Rasa macam kelakar pun ada.
Cakap pasal golongan elit, aku yakin ramai yang apabila ditanya siapa yang bawa masuk golongan Rohingya, mesti mereka tak tahu. Kejutan, mereka dibawa masuk oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak dan disokong oleh PAS di bawah pimpinan Hadi Awang. Kenapa tiada siapa yang hentam mereka ini? Tapi isunya bukanlah pasal bawa masuk, tapi bawa masuk tanpa perancangan rapi. Masuk-masuk saja mereka ini, tidak boleh bersekolah, tidak boleh bekerja. Mereka juga mangsa keadaan dan kegagalan kerajaan kita dulu. Nak marah? Marahlah pembuat polisi! Dah tahu tak mampu tanggung, bawa juga masuk atas alasan solidariti dan ingin meraih undi golongan konservatif pada ketika itu. Tapi, bawa masuk saja tanpa perancangan rapi. Ibarat ambil anak angkat, nafikan dia daripada bersekolah, tak bagi dia makan, kemudian bising apabila perangainya tak semengah dan apabila dia meminta makanan. Ini kita panggil gaslighting. Tiba-tiba, golongan sebegini dan mereka yang mempunyai ideologi sama dengan mereka (konservatisme), bersikap hostile terhadap golongan Rohingya. Dari bersolidariti, terus menyebarkan kebencian. Tanpa sedar segalanya berpunca daripada mereka sendiri dan gagal menyeru pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu secara harmoni dan tuntas.
Di kesempatan ini juga aku nak ingatkan juga bahawa saudara sebangsa, senegara, seagama kita juga sedang menjadi mangsa mentaliti sebegini di luar negara. Aku sangat tak faham sebenarnya mentaliti sesetengah orang kita yang menghukum sesuatu kaum akibat tingkah laku beberapa orang ahlinya. Bangsa kita jauh lebih banyak melakukan onar walaupun mempunyai akses pendidikan yang agak baik dan boleh bekerja secara sah. Tapi, tiada pula yang menghukum bangsa kita akibat perangai mereka yang berbuat onar. Kita pun akan marah apabila ahli bangsa lain menghukum bangsa kita dengan melalukan generalisasi seperti 'Melayu kaki rempit.' Kalau kau tak suka orang buat sebegitu dekat kau, kenapa kau buat dekat orang lain? Bukan itu saja, pemikiran sebegini juga diguna pakai oleh orang Melayu terhadap orang Melayu sendiri dari negeri berbeza. Ada saja yang menghukum semua orang Kelantan akibat perangai beberapa orang Kelantan yang mereka pernah tinggal bersama. Ada saja orang Kelantan yang dianggap mencuri peluang pekerjaan dari orang negeri lain.
Berbalik kepada perbincangan kita. Kita nafikan mereka hak kepada pendidikan dan hak untuk bekerja, tapi pada masa yang sama kita persoal perihal kelakuan mereka dan marah mereka mengemis, bising mereka tak bayar caj perubatan. Dah tu, kau nak mereka buat apa?
Jadi, apa solusinya?
1. Ratifikasi Konvensyen Pelarian
2. Rangka polisi pelarian yang baik
3. Benarkan mereka turut serta dalam masyarakat
4. Benarkan mereka untuk bekerja secara sah
5. Benarkan mereka untuk bersekolah
Tapi, rakyat kita sendiri pun hidup susah. Ini antara hujah yang menentang solusi-solusi ini. Dah tu, nak buat apa? Hantar mereka pulang ke negara mereka? Bukankah kita akan dikira bersubahat dengan rejim Myanmar kalau begitu? Di bawah undang-undang adat antarabangsa, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk tidak memaksa pulang pelarian ke situasi di mana nyawa atau kebebasannya terancam. Hal ini boleh dikira melanggar undang-undang adat antarabangsa jika dilakukan. Ia turut memakan kos yang tinggi. Pelarian juga berbeza dengan migran. Adalah lebih logik untuk meminta kerajaan agar menghantar pulang migran kembali ke negara asal mereka. Ini kerana migran tidak terancam nyawa dan kebebasannya jika kembali ke negara asal. Ini berbeza bagi pelarian. Maka, tunjukkanlah sedikit empati. Islam tak ajar kita tolak untuk berbuat baik kepada orang yang berkelakuan buruk, apatah lagi saudara seagama kita yang hanya berkelakuan sedemikian akibat penafian akses pendidikan dan pekerjaan oleh kita sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun melayan individu yang berkelakuan buruk dengan penuh lemah-lembut. Bukankah kita negara Islam? Atau sudah berubah? Tepuk dada, tanya iman.
Kita dah bawa mereka masuk, biarkan mereka terkapai-kapai, jadikan mereka lemah, tiba-tiba nak hantar mereka pulang? Kalian sedar tak betapa zalimnya idea ini? Malah sepatutnya kita meminta maaf kepada mereka kerana gagal menjadi saudara seagama yang baik. Kita nafikan mereka macam-macam, sebarkan kebencian terhadap mereka. Mereka bukan beban. Beban sebenar ialah golongan elit yang cukai pun tak reti bayar, kemudian hidup dengan hasil rakyat.
Tak kurang juga yang menipu, mengatakan kita dah bantu dan tolong mereka, tapi mereka tak mahu berubah. Sejak bila? Mereka masih tak boleh bersekolah dan bekerja. Kalau setakat terima masuk, itu bukan bantu. Kalau begitu, aku pun boleh ambil beratus-ratus anak angkat dan biarkan mereka hidup tanpa bantuan, lalu mendakwa bahawa aku dah bantu mereka. Apa kebendanya?
Cakap pasal menipu, manipulasi pun ada. Ada saja yang sebarkan maklumat yang bukan palsu tapi dalam cara yang memarakkan api kebencian. Contohnya, ada yang kongsi maklumat bahawa pegemang kad UNHCR mendapat diskaun 50% bil hospital. Ini bukan maklumat palsu, tapi, ada maklumat yang tertinggal. Diskaun tersebut adalah untuk caj bukan warganegara. Bukannya caj warganegara. Kalau dapat diskaun pun, caj yang mereka perlu bayar jauh lebih tinggi berbanding dengan kita. Misalnya, caj di klinik kesihatan. Bagi warganegara, ia hanya RM1. Tapi bagi bukan warganegara, ia mencecah RM160. Bagi pemegang kad UNHCR yang mendapat diskaun, mereka masih perlu membayar RM80. Tersangatlah banyak jika hendak dibandingkan dengan warganegara. Tambahan pula, mereka ini tidak dibenarkan bekerja di Malaysia. Kenapa kita marah mereka diberi diskaun kalau kita tak beri peluang untuk buat duit dan bayar bil secara penuh? Tak rasa jengkel ke? Tapi, kita boleh toleransi orang kaya yang tidak perlu membayar caj yang tinggi, hanya kerana mereka warganegara, walaupun ada antara mereka yang tak bayar mahupun mengelak daripada membayar cukai. Kan?
Deception dan manipulasi ini membuktikan kebanyakan mereka ini hanya mahu menyebarkan naratif kebencian terhadap golongan Rohingya. Dan orang ramai pula termakan umpan tanpa menggunakan pemikiran kritis untuk mengkaji dengan lebih lanjut. Sepatutnya bil ini dibayar oleh mereka yang membawa masuk pelarian tanpa perancangan rapi dan juga kalian yang tak mahu mereka bekerja tapi mahu mereka membayar bil. Caj ini juga jika tidak silap aku, ditanggung oleh UNCHR sehingga RM400 jika pemegang kad tidak mampu membayarnya. Bakinya pula masih perlu dibayar oleh pemegang kad itu. Tapi, jangan hairanlah jikalau dah dapat diskaun pun mereka masih tak boleh bayar. Mereka tidak bekerja. Ibarat kau jangka gelandangan akan mampu bayar bil hospital. Gelandangan warganegara pun hanya perlu membayar caj warganegara saja yang jauh lebih murah.
Ada yang sembang pula soal mereka ini tak bayar cukai. Memanglah, dah mereka tak dibenarkan untuk bekerja, nak bayar cukai macam mana? Dengan air liur? Daun? Kalian ni tak boleh berhenti dan berfikir dengan lebih dalam ke mengenai sesuatu isu? Kalau berhenti dan fikir sejenak kenapa orang Rohingya tak bayar cukai, kau takkan pertikai mereka tak bayar cukai. Tapi ada saja yang bayar cukai. Mereka mungkin tidak boleh bekerja tapi ada saja yang menerima sumbangan orang ramai, mahupun diambil bekerja oleh orang tempatan secara haram. Duit tersebut sudah pastu mereka habiskan untuk membeli barang keperluan yang menyumbang kepada ekonomi tempatan. Semua barang juga ada cukai. Apa? Kau ingat cukai hanya sejenis iaitu cukai pendapatan? Cukai jualan dan perkhidmatan atau SST, sejenis cukai tidak langsung berbentuk regresif, wujud di negara ini dan dibayar oleh hampir semua rakyat ya. Jadi, tiada isu tak bayar cukai. Cakap pasal tak bayar cukai, ada seorang individu tu yang cukai tertunggak sampai RM1 bilion lebih tapi tak langsung dinafikan daripada menikmati kemudahan hasil subsidi rakyat. Dan yang menikmati kemudahan ini bukan hanya warga Rohingya saja. Pelarian lain pun menikmatinya. Bukankah kalian sayang kepada pelarian yang berperangai mulia? Jadi, kenapa bantah polisi ini? Lagi dan lagi dan lagi, kalian dibuktikan tidak kisah wang subsidi anda disalahgunakan, tapi hanya ingin sebarkan naratif kebencian. Next.
Oh. Ada juga yang bangkitkan berita caj kesihatan warga asing yang tertunggak sehingga RM100 juta. Pertamanya, ini bukan tunggakan bagi seorang warga asing saja ya. Keduanya, statistik ini terlalu umum. Warga asing tidak semestinya pelarian dan migran. Ekspat juga boleh dikategorikan sebagai warga asing. Pelajar asing, pelancong dan pelancong kesihatan juga termasuk dalam kategori warga asing. Jadi sebelum nak buat apa-apa tafsiran, perlu ada data yang lebih terperinci dulu. Kemudiannya, di negara kita, mereka yang stateless juga dikategorikan sebagai warga asing. Walhal mereka ini kebanyakan rakyat Malaysia sendiri. Lahir di sini dan dah menetap di sini bergenerasi lamanya. Tapi, dinafikan hak kewarganegaraan. Sebenarnya kos ini berapalah sangat kalau nak dibandingkan dengan sumbangan yang diberikan oleh warga asing terhadap pembangunan negara kita. Dahlah mereka dibayar sedikit oleh orang kita sendiri. Sekali lagi, yang tertunggak cukainya sampai lebih RM1 bilion tiada isu sangat pula. Tunggakan cukai oleh seorang individu ya, bukan macam tunggakan warga asing tu yang melibatkan mungkin beribu-ribu mereka. Perlu ditekankan bahawa caj rawatan mereka juga lebih tinggi, menyumbang kepada kadar tunggakan yang tinggi, terutamanya bagi golongan yang tidak mampu membayarnya akibat penafian kita terhadap hak mereka untuk bekerja.
Ramai antara mereka ini tidak pun mendapatkan rawatan walaupun memerlukan, kerana tidak mampu membayar bil rawatan. Hanya beberapa sahaja yang mendapatkan rawatan. Itupun, kerana terpaksa dan kerana tidak mampu untuk bayar, ada dalam kalangan mereka yang tak bayar bil. Tapi, kita tidak sewajarnya memarahi mereka, kerana jika mereka tidak mendapatkan rawatan, mungkin kita juga akan terkena tempiasnya. Namun, tunggakan ini secara mudah boleh diselesaikan dengan menggunakan levi yang dikenakan terhadap warga asing yang mencapai RM 3 bilion setahun. Ya, orang asing bukan sahaja membayar cukai selain cukai pendapatan melalui pembelian barang, tetapi mereka juga menyumbang sebanyak RM3 bilikn levi tahunan buat Malaysia. Levi ini kadangkala dilabel sebagai cukai tenaga kerja, juga sejenis cukai. Jadi, tidak logik untuk mengatakan bahawa mereka tidak layak untuk menikmati kemudahan kerana tidak membayar cukai. Levi tahunan bagi seorang pekerja migran boleh mencecah hampir RM2 ribu setahun dan ditolak dari gaji mereka. Selain itu, pendapatan kerajaan daripada caj kesihatan warga asing juga boleh menampung tunggakan tersebut. Hakikatnya, ramai saja warga asing yang membayar caj tersebut, sehingga jumlah hasil yang dikutip daripada mereka menghampiri warganegara. Perlu ditekankan bahawa jumlah warga asing di Malaysia amatlah sedikit jika hendak dibandingkan dengan warganegara. Sejujurnya, aku tak kisah duit cukai aku dibelanjakan untuk membayar bil mereka ini, berbanding menanggung golongan mahakaya. Aku anggap ia hadiah kerana bekerja dengan gaji yang sedikit di Malaysia. Mereka pula bekerja dalam sektor yang tidak begitu mendapat tempat dalam kalangan orang kita, jadi kurang teoat untuk bangkitkan isu pencurian peluang pekerjaan. Kerja susah dan berat, gaji sedikit. Mereka lebih daripada layak untuk menikmati kemudahan ini. Jika tidak suka pendekatan ini, aku cadangkan upah mereka ditingkatkan dan mereka dikehendaki membayar cukai pendapatan, dengan syarat mereka mestilah mendapat manfaat sama seperti pembayar cukai warganegara, iaitu tidak perlu membayar caj warga asing.
Tahukah anda bahawa Malaysia hanya merupakan negara transit untuk para pelarian? Mereka akan ditempatkan semula di negara ketiga jika ada kekosongan. Jadi, tiada isu bahawa pelarian dan generasi mereka akan tinggal di Malaysia buat selama-lamanya. Mereka hanya berada di sini sehingga keadaan kembali selamat untuk mereka pulang ke negara asal. Jadi, kalau kau nak lihat perkara ini berlaku, perjuangkanlah agar perkara ini menjadi realiti. Mustahillah mereka tak mahu pulang ke negara asal mereka apabila ia sudah aman nanti. Ada dalam kalangan mereka yang masih mempunyai ahli keluarga di sana. Mereka juga kurang diterima di sini, jadi agak janggal untuk mereka tidak pulang pada waktu itu. Cumanya, kita kena bersama-sama bantu jadikan ini realiti. Bukannya mencela orang yang memperjuangkan isu ini, menyuruh mereka membela golongan Rohingya dan sebagainya. Kalau ikutkan pun bukan boleh sesuka hati ambil orang Rohingya duduk dengan kita. Tak dibenarkan oleh undang-undang. Agak pelik untuk golongan konservatif mengalakkan pelanggaran undang-undang, bukan?
Semasa mereka tinggal sementara di sini walau bagaimanapun, tetap perlu diberikan akses kepada pendidikan dan pekerjaan. Hal ini supaya mereka boleh belajar untuk tidak kurang ajar, membayar cukai, membayar bil hospital dan menyumbang kepada masyarakat tempatan. Mereka tidak merampas kerja daripada sesiapa¹, lebih-lebih lagi anak cucu kita yang belum tentu akan menyaksikan situasi di Myanmar masih bergolak. Jika ada yang perlu dipersalahkan mengenai kekurangan peluang pekerjaan, ia adalah mereka yang enggan mengambil pekerja dan menggantikan mereka dengan mesin seperti AI dan robot. Marahlah kepada pihak yang betul. Kerajaan juga baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman dengan India untuk membawa masuk pekerja migran². Tapi, kurang tentangan daripada golongan konservatif. Dan sebenarnya, keadaan ini membuatkan kita berfikir, adakah Malaysia kekurangan tenaga kerja? Hakikatnya, negara kita juga merupakan antara negara yang berisiko mengalami kekurangan tenaga kerja pada masa hadapan. Penerimaan beberapa pelarian mahupun migran ke dalam masyarakat secara realitinya boleh membantu menyelesaikan masalah ini.
Ramai rakyat Malaysia yang risau pasal mereka ini menggunakan hujah bahawa jika mereka melakukan sesuatu kesalahan, mereka sukar dikesan sebab tiada dokumentasi. Dah tu, kenapa tak gesa kerajaan untuk ratifikasi Konvensyen Pelarian dan dokumentasi mereka semua? Kalian mahukan apa sebenarnya? Tak mahu mereka bersekolah, tapi mahu mereka berperangai seperti orang bersekolah. Tak mahu mereka mengemis dan diberi diskaun, mahu mereka bayar bil hospital, tapi tak mahu benarkan mereka bekerja. Logik tidak melogik.
Cakap pasal rakyat sendiri, tak ramai pun yang dari golongan ini yang turut memperjuangkan nasib rakyat susah. Golongan mahakaya masih disanjung, malah golongan bawahan saling memerli antara satu sama lain. Kemudian, sejak bila pendekatan ini diajar oleh Islam? Utamakan rakyat sendiri, hanya perlu bantu mereka yang berperangai baik? Saban tahun negara kita mengeluarkan sebahagian wang bagi tujuan membantu rakyat asing. Tiada isu pula? Cakap pula pasal perangai baik, individu seperti Najib Razak pun boleh diampunkan. Mengapa tidak golongan Rohingya yang kita sendiri aniayai?
Ada dalam kalangan penduduk Malaysia juga tiada akses kepada pendidikan dan pekerjaan, tidak boleh mengambil lesen memandu, tidak boleh buka akaun bank dan sebagainya. Golongan ini digelar golongan tanpa negara (stateless). Ramai Orang Asli dan pribumi serta orang India yang berada dalam golongan ini. Tapi kurang diperjuangkan juga oleh golongan konservatif dan masih tidak selesai. Mereka ini juga dikategorikan sebagai PATI di Malaysia, membuatkan mereka juga termasuk dalam statistik bil kesihatan tertunggak. Tapi, mereka juga sama, seperti golongan pelarian. Mereka tidak boleh bekerja. Jadi, tak boleh nak jangka mereka mampu bayar bil.
Kembali lagi ke topik asal, ada pula yang mengatakan bahawa Rohingya ini tidak layak dibantu kerana mereka ini lari dari medan perang. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ada hukum berkenaan lari dari perang. Namun, adakah dalil yang melarang kita daripada membantu mereka ini? Bukankah itu dosa antara mereka dengan Tuhan? Kerana ia dosa besar? Tapi, kita bantu saja orang lain tanpa mengira sama ada mereka melakukan dosa besar atau tidak. Bukan Muslim lun kita bantu. Ada yang
Rujukan dan bacaan lanjut:
No comments:
Post a Comment