Dedok (gabungan perkataan 'dedah' dan 'dokumen') (Kata kerja: mendedok) atau doxxing boleh didefinisikan sebagai perbuatan mencari dan mendedahkan maklumat peribadi seseorang, lazimnya sebagai suatu bentuk hukuman atau ugutan, tanpa izin empunya maklumat peribadi.
Terma doxxing dalam bahasa Inggeris berasal daripada istilah "dropping documents (dox)," sejenis slanga yang digunakan oleh penggodam apabila maklumat peribadi seseorang dibocorkan.
Antara maklumat peribadi yang sering didedok ialah:
Personally Identifiable Information (PII)
1. Nama penuh
2. No. Kad Pengenalan
3. Alamat rumah
4. Tarikh lahir
Maklumat Perhubungan
1. No. telefon
2. Alamat e-mel
3. Media sosial
Data Kewangan
1. No. kad kredit/debit
2. Perincian akaun bank
Lain-lain
1. Gambar dan video yang tidak diingini
Maklumat peribadi ini diperolehi melalui pelbagai cara, dari cara seperti mengkaji pangkalan data atau media sosial yang tersedia secara umum, sehingga cara ekstrem seperti menggodam mahupun mencari domain dan alamat IP seseorang.
Dedok boleh menjadi negatif atau positif bergantung kepada matlamatnya. Ada yang melakukan perbuatan ini untuk membantu pihak berkuasa mencari penjenayah. Akan tetapi, ada juga yang menggunakan taktik ini untuk mengugut seseorang. Namun, matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Dan, hanya disebabkan sesuatu informasi itu tersedia kepada umum membolehkan ia dikumpulkan dan disebarkan dengan cara yang mengancam seseorang.
Dedok dari Segi Undang-undang di Malaysia
Di Malaysia pada buat masa ini, dedok tidak dikategorikan sebagai suatu kesalahan jenayah. Walau bagaimanapun, pada hemat aku, ia wajar dikategorikan sebagai suatu kesalahan jenayah dengan pengecualian tertentu, terutamanya apabila digunakan bagi tujuan mengugut, seperti mengugut peniup wisel (whistleblower).
Seperti yang disebutkan di atas, maklumat peribadi ini boleh diperoleh melalui pengkajian laman media sosial seseorang. Di Malaysia, perbuatan sebegini boleh dikategorikan sebagai mengendap, yang merupakan suatu jenayah di Malaysia. Perbuatan hendap juga boleh dilakukan oleh pihak ketiga yang mempunyai maklumat yang dikongsikan oleh pededok.
Kebiasaannya, jika kes sebegini dilaporkan, ia akan disiasat di bawah undang-undang seperti:
1. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010
2. Seksyen 509 Kanun Keseksaan
3. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
4. Akta Jenayah Komputer 1997
Mengikut Seksyen 130(1)(a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, ia merupakan suatu kesalahan untuk mendedahkan maklumat peribadi seseorang, secara cuai atau dengan niat, tanpa izin empunya maklumat peribadi. Namun, seksyen ini hanya terpakai bagi maklumat peribadi yang diproses untuk transaksi komersial. Ia tidak merangkumi senario di mana maklumat peribadi dicapai melalui kajian umum.
Wujud juga polisi berkaitan dedok di platform media sosial tertentu.
Pengalaman Peribadi dan Dampak Dedok
Aku sendiri pernah menjadi mangsa perbuatan ini. Berdasarkan pengalaman aku sendiri, taktik ini kebiasaannya digunakan oleh mereka yang enggan berdebat di media sosial. Ada juga yang kononnya melakukan perkara ini bagi tujuan memberi pengajaran kepada seseorang yang didakwa melakukan sesuatu kesalahan, berlagak seperti penguatkuasa undang-undang.
Mereka yang melakukan perbuatan ini juga boleh terlibat dalam aktiviti seperti perompakan atau pencurian identiti, di mana mereka menyamar sebagai empunya maklumat peribadi tersebut.
Dedak boleh mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada empunya maklumat peribadi seperti kehilangan pekerjaan, pencemaran reputasi, mengancam keselamatan dan keguguran nyawa.
Cara Elakkan Diri daripada Menjadi Mangsa Dedok
1. Elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi secara langsung atau tidak langsung di platform awam.
2. Manfaatkan tetapan privasi di platform media sosial.
3. Gunakan kata kunci yang kuat dan unik.
4. Aktifkan Pengesahan Dua-Faktor (2FA) untuk sekuriti berganda.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Didedok?
1. Laporkan hantaran kepada platform media sosial.
2. Ambil tangkap layar sebagai bahan bukti.
3. Peribadikan akaun media sosial buat sementara waktu.
Apa pendapat anda? Wajarkah dedok dijadikan kesalahan jenayah di Malaysia?
Kemas Kini: Pindaan kepada Kanun Keseksaan
Sedang aku bersiap-siap untuk kelas bahasa asing, aku terdetik untuk menyemak semua RUU terkini yang diusulkan oleh pihak kerajaan. Antara RUU yang aku telusuri ialah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2024. RUU ini bertujuan untuk meminda Kanun Keseksaan dan menambahkan seksyen-seksyen baharu. Antara seksyen baharu yang menarik perhatian aku adalah Seksyen 507 (E), (F) dan (G). Menurut pemahaman aku, seksyen ini antara lain akan menjadikan dedok suatu perbuatan jenayah! Akhirnya!
Rujukan dan bacaan lanjut:
3. https://web.archive.org/web/20141029095609/http://www.technewsdaily.com/17590-what-is-doxing.html
No comments:
Post a Comment