Thursday, 29 August 2024

MENGUPAS MUKADIMAH RUKUN NEGARA

"Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan..."

Itu merupakan petikan lirik daripada lagu dendangan Allahyarham Dato' Sudirman Arsyad, antara seniman terulung negara.

Tarikh ini bukan sahaja merupakan tarikh keramat di mana sebuah negara berdaulat bernama Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, malah ia juga merupakan tarikh pengisytiharan Rukun Negara, iaitu pada Hari Kebangsaan bagi tahun 1970. Ia diproklamasikan sebagai falsafah kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 di Dataran Merdeka.

Rukun Negara merupakan hasil usaha Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dikepalai oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, Tun Abdul Razak Hussein. Ia diformulasi sebagai tindak balas kepada detik hitam dalam sejarah negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

Pembikinan Rukun Negara turut melibatkan tokoh-tokoh seperti:

1. Tun Tan Siew Sin, bekas Menteri Kewangan
2. Tan Sri Khoo Khay Kim, sejarawan
3. Tun Muhammad Ghazali Shafie, diplomat
4. Syed Hussein Alatas, ahli sosiologi 

"Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar, akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut, berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan 
4. Kedaulatan Undang-undang 
5. Kesopanan dan Kesusilaan"

Disenaraikan merupakan prinsip-prinsip Rukun Negara. Namun begitu, tahukah anda bahawa ini bukanlah teks Rukun Negara yang penuh?

Ya, teks yang dibaca oleh pengawas (termasuk aku) semasa di bangku persekolahan dahulu bukan merupakan teks penuh Rukun Negara.

Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian kedua ialah bahagian di atas, manakala bahagian yang satu lagi dipanggil mukadimah, dan mengandungi "cita-cita" yang dimaksudkan.

Berikut merupakan teks mukadimah Rukun Negara:

"Bahawasanya Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

1. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya 
2. Memelihara satu cara hidup demokratik 
3. Mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
4. Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dengan pelbagai corak
5. Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden"

Nisbah cita-cita dan prinsip-prinsip adalah sama rata iaitu 5:5.

Penulisan kali ini akan mengupas lebih dalam cita-cita yang digariskan.

Pertamanya, cita-cita yang pertama. Kata kuncinya ialah perpaduan. Perpaduan merupakan tiang seri kepada keharmonian dalam sesebuah negara. Cita-cita ini boleh dicapai dengan mengaplikasikan prinsip kedua dan kelima Rukun Negara. 

Rakyat kita sering menuduh golongan tertentu tidak menghormati atau melanggar Rukun Negara, tanpa menyedari bahawa mereka telah melanggarnya sendiri. 

Contohnya adalah mereka yang tidak mengaplikasikan prinsip kelima, dengan menggunakan kata-kata cerca berkait bangsa seperti K*ling, Jakun, Sakai dan sebagainya yang merujuk kepada bangsa India, suku kaum Orang Asli dan lain-lain. Hal ini bertentangan dengan seruan untuk bersikap sopan dan menjaga tatasusila, seterusnya menjadi penghalang untuk kita mencapai cita-cita berkaitan perpaduan. Tidak lupa juga situasi di mana sesetengah kaum dinafikan daripada menyewa rumah mahupun menyambung pengajian ke peringkat tertiari. Politik identiti yang kerap dipromosikan oleh beberapa pihak pula boleh memperbesar jurang antara kumpulan etnik dan agama. Misalnya, penggunaan sentimen perkauman dalam kempen politik sering kali menyebabkan ketegangan dan konflik dalam masyarakat.

Seterusnya, cita-cita yang kedua. Cita-cita ini terhalang daripada menjadi kenyataan kerana ada yang melanggar prinsip ketiga: Keluhuran Perlembagaan. Akta Hasutan yang diperdebatkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terus digunakan untuk membisukan seteru politik mahupun orang biasa, sesuatu yang tidak boleh diterima dalam sebuah negara demokrasi. Kebebasan bersuara dan berhimpun pula secara kerap dinafikan dan dipersoalkan. Belum cerita isu rasuah yang sangat mengancam demokrasi di negara kita.

Cita-cita ketiga pula berkait rapat dengan pengaplikasian prinsip kedua terakhir iaitu Kedaulatan Undang-undang. Kita gagal dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, dengan undang-undang yang dibuat seolah-olah hanya untuk orang miskin, dan orang kaya ibarat kalis undang-undang. Eksekusi undang-undang juga berbeza antara darjat, dengan rakyat biasa yang melakukan jenayah kecil seperti mencuri tin sardin kerana terdesak dan kebuluran dipenjarakan, manakala golongan bangsawan yang melakukan jenayah mahabesar diberikan pengurangan hukuman.

Bagi cita-cita keempat dan kelima, aku menebalkan perkataan 'liberal' dan 'progresif.'

Liberal merupakan suatu perkataan yang agak sensitif di Malaysia. Disebabkan oleh amalan membaca hanya bahagian kedua Rukun Negara sewaktu kita sekolah dulu, apabila mereka tahu tentang kewujudan perkataan ini dalam Rukun Negara, ada pihak yang menuduh bahawa ia ditambah oleh kerajaan terkini. Walhal, ia sudah wujud sejak Rukun Negara dirangka pada tahun 1970. Oleh itu, secara teknikalnya, sesiapa yang agak anti dengan liberalisme, juga tidak menghormati Rukun Negara. Mereka ini pula jika diminta untuk mendefinisikan perkataan tersebut, majoriti tidak akan mampu berbuat demikian. Mereka yang dimaksudkan ini terutamanya ialah golongan konservatif.

Bercakap pasal konservatisme pula, ideologi ini sebenarnya tidak sejajar dengan cita-cita kelima, yang menekankan ideologi progresifisme. Hakikatnya, parti-parti politik yang memegang ideologi politik berbentuk konservatif sewajarnya ditolak oleh rakyat memandangkan ia tidak selari dengan Rukun Negara. Ini termasuklah parti yang berteraskan kaum seperti UMNO, BERSATU, PEJUANG, serta parti bertunjangkan agama seperti PAS. Parti-parti politik ini mempunyai ideologi konservatif yang menolak perubahan atau reformasi, seterusnya membantutkan usaha mewujudkan sebuah negara yang progresif. 

Demikianlah sedikit sebanyak kupasan perihal mukadimah Rukun Negara. 

Rukun Negara adalah panduan penting yang mendasari aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan progresif. Walaupun cita-cita ini jelas dan relevan, pelaksanaannya menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian dan tindakan berterusan.

Namun, dengan komitmen bersama dan tindakan yang berpandukan prinsip Rukun Negara, Malaysia boleh mengatasi cabaran-cabaran ini. Pendidikan yang lebih baik, reformasi sosial dan politik, serta dialog terbuka mengenai nilai-nilai liberal dan kemajuan teknologi adalah kunci kepada kejayaan ini.



No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...