Buat masa ini, kesihatan mental tidak diliputi dalam perlindungan insurans, membuatkan ramai yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan kerana kos yang agak tinggi. Ramai individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan, atau gangguan bipolar, menghadapi kesulitan dalam mendapatkan rawatan yang sesuai dek kerana isu ini².
Sebagai pesakit mental, aku bersetuju. Meskipun aku mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kosnya tetap tinggi. Aku perlu membayar RM5 setiap kali janji temu. Itu belum kira kos pengangkutan dan kos kehilangan gaji akibat terpaksa mengambil cuti atau masa keluar.
Dengan meningkatnya kesedaran mengenai isu kesihatan mental, adalah wajar agar insurans meliputi servis kesihatan mental seperti sesi terapi dan kaunseling, penjagaan psikiatri dan sebagainya.
Insurans kesihatan mental menjamin akses kepada rawatan buat mereka yang memerlukannya tanpa perlu bimbang akan kos yang tinggi.
Kos rawatan untuk penyakit mental di pusat rawatan swasta begitu tinggi. Kos rawatan yang tidak diliputi oleh insurans boleh menjadi beban yang besar, terutamanya apabila rawatan memerlukan tempoh yang panjang atau sesi terapi yang kerap. Di pusat rawatan kerajaan pula, wujud isu seperti kekurangan pakar dan waktu menunggu yang lama bagi pesakit.
Oleh hal yang demikian, digesa agar pihak kerajaan terutamanya Jemaah Menteri untuk meluluskan usul yang dijangka akan dibawa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)³ iaitu usul untuk memasukkan kesihatan mental dalam perlindungan pakej insurans kesihatan.
No comments:
Post a Comment