Friday, 30 August 2024

PINDA JADUAL KESEMBILAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Berita terkini. Malaysia telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi acara Sukan SEA 2027. Ia akan dianjurkan dengan kerjasama negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebagai hos bersama. 

Beberapa pengguna media sosial memberi reaksi negatif berkenaan berita ini, dengan mempersoalkan tindakan kerajaan menerima tanggungjawab ini, meskipun mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai begitu banyak dana untuk membiayai sistem kesihatan awam¹.

Persoalan ini dijawab oleh seorang pengguna media sosial lain yang menekankan bahawa ia dianjurkan dengan kerjasama dan dana daripada kerajaan-kerajaan negeri juga².

Hal ini menimbulkan satu persoalan di fikiran aku: Kalau mereka boleh sumbangkan dana untuk anjurkan acara sukan, mengapa tidak sumbangkan dana untuk memantapkan sistem kesihatan awam negara?

Di Malaysia, buat masa ini, bidang kuasa berkenaan pendidikan dan kesihatan berada di bawah Senarai Persekutuan. Bagi merealisasikan idea aku ini, adalah diperlukan untuk Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memindahkan pendidikan dan kesihatan daripada Senarai Persekutuan kepada Senarai Bersama. Ini bermakna, tanggungjawab untuk mengurus dan membiayai dua sektor kritikal ini akan dikongsi antara kerajaan pusat dan negeri, membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat dan pengurusan yang lebih cekap.

Hal ini bukan sahaja akan mengurangkan beban kerajaan pusat, malah akan membantu menambah baik sistem pendidikan dan kesihatan negara.

Tujuan memindahkan mereka kepada Senarai Bersama dan bukannya Senarai Negeri adalah untuk membenarkan kerajaan pusat membantu negeri yang kurang berkemampuan seperti negeri-negeri Pantai Timur. Manakala, negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang sewajarnya menetapkan sebahagian daripada belanjawan mereka bagi tujuan tersebut.

Cadangan untuk memindahkan kuasa pendidikan dan kesihatan kepada Senarai Bersama bukan sahaja bertujuan untuk memperbaiki dua sektor kritikal ini, tetapi juga untuk memastikan bahawa kerajaan pusat dan negeri dapat bekerjasama secara efektif. Langkah ini mencerminkan keperluan untuk memperbaharui struktur pemerintahan yang ada agar lebih sesuai dengan realiti semasa, demi kepentingan rakyat dan negara. 

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...