Antara hujah yang dikemukakan termasuklah kekurangan bakat muda, sehinggalah kepakaran mereka masih diperlukan. Jika kepakaran mereka masih diperlukan, mereka boleh sahaja berperanan sebagai penasihat tanpa perlu dilantik memegang jawatan penting yang sepatutnya diberikan kepada bakat muda. Tipulah kalau nak kata Malaysia tiada bakat muda. Alasan sebegitu hanya menunjukkan bahawa kita (mereka yang dikitar semula tersebut) gagal melahirkan generasi pelapis. Generasi pelapis pun gagal lahirkan, macam mana rakyat nak percaya bahawa mereka betul-betul pakar dalam sesuatu bidang?
Baru-baru ini, mantan Ketua Setiausaha Negara yang telah bersara, Tan Sri Mohd Zuki Ali diumumkan sebagai Pengerusi KWSP yang baharu¹. Amalan ini bukan amalan baru. Ramai sahaja penjawat awam mahupun ahli politik yang dilantik merupakan pesara. Misalnya, ramai pesara guru atau tentera yang bertanding dalam pilihan raya.
Hal ini bukan sahaja ibarat memandang rendah terhadap belia dan orang muda, namun akan membantutkan usaha reformasi sesuatu organisasi. Kita mendambakan sentuhan orang muda dalam organisasi-organisasi penting negara. Orang muda mungkin akan kurang motivasi dek isu ini, seterusnya tidak melibatkan diri dalam industri tersebut langsung. Ini kerana mereka merasakan bahawa peluang untuk mereka menjawat jawatan sebegitu adalah sukar. Ini juga boleh menyumbang kepada penghijrahan cendekiawan atau brain drain.
Mengitar semula orang lama akan menghalang kemasukan idea baru, menjurus kepada genangan idea. Ia juga akan mewujudkan persepsi dalam kalangan masyarakat akan wujudnya budaya kronisme dalam kerajaan, yang kemudiannya menyebabkan kehilangan kepercayaan terhadap institusi kerajaan.
Bagi menyelesaikan isu ini, dicadangkan agar satu polisi dirangka di mana pesara tidak boleh dilantik untuk memegang jawatan sebegini. Jika perlu sekalipun, pelantikan tersebut perlulah diluluskan oleh Parlimen terlebih dahulu.
Penetapan had umur atau had tempoh memegang jawatan juga boleh diteroka. Misalnya, seseorang itu tidak boleh melebihi 65 tahun untuk dilantik memegang jawatan penting. Mereka yang dilantik pula tidak boleh memegang jawatan melebihi 10 tahun. Ini bagi menjamin kesegaran kepimpinan sesebuah organisasi.
No comments:
Post a Comment