Persoalannya, mengapa hampir kesemua program perlu dilakukan secara fizikal? Aku tak kata yang ia perlu diadakan secara atas talian sepenuhnya, namun mengapa tak laksanakan secara hibrid? Bukankah tindakan sebegini mengecualikan golongan seperti aku yang tiada kelebihan dari segi jarak rumah dan tempat program?
Ya, kita boleh berhujah bahawa program secara fizikal tersebut disiarkan secara langsung. Namun, adakah ia memberikan pengalaman sama seperti mereka yang berada di lokasi program? Jika ada sesi soal jawab misalnya, adakah soalan daripada mereka yang menonton siaran langsung akan dipilih? Tiada jawapan yang tuntas boleh diberikan.
Cadangan aku ialah program-program yang dilaksanakan perlulah dilakukan secara hibrid. Mengapa? Pertamanya, seperti yang aku katakan tadi. Program secara bersemuka meminggirkan mereka yang berada jauh dari lokasi program, tiada pengangkutan, mahupun kekangan masa.
Pelaksanaan program secara hibrid membolehkan mereka yang mengalami situasi tersebut untuk turut serta dalam program terbabit dengan meruntuhkan tembok geografi yang ada. Selain itu, ia juga memanfaatkan mereka yang kurang upaya, mereka yang mempunyai tanggungjawab untuk menjaga seseorang dan sebagainya, memastikan program itu lebih inklusif dan dapat mencapai lebih ramai audiens.
Di samping itu, pelaksanaan program secara hibrid juga mengurangkan bilangan peserta yang perlu menggunakan pengangkutan, seterusnya mengurangkan jejak karbon.
Kesimpulannya, diseru agar mereka yang ingin melaksanakan program mengutamakan pelaksanaan program secara hibrid, berbanding secara bersemuka, bagi menjamin penyertaan semua pihak dan memastikan keadilan.
No comments:
Post a Comment