Friday, 16 August 2024

BUDAYA BERPAKAIAN DI MALAYSIA

Malaysia punya panas sampai wujudnya polisi di mana para pelajar dibenarkan untuk memakai baju sukan selain pada hari Isnin. Persoalannya, mengapa kita masih mengamalkan budaya memakai pakaian yang tak sesuai dengan cuaca tempatan? Meskipun sudah jarang ditemui ahli politik yang memakai tali leher, namun budaya ini masih normal dalam kalangan rakyat biasa. Pelajar masih diwajibkan memakai tali leher pada hari Isnin. Pekerja pun lebih kurang sama. 

Sampai bila? Sampai bila kita mahu normalisasikan budaya ini? Nak tunggu sampai ada yang meninggal dunia baru nak berubahkah? Lihat saja orang-orang Arab. Mereka bukan sahaja memakai pakaian mereka yang tersendiri di negara sendiri, malah di luar negara juga. Di Malaysia pula, kita hanya akan memakai pakaian kita pada hari atau program tertentu, seperti majlis rasmi. Batik dipakai pada hari Khamis manakala baju Melayu dipakai pada hari Jumaat. Walaupun isu ini mengesankan golongan lelaki terutamanya, ada juga wanita yang perlu memakai pakaian "Barat" pada situasi tertentu. 

Pakaian "Barat" ini bukan sahaja tak cocok dengan iklim lokal, malah memberi gambaran bahawa kita seolah-olah masih dijajah oleh mereka. Sudah tiba masanya untuk kita beralih kepada pakaian tempatan sepenuhnya. Aku bukan nak kata kita tak wajar memakai pakaian gaya Barat, namun jadikanlah ia pilihan, bukan kewajipan. 

Antara sebab mengapa ini wajar ialah kesesuaian dengan iklim tempatan. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak berdekatan dengan garisan Khatulistiwa, menjadikan ia sebuah negara beriklim tropika yang panas dan lembap. Pakaian tempatan seperti batik dan baju Melayu lebih selesa dipakai dalam cuaca sebegini. Memakai pakaian gaya Barat boleh mengakibatkan komplikasi seperti dehidrasi dan kelesuan haba. 

Pemakaian pakaian gaya Barat juga secara tidak langsung menyebabkan lebih banyak penggunaan tenaga bagi tujuan menyejukkan persekitaran melalui pendingin hawa. Penggunaan pakaian yang lebih selesa mengurangkan penggunaan tenaga, sekaligus mengurangkan pencemaran alam sekitar. 

Pakaian tempatan juga apabila dipakai mampu mempromosikan identiti tempatan. Hal ini berbeza dengan pakaian gaya Barat yang tidak mencerminkan identiti Malaysia. Bayangkan, orang Barat datang Malaysia pakai kemeja-T dan seluar pendek, tapi kita pakai sut dan blazer.

Pakaian tempatan juga lazimnya dibuat menggunakan fabrik dan bahan tempatan, menyokong industri lokal dan mengurangkan impak alam sekitar yang berkait rapat dengan rantaian bekalan fesyen antarabangsa. 

Berbicara soal pakaian tempatan, di kesempatan ini juga aku ingin menempelak pihak yang tidak membenarkan pakaian tempatan tertentu terutamanya pakaian etnik minoriti dari Sabah dan Sarawak untuk dipakai khususnya pada majlis rasmi atas alasan bahawa ia tidak sopan. Budaya setiap etnik di Malaysia sewajarnya dan dihormati dan polisi sebegini tidak sepatutnya wujud. 

Kesimpulannya, semua pihak digesa untuk beralih kepada polisi pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan.


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...