Saturday, 27 July 2024

BERHENTI GUNAKAN KATA CERCA!

Apa itu Kata Cerca?

Kata cerca atau slur adalah terma derogatori yang digunakan untuk menghina atau memperkecilkan individu berdasarkan ciri-ciri seperti bangsa, jantina, orientasi seksual, ketidakupayaan, saiz badan, umur atau agama. Ia lazimnya "memperkukuhkan" stereotaip negatif dan menyumbang kepada diskriminasi sistemik. Namun aku hanya akan membincangkan tentang kata cerca berdasarkan bangsa dan ketidakupayaan, yang aku dapati sangat berleluasa penggunaannya dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jenis-jenis Kata Cerca

1. Kata Cerca Berkaitan Bangsa

Kata cerca berkaitan bangsa adalah terma yang digunakan untuk menghina seseorang berasaskan latar belakang etnik atau bangsanya.

Contoh kata cerca jenis ini yang sering digunakan di Malaysia termasuklah:

- Kaum Cina: Type-C
- Kaum India: K*ling, P*jeet
- Orang Asli: J*kun, S*kai, B*tak,
- Lain-lain: P*lak, Ind*n, Ap*nene, Esk*mo, B*ngla

Nota: Penggunaan n-word yang lazim digunakan di Amerika Syarikat juga didapati meluas dalam kalangan rakyat Malaysia. Terma bagi mereka yang selalu menggunakan kata cerca jenis ini ialah rasis.

2. Kata Cerca Berkaitan Ketidakupayaan

Kata cerca jenis ini pula digunakan untuk memperlekehkan individu berdasarkan ketidakupayaannya.

Contoh kata cerca berkaitan ketidakupayaan yang selalu digunakan di Malaysia ialah:

1. Individu dengan Autism Spectrum Disorder (ASD): Akustik, budak autisme
2. Individu dengan ketidakupayaan intelektual dan perkembangan: R*tard
3. Lain-lain: Gila, Beza Upaya

Nota: Terma bagi mereka yang kerap menggunakan kata cerca jenis ini ialah ableis.

3. Kata Cerca Berkaitan Status Sosioekonomi

Meskipun kurang diberikan perhatian, penggunaan istilah tertentu boleh menjadikan ia sebagai kata cerca. Misalnya adalah terma "B40" atau "miskin".

Kesan Buruk Penggunaan Kata Cerca

1. Impak Psikologi

Penggunaan kata cerca boleh mengakibatkan individu yang dicerca mengalami stres, keresahan, kemurungan dan keyakinan diri yang rendah. Tahukah anda bahawa penggunaan kata cerca berkaitan Orang Asli merupakan antara punca ramai antara mereka berhenti sekolah menengah?

2. Kesan Sosial

Penggunaan kata cerca menyumbang kepada perpecahan masyarakat dengan memperkuatkan prejudis sedia ada dan mewujudkan suatu persekitaran di mana diskriminasi dinormalisasikan. Ini menghalang pembentukan masyarakat yang inklusif dan harmoni.

Apa yang Perlu Dilakukan?

1. Didik Diri

Kenali, pelajari dan fahami apa itu kata cerca, termasuk jenis-jenisnya dan impak penggunaannya terhadap individu dan masyarakat. 

2. Elak Gunakan Kata Cerca

Setelah mengetahui contoh kata cerca, elakkan daripada menggunakannya dalam apa jua konteks. Jika anda terpaksa menyebut istilah tersebut untuk tujuan pendidikan, lakukan dengan berhati-hati dan dalam konteks yang sesuai.

3. Didik Orang Lain

Tegur individu yang menggunakan kata cerca secara sopan dan berhemah. Terangkan kepada mereka mengapa kata-kata tersebut boleh menyinggung perasaan.

4. Undang-undang Anti-kebencian

Kerajaan sewajarnya menggubal suatu undang-undang anti-kebencian yang melarang penggunaan kata cerca. Ini kerana penggunaannya sangat menjejaskan mereka yang berkaitan. 

5. Jangan Jadi Defensif

Berhenti justifikasi penggunaan kata cerca walau apa jua alasan. Perkataan lain yang lebih molek dan beradab wujud. Ibaratkan penggunaan kata cerca seperti mencarut, memandangkan kedua-duanya mempunyai maksud negatif. Penggunaan kata cerca juga menyinggung perasaan orang lain dan menghina mereka—sesuatu perbuatan yang dilarang oleh Islam. Berhenti gelar orang terlampau sensitif sedangkan kau yang tak sensitif.

Sumber:


Friday, 26 July 2024

SUHAKAM DAN HUKUMAN MATI

Baru-baru ini, SUHAKAM telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang kontroversial yang menimbulkan kemarahan orang ramai. 

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa SUHAKAM berpendirian bahawa ia tidak bersetuju dengan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan terhadap 6 individu yang didakwa membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

SUHAKAM turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan hukuman mati di Malaysia.

Meskipun aku turut bersetuju bahawa pelaksanaan hukuman mati perlu dikaji semula, kenyataan SUHAKAM tidak kena pada masanya. 

Rakyat Malaysia, seperti yang SUHAKAM sedia maklum, menentang penghapusan hukuman mati atas berbagai-bagai alasan. 

Malahan, sewaktu hukuman mati mandatori (yang mewajibkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tertuduh tanpa budi bicara mahkamah), rakyat Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati dan menganggap bahawa hukuman mati telah dihapuskan, padahal yang dihapuskan ialah hukuman mati mandatori.

Persoalan juga timbul mengenai tindakan SUHAKAM yang memilih kes ini untuk menentang pelaksanaan hukuman mati, sedangkan terdapat banyak kes lain yang lebih cocok. 

Antara hujah mereka ialah:

1. "Irreversibility" Hukuman Mati

Hukuman mati merupakan suatu bentuk hukuman yang tidak boleh diubah sekiranya telah dilaksanakan jika berlakunya "miscarriage of justice." 

Di seluruh dunia, ramai pesalah yang dihukum mati dibuktikan tidak bersalah selepas hukuman dilaksanakan.

Seseorang yang tidak bersalah mungkin akan dikeluarkan dari penjara jika terbukti tidak bersalah, namun mereka yang telah dihukum mati tidak boleh dihidupkan semula.

Misalnya, sejak tahun 1973 di Amerika Syarikat, dianggarkan bahawa lebih daripada 191 orang tahanan yang dikenakan hukuman mati telah kemudiannya dibebaskan setelah dibuktikan tidak bersalah. Yang lain telah dihukum mati meskipun terdapat keraguan munasabah soal kesalahan mereka.

2. Utamakan Rehabilitasi

SUHAKAM berhujah bahawa hukuman mati gagal mengekang perbuatan jenayah. Hal ini tidak dapat dinafikan kebenarannya. 

Mereka juga menekankan keperluan untuk mengutamakan rehabilitasi berbanding menghukum. Rehabilitasi, kata mereka lagi, dianggap lebih berkesan dalam menjadikan pesalah ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

3. Tidak Berperikemanusiaan

Mereka juga mengatakan bahawa tindakan ini tidak berperikemanusiaan memandangkan ia melibatkan pengambilan nyawa orang lain. Sesuatu negara (state) tidak seharusnya mempunyai kuasa untuk mencabut nyawa orang lain tanpa mengira alasan. Meskipun membunuh dilihat sebagai suatu yang melamggar undang-undang, namun sesebuah negara boleh melakukannya. Mantan Menteri Undang-undang, Nazri Aziz pernah berkata bahawa "Jika ia salah untuk mengambil nyawa seseorang, kerajaan tidak wajar mengambilnya juga."

Aku bersetuju dengan hujah-hujah mereka ini. 

Aku percaya adalah lebih baik jika hukuman mati ini dimansuhkan sepenuhnya kerana kesannya sangatlah buruk sekiranya dikenakan secara salah.

Namun begitu, kenyataan ini dikeluarkan pada masa yang salah, selain menggunakan kes yang sangat kejam. Dalam penghakiman yang dikeluarkan, Yang Arif Hakim-hakim Mahkamah Rayuan melabelkan kes ini sebagai kes yang sangat jarang ditemui (rarest of the rare). Mereka turut bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kes ini "shocks not only the judicial conscience but even the collective conscience of the society."

SUHAKAM sewajarnya mengeluarkan kenyataan ini sebelum ini, lebih-lebih lagi bagi kes lain yang kurang serius.

Aku faham bahawa SUHAKAM hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pejuang hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, adalah perlu untuk "read the room" semasa memperjuangkan sesuatu perkara. 

Di kesempatan ini juga, aku ingin kongsikan beberapa hujah yang menentang pemansuhan pelaksanaan hukuman mati sepenuhnya:

1. Retribusi buat Mereka yang Terkesan

Antara hujah menentang pemansuhan hukuman mati sepenuhnya ialah keadilan buat mereka yang terkesan, terutamanya ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik, isteri dan anak-anak. 

Ramai pihak yang telah kehilangan individu kesayangan mereka mengakui bahawa hukuman mati tidak boleh mengurangkan derita mereka. Ia hanya memanjangkan derita tersebut kepada keluarga individu yang dihukum mati.

Marie Deans yang ibu mentuanya dibunuh pada tahun 1972 pernah berkata bahawa "Membalas dendam bukan jawapannya. Jawapannya ialah mengurangkan keganasan, bukannya menyebabkan lebih banyak kematian."

2. Menghalang Jenayah

Ada pihak yang berhujah bahawa hukuman nati masih diperlukan di Malaysia, dan penghapusannya akan membahayakan masyarakat.

Akan tetapi, hukuman mati telah dibuktikan tidak mempunyai deterrent effect. Walaupun wujudnya hukuman mati, kajian menunjukkan bahawa masih ramai yang melakukan jenayah. 

3. Menjimatkan Kos

Tak kurang juga hujah bahawa hukuman mati lebih menjimatkan kos berbanding perlu menanggung makan minum pesalah yang dipenjara.

Namun, menurut data dari tahun 2018, di Malaysia, dianggarkan bahawa proses melaksanakan hukuman mati bagi seseorang pesalah menelan kos sehingga ribuan ringgit. 

Kerajaan juga perlu menanggung kos yang lebih banyak sekiranya jenazah atau mayat pesakah tidak dituntut. Itu belum kira kos sepanjang proses perundangan dan rayuan.

4. Mata untuk Mata

Ada juga yang berhujah bahawa sekiranya seseorang itu membunuh, nyawanya wajar ditarik. Bak kata peribahasa, "an eye for an eye."

Namun begitu, ini bukanlah keadilan tapi pembalasan dendam. Mereka yang menyokong hukuman mati atas hujah ini melakukan "jenayah" sama yang mereka tentang—membunuh.

Guadalupe Marengo, Timbalan Pengarah Amnesty International untuk Amerika mengatakan bahawa hukuman mati merupakan simptom budaya keganasan, bukan solusi kepadanya.

Aku rasa negara kita belum bersedia untuk memansuhkan hukuman mati. Oleh itu, usaha ke arah menerangkan kewajaran pemansuhan hukuman mati sepenuhnya hendaklah digerakkan. Tentangan masyarakat berkenaan pemansuhan hukuman mati sepenuhnya ini lazimnya disebabkan oleh kurangnya kesedaran mengenai kesan buruk dan ketidakcekapan hukuman mati dalam membendung jenayah.

Di samping itu, perlu ada usaha ke arah mencantas punca berlakunya jenayah dari akarnya.

Pemansuhan hukuman mati mandatori pada tahun lalu aku sifatkan sebagai langkah signifikan ke arah pelaksanaan hukuman mati yang lebih adil. Aku tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan sesetengah pihak yang mahu hukuman mati mandatori dikembalikan semula. Alasan mereka bermacam-macam, tapi telah dipatahkan dengan hujah-hujah di atas.

Malah, ahli kriminologi, Haezreena Begum, menyokong pemansuhan hukuman mati.

Tapi buat masa ini, bagi memuaskan hati kedua-dua belah pihak, adalah wajar untuk pelaksanaan hukuman mati dijalankan dengan penuh hati-hati. 

Proses keadilan mestilah diikuti dengan peluang untuk mendapatkan pengampunan mestilah diberikan kepada mana-mana pihak yang dihukum mati.

Pelaksanaan moratorium ke atas hukuman mati bagi kesalahan bukan berat seperti dadah juga wajar dipertimbangkan oleh kerajaan sementara menunggu pemansuhan sepenuhnya hukuman mati. 

Sumber dan bacaan lanjut:



Thursday, 25 July 2024

PERKENALKAN HAD TEMPOH JAWATAN POLITIK

Di Malaysia, umur bersara wajib bagi penjawat awam adalah 60 tahun. Namun begitu, ia tidak terpakai bagi jawatan politik seperti Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Senator, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sebagainya. Kesannya, ramai penjawat jawatan yang disenaraikan yang berusia 60 tahun dan ke atas. 

Ramai ahli politik yang meninggal dunia semasa mereka memegang jawatan, yang kadangkala menyebabkan kekosongan yang memerlukan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK). PRK bukan hanya memakan kos malah boleh membantutkan proses pentadbiran dan pembuatan keputusan. Ada juga ahli politik yang menghidap pelbagai penyakit, menghalang mereka menjalankan tugas dengan sempurna. Selain itu, perspektif baru oleh golongan muda juga jarang diangkat kerana berlawanan dengan idea ahli politik sedia ada, menyebabkan genangan idea.

Bagi menyelesaikan isu ini, adalah dicadangkan untuk diperkenalkan had tempoh jawatan bagi perjawatan tertentu, terutamanya jawatan di cabang eksekutif seperti Perdana Menteri. Langkah ini dilihat lebih sesuai berbanding memperkenalkan umur persaraan.

Pengenalan had tempoh jawatan politik memberi ruang kepada golongan muda yang kaya dengan idea segar untuk memimpin negara. Di samping itu, ia juga boleh mengelakkan pengumpulan kuasa terlalu lama oleh beberapa individu tertentu, seterusnya mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa. Seterusnya, ia juga boleh menggalakkan lebih ramai individu berbakat dan berwibawa menyertai politik kerana ada peluang lebih besar untuk menikmati perkembangan kerjaya. 

Apabila pemimpin tahu bahawa mereka mempunyai masa yang terhad untuk berkhidmat, mereka juga akan lebih cenderung untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat, berbanding mengejar agenda peribadi atau mengekalkan kuasa. 

Tuntasnya, sudah tiba masanya untuk Malaysia memperkenalkan had tempoh bagi semua jawatan politik. Dengan pengenalan tersebut, Malaysia boleh memastikan bahawa kepimpinan negara sentiasa segar dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa, sekaligus memacu kemajuan tanah air.

Mustaqim Badrul Hisham

Tuesday, 23 July 2024

KATAKAN TIDAK KEPADA EV

1. Sumber elektrik

Elektrik di Malaysia masih dijana menggunakan tenaga tidak boleh diperbaharui yang tidak mesra alam.

2. Harga kayangan

Harga kereta EV sangatlah mahal dan tidak mampu dimiliki oleh orang miskin. Kebanyakan orang miskin juga tidak mampu memiliki kereta.

3. Fokus Pengangkutan Awam

Memberikan tumpuan kepada pemantapan pengangkutan awam yang mampu memanfaatkan semua lapisan masyarakat adalah lebih baik daripada usaha mengalakkan penggunaan EV yang hanya bertujuan menyelamatkan industri automotif.

5. Jalan Masih Sesak

EV hanya "menyelesaikan" satu isu terkait penggunaan kereta iaitu pencemaran. Namun tidak isu kesesakan dan kekurangan ruang parkir.

HUJAH MENENTANG PENGGUNAAN AI GENERATIF (GenAI)

Apa itu GenAI?

GenAI merupakan sistem kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang direka cipta untuk menjana hasil baru yang berasaskan paten yang dipelajari dari data sedia ada, termasuklah teks, gambar, video, audio dan sebagainya.

1. Isu Hak Cipta

Model AI menjana hasil berdasarkan karya artis sedia ada (data terbuka) tanpa keizinan mereka, mewujudkan potensi pelanggaran hak cipta. AI tidak menghasilkan hasil dari scratch tetapi dilatih dengan menggunakan sumber dari karyawan manusia. Ini boleh dianggap sebagai mencuri atau dalam erti kata lain, plagiarisme.

2. Bias dan Stereotaip

Model AI mungkin menjana hasil yang bias atau menunjukkan stereotaip. Misalnya, imej berkaitan pekerja mungkin mengecualikan pekerja warga asing. Penggunaan AI bagi menghasilkan hasil berkaitan sejarah juga berisiko menghasilkan hasil yang tidak tepat dari segi sejarah. Perkara ini telah berlaku dengan pelbagai pihak menggunakan AI untuk memanipulasi sejarah.

3. Panas Mata Memandang

Hasil janaan AI kebanyakkannya mempunyai kecacatan yang jelas yang menyakitkan mata. 

4. Pencerobohan Privasi

AI boleh menjana gambar individu tanpa kebenaran mereka. Keadaan ini telah berlaku kepada individu seperti Taylor Swift.

5. Kesan kepada Karyawan

Penggunaan hasil AI yang dianggap lebih murah berbanding mengupah karyawan akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi golongan itu. Penggunaan hasil AI mencerminkan bahawa pihak berkenaan tidak menghargai artis dan berkira untuk mengupah mereka. Kesan ini tidak terhad kepada pelukis, malah juga turut menjejaskan karyawan lain seperti penulis, penyanyi, pengarah dan sebagainya dalam industri kreatif. Jika isunya ialah kos, bukankah wujud alternatif yang juga menjimatkan kos berbanding menggunakan AI?

6. Penggunaan Tenaga yang Banyak

Penggunaan AI memakan tenaga yang agak banyak, hanya untuk hasil yang tak seberapa. Hal ini turut menyumbang kepada kerosakan alam sekitar, pemanasan global dan perubahan iklim. Model AI juga menggunakan banyak air untuk sistem penyejukan yang merupakan sumber terhad kini, lebih-lebih lagi dengan suhu Bumi yang semakin meningkat.

7. Penggalakan Penggunaan Tidak Beretika

Dengan menggalakkan penggunaan hasil AI, ia turut mengalakkan penjanaan hasil yang tidak bertanggungjawab seperti hasil yang dijana untuk tujuan fitnah. Anwar Ibrahim merupakan antara mangsa penggunaan AI secara tidak beretika (deepfake). Penggunaan AI tidak sepatutnya digalakkan lebih-lebih lagi untuk menghasilkan produk siap dan bukannya sebagai alat bantu dalam proses pembikinan produk. AI juga boleh disalah gunakan ketika pilihan raya. 

Tuesday, 16 July 2024

KEENAKAN AISKRIM GULA APONG

Keenakan buah kurma dari Timur Tengah, *Yusuf Taiyoob*. Eh? 

Dalam penulisan kali ni, aku nak kongsikan serba sedikit sebanyak tentang aiskrim kesukaan aku iaitu tak lain dan tak bukan, Aiskrim Gula Apong!

Sedap Tak Terkata

Dia punya sedap tu susah aku nak terangkan. Apa yang pasti, sewaktu aiskrim ni dijual di salah satu program di kampus aku dulu, boleh dikatakan hampir setiap hari aku akan beli. Rasanya berlemak dan seakan-akan karamel namun tidak begitu manis, sesuai untuk mereka yang kurang gemar makanan manis. Jika aku disuruh untuk menerangkan aiskrim ini dalam satu perkataan, aku akan kata yang ia "menagihkan." Dan kesedapan ini turut diakui oleh salah seorang pelakon dari Korea Selatan, Yoo Seung-ho. Menulis pasal benda ni membuatkan aku teringin pula. Tambahan lagi dengan cuaca panas sekarang. Memang segar kalau dapat pekena aiskrim ni.

Asal-usul Aiskrim Gula Apong

Aiskrim gula apong ni sebenarnya merupakan sejenis aiskrim yang mula popular di Sarawak. Ia diperbuat dari sejenis gula khas iaitu gula apong yang juga berasal dari Sarawak. Gula ini turut dikenali sebagai gula nipah. Gula apong diperbuat daripada air nira nipah, sejenis pokok palma yang begitu banyak melambai daunnya di sepanjang sungai-sungai di Sarawak, terutamanya di Kota Samarahan dan Betong.

Jadikan Aiskrim Gula Apong Makanan Warisan Negara

Kini, ramai usahawan yang menjalankan perniagaan menjual aiskrim gula apong, tidak kira di Pulau Borneo mahupun di Semenanjung Malaysia. Dikhabarkan juga bahawa aiskrim ini sudah mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

Setakat 16 Julai 2024, aiskrim ini tidak tersenarai sebagai antara makanan warisan negara Malaysia. Dalam kategori aiskrim, didapati hanya Aiskrim Malaysia saja yang diwartakan. Oleh itu, adalah molek sekiranya makanan asal Bumi Kenyalang ini diiktiraf sebagai antara makanan warisan negara. 

Semoga lebih banyak lagi inovasi makanan dapat dihasilkan di tanah air kita. Majulah industri makanan untuk negara!

Sumber:

Monday, 15 July 2024

MPV? MULTI-PURPOSE VEHICLE?

Jika anda sampai di sini kerana berminat untuk membaca tentang Multi-purpose Vehicle, harap maaf. Entri kali ini bukan pasal MPV yang itu, tapi, Mata Pelajaran Vokasional (MPV).

Mata Pelajaran Vokasional Itu Apa Pula?

Aku rasa ramai yang tak tahu apa benda MPV ni. Aku dulu pun tak tahu. Mungkin sebab ia kurang popular dan tak banyak ditawarkan di sekolah-sekolah.

Sebelum aku tahu tentang MPV ni, aku merupakan pelajar di sebuah Kolej Vokasional (KV) dalam bidang Seni Kulinari. Beberapa bulan selepas itu, terjadi beberapa isu dan aku akhirnya berpindah ke sekolah menengah harian biasa. Di situ, aku mengambil subjek MPV Katering dan Penyajian (KP).

Untuk pengetahuan semua, Mata Pelajaran Vokasional atau singkatannya MPV ini ialah sekumpulan mata pelajaran yang diajar
berteraskan kemahiran, ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pelajar
di tingkatan empat dan lima. Program ini mula dilaksanakan berperingkat selama empat fasa mulai tahun 2002 hingga tahun 2005 . Ia bukannya ditawarkan di institusi pendidikan TVET seperti KV mahupun Sekolah Menengah Teknik (SMT). 

Kategori MPV

Di bawah program ini, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan buat para pelajar. Ia dikelompokkan dalam lima bidang iaitu:

1. Pembinaan

- Pembinaan Domestik 
- Membuat Perabot (kini dijenamakan semula sebagai Pembuatan Perabot)
- Seni Reka Tanda (kini dijenamakan semula sebagai Produksi Reka Tanda)
- Kerja Paip Domestik

2. Kejuruteraan/Perkhidmatan

- Menservis Peralatan Elektrik Domestik
- Pendawaian Domestik 
- Menservis Automobil 
- Menservis Perlatan Penyejukan dan
Penyamanan Udara
- Menservis Motosikal
- Gerontologi Asas dan Perkhidmatan Geriatrik (kini dijenamakan semula sebagai Gerontologi Asas dan Geriatrik)
- Kimpalan Gas dan Arka

3. Pertanian

- Landskap dan Nurseri
- Tanaman Makanan
- Akuakultur dan Haiwan Rekreasi

4. Ekonomi Rumah Tangga

- Rekaan dan Jahitan Pakaian 
- Katering dan Penyajian 
- Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak 
- Hiasan Dalaman Asas (kini dijenamakan semula sebagai Hiasan Dalaman)
- Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut (kini dijenamakan semula sebagai Penjagaan Muka dan Penggayaan Rambut)
- Pemprosesan Makanan

5. Teknologi Maklumat dan Komunikasi

- Produksi Multimedia 
- Grafik Berkomputer (kini dijenamakan semula sebagai Reka Bentuk Grafik Digital)

Subjek ini digandingkan bersama enam subjek teras SPM (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral) dan satu lagi subjek elektif. Bagi aku, subjek berkenaan ialah Perniagaan. 

Struktur Pentaksiran MPV

Pentaksiran MPV melibatkan dua kaedah utama:

1. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

PBS dikendalikan oleh guru mata pelajaran berkenaan selama dua tahun. PBS mentaksir evidens proses dan evidens produk bagi sesuatu kompetensi. Dalam erti kata lain, PBS adalah dalam bentuk CBE, competency-based education atau pendidikan berasaskan keterampilan.

Modul pentaksiran yang dijelmakan daripada modul pembelajaran menjadi asas kepada pentaksiran tentang penguasaan calon dalam sesuatu kompetensi. Ia bertujuan untuk mentaksir kompetensi calon dalam sesuatu modul dengan merujuk kepada sesuatu kriteria yang ditentukan sebelum dihakimi sama ada calon telah kompeten atau belum.

Pentaksiran dijalankan sepanjang tingkatan 4 dan 5 apabila calon telah bersedia untuk ditaksir, bersesuaian dengan pendekatan pentaksiran atas permintaan (assessment on demand). Aktiviti pentaksiran dilaksanakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Calon berhak dimaklumkan keputusan pentaksirannya selepas pentaksiran dijalankan sama ada Kompeten (K) atau Belum Kompeten (BK). Calon juga hendaklah diberi maklum balas oleh pentaksir tentang kesilapan yang dilakukan bagi sesuatu kriteria atau kompetensi yang dicatatkan sebagai belum kompeten. Sekiranya calon Belum Kompeten (BK) dalam sesuatu kompetensi, calon boleh memohon untuk ditaksir semula. Permohonan untuk ditaksir semula bolehlah dibuat kepada Pentaksir. Calon diberi peluang mengulang sehingga calon Kompeten (K) atau tamat tempoh pentaksiran. 

Penskoran kompetensi calon bagi sesuatu modul pentaksiran dilaporkan dalam Sijil Mata Pelajaran Vokasional. 

2. Pentaksiran Berpusat

Pentaksiran secara berpusat dilaksanakan secara bertulis yang mentaksir evidens pengetahuan dikendalikan sama seperti mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia yang lain. Hanya calon yang telah kompeten ≥ 50% dari keseluruhan modul pentaksiran di Tingkatan 4 yang layak untuk menduduki pentaksiran ini.

Lepasan MPV akan menerima dua bentuk sijil iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama-sama SMPV. Kedua-duaya dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

Cadangan Penambahbaikan

Sebagai antara lepasan MPV, aku berharap sangat agar beberapa penambahbaikan dapat dilakukan bagi inisiatif ini. Bagi aku, ia lebih sesuai dijadikan pilihan utama mereka yang berminat untuk menceburi bidang vokasional berbanding memasuki KV atau SMT yang mungkin mengakibatkan pelajar tiada kelulusan SPM. 

Pengiktirafan SMPV

Antara penambahbaikan yang aku harapkan ialah pengiktirafan Sijil Mata Pelajaran Vokasional (SMPV) iaitu sejenis Sijil Modular. Pada ketika ini, aku rasa sijil modular ini kurang "diterima" oleh industri, dan kini, kebanyakan industri mendambakan graduan lepasan peringkat Ijazah Sarjana Muda. Natijahnya, kebanyakan lepasan MPV sama ada melanjutkan pengajian dalam bidang lain mahupun menjadi usahawan. Peluang untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang sama juga rendah. 

Pendedahan Awal

Ramti pelajar termasuk aku sendiri tidak tahu akan kewujudan program sebegini. Para pelajar, terutamanya para pelajar di sekolah yang tidak mempunyai program ini, hendaklah diberikan pendedahan awal berkenaan kewujudan inisiatif ini sejak di peringkat menengah rendah. 

Peruntukan dan Sumber

Untuk menjayakan program MPV, dana yang mencukupi untuk peralatan, bahan dan fasiliti amatlah penting. Dana dan sumber untuk memantapkan pelaksanaan program ini seharusnya diperbanyakkan. Pilihan mata pelajaran juga sepatutnya dipelbagaikan lagi, seiring dengan perkembangan semasa. 

Kelab dan Aktiviti Ko-kurikulum 

Seterusnya, wajar untuk diwujudkan kelab bagi subjek MPV, misalnya Kelab Memasak atau Kelab Katering dan Penyajian. Kelab ini tidak semestinya wajib disertai oleh mereka yang mengambil aliran MPV saja. Mereka yang sebaliknya juga boleh, dan pelajar aliran MPV juga sepatutnya bebas memasuki mana-mana kelab. Kewujudan kelab khas MPV ini dapat melatih pelajar memimpin sesuatu organisasi dan cara kerja berpasukan. Kelab juga boleh melaksanakan program, pertandingan dan projek berkaitan MPV.

Penghargaan Kecemerlangan

Bagi menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil aliran ini, pelajar cemerlang perlulah dihargai dengan pelaksanaan majlis anugerah tahunan.

Buku Teks MPV

Walaupun kini subjek MPV telah mempunyai buku teks mereka yang tersendiri, setelah meneliti kandungannya, aku berpendapat bahawa ia boleh diperkayakan lagi. 

Latihan Industri

Pelajar MPV juga wajar ditawarkan opsyen untuk mengikuti latihan industri bersama dengan syarikat tempatan. Latihan ini adalah dalam jangka masa pendek dan mampu mendedahkan para pelajar kepada pengalaman kerja sebenar. Misalnya, pelajar MPV Katering dan Penyajian boleh mengikuti latihan industri di kedai makan lokal.

Sijil Kemahiran Malaysia

Pelajar MPV juga hendaklah turut dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 apabila tamat pengajian.

Kursus Guru

Guru yang mengajar subjek MPV memerlukan latihan yang berterusan selari dengan perkembangan industri. Bengkel, sesi latihan dan penempatan industri buat guru mampu mengasah kemahiran dan pengetahuan mereka. Hal ini mampu menjamin kualiti pengajaran mereka.

Memecahkan Stigma 

Lazimnya, MPV ini ditawarkan kepada pelajar kelas-kelas belakang di setiap sekolah. Natijahnya, orang ramai sering memandang rendah mereka yang mengambil aliran MPV, tanpa menyedari hakikat bahawa setiap individu mempunyai kebolehan yang unik. Stigma masyarakat bahawa hanya pelajar-pelajar yang kurang cerdik sahaja yang mengambil aliran ini perlu diubah. Terdapat pelajar yang tidak dapat menunjukkan kebolehan sebenar mereka kerana sebenarnya otak atau minat mereka bukan menjurus kepada bidang akademik.

Rakan sekelas aku merupakan pelajar terbaik sekolah untuk peperiksaan SPM. Mungkin ada yang berpendapat bahawa dia mampu mencapai perkara tersebut dek "kesenangan" subjek MPV. Akan tetapi, percayalah, tak semua orang mampu berjaya dalam aliran ini.

Adalah menjadi harapan aku agar program ini dapat diperkasakan lagi oleh pihak kerajaan. Buat mereka yang berminat untuk memasuki aliran ini, aku sangat galakkan. Apa-apapun, lakukan kaji selidik terlebih dahulu kerana mungkin berlaku beberapa perubahan terhadap program terbabit sejak aku meninggalkan bangku persekolahan. 

Terima Kasih Cikgu Shasha, Guru Kesayangan Pelajar Kelas Kenanga

Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan buat guru MPV aku yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Shasha atas segala bimbingan dan tunjuk ajar yang telah diberikan. Jasa cikgu amatlah saya hargai. Beliau kini meneruskan khidmat sebagai guru di Pulau Borneo.

Sumber:

MIKER PIZZA: JENAMA PIZA TEMPATAN

Hai dan apa khabar, semua? Dalam entri kali ni, aku nak kongsikan tentang Miker Pizza. Sekali baca macam jenama Barat kan? Tapi sebenarnya tidak.

Latar Belakang


Miker Pizza merupakan jenama tempatan yang mula bertapak di Ipoh, Perak sejak tahun 2019. Ia kini sudah mempunyai empat cawangan di bandar Ipoh, dengan pembukaan cawangannya yang terbaru iaitu cawangan Tambun baru-baru ini. Cawangan lain ialah cawangan Tun Sambanthan, Tasek dan Gunung Rapat. Ia turut memiliki sebuah kedai di Kajang. Nama ‘Miker’ Pizza berasal dari loghat Perak yang bermaksud ‘Awak' dan 'Mereka’.

Pengasas Miker Pizza, Muhammad Shakir Jushaah dan Mohd Amzari Zamri merupakan anak kelahiran Perak. Niat mereka membuka kedai piza bertemakan hipster ini adalah untuk menawarkan sesuatu yang baharu untuk menikmati piza ala New York namun mempunyai identiti lokal. 

Kedai Miker Pizza mengguna pakai konsep yang agak unik iaitu konsep dapur terbuka, di mana para pelanggan boleh menyaksikan proses pembuatan piza.

Citarasa Unik Miker Pizza

Berbagai-bagai jenis piza ditawarkan oleh Miker Pizza, termasuklah piza "Ultimate Kampung," dengan hias atas (toping) seperti ikan bilis mata biru, bunga kantan dan cili padi. Salah seorang pengasas Miker Pizza mengakui bahawa piza jenis ini merupakan "signature" mereka. Ia disukai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Rasanya macam mana? Cubalah dulu!

Doh piza diadun sendiri oleh mereka dan dibuat segar setiap hari. Ia juga dibakar mengikut permintaan pelanggan, seperti 'medium' dan 'just nice.' Ramai pelanggan yang menggemari tekstur dohnya. 

Antara hidangan lain yang turut disajikan ialah roti bawang putih dan sup cendawan serta spageti.

Pengalaman Makan Miker Pizza

Baru-baru ni, aku telah berkunjung ke Miker Pizza Cawangan Tambun yang baru sahaja dibuka.

1. Pilihan menu yang agak sedikit

Meskipun aku tahu bahawa ini kedai yang menjual piza, adalah diharapkan agar menu di kedai ini boleh dipelbagaikan lagi.

2. Ketiadaan minuman berbancuh, gelas berais dan penggunaan penyedut minuman kertas

Pilihan air berbancuh aku boleh katakan tiada. Yang ada hanyalah milkshake. Tu dikira air berbancuh ke? Yang banyak ialah pilihan air dalam tin dan botol kaca. 


Kemudian, tiada gelas berais. Kritikan ini datang daripada ibu aku sendiri. Aku tak kisah sangat. Aku harap pada masa depan ada disediakan gelas berisi ais buat pelanggan.

Bab penyedut minuman kertas pula, aku rasa eloklah ditukar kembali kepada penyedut minuman biasa. Aku juga harap pihak Miker Pizza menekankan kepentingan kitar semula, memandangkan pinggan yang digunakan ialah pinggan kertas.

3. Servis yang kurang memuaskan

Berlaku kejadian tertukar pesanan semasa aku berada di sini. Ibu aku memberi komen bahawa pekerja agak kurang terlatih. Mungkin juga kerana baru dibuka.

4. Harga biasa-biasa

Ibu aku kata harga piza dia boleh tahan. Kami memesan set kombo yang agak murah. Jika dibandingkan dengan rasanya, ibu aku kata berbaloilah. Namun, bagi orang kebanyakan, boleh dikatakan agak mahal dan hanya boleh makan sekali-sekala.

5. Sup cendawan masin

Rasa dan saiz pizanya okay. Doh pizanya nipis. Sos tomatonya enak. Hias atasnya biasa saja. Cuma sup cendawannya agak masin. Teksturnya sedang elok. Roti bawang putihnya mungkin sedap bagi sesetengah orang, tapi agak "smoky" bagi aku. 

6. Suasana yang menenangkan

Dari segi "vibes", agak meriah. Kawasan kedai berpendingin hawa. 

7. White Creamy Chicken menu wajib cuba

Kami memesan set kombo berikut:

- Saiz besar: Meatball 2.0
- Saiz biasa: Beef Pepperoni (tapi yang sampai Chicken Pepperoni) dan White Creamy Chicken

Menu kegemaran aku setakat ini ialah White Creamy Chicken. Menu ini masih baru. Topingnya ala-ala carbonara. Menu ini juga sesuai untuk kanak-kanak.

Secara keseluruhan, pengalaman kami di Miker Pizza cawangan Tambun adalah agak memuaskan dengan beberapa aspek yang boleh diperbaiki. 

Nota: Berdasarkan pengalaman aku sendiri, kalau nak beri orang tua rasa piza ni, eloklah ditapau kerana masa menunggunya agak lama, memandangkan piza dimasak dari awal. 

Bagi mereka yang ingin menjamu selera di Miker Pizza cawangan Tambun, jangan lupa pekena secangkir kopi dari Ulu's Coffee sekali. Kawasan tersebut memang sesuai dijadikan 'port' untuk melepak bersama dengan rakan-rakan.

Setanding dengan Jenama Antarabangsa

Pada masa entri ini ditulis, Miker Pizza mendapat sambutan yang amat mengalakkan, tidak kira dari orang tempatan mahupun para pelancong yang berkunjung ke Ipoh. Hal ini meletakkan jenama ini sama taraf dengan jenama piza internasional lain seperti Pizza Hut dan Domino's Pizza. 

Semoga jenama tempatan ini lebih berkembang dan mampu melebarkan sayap ke pentas antarabangsa suatu hari nanti.

Sumber:

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...