Sunday, 30 June 2024

SISTEM HIERARKI DALAM KESULTANAN NEGERI PERAK

Perak Darul Ridzuan adalah salah satu daripada sembilan negeri Melayu yang mempunyai raja berperlembagaan. Kesultanan Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada abad ke-16, yang merupakan anak kepada Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir.

Laluan Menjadi Sultan di Perak

Dalam monarki di Perak, terdapat beberapa posisi penting:

1. Sultan (Raja Pemerintah)
2. Raja Muda (Tengku Mahkota) dan Raja di-Hilir (Timbalan Tengku Mahkota) (Bakal-bakal Sultan) 
3. Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu (Raja-raja Bergelar)

Seseorang yang layak menjadi Sultan perlu menaiki hierarki ini, biasanya bermula dari jawatan Raja Kecil Bongsu. Apabila berlaku kekosongan akibat kemangkatan atau atas sebab-sebab lain, mereka yang berada dalam hierarki akan dinaikkan pangkat mengikut urutan, bergantung kepada kelayakan dan kesihatan. Pelantikan lazimnya akan dilakukan oleh Sultan yang sedang bersemayam bagi mengisi kekosongan yang ada.



Dewan Negara Negeri Perak, Badan Penasihat Sultan Perak

Dewan Negara Negeri Perak memainkan peranan dalam hal pemilihan dan mempunyai kuasa dalam pemilihan dan pelantikan Sultan, bakal-bakal Sultan serta Raja-raja Bergelar. Dewan ini berbeza dengan Dewan Negara, dewan atas dalam Parlimen Malaysia. Dewan Negara Perak ialah suatu badan yang ditubuhkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. 

Dewan ini terdiri daripada:

Ahli-ahli Kerana Jawatan:

1. Sultan/Raja Pemerintah (Pengerusi)
2. Bakal-bakal Sultan
3. Menteri Besar
4. Raja-raja Bergelar
5. Mufti

Ahli-ahli Rasmi:

1. Orang Besar Empat
2. Orang Besar Delapan
3. Mufti

Ahli-ahli Bukan Rasmi:

1. Orang Tua Melayu (11 orang)
2. Orang Tua Bukan Melayu (seorang)

Objektif utama penubuhan Dewan Negara ini adalah bagi menolong dan menasihatkan Raja Pemerintah dalam menjalankan tugas-tugas Baginda. Antara tugas-tugas lain Dewan Negara termasuklah menasihatkan Raja Pemerintah dalam hal ehwal pelantikan bakal-bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar.

Apabila berlakunya kekosongan takhta, Dewan Negara dengan dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja hendaklah mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam bagi memilih pengganti takhta yang baharu. Mesyuarat ini tidak dihadiri oleh bakal-bakal Sultan dan Raja-raja Bergelar, membolehkan Dewan membuat keputusan yang lebih adil.

Penggunaan sistem kenaikan pangkat ini membolehkan seseorang itu menimba pengalaman yang meluas sebelum dilantik menjadi Sultan. Hasilnya, Sultan yang dilantik lebih bersedia.

Kaitan Warna Bendera Negeri dengan Institusi Kesultanan Perak

Bendera Negeri Perak mempunyai 3 jalur sama lebar yang berwarna putih, kuning dan hitam. Maksud setiap warna ialah:

1. Putih: Melambangkan kebesaran Sultan
2. Kuning: Melambangkan kebesaran Raja Muda 
3. Hitam: Melambangkan kebesaran Raja di-Hilir

Pada awalnya, warna hitam pada bendera melambangkan Raja Bendahara yang ketika itu berada dibelakang Raja Muda dalam penggiliran takhta. Namun begitu, pada hari ini, warna hitam melambangkan Raja di-Hilir.

Jawatan yang Telah Dimansuhkan

Sistem terkini hanya diadaptasi sejak tahun 1953. Sebelum tahun 1934, perjalanan untuk menjadi Sultan Perak mengambil masa yang jauh lebih lama. Antara posisi yang tidak lagi wujud termasuklah:

1. Raja Bendahara
2. Raja di-Hulu
3. Raja di-Darat
4. Raja di-Baruh
5. Raja Kecil Muda

Contoh Kes Luar Biasa

Order of succession yang dibincangkan walau bagaimanapun tertakluk kepada perubahan. Misalnya, pada tahun 1987, Sultan Perak pada ketika itu, Sultan Azlan Shah melantik putera sulungnya, Raja Nazrin Shah sebagai Raja Muda. Hal ini mengakibatkan berlakunya kes luar biasa dimana seseorang dilantik menjadi Sultan selepas bapanya. Hal ini dikhabarkan berlaku kerana kemangkatan Raja Muda sebelum itu, selain peletakan jawatan oleh Raja di-Hilir atas faktor kesihatan.

Sumber: Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan (https://sultan.perak.gov.my/)

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...