Friday, 30 May 2025

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah perang. Namun yang menghairankan ialah, kebanyakan produk mereka masih dilabel “halal”. Ironik, bukan?

Persoalannya: halalkah lagi produk boikot yang menyumbang kepada penindasan?

Hari ini, konsep "halal" telah disempitkan jadi sekadar soal bahan dan proses. Tiada babi? Tiada alkohol? Lulus! Tapi bagaimana pula dengan duit yang kita bayar kepada syarikat yang secara terang-terangan menyokong penjajahan, eksploitasi buruh, atau gaji CEO yang lebih besar daripada bajet tahunan sesebuah negara kecil?

Ia juga jarang merangkumi isu-isu seperti gaji pekerja, sumber bahan mentah, atau kesan sosial global. Produk kereta elektrik contohnya, yang kononnya “hijau”, masih bergantung kepada penderaan tenaga buruh di negara Dunia Ketiga. 

Dalam sistem ekonomi sedia ada, yang penting hanyalah untung. Tiada moral. Tiada kemanusiaan. Bahkan agama pun dijadikan alat pemasaran. Label halal jadi lesen besar untuk kaut untung dari umat Islam, walaupun keuntungan itu digunakan untuk membiayai bom, senjata, dan penjajahan.

Kita ditipu atas nama “patuh syariah”, tapi hakikatnya kita sedang membiayai penjajahan dan kezaliman. Halal yang tidak membebaskan manusia daripada penindasan adalah halal yang palsu.

Ada orang Melayu menuduh bahawa orang Cina "menunggang" status halal untuk mengaut keuntungan daripada orang Islam, tapi membisu tatkala mereka yang menggunakan wang daripada keuntungan tersebut untuk menindas saudara seagama kita di serata dunia, menunggang status tersebut.

Sudah sampai masa kita membuka mata terhadap betapa pensijilan halal itu sebenarnya tidak membawa makna apa-apa, dan jika kita benar-benar bermoral, elakkanlah daripada membeli produk yang lahir daripada kezaliman, apatah lagi yang menunggang status halal. 

Saturday, 10 May 2025

KAMUS DOSA ORANG MELAYU

1. Minum arak


2. Makan khinzir


3. Makan rasuah


4. Merokok


5. Mencarut


6. Riba 


7. LGBT


8. Takfiri


9. Menunggang agama


10. Membazir makanan


11. Perkahwinan bawah umur


12. Couple


13. Tidak berpuasa


14. Seksisme


15. Kapitalisme


16. Konsumerisme


17. Ketuanan Melayu


18. Fitnah


19. Rasisme


20. Xenofobia


21. Membunuh


22. Membunuh binatang


23. Mencemarkan alam sekitar


24. Liberalisme


25. Ateisme


26. Sekularisme


27. Feminisme


28. Wanita tak tutup aurat


29. Lelaki tak tutup aurat


30. Pengantunan seksual


31. Poligami tapi tak mampu berlaku adil


32. Feudalisme

Wednesday, 30 April 2025

"KERAJAAN TIADA DUIT": HUJAH PURBA

1. Kerajaan ada duit, cuma pengagihannya bercelaru.

2. Jika kerajaan betul-betul tiada duit, potong elaun dan gaji politikus dahulu sebelum tarik subsidi rakyat.

3. Kalau bajet terhad, terokalah sumber kewangan lain. Sampai bila nak guna alasan bajet terhad tanpa buat apa-apa?

4. Kerajaan "tiada duit" sebab ketirisan. Tutuplah ketirisan jika tak mahu duit bocor!

5. Sarawak, wilayah pembentuk Malaysia ada duit untuk tawarkan pendidikan tinggi percuma, tapi Malaysia tiada duit nak naikkan peruntukan universiti awam?

6. "Kerajaan tiada duit," tapi sektor pendidikan tinggi dan kesihatan terjejas teruk. Kenapa tidak sektor lain?

7. Sapura.

8. Sembang pelaburan asing masuk, ekonomi semakin mantap tapi kerajaan masih tiada duit.

9. Malaysia kaya dengan sumber asli, ke mana hasilnya?

10. Kata kerajaan tiada duit macam kerajaan itu seorang individu bergaji hari. Walhal kerajaan boleh saja buat pinjaman secara strategik dan sesuaikan dasar monetari.

11. Masa Malaya baru merdeka, pendapatan negara jauh lebih kecil, tapi kerajaan masih boleh bina sekolah, beri biasiswa, buka hospital. Apa jadi dengan semangat itu sekarang?

12. Orang miskin disuruh bekerja dua kerja, tapi kerajaan tiada duit nak lepas tangan begitu saja?

13. Jika ada rakyat mampu untuk tanggung keluarga meskipun belanja kecil, kenapa negara dengan belanjawan besar tidak boleh pula?

Kerajaan ada duit. Yang kerajaan tiada, tekad politik yang kuat. 

Friday, 4 April 2025

PERIHAL PENSYARAH XENOFOBIK

Menjadi seorang pendidik bukanlah sesuatu yang mudah. Ia merupakan suatu amanah yang pastinya akan dipertanggungjawabkan kelak. Oleh itu, adalah perlu untuk para pendidik mengajar anak didik mereka dengan penuh berhati-hati. Akan tetapi, sesetengah pensyarah seolah-olah mengabaikan hakikat ini.

Ini kisah seorang pensyarah dalam bidang sosial yang mempunyai sifat xenofobik, sesuatu yang sangat janggal, memandangkan bidang sosial memerlukan seseorang itu untuk berfikiran kritis. Pensyarah ini bersubahat dengan kelas pemerintah dalam menyebarkan propaganda bahawa pekerja migran merupakan perampas pekerjaan orang tempatan. Daripada meruntuhkan prejudis, pensyarah ini memperkukuhkannya. 

Dakwaan ini bukan sahaja tidak benar, malah jelas bersifat xenofobik. Punca kurangnya peluang pekerjaan dalam kalangan warganegara adalah kerana para majikan tidak mahu membayar upah yang bermaruah. Kesannya, tiada warganegara yang mahu bekerja dengan mereka. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk mengupah warga asing yang bagi mereka, upah yang ditawarkan adalah cukup baik. Pekerja migran juga hampir mustahil untuk menubuhkan mahupun menyertai kesatuan buruh untuk memperjuangkan hak mereka, menyebabkan mereka menjadi pilihan para majikan yang mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pekerja.

Retorik ini sebenarnya juga pelik kerana di universiti-universiti, semakin ramai pelajar antarabangsa diterima masuk saban tahun. Tiada pula timbul isu bahawa mereka ini mengambil tempat rakyat Malaysia. Kenapa pula begitu? Sebab mereka beri duit kepada kita? Nak kata begitu pun tak boleh, kerana pekerja migran juga membeli barang di Malaysia, dan secara tidak langsung membayar cukai seperti Sales and Services Tax (SST). Alasan yang tinggal tidak lain tidak bukan adalah xenofobia, ketakutan tidak wajar terhadap warga asing.

Adalah amat mengecewakan terutamanya apabila perkara ini dilakukan oleh seorang pensyarah, bukan seorang guru. Universiti bukanlah seperti sekolah di mana kurikulumnya dikawal sebahagian besarnya oleh pihak kerajaan, dan di mana pendidik diikat longgar tangannya daripada menggalakkan pemikiran terbuka. Sifat ini bukan saja berbahaya kerana ia anti-manusia, malah ia juga menggalakkan propaganda kelas pemerintah, sekaligus mengalihkan tumpuan masyarakat daripada menentang musuh sebenar mereka, iaitu golongan pemerintah sendiri. Natijahnya, kes penyeludupan pekerja asing dibiarkan berlaku, dan sang pemodal boleh terus menggaji pekerja migran dengan murah sambil golongan kelas pekerja bertengkar mengenai siapa yang mengambil hak siapa.


Friday, 28 March 2025

SKIM PENDIDIKAN TINGGI PERCUMA SARAWAK PERLU DIJADIKAN DASAR NASIONAL

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Sarawak telah mengumumkan bahawa Skim Pendidikan Tinggi Percuma atau Free Tertiary Education Scheme (FTES) Sarawak akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Pengumuman ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada pelajar di Sarawak tetapi juga menjadi tamparan hebat kepada hujah lama yang sering digunakan untuk menolak pendidikan tinggi percuma—bahawa ia adalah idealistik, utopian, dan mustahil untuk dilaksanakan.

Jika Sarawak, salah sebuah wilayah dalam Malaysia dengan belanjawan yang jauh lebih kecil berbanding Kerajaan Persekutuan, mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma, mengapa kerajaan Persekutuan masih gagal merealisasikan perkara yang sama?

Langkah Kerajaan Sarawak ini menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi percuma bukan sekadar slogan atau retorik politik, tetapi sesuatu yang boleh direalisasikan dengan kehendak politik yang kuat. Model FTES boleh menjadi asas kepada perbincangan yang lebih besar mengenai keperluan menjadikan pendidikan tinggi percuma di seluruh Malaysia.

Kerajaan Persekutuan kini berada dalam kedudukan yang sukar. Jika mereka terus berdiam diri atau berdolak-dalik, ia hanya akan mengesahkan bahawa mereka lebih cenderung mengekalkan sistem yang membebankan mahasiswa dan keluarga mereka dengan hutang pendidikan, berbanding memperjuangkan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.

Satu persoalan utama yang sering diajukan apabila berbicara tentang pendidikan tinggi percuma adalah sumber pembiayaan. Namun begitu, jika Sarawak yang mempunyai autonomi kewangan terhad di bawah Perlembagaan Persekutuan mampu membiayai skim ini, maka alasan bahawa "Malaysia tidak mampu" menjadi semakin tidak masuk akal.

Malaysia memiliki pelbagai sumber pendapatan—hasil petroleum dan gas, cukai korporat, dividen GLC, dan sebagainya. Sebaliknya, setiap tahun, berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk projek mewah yang tidak mendesak, ketirisan dana, serta keutamaan perbelanjaan yang meragukan. Jika sebahagian daripada dana ini disalurkan kepada pendidikan tinggi percuma, ia bukan sahaja boleh mengurangkan beban kewangan pelajar, tetapi juga melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran tanpa terjerat dalam hutang PTPTN.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar komited untuk mengangkat taraf pendidikan rakyat, mereka harus segera mengkaji bagaimana model FTES Sarawak boleh diperluaskan ke IPTA di seluruh negara. Ini bukan hanya soal ekonomi, tetapi soal keadilan sosial dan masa depan negara.

FTES adalah bukti bahawa perjuangan untuk pendidikan tinggi percuma semakin hampir menjadi kenyataan. Kendatipun begitu, kita tidak boleh berhenti di sini. Tekanan politik harus diteruskan agar dasar ini diperluaskan ke seluruh negara.

Mahasiswa (terutamanya kesatuan mahasiswa), masyarakat sivil, dan kesatuan akademik perlu menggunakan momentum ini untuk terus mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih berani. Jika kita benar-benar percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada kemajuan, maka ia tidak boleh terus dikomersialkan seperti satu produk di pasaran.

Kerajaan Persekutuan harus berasa malu kerana ketinggalan jauh di belakang dalam isu pendidikan tinggi percuma. Sarawak telah menunjukkan bahawa ini bukan satu fantasi tetapi satu realiti yang boleh direalisasikan dengan kehendak politik yang jelas.

Jika Sarawak mampu melaksanakan FTES, Malaysia juga mampu. Kini, tanggungjawab terletak pada rakyat untuk terus menuntut pendidikan tinggi percuma sebagai hak yang sepatutnya dinikmati oleh semua, bukan sekadar segelintir yang mampu membayarnya.

Wednesday, 26 March 2025

MICROSLEEP, SIMPTOM KAPITALISME

Beberapa tahun kebelakangan ini, kemalangan akibat microsleep semakin menjadi-jadi, dan setiap kali berita mengenainya tersebar, reaksi yang biasa kita lihat adalah nasihat klise seperti "Pastikan tidur cukup sebelum memandu." Namun, kita perlu bertanya: mengapa begitu ramai orang mengalami keletihan kronik sehingga tertidur ketika memandu?

Jawapannya bukan sekadar gaya hidup individu yang buruk atau kesalahan peribadi—tetapi kerana sistem ekonomi yang mengeksploitasi tubuh dan masa pekerja demi keuntungan pemodal.

Dalam kapitalisme, tenaga kerja dilihat sebagai komoditi yang mesti dimaksimumkan penggunaannya dengan kos minimum. Ini menghasilkan beberapa realiti yang kita hadapi hari ini:

Pertama, beban kerja yang tidak manusiawi. Waktu kerja panjang dan lembur tidak berbayar semakin menjadi norma, terutamanya dalam sektor korporat. Pekerja juga digalakkan (atau dipaksa secara halus) untuk bekerja melebihi had fizikal mereka, dengan alasan produktiviti dan daya saing. Akibatnya, ramai mengalami keletihan kronik, tetapi gaji yang diterima masih tidak cukup untuk kehidupan yang selesa.

Selain itu, sistem kapitalisme mempromosikan pemilikan kereta individu sebagai keperluan, bukan pilihan, kerana syarikat automotif dan minyak mendapat keuntungan besar darinya. Kesesakan lalu lintas menyebabkan orang terpaksa menghabiskan berjam-jam di jalan raya setiap hari, menambah lagi keletihan mereka. Jika pengangkutan awam diperkuatkan, banyak masa boleh dijimatkan dan tenaga kerja boleh digunakan dengan lebih berkesan.

Di samping itu, dalam sistem ini juga, kejayaan diukur berdasarkan output kerja, bukan kesejahteraan manusia. Apabila seseorang terlalu letih atau sakit akibat beban kerja, beban tanggungjawab tetap diletakkan di bahu individu, bukannya sistem yang memaksa mereka ke keadaan itu.

Mengatasi masalah ini memerlukan perubahan radikal, bukan sekadar pembaikan kecil dalam sistem yang sudah rosak. 

Pengangkutan awam yang cekap, percuma, dan luas harus dijadikan keutamaan, agar rakyat tidak perlu bergantung pada kenderaan peribadi. Kenderaan persendirian turut perlu dikurangkan secara berperingkat dengan subsidi kepada sistem bas, rel, dan mobiliti mesra alam.

Selain itu, waktu bekerja juga hendaklah disingkatkan. Dasar kerja dari rumah harus diperluaskan untuk mengurangkan keperluan perjalanan harian yang membebankan. Kerja lebih masa harus dikawal ketat, dengan kadar gaji yang lebih tinggi jika perlu dilakukan.

Microsleep bukan sekadar masalah individu, tetapi cerminan dari sistem yang mengorbankan manusia demi keuntungan. Selagi kita hidup dalam ekonomi yang memaksa rakyat bekerja melampaui batas fizikal mereka, masalah keletihan, kesihatan mental, dan kemalangan akibat keletihan akan terus meningkat.

Satu-satunya "vaksin" sebenar terhadap pandemik keletihan ini adalah dunia tanpa kapitalisme, di mana kerja diatur berdasarkan keperluan manusia, bukan keuntungan syarikat. Dunia di mana pengangkutan awam percuma, waktu kerja lebih pendek, dan kesejahteraan lebih diutamakan daripada keuntungan.

Kita tidak seharusnya menerima keletihan sebagai sebahagian normal dari kehidupan moden—kita berhak untuk hidup dengan lebih bermaruah.

Wednesday, 12 March 2025

KAPITALISME UNTUK ORANG MISKIN, SOSIALISME UNTUK ORANG KAYA

Kerajaan Madani yang antara lain dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH) sekali lagi membuat onar dengan melakukan perkara yang sama seperti pendahulu mereka, cuma kini dijustifikasikan atas alasan yang berbeza. Sebelum ini, mereka mempertahankan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan. Kemudian, mereka menghalalkan pelantikan ahli politik memegang jawatan dalam GLC/GLIC. Kini, mereka menjustifikasikan tindakan bailout (sekali lagi) Sapura Energy.

Pusinglah ikut mana pun, bailout tetap bailout dan matlamat tidak menghalalkan cara. Jika ia bertujuan murni sekalipun, tindakan bailout syarikat ini tetap salah. Inilah bukti bahawa kapitalisme yang diamalkan di Malaysia bukan pasaran bebas, tetapi kapitalisme kroni di mana keuntungan diswastakan, tetapi kerugian disosialisasikan kepada rakyat.

Apabila universiti awam tertekan dek kekurangan geran kerajaan, mereka menyuruh universiti menjana pendapatan sendiri. Apabila sistem kesihatan awam semakin tenat dek ketidakcukupan bajet, mereka secara perlahan-lahan mahu menswastakannya kerana dianggap tidak mampan. Apabila didesak agar menetapkan gaji minimum pada kadar yang tinggi, keluar alasan bahawa Malaysia bukan negara sosialis. Tapi apabila syarikat swasta gagal menguruskan kewangan sendiri, dana awam pula digunakan untuk menyelamatkannya lalu digelar pelaburan strategik.

Jika mereka ini benar-benar kisah akan kebajikan rakyat, mereka akan bersuara menentang penswastaan sektor kesihatan dan pendidikan yang sedang secara diam-diam berlaku. Akan tetapi, apa yang mereka buat? Hal ini membuktikan bahawa hujah yang menjustifikasikan bailout ini atas alasan rakyat akan terkesan hanyalah retorik semata-mata. Usah tunggang nama rakyat untuk menjustifikasikan tindakan ini. Jijik dan tidak bermaruah!

Bailout ini juga menggunakan retorik nasionalisme ekonomi sebagai alat untuk menutup sifat kapitalisnya. Mereka menyebut bahawa ribuan vendor Bumiputera akan terkesan jika Sapura jatuh, seolah-olah ini adalah isu survival kaum. Hakikatnya, kapitalis tidak peduli pun dengan nasib pekerja. Jika mereka benar-benar peduli dengan rakyat miskin, mereka akan memperjuangkan upah minimum yang lebih tinggi, pemansuhan hutang PTPTN, atau jaminan sosial yang lebih kukuh. Tetapi tidak—mereka hanya bercakap soal rakyat apabila ia boleh digunakan untuk mempertahankan kepentingan kapitalis besar.

Perkara ini membuktikan bahawa kapitalisme dalam bentuknya sekarang bukanlah satu sistem ekonomi yang adil, tetapi satu mekanisme untuk mengekalkan keistimewaan kelas pemodal sambil menindas kelas pekerja dengan retorik kosong. Oleh itu, penyelesaiannya bukanlah sekadar menolak bailout ini sahaja, tetapi mempersoalkan sistem ekonomi yang membolehkan eksploitasi ini berlaku sejak awal.

Jika kita benar-benar serius tentang ekonomi rakyat, kita harus mencabar struktur kapitalisme yang mewujudkan situasi ini. Kita tidak boleh membiarkan syarikat besar terus menggunakan kerajaan sebagai alat penyelamat mereka sambil membiarkan rakyat biasa berjuang sendiri. Bailout ini bukan penyelesaian—ia adalah simptom kepada sistem yang rosak. Apa jaminan yang suntikan ini akan menyelesaikan segala-galanya? Ini bukan kali pertama suntikan dibuat. Namun begitu, isunya masih belum selesai.

Sebaliknya, kita harus menuntut nasionalisasi sektor strategik yang benar-benar penting, kawalan rakyat ke atas ekonomi, dan dasar-dasar yang memastikan kekayaan tidak hanya berkumpul di tangan elit, tetapi diagihkan secara adil kepada semua rakyat. Sebarang suntikan dana tidak boleh dibuat secara tampa syarat. Syarikat yang mahu diselamatkan oleh kerajaan wajib diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan kerajaan. Sebarang suntikan juga hendaklah melalui Parlimen dan bukannya keputusan unilateral Menteri Kewangan sahaja.

Jika duit rakyat digunakan untuk menyelamatkan Sapura, ia sewajarnya menjadi milik rakyat. Jika tidak, biarkan sahaja pasaran menentukan nasib syarikat itu. Audit forensik seperti yang digembar-gemburkan oleh Anwar Ibrahim sebelum ini juga perlulah dilakukan segera dan didedahkan dapatannya kepada umum. Rakyat berhak mengetahui wang mereka akan digunakan untuk tujuan apa.

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...