Kapitalisme tidak hanya mengeksploitasi buruh di tempat kerja tetapi juga mengeksploitasi kerja yang tidak dibayar di rumah. Sistem ini memerlukan tenaga kerja yang murah dan bersedia bekerja setiap hari, tetapi enggan membayar kos untuk menghasilkan dan menyelenggara tenaga kerja itu. Tanpa kerja rumah, tenaga kerja tidak boleh berfungsi. Para pekerja tidak dapat keluar mencari nafkah jika rumah tidak terurus, makanan tidak disediakan, dan anak-anak tidak dibesarkan. Tetapi siapa yang melakukan semua ini? Suri rumah, tanpa gaji, tanpa cuti, tanpa perlindungan sosial.
Konteks Tempatan
Di Malaysia, norma sosial masih meletakkan beban kerja domestik lebih banyak ke atas wanita, walaupun mereka juga bekerja di luar rumah. Hal ini menyebabkan fenomena dwi-beban, di mana wanita perlu bekerja sepenuh masa dan pada masa yang sama menanggung kerja domestik yang tidak diupah. Feminisme liberal gagal memahami bahawa suri rumah dari kelas pekerja tidak mempunyai "pilihan" untuk sekadar "bekerja" kerana mereka sering terpaksa bekerja dua kali ganda.
Lebih buruk lagi, apabila wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, mereka kehilangan hak perlindungan sosial. Jika suami meninggal dunia atau berlaku perceraian, mereka sering ditinggalkan tanpa jaringan keselamatan kewangan.
Kendatipun Kerajaan Malaysia sudah memperkenalkan caruman KWSP untuk suri rumah di bawah i-Suri, tetapi jumlahnya masih rendah. Ia perlu diperluaskan dengan sumbangan yang lebih besar daripada pihak kerajaan dan suami. Aku juga tidak pasti sama ada Skim PERKESO sudah dilakukan atau tidak. Jika tidak, kerajaan boleh memperluaskan skim ini supaya suri rumah mendapat perlindungan jika mengalami kecederaan atau kecacatan ketika melakukan kerja domestik.
Suri Rumah = Buruh Tanpa Gaji
Jika seorang pekerja di kilang atau pejabat dipaksa bekerja tanpa gaji, kita akan menyebutnya sebagai perhambaan atau eksploitasi melampau. Tetapi apabila seorang wanita bekerja di rumah selama 16 jam sehari tanpa sebarang upah, ia dianggap “lumrah.” Perkara ini bukan kerana kerja itu tidak bernilai, tetapi kerana kapitalisme tidak mahu membayarnya.
Secara kasar, jika kita mengira gaji untuk kerja yang dilakukan oleh suri rumah berdasarkan kadar upah bagi kerja serupa di pasaran (pengasuh, tukang cuci, tukang masak, pengurus rumah), seorang suri rumah sepatutnya dibayar lebih daripada RM2,000 sebulan. Tetapi dalam kapitalisme, keuntungan lebih diutamakan daripada keadilan sosial—jadi kerja ini dibiarkan tidak bergaji.
Menurut laporan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), kerja domestik tanpa gaji yang dilakukan oleh wanita menyumbang sekurang-kurangnya 10% kepada KDNK di banyak negara. Tetapi kerana ia tidak dikategorikan sebagai kerja rasmi, ia tidak dimasukkan dalam statistik ekonomi negara.
Mengapa Kita Perlu Gaji untuk Kerja Rumah?
Gerakan feminis kiri seperti Wages for Housework Campaign telah lama menuntut agar kerja rumah diiktiraf sebagai pekerjaan dan diberi gaji. Jika kerja ini benar-benar penting untuk ekonomi, mengapa ia tidak dibayar? Beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan termasuklah gaji asas untuk suri rumah. Kerajaan boleh menyediakan gaji minimum untuk kerja domestik sebagai suatu bentuk pengiktirafan dan perlindungan sosial.
Inisiatif ini boleh dibiayai dengan cukai ke atas syarikat besar yang bergantung kepada tenaga kerja yang direproduksi secara percuma di rumah.
Selain itu, jika lelaki dan wanita sama-sama mempunyai waktu kerja yang lebih singkat, kerja domestik boleh dibahagikan secara lebih adil. Waktu bekerja hendaklah dikurangkan bagi semua untuk menggalakkan kerja rumah dikongsi secara adil oleh pasangan. Masa ini adalah masa yang tepat untuk mempertimbangkan pelaksanaan hari bekerja empat (4) hari seminggu.
Di samping itu, sistem perkhidmatan awam yang menyokong kerja domestik hendaklah disediakan. Akses kepada penjagaan anak percuma, perumahan awam yang lebih baik, dan sistem sokongan masyarakat dapat mengurangkan beban kerja rumah yang tidak dibayar. Kerajaan turut boleh mengkaji cara untuk mengukur dan mengiktiraf kerja rumah dalam statistik ekonomi agar ia mendapat perhatian yang sewajarnya dalam dasar sosial dan ekonomi.
Dalan Islam, tanggungjawab untuk membayar "gaji" suri rumah ini sebenarnya terletak pada bahu suami. Walau bagaimanapun, di Malaysia, para isteri masih bergelut untuk menuntut nafkah yang merupakan hak mereka ini. Sistem ini perlulah dirombak sepenuhnya. Pemotongan gaji automatik suami boleh dilakukan untuk menjamin pembayaran nafkah.
Kesimpulan: Pembebasan Wanita yang Sebenar
Selagi kita hidup dalam sistem kapitalisme, kerja domestik akan terus dieksploitasi. Pengiktirafan dan bayaran untuk kerja rumah hanyalah langkah awal—yang lebih penting adalah mencipta masyarakat di mana semua kerja dihargai dan tidak ada sesiapa yang dipaksa bekerja secara percuma demi keuntungan orang lain.
Pembebasan wanita bukan sekadar memberi mereka hak untuk bekerja di luar rumah sambil terus memikul beban kerja domestik. Masyarakat yang adil adalah masyarakat yang mengiktiraf semua bentuk kerja—sama ada di pejabat, di kilang, atau di rumah.
No comments:
Post a Comment