Saturday, 4 January 2025

MUFTI BUKAN MAKSUM, FATWA BUKAN HUKUM

Sebenarnya aku dalam proses penulisan satu lagi entri berkaitan denda ketuk ketampi oleh pihak polis yang aku tak tahu nak terbitkan atau tidak. Tapi yang ini aku memang nak terbitkan sebab aku rasa agak geram dengan kebebalan kebanyakan orang kita.

Baru-baru ini, berlaku perdebatan hangat mengenai hukum vasektomi di Twitter, dengan seorang bekas mufti mengatakan bahawa hukumnya haram dan tidak dibenarkan.

Masalah pertama dengan orang kita adalah gagal mengikuti perkembangan semasa. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bukan lagi seorang mufti. Pendapat beliau bukan fatwa. Jadi tak betul untuk melabelkan mereka yang mempersoalkan "pendapat" beliau sebagai mempersoalkan hukum Allah. Sejak bila mufti jadi Nabi atau Rasul pula ni? Sejak bila mereka jadi maksum? Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendapat yang dikeluarkan adalah daripada orang yang arif dalam bidang agama, tapi tak bermaksud ia tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi dilabel sebagai hukum Allah. Ia boleh saja jadi bias. 

Kalau misal kata hukum tentang minum arak bolehlah kau kata hukum Allah. Prosedur vasektomi ni zaman nabi pun belum ada rasanya jadi hukumnya tidak diperincikan. Kalau itu hukum Allah, tak perlu pun keluarkan fatwa. Misalnya kita dah tahu bahawa hukum meminum arak itu haram. Itu hukum Allah dan tiada fatwa pun yang dikeluarkan berkenaan perkara itu. Lain pula bagi vasektomi. 

Mempunyai ilmu dalam bidang agama tidak mengecualikannya daripada dipertikaikan. Sedangkan Saidina Umar al-Khattab pun mengalu-alukan kritikan daripada orang lain. Itu antara tokoh utama dalam Islam. Dia ni siapa? Tolonglah jangan amalkan taqlid buta. 

Berbicara soal taqlid buta, aku ingin menegur pihak yang berselindung di sebalik hujah bahawa Dr. Zulkifli merupakan seorang ulama, dan hanya mereka yang berilmu saja layak mengkritiknya. Kriteria mana pula ni? Siapa yang tetapkan? Apa kayu ukurnya? Sedangkan Saidina Umar pun tak lihat kelayakan seseorang itu untuk memberi teguran. Menolak pendapat seseorang (yang mungkin betul) hanya kerana mereka "tidak layak" untuk berbicara memperlihatkan sesuatu pihak seolah-olah takut untuk dikritik.

Membandingkan isu ini dengan menghormati guru di dalam kelas juga tidak sesuai. Perbandingan tersebut mengakui bahawa bekas mufti, sama seperti guru, boleh membuat kesilapan. Adalah penting untuk pelajar mencabar apa yang diperkatakan oleh guru untuk mengalakkan pemikíran kritis. Meskipun berbicara mengenai perkara ini memerlukan kepakaran, input daripada orang awam lazim menonjolkan perspektif yang sering terabai. Pakar dalam bidang lain juga mempunyai biasnya yang tersendiri. Akhirnya, wujud echo chamber di mana idea-idea dalam kalangan pakar tidak dicabar.

Ke mana perginya "lihat nasihat, bukan penasihatnya"? Ke mana perginya "takkan nak tunggu maksum baru boleh tegur"? Atau hujah ini terpakai apabila kena dengan tekak kalian saja? Tidak ada kekurangannya untuk melibatkan orang awam dalam hal ini, memandangkan fatwa yang hendak dibuat pun memberi kesan terhadap mereka juga. 

Bab agama bukan main kena libatkan pakar tapi bab lain ada saja yang bukan pakar membangkang undang-undang tertentu misalnya. Dah cukup arif hal ehwal undang-undang ke? Melucukan. 

Masyarakat Islam mempunyai hak untuk bertanya, mengkritik, dan mempersoalkan fatwa kerana ini adalah sebahagian daripada amalan ijtihad. Fatwa bukan wahyu; ia adalah interpretasi manusia yang mesti terus diuji dan diperbaiki. Kritikan adalah cara untuk memastikan keadilan dan relevansi fatwa dengan kehidupan semasa.

Kalau nak kata fatwa itu hukum Allah juga, fatwa yang dikeluarkan berbeza di setiap negara, malah di Malaysia pun kadangkala mufti di negeri-negeri yang berlainan mengeluarkan fatwa yang berbeza. Mana satu hukum Allah, takkan kesemuanya? Nampak tak betapa bengapnya kalian apabila menyamakan fatwa dengan hukum Allah? 

Jika betullah prosedur vasektomi ini haram dari segi hukum Allah, kenapa ia bukan merupakan suatu jenayah? Dan kenapa ia tidak diwartakan sebagai fatwa supaya "hukum" ini boleh mengikat? Sebab ia bukan fatwa pun! Yang keluarkannya pun dah terhenti daripada menjadi seorang mufti. Jadi hentikanlah label-melabel yang tak patut kalau tak nak nampak agama Islam ni sebagai agama yang ramai penganutnya serba bebal. 

Orang bukan main sembang fatwa dikeluarkan setelah perbincangan dengan pakar apa ke jadahlah walhal ia tidak berlaku pun pada situasi ini kerana dia bukan lagi mufti. Pendapat yang dikeluarkannya bukan fatwa, jauh sekali hukum Yang Maha Esa. Ia hanyalah pendapat peribadi semata-mata. Berhenti label ia sebagai fatwa. Berhenti samakan ia dengan hukum Allah. Kemudian, apabila orang pertikaikan, dikatakan melawan hukum Allah. BERHENTI!

Nak tanya juga siapa saja "pakar" yang dilibatkan dalam proses pembentukan pendapat peribadi dia ni. Cuba telus sikit supaya masyarakat lebih yakin. Pakar yang dilibatkan pula jangan dari kalangan geng sekepala saja. Libatkan juga pakar wanita, pakar sosiologi dan pakar kesihatan mental. 

Jika benar pakar dilibatkan sekalipun, tak bermakna sesuatu fatwa itu sempurna. Apa kau ingat dengan penglibatan pakar, sesuatu fatwa itu tiada cacat cela? Naif sungguh.

Kemudian nak kata sebab mufti ada PhD. Dr. yang ada PhD tu pun boleh buat diagnosis salah. Diagnosis dalam konteks ini boleh disamakan dengan fatwa. Kononnya rasa macam hujah dah paling kuat dengan menggunakan kad "Mufti ada PhD" tapi sebenarnya mendedahkan kelompongan untuk hujah dipatahkan.

Kadangkala aku hairan, mereka ni sembah siapa sebenarnya? Mufti atau Allah? Kalau sembah Allah dengan sebenar-benarnya, mereka akan tahu bahawa fatwa itu tidak semestinya hukum Tuhan yang mereka sembah. Mereka tak rasa macam mereka tengah mensyirikkan Allah ke? 

Kemudian, kalian tahu tak fatwa ini bukan hukum Allah sebab kita boleh menolak daripada menerimanya? Ya, kita boleh tolak. Pihak Mufti Wilayah Persekutuan sendiri yang kata. Jadi kenapa ramai yang merentan seolah-olah yang tak nak ikut fatwa ni mahu berperang dengan Allah? Pada peringkat ini aku pun terkesima dengan tahap kebebalan masyarakat kita. 

Satu lagi isu yang aku ingin ulas ialah mengapa kita perlu mufti perempuan. Aku tak ingin mengulas panjang. Cukup aku katakan bahawa kita perlukan mufti wanita kerana "fatwa" yang dikeluarkan oleh para mufti (yang memberi kesan kepada wanita) sering dikeluarkan secara berasingan dengan "fatwa" yang memberi kesan kepada jejaka. Aku rasa perdebatan ini tidak akan berlaku sekiranya hukum mengenai prosedur lebih kurang sama bagi golongan wanita turut dibincangkan sekali. Apakah hukum memakan pil perancang kehamilan dan sebagainya? 

Islam tidak melarang ya untuk mufti dilantik dari kalangan kaum Hawa. Bayangkan berdebat dengan orang macam terpaling tahu Islam dan ingin melawan "musuh" Islam tapi fakta yang satu ini pun jahil. Kalau aku, aku malu dan akan berhenti daripada mengulas isu berkaitan dengan lebih lanjut. Tak tahu pula bagi golongan yang bodoh sombong.

Ada pula yang kata kalau ada muftiyah sekalipun, hukum Allah takkan berubah. Entah berapa kali nak jelaskan bahawa fatwa ini bukan hukum Allah, dan boleh berubah mengikut perkembangan semasa. Ada saja kes di mana fatwa yang telah dikeluarkan ditarik balik untuk penelitian semula. Sebenarnya hujah ni keluar sebab kantoi jahil yang mufti boleh dilantik dalam kalangan wanita. Dah pecah tembelang, kenalah cari hujah lain. 

Hujah ini juga menunjukkan yang mereka ini pun tak membaca "fatwa" yang dikeluarkan. Hukum Allah memang boleh berubah mengikut keadaan. Hukum babi boleh menjadi halal ketika darurat. Hukum Allah pun boleh berubah apatah lagi fatwa. "Fatwa" yang dikeluarkan juga mengatakan bahawa vasektomi adalah haram dan tidak dibenarkan tetapi dibolehkan pada senario tertentu. Nampak tak kebebalan di situ?

Kemudian, menurut Imam al-Nawawi Rahimahullah, seorang mufti hendaklah bebas daripada sebarang tindakan yang mencemarkan maruahnya. Persoalannya, adakah Dr. Zulkifli menepati kriteria tersebut? Hal ini demikian kerana beliau pernah dikompaun kerana melanggar SOP COVID-19. Jeng jeng jeng.

Posisi mufti ni sebenarnya tak wujud pun pada zaman Nabi dahulu. Ia mulai wujud pun pada zaman Uthmaniyyah. Sebenarnya orang biasa pun boleh mengeluarkan fatwa, asalkan menepati kelayakan. 

Di kesempatan ini juga, aku melihat keperluan untuk solusi dicari sebagai alternatif kepada prosedur vasektomi, bukan sekadar melarang tanpa memberi panduan praktikal. 

Tambahan: Ada yang mengatakan bahawa hukum penuh bagi vasektomi adalah haram dan tidak dibenarkan TETAPI dibolehkan jika darurat. Jadi, apa isunya? Yang mempersoalkan fatwa pun kerana mereka ingat tiada pengecualian diberikan. Aku tak salahkan sangat (bukan tak salahkan langsung) mereka yang tak baca artikel penuh sebelum mengulas berkenaan perkara ini, lebih-lebih lagi mereka yang bukan Muslim. 

Menyalahkan pembaca kerana "baca headline sahaja" tidak menafikan tanggungjawab individu yang mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan perkara tersebut secara lengkap.

Jika benar ada pengecualian, ia perlu ditekankan dengan jelas dalam setiap kenyataan bagi mengelakkan salah faham, terutama dalam isu sensitif seperti ini.

Namun begitu, sebagai orang Islam, bukankah menjadi kewajipan kita untuk membaca sebelum mengulas mengenai sesuatu perkara? Ayat pertama Al-Quran yang diturunkan menyuruh kita untuk membaca. Kalau umat Islam membaca, mereka takkan kelihatan bebal. Jika ada yang percaya bahawa hukum vasektomi itu sepenuhnya haram tanpa pengecualian, mereka akan menerangkan bahawa ia sebenarnya sebaliknya. 

Ini tidak, apabila ada yang mempersoalkan, ditekankan bahawa hukumnya memang haram tanpa pengecualian. Dan yang mempersoalkan pula dilabelkan dengan segala macam gelaran, seolah-olah Islam mengharuskan perbuatan tersebut (melabel orang lain yang bukan-bukan). Sembang pasal fatwa tapi hukum Allah yang hakiki dicabuli. 

Para Muslim benar-benar perlu belajar cara untuk berdebat dengan baik. Sewajarnya perdebatan ini tidak berlarutan panjang dengan para Muslim menjelaskan pendapat penuh mengenai prosedur vasektomi sedari awal pertikaian. 

Hujah aku bahawa kebanyakan orang kita bebal masih berdiri meskipun dengan penambahan baru ini. Ia juga tidak mematahkan hujah aku yang lain bahawa mufti bukan maksum dan fatwa bukan hukum.

TL;DR

"Dosa-dosa" Masyarakat dalam Kes Ini:

1. Menganggap Dr. Zulkifli masih lagi seorang mufti
2. Menganggap pendapat peribadi beliau sebagai fatwa
3. Menganggap fatwa sebagai hukum Allah
4. Menyamakan Mufti dan Allah
5. Melawan orang yang menolak "hukum Allah" dengan melanggar hukum Allah (takfiri dll.)
6. Malas membaca
7. Menganggap fatwa wajib ditaati 
8. Meremehkan pendapat orang lain 
9. Hipokrit. Kebanyakan yang menjerit ialah kaum Adam yang aku pasti ramai antara mereka yang merokok, suatu perbuatan yang telah difatwakan haram. Tak lupa bagaimana ada saja dalam kalangan mereka yang "melawan" mufti dari mazhab berlainan.
10. Berjiwa hamba
11. Bebal
12. Paradoksikal. Sembang yang bukan pakar tak layak ulas pasal isu ini tapi junjung pendapat bukan pakar perubatan mahupun fiqh (Tun Laila)
13. Mengabaikan maqasid syariah dan fiqh al-awlawiyat
14. Berfikiran jumud
15. Dogma > dialog 
16. Falasi ad hominem 
17. Taksub tokoh
18. Menganggap fatwa rigid
19. Menganggap wanita tak layak menjadi mufti
20. Merendah-rendahkan martabat wanita 






No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...