Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjadi simbol kebanggaan rakyat, sebuah institusi yang mengangkat martabat ilmu dan melahirkan generasi pemikir. Namun begitu, perubahan zaman dan tekanan komersial telah mengubah wajah UKM daripada sebuah gedung ilmu menjadi alat kapitalis untuk mengaut keuntungan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan semakin banyak syarikat besar mendominasi ruang perniagaan di kampus UKM. Nama-nama seperti Zus Coffee, Gigi Coffee, dan Tealive, kini menjadi sebahagian daripada landskap kampus. Syarikat-syarikat ini bukan sekadar menjalankan perniagaan, tetapi juga mencerminkan bagaimana ruang-ruang di universiti kini dijadikan ladang untung bagi golongan pemodal yang hanya ingin mengaut kekayaan tanpa menghiraukan kebajikan mahasiswa.
Tidak ada masalah dengan kehadiran perniagaan di universiti, tetapi persoalannya adalah keutamaan yang diberikan. Sebagai sebuah institusi awam, UKM sewajarnya memanfaatkan ruang perniagaan untuk menyokong komuniti mahasiswa dan usahawan kecil tempatan, bukan memberi peluang kepada syarikat besar yang sudah pun memiliki rangkaian perniagaan di luar kampus. Produk yang dijual di premis-premis ini kebanyakannya berharga premium, jauh dari kemampuan kebanyakan mahasiswa. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, mahasiswa dipaksa untuk berbelanja lebih hanya untuk memenuhi keperluan harian.
Komersialisasi kampus bukan sahaja membebankan mahasiswa secara kewangan tetapi juga menutup peluang kepada perniagaan kecil untuk berkembang. Syarikat-syarikat besar yang mempunyai sumber kewangan kukuh boleh membayar sewa yang tinggi, sedangkan peniaga kecil tidak mampu bersaing. Akibatnya, mahasiswa kehilangan akses kepada produk yang lebih mampu milik dan perkhidmatan yang benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Bagi mahasiswa yang datang dari keluarga berpendapatan sederhana atau rendah, situasi ini menjadi lebih mencabar. Mereka tidak lagi mempunyai pilihan yang sesuai dengan bajet, dan ini menambah tekanan dalam kehidupan kampus mereka.
Sebagai institusi pendidikan, universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu. Ia juga harus menjadi ruang untuk mahasiswa berkembang secara holistik. Universiti boleh menggalakkan mahasiswa menubuhkan koperasi untuk menawarkan produk dan perkhidmatan pada harga rendah. Koperasi seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan mahasiswa tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari selok-belok pengurusan perniagaan.
Pihak universiti juga perlu memberi keutamaan kepada PKS dan perniagaan tempatan untuk membuka operasi di kampus. Langkah ini akan memastikan mahasiswa mempunyai lebih banyak pilihan yang berpatutan. Daripada memenuhi ruang kampus dengan perniagaan besar, universiti boleh menyediakan ruang untuk kedai buku, perpustakaan mini, atau ruang diskusi. Hal ini akan menggalakkan budaya membaca dan intelektual dalam kalangan mahasiswa.
Pihak universiti juga perlu memastikan perniagaan yang beroperasi di kampus menawarkan harga yang berpatutan, sejajar dengan keperluan mahasiswa.
Jika pihak universiti terus memberi keutamaan kepada keuntungan komersial tanpa memikirkan kebajikan mahasiswa, maka UKM akan kehilangan identitinya sebagai sebuah gedung ilmu. Mahasiswa bukan sekadar pelanggan; mereka adalah aset utama universiti. Oleh itu, keperluan mereka harus sentiasa menjadi keutamaan.
Komersialisasi kampus tidak boleh dibiarkan terus berlaku tanpa hala tuju yang jelas. Pentadbiran universiti harus bertanggungjawab dan mengambil langkah segera untuk memastikan UKM kekal sebagai institusi yang mendukung nilai pendidikan, kebajikan, dan kesejahteraan mahasiswa.
No comments:
Post a Comment