Tuesday, 8 October 2024

MAHASISWA DAN PENGURUSAN UNIVERSITI

Mahasiswa dan pengurusan universiti seringkali berada dalam dinamika yang rumit. Di sebelah pihak, universiti merupakan institusi yang bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang mendukung perkembangan intelektual dan kebebasan berpendapat. Namun begitu, di pihak yang satu lagi, terdapat realiti yang menunjukkan pengurusan universiti sering kali berfungsi sebagai entiti yang dominan, menentukan arah dan polisi yang memberi kesan besar kepada kehidupan mahasiswa. Pertembungan antara mahasiswa dan pengurusan universiti sering membawa kepada situasi di mana mahasiswa menjadi mangsa akibat ketidakseimbangan kuasa.

Ketidakseimbangan kuasa ini berpunca daripada beberapa faktor asas. Pertama, pihak pengurusan universiti bukan sahaja merangka polisi, tetapi juga melaksanakannya serta bertindak sebagai pihak yang menghukum sekiranya berlaku pelanggaran polisi. Dalam konteks perundangan, situasi sebegini melibatkan percampuran kuasa antara cabang eksekutif, legislatif, dan kehakiman, yang mana ia membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Sebagai contoh, peraturan yang digubal mungkin terlalu berat sebelah atau bersifat autoritarian kerana ia lebih mementingkan kepentingan pihak pengurusan daripada mahasiswa. Dalam kes ini, mahasiswa berhadapan dengan tindakan tatatertib yang bersifat menekan dan boleh menggugat kebebasan mereka untuk bersuara atau bertindak. Antara contoh terkini ialah isu Polisi Baki Sifar atau Zero Balance Policy. Polisi ini mempunyai dampak yang besar ke atas kehidupan mahasiswa. Polisi ini dibuat oleh pihak pengurusan universiti tanpa mengadakan perbincangan dengan mahasiswa terlebih dahulu. Apabila mahasiswa bangkit membantah polisi tersebut, ramai antara mereka yang diugut oleh pihak pengurusan universiti. 

Seharusnya, seperti mana sistem demokrasi yang diamalkan di peringkat kerajaan, struktur di dalam universiti juga perlu dipecahkan kepada tiga cabang kuasa yang jelas: eksekutif, legislatif, dan kehakiman. Pihak pengurusan universiti boleh terus berperanan sebagai eksekutif yang melaksanakan polisi, tetapi pembentukan peraturan universiti perlu melibatkan peranan legislatif, yang mana dalam konteks ini boleh diterjemahkan sebagai parlimen mahasiswa. Parlimen mahasiswa ini hendaklah menjadi platform rasmi untuk mahasiswa mengusulkan pendapat dan menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan polisi universiti. Sebarang perubahan besar, seperti kenaikan yuran, perlulah melalui perbincangan dan pengesahan di parlimen ini.

Cabang kehakiman pula memerlukan pembentukan suatu badan bebas yang berfungsi ala-ala mahkamah di luar kampus. Badan ini hendaklah terdiri daripada individu-individu yang bebas daripada pengaruh pengurusan universiti, memastikan bahawa sebarang pertikaian atau kes tatatertib yang melibatkan mahasiswa ditangani dengan adil dan saksama. Badan ini juga akan berperanan sebagai pengimbang kepada tindakan pengurusan universiti, memastikan bahawa segala keputusan dan pelaksanaan polisi tidak melanggar hak asasi mahasiswa.

Tanpa sistem semak dan imbang ini, pihak pengurusan universiti cenderung bertindak seperti seorang diktator. Sejarah telah menunjukkan bahawa mahasiswa yang berani bersuara dan mencabar keputusan pengurusan sering kali diugut atau diancam dengan tindakan tatatertib. Situasi ini mencerminkan ketidakadilan yang wujud dalam sistem pengurusan universiti yang autoritarian, di mana sebarang penentangan dianggap sebagai ancaman terhadap kuasa mereka. Sekiranya terdapat badan kehakiman bebas yang berperanan menilai tindakan pengurusan, sudah tentu pihak universiti akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan yang menekan mahasiswa.

Selain itu, mahasiswa perlu diiktiraf sebagai entiti penting dalam proses pentadbiran universiti. Universiti merupakan ruang mereka untuk belajar, berkembang, dan bersosial; maka, mereka wajar diberikan kuasa dalam menentukan arah tuju pentadbiran universiti. Salah satu isu utama yang perlu ditangani ialah proses pelantikan Naib Canselor. Buat masa ini, Naib Canselor dilantik oleh Menteri yang mungkin tidak mempunyai kefahaman mendalam tentang keadaan di dalam universiti. Pemilihan Naib Canselor yang lebih demokratik, melibatkan mahasiswa dan warga kampus lain, adalah satu langkah penting ke arah mencipta persekitaran yang lebih telus dan inklusif.

Dalam konteks ini, Naib Canselor boleh dianggap seperti seorang perdana menteri universiti, yang memimpin dan menentukan hala tuju universiti. Walau bagaimanapun, berbeza dengan perdana menteri yang dipilih oleh rakyat atau wakil rakyat, Naib Canselor dipilih oleh oleh seseorang yang tiada kaitan secara langsung dengan universiti. Menteri hanya perlu melakukan konsultasi bersama dengan pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Akan tetapi, tiada jaminan atau bukti bahawa Menteri perlu atau telah mengikut saranan LPU. Proses yang samar ini membuka ruang untuk Menteri melantik seseorang yang bukan sahaja tidak berkelayakan, malah dia boleh melantik konco-konconya di universiti-universiti. Oleh itu, sebarang pelantikan hendaklah melibatkan penglibatan mahasiswa melalui proses pilihan raya yang telus, di mana mahasiswa boleh memilih calon yang mereka percaya akan memperjuangkan hak mereka. Setidaknya, Menteri perlulah berunding dengan mahasiswa terlebih dahulu sebelum melantik Naib Canselor. Proses ini perlulah bersifat telus dan terbuka, dengan mahasiswa boleh mendedahkan saranan mereka semasa berunding dengan Menteri. Sekiranya Menteri tidak mengikut kehendak mahasiswa, sudah tentunya keputusan beliau akan dipersoalkan. Selain itu, mahasiswa perlu dilibatkan dalam proses pembuatan dasar, terutama dasar-dasar yang memberi impak langsung kepada mereka, seperti dasar berkaitan yuran, penempatan kolej, serta kebajikan.

Dengan adanya parlimen mahasiswa yang kukuh dan badan kehakiman bebas yang adil, universiti boleh menjadi institusi yang benar-benar menghormati kebebasan bersuara dan hak asasi mahasiswa. Parlimen mahasiswa akan berfungsi sebagai platform untuk mahasiswa mengemukakan pandangan dan cadangan, manakala badan kehakiman akan memastikan bahawa sebarang tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan adalah berdasarkan prinsip keadilan dan ketelusan. Sistem ini juga boleh mengurangkan ketakutan di kalangan mahasiswa untuk bersuara, kerana mereka tahu bahawa tindakan mereka akan dilindungi oleh badan-badan yang neutral dan tidak berpihak kepada pengurusan universiti semata-mata. Pihak universiti juga tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan yang membebankan mahasiswa.

Secara keseluruhan, adalah penting untuk memastikan bahawa hubungan antara mahasiswa dan pengurusan universiti adalah hubungan yang seimbang, di mana hak dan suara mahasiswa dihormati. Dengan memperkenalkan sistem semak dan imbang yang lebih jelas dan adil, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih demokratik dan inklusif di universiti, yang mana kebebasan akademik dan kebebasan bersuara benar-benar dihargai dan dijamin.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...