Pada penghujung tahun 2022, Universiti Thammasat di Thailand telah menjadi institusi pertama di negara itu yang memperkenalkan cuti haid untuk pelajarnya, membenarkan mereka mengambil masa rehat tanpa mempengaruhi gred akademik mereka. Langkah ini mengakui cabaran yang dihadapi semasa haid yang boleh memberi impak kepada prestasi akademik. Cabaran ini termasuklah kekejangan, ketidakselesaan, keletihan dan tekanan emosi, yang semuanya boleh memberi kesan terhadap prestasi akademik, kehadiran dan kesejahteraan mereka.
Untuk sesetengah individu, senggugut yang dihadapi menghalang mereka daripada mengerjakan aktiviti harian biasa selama beberapa hari. Dr. Hoo Mei Lin, Presiden Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia, mendedahkan bahawa ada yang hadir ke pejabatnya dan meminta agar uterus dan ovari mereka dibuang supaya mereka tidak perlu merana setiap bulan.
Di Malaysia, isu berkaitan haid masih dianggap tabu dan jarang sekali dibahaskan di khalayak ramai, walaupun isu tersebut merupakan proses biologikal semulajadi. Stigma terhadap isu tersebut juga masih wujud dalam kalangan masyarakat. Mereka mengakui bahawa senggugut boleh menjejaskan produktiviti seseorang. Namun begitu, mereka enggan melakukan sesuatu berkenaan perkara itu. Pengenalan cuti haid di universiti-universiti di Malaysia mampu memecahkan stigma masyarakat di samping mewujudkan persekitaran yang mengutamakan kesihatan mental dan fizikal bagi mereka yang terkesan.
Pengenalan cuti haid boleh memberikan peluang kepada pelajar untuk mengurus simptom haid tanpa tekanan akademik, menyumbang kepada prestasi akademik yang lebih mantap. Walaupun ada yang berpendapat bahawa polisi cuti sakit sudah mencukupi, bias dan stigma yang mengiringi haid menunjukkan perlunya cuti haid. Dokumentasi dan pengawasan yang betul boleh mengelakkan penyalahgunaan cuti ini. Membenarkan pelajar mengambil cuti haid juga dapat mengelakkan berlakunya “presenteeism,” di mana pelajar hadir ke kelas meskipun tidak sihat.
Sekurang-kurangnya, mereka yang mengalami komplikasi berkaitan haid perlulah dibenarkan untuk mengikuti kuliah secara atas talian atau tidak segerak. Hal ini membolehkan mereka menangani komplikasi berkaitan di samping tidak ketinggalan dalam aspek akademik.
Walaupun menawarkan cuti haid merupakan langkah yang signifikan, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu diambil dalam usaha memperkasakan wanita berkenaan isu haid. Inisiatif seperti pemberian tuala wanita secara percuma bagi mengatasi kemiskinan haid mampu meruntuhkan tembok ekonomi yang dihadapi oleh sesetengah pelajar, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan. Pendidikan berkenaan kesihatan haid juga perlu dilakukan melalui pelaksanaan program dan kursus bagi mendidik pelajar akan peri pentingnya kesihatan haid. Selain itu, penawaran sokongan kesihatan mental juga perlu dititikberatkan.
Secara umumnya, penawaran cuti haid dapat membentuk naratif akademik masa depan yang merangkumi kesihatan wanita dengan mempromosikan inklusiviti, menentang stigma, menggalakkan kesaksamaan gender, dan memberi keutamaan kepada kesejahteraan pelajar wanita. Memandangkan konsep ini sedang mendapat momentum di peringkat global, adalah penting untuk polisi ini diketengahkan oleh setiap universiti di Malaysia.
No comments:
Post a Comment