Wednesday, 25 September 2024

AITIVISME MENJIJIKKAN!

Kebelakangan ini, aku kerap "terserempak" dengan kandungan berbaur aktivisme yang dibuat dengan menggunakan kecerdasan buatan generatif atau GenAI seperti gambar janaan komputer dan tulisan ChatGPT. Aktivisme gaya ini aku gelarkan sebagai AItivisme—aktivisme dengan menggunakan kecerdasan buatan. 

Pada pandangan sesetengah orang, mungkin ini sesuatu yang boleh diterima, memandangkan AI dilihat sebagai alat canggih dan berguna. Namun, pada hemat aku, terdapat banyak keburukan yang timbul akibat daripada AItivisme.

Menggunakan gambar janaan AI sebagai alat untuk aktivisme bukan sahaja menjijikkan tetapi juga mencemarkan nilai perjuangan sebenar. Ia seolah-olah membuatkan masalah dan isu yang diperjuangkan tampak tidak sahih—hanya rekaan semata-mata oleh mesin tanpa jiwa. Gerakan yang patut dipandu oleh emosi, pengalaman manusia, dan kesedaran sosial tiba-tiba dilucutkan daripada keaslian.

Sebagai contoh, dalam memperjuangkan isu seperti kemiskinan atau ketidakadilan, menggunakan imej yang dihasilkan oleh AI boleh menimbulkan persoalan sama ada masalah ini benar-benar wujud atau sekadar gimik digital. Kesan ini menjadikan orang ramai lebih skeptikal dan kurang bersimpati terhadap perjuangan yang disampaikan.

Terkini, ChatGPT pula digunakan dalam aktivisme. Ini menimbulkan persoalan: Mengapa perlu menggunakan ChatGPT? Adakah kita tidak lagi mempercayai maklumat yang datang dari manusia sebenar, daripada kajian terperinci, atau daripada pengalaman hidup yang penuh emosi dan perjuangan?

Aktivisme bukan sekadar tentang menyebarkan maklumat. Ia tentang menggerakkan hati manusia, memupuk rasa simpati dan kemarahan terhadap ketidakadilan, dan itu memerlukan sentuhan peribadi yang tak mungkin digantikan oleh algoritma. ChatGPT boleh menulis dengan baik, tetapi ia tidak boleh benar-benar memahami keperitan yang dihadapi oleh seseorang yang terkesan.

Logiknya mudah: penggunaan AI dalam aktivisme ini lebih teruk daripada memetik maklumat dari Wikipedia. Walaupun Wikipedia sering dikritik, sekurang-kurangnya ia melampirkan sumber-sumber yang boleh dirujuk dan dinilai kesahihannya. Ini tidak berlaku dalam kes ChatGPT. AI seperti ChatGPT tidak menawarkan sumber rujukan yang jelas; ia adalah hasil ramuan daripada pelbagai teks tanpa ketelusan mengenai asal-usul maklumat.

Kebergantungan kepada AI dalam aktivisme menyebabkan satu lagi isu: ia mengurangkan tahap kepercayaan terhadap maklumat yang disampaikan. Apabila orang mengetahui bahawa artikel, gambar, atau kenyataan dibuat oleh mesin, mereka mungkin kurang mempercayai kesahihan atau kejujuran gerakan tersebut.

Malah, hampir semua teknologi AI dimiliki oleh syarikat besar Barat seperti OpenAI, Google, dan Meta yang bukan sahaja beroperasi di negara-negara imperialis malah bersubahat dalam apa yang berlaku di Timur Tengah sana.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk berhenti menjebakkan diri dalam AItivisme ini. Terdapat banyak lagi cara lain untuk berjuang yang lebih tulus dan berkesan. Aktivisme memerlukan suara yang datang dari pengalaman sebenar, bukan suara digital tanpa jiwa. Jika kita mahu menukar dunia, biarlah perubahan itu datang daripada hati, bukan komputer.

Tuesday, 24 September 2024

HUJAH MENENTANG PENSWASTAAN SEKTOR KESIHATAN

1. Kenaikan kos perkhidmatan menghalang golongan berpendapatan rendah daripada mendapatkan rawatan.

2. Fokus kepada keuntungan boleh mengakibatkan pengabaian kualiti dan keselamatan pesakit.

3. Penswastaan boleh menyebabkan sistem kesihatan menjadi tidak teratur dan sukar untuk diselaraskan.

4. Perkhidmatan mungkin tidak tersedia secara konsisten di kawasan luar bandar atau kurang mendapat perhatian.

5. Penswastaan boleh mengabaikan keperluan kesihatan awam demi keuntungan komersial.

6. Penyampaian rawatan yang tidak selaras antara penyedia swasta dan awam boleh mengganggu kesinambungan rawatan.

7. Pesakit mungkin perlu menanggung kos tambahan untuk rawatan yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan.

8. Data kesihatan mungkin tidak dikongsi secara terbuka antara penyedia, mengganggu pemantauan kesihatan masyarakat.

9. Sektor awam lebih baik dalam menyediakan latihan dan pembangunan bagi petugas kesihatan.

10. Penswastaan cenderung memberi tumpuan kepada rawatan berbanding pencegahan penyakit.

11. Penswastaan boleh membawa kepada komersialisasi kesihatan, di mana perkhidmatan dianggap sebagai produk.

12. Penswastaan boleh mengabaikan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan.

13. Penswastaan menimbulkan isu etika, di mana keuntungan mengatasi kesejahteraan pesakit.

14. Sektor awam lebih mudah untuk melibatkan masyarakat dalam pengambilan keputusan mengenai kesihatan.

15. Penswastaan boleh mengabaikan aspek kesihatan mental, yang sering memerlukan perkhidmatan lebih bersepadu.

16. Sektor awam lebih fokus kepada kesejahteraan umum berbanding keuntungan individu.

17. Sektor awam lebih mampu menjalankan penyelidikan dan inovasi yang tidak berorientasikan keuntungan.

18. Sektor awam lebih bertanggungjawab dan telus dalam pengurusan dana awam berbanding entiti swasta.

19. Penswastaan boleh meningkatkan risiko keselamatan pesakit jika prosedur dan standard tidak dipatuhi.

20. Memastikan standard kualiti yang konsisten dalam sektor swasta boleh menjadi cabaran.

21. Sektor awam lebih mampu menyediakan infrastruktur kesihatan yang diperlukan, terutamanya di kawasan terpencil.

22. Penswastaan boleh menghasilkan jurang kualiti antara penyedia perkhidmatan, menyebabkan ketidakadilan.

23. Pesakit mungkin sukar mendapatkan bantuan daripada penyedia swasta jika mereka tidak mempunyai insurans.

24. Dalam krisis kesihatan, sektor awam lebih cepat bertindak untuk memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat.

25. Tekanan untuk menghasilkan keuntungan boleh menyebabkan ketidakpuasan kerja dan masalah mental dalam kalangan petugas kesihatan.

26. Penswastaan boleh mengakibatkan pelanggaran privasi pesakit dengan data perubatan menjadi barang dagangan.

27. Penswastaan mungkin mengakibatkan penutupan atau pengurangan perkhidmatan di fasiliti awam yang sedia ada.

28. Pesakit mungkin menerima rawatan yang tidak perlu untuk meningkatkan keuntungan penyedia.

29. Sistem kesihatan awam lebih menyediakan sokongan sosial yang diperlukan untuk pesakit.

30. Pesakit mungkin merasa lebih sukar untuk mengadu tentang layanan dalam sistem swasta berbanding awam.

31. Penswastaan meningkatkan kebergantungan kepada insurans, yang boleh menyukarkan pesakit tanpa perlindungan.

32. Pesakit mungkin sukar mendapatkan maklumat yang tepat tentang perkhidmatan dan kos.

33. Penswastaan sering dipengaruhi oleh lobi dan kepentingan politik, yang boleh merugikan rakyat.

34. Sektor swasta kurang diselia berbanding sektor awam, yang boleh menyebabkan penyalahgunaan.

35. Penyedia swasta lebih mungkin untuk menggunakan model bisnes yang mengutamakan keuntungan berbanding keperluan kesihatan masyarakat.

36. Sektor swasta mungkin tidak mampu bertindak pantas dalam situasi kecemasan atau pandemik.

37. Sektor swasta mungkin tidak terikat kepada ketelusan kewangan yang sama seperti sektor awam.

38. Penswastaan sering mengabaikan aspek kesihatan holistik, termasuk kesejahteraan mental dan sosial.

39. Profesional dalam sektor swasta mungkin terdedah kepada konflik kepentingan dalam keputusan perubatan.

Monday, 23 September 2024

KEBUMIKAN POLISI BAKI SIFAR

Pengenalan

Polisi Baki Sifar, atau lebih dikenali sebagai Zero Balance Policy, adalah satu polisi yang menghendaki pelajar universiti untuk menjelaskan bayaran yuran sepenuhnya sebelum mereka boleh didaftarkan sebagai pelajar aktif. Polisi ini juga merupakan prasyarat untuk mendaftar kursus di sesetengah universiti. Baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) sekali lagi menarik perhatian apabila melaksanakan polisi ini, khususnya bagi pelajar Saluran Terbuka UM (SATU). Meskipun pelaksanaan ini terhad kepada satu kelompok pelajar sahaja, ia tetap menimbulkan persoalan moral dan etika. Polisi ini dianggap zalim, tidak berhati perut, dan bersifat diskriminasi terhadap pelajar yang berada dalam situasi kewangan yang mencabar.

Bantahan Terhadap Polisi

Pertamanya, kita harus menilai bahawa walaupun pelajar SATU dikenakan yuran lebih tinggi, ini tidak bermakna mereka semua berasal dari latar belakang kewangan yang kukuh. Pelajar SATU, seperti juga pelajar UPU, mungkin datang dari keluarga berpendapatan rendah, atau bahkan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan dan pinjaman. Polisi yang menghendaki mereka menjelaskan yuran sepenuhnya sebelum mendaftar kursus tidak langsung mengambil kira realiti bahawa kebanyakan pelajar sedang berdepan dengan tekanan kewangan yang berat, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, pasca-pandemik COVID-19.

Tajaan atau pinjaman pelajaran tidak disalurkan secara serta-merta. Proses pengesahan dan kelulusan tajaan memakan masa yang panjang, dan pelajar sering kali terpaksa menunggu dalam ketidakpastian. Sementara itu, pelaksanaan polisi ini tidak mengambil kira kelewatan tersebut, lantas menambahkan lagi beban emosi dan mental ke atas pelajar yang sudah sedia tertekan dengan cabaran akademik. 

Pelajar yang berasal dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah sudah sedia berdepan dengan ketidakseimbangan sosial-ekonomi, dan polisi sebegini hanya akan memperburukkan lagi jurang tersebut. Tekanan untuk mengekalkan baki sifar bukan sahaja mengganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran, malah meletakkan mereka dalam keadaan serba salah—sama ada untuk fokus pada akademik atau mencari cara untuk menampung kos pengajian.

Ketidakstabilan kewangan yang disebabkan oleh polisi ini boleh menjejaskan kesihatan mental pelajar, meningkatkan kebimbangan dan tekanan yang mereka alami. Dalam jangka masa panjang, ini boleh mengakibatkan prestasi akademik mereka merosot, dan akhirnya memaksa mereka untuk mempertimbangkan menarik diri daripada universiti. Kadar keciciran akan meningkat, sekali gus menjejaskan angka pendaftaran universiti dan juga reputasi institusi tersebut.

Apabila kita mempertimbangkan impak polisi ini dari sudut yang lebih luas, ia tidak hanya memberi kesan kepada pelajar secara individu, tetapi juga kepada pembangunan negara secara keseluruhan. Pelajar-pelajar ini adalah aset masa depan negara, dan apabila mereka dihalang daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya, negara berpotensi kehilangan tenaga kerja yang berkelayakan. 

Perbuatan Berulang: Kulit Berbeza, Isi Sama

Ini bukan kali pertama Polisi Baki Sifar menjadi isu panas di Malaysia. Sebelum ini, pada sesi akademik 2022/2023, polisi yang sama telah mendapat tentangan kuat daripada pelajar. Perdana Menteri Malaysia turut campur tangan dan mengarahkan agar polisi tersebut dihentikan serta-merta. Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa pelajar harus dibenarkan mendaftar kursus terlebih dahulu dan diberi kelonggaran untuk menjelaskan yuran selepas pendaftaran. Keputusan ini disambut baik oleh pelajar dan ibu bapa, yang menganggapnya sebagai langkah yang lebih berperikemanusiaan.

Namun begitu, Universiti Malaya kini kembali dengan langkah yang dilihat sebagai cubaan untuk mengelak daripada akauntibiliti dalam mematuhi arahan tersebut. Dengan mengehadkan polisi ini kepada pelajar SATU sahaja, pihak pengurusan universiti kelihatan licik dalam memanipulasi pelaksanaan polisi.

Mereka mungkin beranggapan bahawa pelajar SATU, yang yurannya lebih tinggi daripada pelajar UPU, lebih mampu untuk menjelaskan yuran. Tetapi, ini adalah satu anggapan yang tidak tepat dan tidak adil. Pelajar SATU menghadapi yuran yang boleh mencapai sehingga RM15,000, manakala pelajar UPU hanya perlu membayar sekitar sehingga RM2,000. Jika dilihat dari perspektif logik, bukankah pelajar UPU yang mempunyai yuran lebih rendah sepatutnya lebih mampu menjelaskan yuran mereka dengan segera?

Kenyataan oleh pihak pengurusan universiti bahawa pelajar seharusnya boleh menganggarkan jumlah yuran yang perlu dibayar dan tidak perlu menggunakan alasan 'pembayaran mendadak' sebagai justifikasi, menunjukkan ketidakpedulian mereka terhadap realiti kehidupan pelajar. Kenyataan ini hanya mencerminkan sikap dingin dan kurang empati pihak pentadbiran universiti. Mengapa menekan mereka yang sudah pun tersepit? Bukankah peranan universiti adalah untuk membuka peluang, bukan menutupnya?

Alternatif yang Lebih Adil

Dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan, universiti perlu menilai kembali polisi ini. Pelajar dan aktivis mahasiswa mencadangkan agar UM kembali kepada polisi kewangan yang membenarkan pelajar mendaftar tanpa perlu melunaskan yuran sepenuhnya sehingga keputusan peperiksaan akhir diumumkan. Polisi ini bukan sahaja lebih adil, tetapi juga memberi kelonggaran kepada pelajar untuk menyusun pembayaran secara tersusun, tanpa membebankan mereka secara kewangan dalam tempoh yang singkat.

Bagi menggalakkan pembayaran yuran lebih awal, universiti boleh memperkenalkan insentif seperti diskaun kepada pelajar yang membayar yuran lebih awal. Ini akan memberi motivasi kepada pelajar tanpa meletakkan tekanan yang tidak wajar ke atas mereka. Langkah-langkah ini boleh diintegrasikan dengan sistem yang lebih mesra pelajar, seperti pelan ansuran yang lebih fleksibel atau program pembiayaan khusus untuk pelajar berpendapatan rendah. Langkah ini lebih pragmatik dan mampu menggalakkan pelajar untuk membuat pembayaran tanpa memaksa mereka melakukannya dalam keadaan terdesak.

Kesimpulan: Polisi yang Perlu Dihapuskan

Polisi Baki Sifar ini jelas merupakan satu polisi yang tidak adil dan mendiskriminasikan pelajar berdasarkan keupayaan kewangan mereka. Pelaksanaan Zero Balance Policy tidak sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi pelajar universiti awam di Malaysia. Dasar ini perlu dihentikan dan tidak seharusnya dihidupkan kembali dalam apa jua bentuk. Pendidikan adalah hak asasi setiap rakyat Malaysia, dan dasar kewangan yang membebankan hanya akan menghalang pelajar dari mencapai potensi penuh mereka. Sebagai sebuah institusi yang berprestij, Universiti Malaya harus menunjukkan empati dan tanggungjawab sosial dengan memperkenalkan polisi yang lebih inklusif dan adil. Masa depan pelajar tidak seharusnya dikorbankan demi dasar kewangan yang tidak sensitif. Polisi Baki Sifar ini perlu ditanam dalam-dalam dan tidak patut sekali-kali digali semula.

Sunday, 22 September 2024

KEDUDUKAN ISTIMEWA VS. HAK ISTIMEWA

Dalam wacana perlembagaan dan politik Malaysia, sering kali kita mendengar istilah "kedudukan istimewa" dan "hak istimewa" digunakan, khususnya apabila membincangkan tentang kedudukan orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak. Walau bagaimanapun, kedua-dua istilah ini membawa maksud yang berbeza dan penting untuk memahami perbezaan tersebut agar kita tidak tersilap dalam membuat tafsiran atau kesimpulan.

Kedudukan Istimewa

"Kedudukan istimewa" merujuk kepada peruntukan dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan perlindungan dan keutamaan kepada orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak. Perkara ini memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan mereka dalam beberapa sektor utama, termasuk:

- Perkhidmatan awam: Peruntukan kuota untuk orang Melayu dan pribumi dalam jawatan kerajaan.
- Biasiswa dan pendidikan: Peluang istimewa kepada golongan ini dalam penerimaan biasiswa, bantuan pendidikan, serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.
- Lesen perniagaan dan perdagangan: Keutamaan dalam pemberian lesen dan permit perniagaan.

Kedudukan istimewa ini wujud sebagai satu bentuk dasar tindakan afirmatif yang bertujuan untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan negara. Namun, kedudukan ini tidak bermakna hak eksklusif. Perlembagaan juga menyatakan bahawa hak-hak sah kaum-kaum lain hendaklah dijaga dan tidak diketepikan dalam pelaksanaan dasar ini.

Hak Istimewa

Sebaliknya, "hak istimewa" membawa implikasi yang berbeza. Jika kita menyebut "hak istimewa", ia memberi gambaran bahawa golongan tertentu mempunyai hak yang mutlak atau tidak boleh dicabar dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut secara khusus tentang "hak istimewa" bagi mana-mana kumpulan etnik.

Penggunaan istilah "hak istimewa" seringkali menyebabkan kekeliruan, kerana ia boleh membawa maksud yang lebih luas dan mutlak berbanding "kedudukan istimewa". Dalam konteks Malaysia, hak-hak setiap rakyat, termasuk orang Melayu dan pribumi, dilindungi di bawah undang-undang. Namun, hak-hak ini tidaklah bersifat eksklusif atau tidak boleh dipinda, kerana Perlembagaan memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyesuaikan polisi mengikut keperluan semasa, sambil memastikan hak semua kaum dipelihara.

Perbezaan Utama

Perbezaan utama antara "kedudukan istimewa" dan "hak istimewa" adalah dari segi skop dan implikasinya. 

- Kedudukan istimewa adalah satu bentuk keistimewaan dalam sektor-sektor tertentu yang diberikan melalui perlembagaan, khususnya untuk tindakan afirmatif bagi membantu golongan yang memerlukan. Ia tertakluk kepada batasan-batasan perlembagaan dan dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan kaum lain.
  
- Hak istimewa, jika difahami secara literal, membawa maksud hak yang mutlak dan eksklusif yang mungkin tidak boleh dicabar atau diubah. Istilah ini boleh menimbulkan salah faham kerana tidak mencerminkan peruntukan perlembagaan yang sebenar.

Kesimpulan

Dalam konteks Malaysia, istilah yang lebih tepat dan sah dari segi undang-undang ialah "kedudukan istimewa". Perkara ini terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan dan berfungsi sebagai dasar afirmatif untuk memastikan keseimbangan dalam pembangunan negara. Penggunaan istilah "hak istimewa" pula boleh menimbulkan kekeliruan dan membawa kepada salah tafsiran mengenai maksud sebenar perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan.

Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memahami perbezaan antara "kedudukan istimewa" dan "hak istimewa" agar kita tidak tersilap dalam memahami kerangka undang-undang negara dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

KELEMAHAN DEFINISI MELAYU DAN SEUMPAMANYA

1. Definisi Bumiputera yang tidak tetap. Perkataan Bumiputera tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan dan Orang Asli yang dianggap sebagai Bumiputera tidak disebut secara zahir dalam Perkara 153.

2. Melayu ialah mereka yang bercakap bahasa Melayu. Namun, mereka yang lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian masih dikira Melayu. #YTJT

3. Seseorang boleh masuk Melayu jika memeluk agama Islam. Cina mualaf dan India Muslim boleh dikira sebagai Melayu. Walau bagaimanapun, mereka jarang menerima manfaat seperti Melayu lain. 

4. Seseorang boleh "keluar" Melayu jika murtad. Ia amat janggal untuk mengikat bangsa seseorang kepada agamanya, memandangkan mereka yang berbangsa Arab, bangsa "Islam," mempunyai penganut agama lain.

5. Melayu ialah mereka yang mengamalkan adat Melayu. Apakah dia adat Melayu? Rasuah? Hasad dengki? Eh? Tanya saja. 

6. Melayu Indonesia dan Melayu negara lain tidak dikira sebagai orang Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

7. Muslim adalah prasyarat untuk menjadi Melayu. Adakah seorang Muslim perlu memeluk Islam sahaja? Bagaimana pula dari segi pengamalan agama? Kalau begitu, kelompongan ini boleh disalah gunakan.

8. Definisi Melayu tidak menyentuh aspek sejarah dan asal usul etnik, menjadikan ia sukar untuk menentukan siapa yang benar-benar layak dianggap Melayu.

9. Proses pengesahan status Melayu tidak telus, yang boleh mengakibatkan diskriminasi atau ketidakadilan terhadap individu yang berhak¹.

10. Definisi Melayu terkini mengakibatkan ramai individu yang berbangsa Melayu dalam sejarah Melayu, dikira bukan Melayu pada masa ini. Tapi bukan main mahu bangga dengan sejarah berkenaan.

11. Kehilangan identiti bangsa asal apabila "masuk" Melayu.

12. Agensi yang berbeza boleh menggunakan kriteria yang berbeza untuk menentukan status Bumiputera, mewujudkan kekeliruan dan ketidakkonsistenan.

13. Individu berketurunan campuran mungkin sukar untuk menentukan status mereka, mengakibatkan ketidakadilan.

14. Orang Peranakan/Baba Nyonya tidak semua diiktiraf sebagai Bumiputera. 

15. Perbezaan definisi Melayu/Bumiputera mengikut negeri.

16. Orang Cina Malaya tidak boleh "masuk" Bumiputera seperti orang Cina Sabah.

17. Bumiputera dianggap "orang asli" tetapi seseorang itu boleh "masuk" Melayu dan Bumiputera.

Tambahan: Kekurangan Tindakan Afirmatif Berdasarkan Bangsa

1. Peluang untuk penyalahgunaan kuasa dalam pengagihan manfaat kepada pihak tertentu.

2. Individu yang kaya mungkin mengeksploitasi dasar untuk mendapatkan faedah, menjejaskan hasratnya untuk membantu kumpulan terpinggir.

3. Ahli politik boleh menggunakan dasar itu untuk meraih undi atau sokongan, yang membawa kepada janji yang tidak ditunaikan.

4. Dasar ini mungkin memberi manfaat yang tidak seimbang kepada golongan elit kecil dalam masyarakat Bumiputera, melebarkan jurang antara mereka dan penduduk yang lebih luas.

5. Tumpuan sempit kepada kaum boleh mengabaikan keperluan individu yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi tanpa mengira latar belakang etnik mereka.

6. Penyelidikan yang tidak mencukupi terhadap hasil jangka panjang inisiatif tindakan afirmatif boleh mengakibatkan amalan yang tidak dicabar yang tidak mencapai matlamat yang dimaksudkan.

7. Individu yang mendapat manfaat daripada tindakan afirmatif mungkin menghadapi stigma sosial, yang membawa kepada keraguan tentang keupayaan dan kelayakan mereka.

8. Individu yang mempersoalkan atau mengkritik dasar itu mungkin menghadapi tindak balas, tidak menggalakkan dialog terbuka tentang pembaharuan yang diperlukan.

9. Sumber boleh diperuntukkan berdasarkan kaum tanpa menilai keperluan sebenar individu dengan secukupnya, yang membawa kepada sokongan yang tidak berkesan.

Sunday, 15 September 2024

KRISIS PENEMPATAN MAHASISWA DALAM ARENA PENDIDIKAN TINGGI

Isu penempatan mahasiswa di institut pendidikan tinggi merupakan masalah struktural yang memberi impak mendalam terhadap kesejahteraan pelajar dan kualiti pendidikan di Malaysia. Ramai pelajar menghadapi kesulitan mendapatkan penempatan yang sesuai, yang boleh menjejaskan prestasi akademik dan kesihatan mental mereka. Masalah ini terutamanya dirasai oleh pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, serta mereka yang belajar jauh dari rumah. Saban tahun, bilangan pelajar universiti meningkat, tetapi fasiliti seperti kolej kediaman tidak ditambah kerana pelbagai alasan. Ini memaksa pelajar mencari tempat tinggal di luar kampus, yang sering kali mahal dan tidak selesa. 

Pihak universiti sering kali mengambil pendekatan reaktif, bukannya proaktif, dalam menangani masalah ini. Kekurangan perancangan jangka panjang dalam memperluaskan kolej kediaman dan fasiliti penempatan mengakibatkan masalah ini berlarutan saban tahun. Kegagalan untuk memahami dan merancang berdasarkan peningkatan jumlah pelajar menyebabkan universiti tidak menyediakan tempat tinggal yang mencukupi. Malangnya, masalah ini sering dianggap remeh oleh pihak pentadbiran, dan pelajar dibiarkan untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri, meskipun penempatan adalah tanggungjawab bersama antara universiti, kerajaan, dan masyarakat.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pendekatan baru oleh pelbagai pemegang taruh termasuk kerajaan dan pihak pentadbiran universiti amatlah diperlukan. Kerajaan harus mewujudkan undang-undang kawalan harga sewa dan keadaan rumah bagi memastikan pelajar mendapat penempatan yang kondusif. Bantuan deposit rumah sewa juga boleh ditawarkan kepada para pelajar. Sekiranya tidak boleh diberikan secara pemberian, ia boleh ditukar kepada bentuk pinjaman boleh ubah, di mana pelajar tidak perlu membayarnya semula jika mendapat ijazah kelas pertama dan sebagainya.

Idea-idea segar juga didahagakan bagi menyelesaikan isu defisit akomodasi pelajar. Idea seperti penubuhan Koperasi Perumahan Mahasiswa juga patut dikaji. Melalui koperasi ini, universiti bersama-sama dengan kerajaan boleh menyediakan perumahan yang lebih berpatutan dan dikhususkan untuk pelajar. Koperasi ini boleh berfungsi sebagai badan yang menguruskan projek perumahan pelajar, membina lebih banyak penempatan di kawasan sekitar kampus dengan harga yang mampu milik. Pada masa yang sama, koperasi ini boleh berfungsi untuk menguruskan penyewaan rumah atau bilik di luar kampus bagi pelajar yang memerlukan, dengan memastikan standard dan harga sewa yang adil dan kondusif.

Selain itu, kerajaan boleh menggalakkan inisiatif keluarga angkat, di mana pelajar tinggal bersama keluarga tempatan, dengan menawarkan insentif seperti potongan cukai mahupun bantuan kewangan. Program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos perumahan bagi pelajar tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari nilai-nilai kemasyarakatan dan membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti setempat. Pada masa yang sama, ia akan memberikan mereka persekitaran keluarga yang menyokong, yang penting bagi kesejahteraan emosi dan psikologi mereka.

Di samping itu, kerajaan juga boleh meneroka pelaksanaan tahun senggang serta peluasan sistem pengajian anjal bagi mengurangkan bilangan pelajar di kampus pada satu-satu sesi akademik. Ini membantu mengurangkan permintaan terhadap penempatan di kampus. 

Penambahbaikan jaringan pengangkutan awam juga perlulah dititikberatkan memandangkan ramai mahasiswa yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan rumah sewa terletak jauh dari kampus. Antara konsep yang boleh diguna pakai ialah perkhidmatan Demand Response Transit (DRT). 

DRT ini ibarat Grab atau teksi tapi versi bas/van¹. Pelajar boleh memesan DRT untuk pergi ke atau pulang dari kampus dalam kadar yang berpatutan. Hal ini boleh ditawarkan kerana van mampu memuatkan lebih ramai penumpang, dan mereka boleh bersama-sama membayar kos tambang². Inisiatif ini mendapat tempat di Selangor namun tidak terhad kepada pelajar saja³. Walau bagaimanapun, perkhidmatan sebegini hanya sesuai di kawasan luar bandar dengan kepadatan rendah. Mod pengangkutan awam lain juga boleh diperbaiki untuk menutup kelemahan ini. Tambahan lagi, universiti boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan bas percuma atau subsidi pengangkutan bagi pelajar.

Seterusnya, penarikan semula subsidi yuran pengajian tinggi yang kini turut dinikmati oleh golongan berkemampuan wajar dikaji. “Subsidi” tersebut boleh disasarkan buat mereka yang benar-benar layak. Wang yang dijimatkan pula boleh digunakan untuk membiayai usaha ke arah menoktahkan krisis penempatan ini.

Mahasiswa adalah pewaris masa depan negara, dan kebajikan mereka harus diutamakan. Mereka tidak patut dibiarkan menyelesaikan masalah ini sendiri, kerana ia boleh mengganggu fokus mereka dalam menuntut ilmu dan kemahiran di varsiti masing-masing. 

Friday, 13 September 2024

HIPOKRASI ORANG-ORANG KITA DAN MASYARAKAT DUNIA

1. Suruh hormat keputusan mahkamah, tapi hanya apabila keputusan itu memuaskan tekak mereka. 

2. Marah bendera dihitamputihkan, diterbalikkan tapi bendera di premis kerajaan dipamer tidak ikut piawaian.

3. Pertikaikan kefasihan bahasa Melayu orang lain tapi kenyataan dalam bahasa Melayu berterabur.

4. "Bermesraan" di tempat awam haram dari segi undang-undang, tapi merokok halal.

5. Kononnya mengutamakan meritokrasi, tapi pada masa yang sama mengamalkan nepotisme dan tindakan afirmatif berdasarkan bangsa.

6. Bersuara mengenai isu remeh tapi membisu berkenaan isu penting.

7. Menolak sekularisme di Malaysia tetapi menikmati manfaat sekularisme di negara minoriti Muslim. 

8. Mementingkan konsep moraliti menurut Islam tetapi mengangkat pemimpin korup.

9. Mahu SJK menggunakan bahasa Melayu tetapi universiti paling ramai orang Melayu, UiTM, menggunakan bahasa Inggeris.

10. Menyeru supaya boikot produk Isr*el tetapi membeli barangan keluaran syarikat multinasional yang secara terang-terangan menyokong negara tersebut.

11. Mengkritik kaum lain tidak menghormati orang Melayu dan Islam, tetapi ada sebahagian yang menghina dan memperlekehkan amalan agama dan adat kaum lain.

13. Mengangkat agenda perpaduan nasional tetapi dalam masa yang sama mengamalkan rasisme dan ketidakadilan kaum.

14. Menghukum keras individu yang terlibat dalam perbuatan "tidak bermoral" di tempat awam, tetapi tiada tindakan tegas terhadap mereka yang merosakkan alam sekitar atau membuang sampah merata-rata.

15. Menuduh orang lain tidak patriotik, tetapi mereka sendiri lebih mementingkan parti atau ideologi politik daripada kesejahteraan negara.

16. Kutuk media asing berat sebelah, tapi sendiri gunakan media untuk menyebarkan berita palsu atau separuh benar.

17. Mengutuk filem luar negara, tapi sendiri terlibat dalam produksi filem yang mempromosikan gaya hidup negatif.

18. Menghina anak-anak muda yang mengutamakan kerjaya, tapi apabila mereka berkahwin awal tanpa persediaan, mereka juga dikritik.

19. Menyeru supaya anak-anak muda menghormati orang tua, tapi orang tua sering menghina pemikiran anak muda.

20. Mahu orang ramai ke SK, tapi anak sendiri bersekolah di sekolah antarabangsa.

21. Menapis adegan "tidak bermoral" dalam filem atau drama tapi perbuatan lain seperti keg*nasan rumah tangga dibenarkan.

22. Bersikap prejudis terhadap pekerja asing tetapi menggunakan khidmat mereka untuk kerja-kerja rumah dan industri.

23. Orang yang tak mengamalkan agama lebih dibenci daripada mereka yang memperdagangkannya.

24. Mengkritik budaya Barat sebagai perosak nilai moral masyarakat, tetapi meniru cara berpakaian mereka.

25. Bersungguh-sungguh memperjuangkan isu P*lestin, tetapi membisu dalam isu-isu penindasan terhadap umat Islam Rohingya atau bahkan penindasan di negara sendiri.

26. Menghentam dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak adil, tetapi sering kali terlibat dalam tindakan yang serupa apabila mereka diberi peluang untuk memerintah atau memegang jawatan.

27. Mengutuk gaya hidup sekular dan liberal di negara lain, tetapi menikmati faedah sistem negara tersebut seperti kebebasan beragama ketika menetap di sana.

28. Menyuruh orang untuk belajar sejarah negara, tetapi mengajar sejarah yang dipesongkan.

29. Mengatakan bahawa orang Melayu perlu bersatu padu untuk memajukan bangsa, tetapi sering mengadu domba dan memecahbelahkan masyarakat berdasarkan politik atau mazhab.

30. Public Display of Affection (PDA) merupakan suatu kesalahan dari segi undang-undang, namun tidak merokok di tempat awam.

31. Isu gejala sosial "Barat" dicemuh manakala budaya seperti merempit dan melajak didiamkan.

32. Kanak-kanak meninggal dunia akibat melajak, pemandu yang tidak bersalah dikenakan tindakan, manakala ibu bapa yang cuai tidak dipertanggungjawabkan.

33. Menegur orang membuat dosa sambil membuat dosa (faceshaming, mencarut).

34. Dambakan peniaga mendapatkan sijil halal, tapi boikot perniagaan yang mempunyai sijil halal hanya kerana ia dimiliki oleh orang bukan Islam.

35. Khasiat makanan diambil kira dalam menentukan kehalalannya, tapi makanan ringan dan segera lepas pensijilan halal.

36. Mahukan inklusiviti tapi diri sendiri tidak bersikap inklusif seperti memarkir kereta di laluan pejalan kaki (mengganggu laluan pengguna kerusi roda) dan tidak mengutamakan aksesibiliti buat golongan OKU.

36. Tak tahu maksud sekolah vernakular dan apa bezanya dengan institusi berasaskan bangsa seperti UiTM.

37. Memperjuangkan "hak" Bumiputera" tapi hanya Melayu elit. Melayu marhaen, Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli diketepikan.

38. Mahu tutup sekolah vernakular atas alasan tidak gunakan bahasa Melayu, tapi mahu kekalkan UiTM yang gunakan bahasa Inggeris.

39. Berbangga dengan sejarah Melayu tapi kebanyakan orang Melayu zaman dahulu tidak dikira sebagai Melayu jika mereka masih hidup kini.

40. Golongan minoriti Bumiputera seperti Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli hanya dipergunakan sebagai alat untuk menghalalkan polisi penerimaan pelajar UiTM. Tapi, tak ramai antara mereka yang diterima masuk. Golongan ini juga diketepikan dalam aspek lain seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak tanah adat Orang Asli.

41. Tak mahu ratifikasi ICERD tapi merentan apabila sesetengah entiti membayar gaji yang berbeza antara kaum yang berbeza.

42. Merentan apabila orang mendakwa UiTM menerima satu kaum saja tapi mereka pun anggap UiTM menerima satu kaum saja (Melayu). Siap guna hujah bahawa ini Tanah Melayu. Kemudian, ada hati nak tunggang Bumiputera bukan Melayu, lebih-lebih lagi Orang Asli. Mereka juga masih menganggap bahawa Orang Asli = Melayu, sesuatu yang tidak disukai oleh masyarakat Orang Asli.

43. Mahu swastakan sektor kesihatan atas alasan tak cukup bajet, tapi ada bajet untuk perkara-perkara yang tidak perlu seperti Sukan SEA.

44. Penjagaan kesihatan percuma didakwa "disalah gunakan," tapi tidak pendidikan percuma di peringkat rendah dan menengah dan subsidi pendidikan tinggi. 

45. Universal healthcare dianggap tidak sustainable, tetapi merengek apabila subsidi bahan api ingin disalurkan semula (bukan ditarik) kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

46. Bising warga asing tak bayar bil hospital sampai tertunggak puluhan juta ringgit tapi pada masa yang sama jumlah hutang peminjam PTPTN mencecah RM6 bilion.

47. Tidak mahu warga asing menikmati caj rawatan yang sama seperti warganegara atas alasan mereka tak bayar cukai, tetapi menyokong penswastaan sektor kesihatan yang akan menyebabkan warganegara perlu mengeluarkan wang lebih walaupun telah membayar cukai. 

48. Melabel Malaysia negara Islam tapi Malaysia terkenal dengan rasuah.

49. Menggunakan bahasa bukan kebangsaan untuk meraih undi/menawan hati pengundi.

50. Mahu memartabatkan bahasa Melayu tetapi menggunakan perkataan-perkataan pinjaman dari bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan Indonesia untuk memastikan bahasa Melayu kekal relevan dalam konteks moden.

51. Menggunakan negara seperti Jepun untuk menyokong hujah bahasa kebangsaan mereka tapi tidak menyedari hakikat bahawa negara-negara tersebut bukan multibangsa dan tiada kedudukan istimewa bagi bangsa-bangsa tertentu.

51. Krismas tak boleh disambut tetapi sebaliknya bagi tahun baharu dan hari lahir.

52. "Matlamat tak menghalalkan cara" tapi memb*nuh yang haram hukumnya boleh jadi halal kalau matlamatnya "baik" seperti hukuman mati dan pemb*nuhan haiwan liar.

53. Persoal fatwa dikatakan mempersendakan agama tetapi fatwa berkaitan rokok sering dipersoalkan.

54. Haram mengubah ciptaan Allah tapi Bumi dijarah macam tiada hari esok dan tiada sebarang usaha pemuliharaan serta FGM dihalalkan.

55. Benci feminisme tapi menikmati hasil sumbangan ideologi terbabit. Kalau betul benci, tak perlu ada cuti materniti, tak perlu dibayar walaupun bekerja dsb. Golongan ini jugalah antara terkehadapan dalam memperjuangkan hak wanita Muslim untuk berhijab di negara-negara yang radikal dalam mengamalkan sekularisme. Mereka yang dapat menyuarakan bahawa mereka membenci feminisme (dalam kalangan wanita) pun takkan dapat berbuat demikian kalau bukan kerana feminisme.

56. Islam tidak boleh dibenci akibat perilaku penganutnya tetapi sesuatu ideologi boleh dibenci atas dasar perangai pengikutnya.

57. Hannah Yeoh dimarahi kerana kononnya menyebarkan dakyah Kristian kepada orang Islam tetapi individu seperti Firdaus Wong tidak menerima kecaman yang lebih kurang sama kerana terus mengIslamkan kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa mereka. 

58. Kononnya menolak nilai Barat, tetapi meraikan nilai konservatif Barat yang kena dengan tekak dan bias mereka. 

59. Pijak logo dikatakan tidak beradab tetapi pijak bendera negara haram Isr*el, gambar Syaitanyahu dan lain-lain dianggap beradab. "Matlamat tak menghalalkan cara" lah sangat.

60. Membisu apabila isu besar berlaku dan bising apabila isu kecil berlaku, mungkin untuk mengalihkan tumpuan daripada isu besar tersebut yang akan menjejaskan mereka jika bersuara.

61. Memetik undang-undang hanya apabila menyebelahi pihak mereka. 

62. Menganggap undang-undang sebagai kompas moral.

63. Kononnya anti-fitnah, tapi tanpa segan silu menyebarkannya.

64. Individu terpijak logo universiti mahu dibuang universiti atau/dan negara, tetapi mereka yang benar-benar memalukan nama universiti dijulang.

65. Perasuah disanjung kerana jasanya kepada negara walaupun dia membuat jenayah. Tercuit hati Firaun melihat pemikiran sebegini.

66. Syirik dibenarkan atas dasar kebebasan beragama, namun tidak LGBT.

67. Mahu hak di negara lain, tetapi menafikan hak orang di negara sendiri.

68. Anti-Barat tetapi menggunakan undang-undang warisan imperialis Barat apabila ia memanfaatkan kepentingan. 

69. Mendakwa golongan tertentu memaksakan ideologi mereka tetapi mereka yang berbuat demikian. 

70. Bising orang g*y aniaya pasangan apabila berkahwin tapi pada masa yang sama memaksa mereka berkahwin untuk mengubah s*ksualiti mereka. 

71. Muslim tapi jadi hamba konsumerisme

72. Acara yang mempromosikan lagu melalaikan dan menampilkan artis tidak menutup aurat dibenarkan selagi tiada lelaki berperwatakan wanita.

73. Tidak mahu pisahkan agama dari negara tapi pada masa yang sama mahu tiada campur tangan dalam hal ehwal agama. 

74. Kecoh berkenaan statistik HIV namun menolak langkah pencegahan seperti pemberian kondom percuma dan mempromosikan PrEP atas alasan mendorong zina.

75. Wanita perlu duduk di rumah untuk elak dic*bul di masjid, tetapi kes serupa juga banyak berlaku di rumah.

76. Mahu sekolah satu aliran tapi tak bersedia hidup sekali. 

77. Sembang jangan sentuh isu 3R tapi tak habis-habis main isu sekolah vernakular.

78. Sistem pendidikan tak mahu dibahagikan bahasa, tetapi gabungan politik sendiri merupakan pakatan parti-parti berasaskan bangsa.

79. Menyalahkan hakim dan peguam apabila keputusan mahkamah tidak kena dengan tekak tetapi mengendahkan sumbangan pihak pendakwaan dalam sesuatu keputusan mahkamah.

80. Menunggang golongan Bumiputera bukan Melayu semasa berhujah mengenai isu pembukaan UiTM kepada bukan Bumiputera tetapi golongan sama masih berpegang teguh dengan hujah "Ini Tanah Melayu."

81. Bising orang bukan Bumiputera tak masuk ATM tapi DEB yang menjadi puncanya masih dipertahankan. 

82. Bumiputera bukan Melayu dikira sebagai "Lain-lain" dalam kebanyakan kes tetapi apabila mahu mempertahankan ekslusiviti UiTM, mereka dikira sebagai golongannya yang tersendiri.

83. Mengakui kelemahan tindakan afirmatif berdasarkan kaum tapi masih mahu mempertahankan status quo.

84. Berteriak UiTM hak Bumiputera tapi membisu apabila pelajar antarabangsa dibenarkan masuk.

85. Mahu orang bukan Melayu masuk ATM tetapi ekosistem ketenteraan sarat dengan isu buli dan penderaan. 

86. Marah orang langgar undang-undang buatan manusia (bina kuil tanpa kebenaran) tapi langgar perintah Allah dengan menjadi r*sis.

87. Anti-plagiarisme tapi sokong GenAI.

88. Guna Wikipedia sebagai sumber rujukan dikecam, namun tidak ChatGPT.

89. Marah orang langgar undang-undang tapi pada masa yang sama guna bahasa kesat yang dilarang oleh SKMM.

90. Orang India dianggap tidak patriotik tapi prinsip kelima Rukun Negara dilanggar dengan menggunakan bahasa kasar dan kesat (kata cerca).

91. Kesihatan awam percuma tidak mampan tapi membayar elaun melebihi gaji minimum kepada politikus tidak kompeten dikira sebaliknya. 

92. "Penyalahgunaan" sistem kesihatan awam dijadikan alasan untuk memansuhkannya tetapi "penyalahgunaan" sistem pendidikan rendah dan menengah percuma tidak dijadikan alasan untuk membatalkannya. 

93. Sistem kesihatan awam percuma perlu dihapuskan kerana kerap "disalah guna" tegapi jalan raya perlu kekal percuma tanpa tol sedangkan kerap "disalah gunakan" oleh mat rempit, geng basikal lajak, dan pemandu mabuk.

94. Perkhidmatan awam penting seperti pendidikan, polis dan bomba diterima sebagai keperluan dan dibiayai, tetapi kesihatan yang paling penting dianggap sebagai satu kemewahan.

95. Menafikan akses kesihatan percuma buat golongan tanpa kerakyatan yang tidak boleh bekerja secara sah atas alasan mereka tidak membayar cukai dan berhujah bahawa pembayar cukai perlu diutamakan, tetapi mahu caj kesihatan dinaikkan. 

96. Mahu semakin ramai orang bukan Melayu memasuki ATM namun apabila seorang Cina dilantik sebagai Leftenan Jeneral, retorik negara akan diambil alih oleh orang Cina dimainkan.





Wednesday, 11 September 2024

MENGKRITIK SISTEM: PENAJAAN PENDIDIKAN TINGGI

Dalam siri "Mengkritik Sistem," aku akan memberikan pandangan kritis terhadap beberapa sistem yang wujud dalam negara kita, dengan tujuan untuk menambah baik dan memperbaiki kelemahan yang ada. Episod pertama ini akan memberi fokus kepada sistem penajaan pendidikan tinggi di Malaysia, terutamanya penajaan selain daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Aku tidak akan menyentuh semua aspek, tetapi akan mengulas beberapa perkara yang aku rasa amat penting dan relevan untuk diperhalusi. Ulasan ini ringkas dan fokus kepada masalah yang nyata.

Pertama, kita perlu meneliti isu kurangnya penajaan untuk bidang sains sosial. Apabila kita melihat kepada kebanyakan iklan penajaan, kita akan dapati bahawa bidang ini sering dipinggirkan berbanding bidang-bidang lain seperti kejuruteraan, perubatan, dan teknologi. Mengapa perkara ini berlaku? Mungkin ada tanggapan bahawa kos pengajian untuk bidang sains sosial tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan bidang lain, atau mungkin dianggap kurang penting. Ini adalah salah satu persepsi yang perlu diubah kerana setiap bidang ilmu, termasuk sains sosial, mempunyai peranannya yang tersendiri dalam pembangunan negara. Ahli sosiologi, antropologi, dan ahli ekonomi sosial adalah sama pentingnya dalam memahami dan menangani isu-isu masyarakat. Penajaan kepada pelajar sains sosial harus ditingkatkan untuk mengiktiraf kepentingan bidang ini dan memberi peluang yang adil kepada mereka.

Selain itu, terdapat juga kelayakan berkenaan kesihatan yang menyisihkan sesetengah individu daripada peluang tajaan. Ada beberapa penaja yang melarang pesakit kronik daripada mendapatkan tajaan atas alasan kesihatan. Ini menimbulkan persoalan, adakah pesakit kronik tidak layak untuk melanjutkan pelajaran? Realitinya, ramai pelajar dengan masalah kesihatan kronik masih mampu cemerlang dalam pengajian mereka. Setiap individu mempunyai keadaan kesihatan yang berbeza, dan sesetengahnya mungkin memerlukan sokongan tambahan, bukannya sekatan. Pihak penaja sepatutnya mengambil kira keadaan ini dan menyediakan program sokongan atau bimbingan untuk pelajar dengan masalah kesihatan kronik, bukannya terus menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran.

Satu lagi aspek yang sering diketengahkan dalam perjanjian penajaan adalah larangan bekerja. Pada satu sudut, ini mungkin difahami sebagai usaha untuk memastikan pelajar fokus kepada pengajian mereka. Namun, persoalannya, adakah wang tajaan yang diberikan mencukupi untuk menampung kos sara hidup pelajar? Realiti kehidupan pelajar hari ini menunjukkan bahawa banyak kos tambahan, seperti sewaan rumah, makanan, dan perbelanjaan lain, memerlukan sumber kewangan yang lebih besar. Walaupun ditaja, ada pelajar yang terpaksa mencari pekerjaan sambilan untuk menampung kos sewaan, terutamanya bagi mereka yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman. Oleh itu, larangan bekerja ini wajar dirombak. Sebagai alternatif, pihak penaja boleh meletakkan syarat agar pelajar mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum bekerja, bagi memastikan ia tidak mengganggu prestasi akademik mereka.

Tidak kurang juga, terdapat penaja yang melarang pelajar daripada menerima tajaan lain. Walaupun dari segi prinsip, larangan ini mungkin bertujuan untuk mengelakkan pelajar "bertindan" tajaan, persoalan utama tetap sama—cukupkah wang tajaan yang diberikan? Ramai pelajar yang terpaksa memohon bantuan tambahan daripada sumber lain kerana dana tajaan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka. Oleh itu, daripada sekadar mengenakan larangan, pihak penaja perlu mempertimbangkan untuk menawarkan bantuan kewangan yang lebih fleksibel, seperti pinjaman boleh ubah bagi semester tertentu atau tajaan tambahan untuk pelajar yang menghadapi masalah kewangan kritikal.

Walaupun terdapat beberapa penajaan khusus untuk golongan B40, masih terdapat pelajar dari golongan ini yang tercicir kerana mereka tidak memenuhi syarat tertentu, seperti kelayakan akademik yang tinggi. Golongan M40 juga sering terpinggir kerana dianggap "tidak cukup miskin" untuk mendapat bantuan, sedangkan mereka juga mungkin menghadapi tekanan kewangan yang sama. Pihak penaja perlu merangka skim tajaan yang lebih inklusif, dengan memberi perhatian lebih kepada keperluan kewangan pelajar daripada semua latar belakang. Penilaian perlu dibuat berdasarkan kes individu, bukan sekadar berdasarkan angka pendapatan kasar. Adalah penting agar jumlah tanggungan isi rumah diambil kira juga.

Banyak penajaan dibuat tanpa mengambil kira realiti kehidupan pelajar, terutamanya dalam perbelanjaan harian mereka seperti pengangkutan, makanan, dan peralatan pembelajaran. Walaupun ada yang ditaja sepenuhnya, ramai lagi yang terpaksa berhadapan dengan kos hidup yang semakin meningkat. Pihak penaja perlu meningkatkan jumlah wang saku atau elaun bulanan yang diberikan kepada pelajar, agar ia lebih relevan dengan kos hidup semasa. Ini boleh dilakukan dengan melakukan kajian kos sara hidup pelajar secara berkala dan menyesuaikan jumlah tajaan dengan keperluan semasa.

Ramai pelajar turut menghadapi masalah dana tajaan yang lambat disalurkan. Ada yang terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan untuk menerima bantuan kewangan, menyebabkan mereka terpaksa meminjam wang daripada keluarga atau rakan untuk menampung kos hidup dan yuran pengajian sementara menunggu tajaan disalurkan. Pihak penaja harus memperbaiki sistem penyaluran dana agar lebih pantas dan konsisten. Pelajar tidak seharusnya menanggung beban tambahan akibat kelewatan yang berpunca daripada birokrasi. Mungkin perlu ada mekanisme kawalan yang memastikan dana disalurkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, seperti dua minggu selepas pengesahan penerimaan tajaan.

Kesimpulannya, sistem penajaan pendidikan tinggi di Malaysia memerlukan penambahbaikan yang serius agar lebih inklusif dan adil kepada semua pelajar, tanpa mengira bidang pengajian atau keadaan peribadi mereka. Dengan reformasi sebegini, kita dapat memastikan bahawa sistem penajaan pendidikan lebih seimbang, menyokong pelajar daripada pelbagai latar belakang, dan memberi peluang kepada semua untuk mencapai kejayaan akademik.

Tuesday, 10 September 2024

HINAKAH JADI MISKIN?

Hinakah Jadi Miskin?

Hari ini, bapa aku mengajak aku ke Bangunan KWSP untuk mengeluarkan pembiayaan pendidikan. Kami menaiki lori gas yang bapa aku bawa secara rutin setiap hari. Sedang aku menulis siaran ini, bapa aku sedang memakai sarung tangan, mengangkat tong gas untuk diberikan kepada pelanggan. Kami baru pulang dari Bangunan KWSP. Pengalaman kami di sana agak mengecewakan.

Sejurus selepas masuk ke bangunan tersebut, bapa aku pergi ke kaunter untuk mengambil nombor giliran. Aku mengikutinya di belakang sambil membawa beberapa fail yang mengandungi dokumen penting. Nombor kami terus dipanggil apabila kami melangkah masuk ke kawasan menunggu. Kami berdua lalu bergegas ke kaunter dan duduk di situ.

Bapa aku menyatakan hasrat kami datang ke situ pada hari ini, iaitu untuk membuat pengeluaran pembiayaan pendidikan KWSP untuk aku yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama. Pembiayaan ini sangat diperlukan memandangkan kami datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dan perlu membayar yuran kemasukan untuk mendaftar.

Walau bagaimanapun, pihak KWSP memberitahu bahawa mereka memerlukan surat pengesahan sedang belajar untuk membolehkan pengeluaran tersebut. Sejujurnya polisi ini tidaklah 100% bermasalah. Aku faham akan alasan yang diberikan oleh kerani di kaunter tersebut iaitu untuk mengelakkan penipuan. 

Untuk mendapatkan surat pengesahan belajar, aku perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu. Dan untuk mendaftarkan diri pula, aku perlu membayar yuran kemasukan. Itulah sebabnya kami datang ke situ, iaitu untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membayar yuran tersebut. Proses yang berputar-putar ini jelas memperlihatkan bahawa sistem birokrasi sedia ada sangat tidak mesra golongan miskin. Kami datang untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran kemasukan, tetapi kami tidak dapat mengeluarkannya kerana kami belum mendaftar, yang memerlukan pembayaran yuran terlebih dahulu. Ia satu paradoks yang sangat menjengkelkan.

Kecewa, kami pulang segera tanpa apa-apa urusan yang lama. 

Pengalaman ini aku ceritakan untuk tekankan betapa susahnya hidup sebagai orang yang tidak berkemampuan, betapa rosaknya sistem sedia ada dan betapa perlunya reformasi dilakukan bagi menyelesaikan isu ini. Dalam kehidupan seharian, halangan yang dihadapi oleh golongan miskin bukan sekadar kekurangan kewangan semata-mata, tetapi sistem yang tidak fleksibel, birokrasi yang rumit, dan peraturan yang seolah-olah mengabaikan realiti hidup orang miskin.

Aku yakin ramai orang lain yang turut mengalami nasib yang sama. Jika tidak, manakan ramai yang bertanya mengenai urusan penangguhan bayaran.

Hal ini tidak akan berlaku sekiranya sistem sedia ada tidak begitu anti terhadap orang miskin. Pelajar diwajibkan untuk membayar suatu jumlah yang begitu besar untuk mendaftarkan diri. Ya, mungkin ada yang kata boleh buat penangguhan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pelajar tidak sepatutnya perlu melayan karenah birokrasi dengan perlu memohon penangguhan. Pelajar sewajarnya diberi peluang untuk mendaftarkan diri dan menjelaskan apa-apa yuran sepanjang semester pertama pengajian mereka.

Isu ini juga sedikit sebanyak diburukkan lagi oleh ketiadaan penajaan awal buat para pelajar. Kebanyakan pihak penaja hanya akan menawarkan tajaan semasa pelajar sedang dalam tempoh pengajian di semester pertama. Persoalannya, bagaimana dengan kos permulaan seperti yuran pendaftaran dan yuran kemasukan? Ini merupakan beban besar bagi pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan. Kebanyakan mereka terpaksa meminjam wang daripada keluarga, rakan, atau malah mengambil pinjaman peribadi yang boleh membawa kepada hutang dalam jangka panjang. Bagi golongan miskin, perkara ini sangat menyeksakan. Bukan sekadar beban kewangan, tetapi juga beban emosi dan mental akibat kegusaran yang berterusan mengenai kemampuan untuk melanjutkan pelajaran. Keadaan ini sering kali menyebabkan pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan merasa rendah diri dan terpinggir, lalu tidak menyambung pengajian tinggi. Akibatnya, keluarga mereka terus berada dalam kitaran kemiskinan.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan amalan ini harus dihapuskan. Jika tak mampu untuk menjadikan pendidikan tinggi percuma, sekurang-kurangnya, permudahkanlah urusan pelajar bagi semester pertama. Pihak penaja perlulah membuka permohonan tajaan seawal yang mungkin. Pihak universiti pula perlulah peka akan kewujudan pelajar dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan, dan membenarkan mereka menangguhkan pembayaran yuran kemasukan secara automatik. 

Pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam hal ini. Meskipun kerajaan yang ada hari ini merupakan kerajaan gabungan antara parti politik yang mempunyai manifesto yang berlainan, kedua-duanya mempunyai janji berkaitan pendidikan tinggi. Pakatan Harapan dalam manifestonya berikrar untuk menawarkan biasiswa buat golongan B40. Barisan Nasional pula yang ahlinya kini memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi, bertekad untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma buat semua individu dari keluarga B40. Meskipun janji berbeza, matlamatnya sama, iaitu untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam mengakses pendidikan tinggi.

Sebenarnya polisi ini juga agak bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri pada Oktober 2023. Pada ketika itu, beliau turut mengumumkan bahawa yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, walaupun jumlah ini jauh lebih rendah berbanding yuran di universiti swasta, ia masih merupakan beban yang besar.

Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana pelajar yang mempunyai kekangan dari segi kewangan tidak boleh dihalang atau dinafikan daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan yuran kemasukan. Persoalannya, masih terpakaikah polisi ini? Kenapa aku, dan ramai lagi pelajar miskin, masih terpaksa berhadapan dengan masalah ini di universiti-universiti awam?

Dalam dunia yang semakin maju, kesamarataan akses kepada pendidikan adalah hak asasi. Jika benar-benar serius ingin membina masyarakat yang lebih adil dan saksama, pihak-pihak berkenaan harus memperbetulkan dasar-dasar yang sedia ada, agar golongan miskin tidak terus ketinggalan hanya kerana halangan kewangan yang kelihatan kecil di mata mereka, tetapi merupakan batu besar di atas bahu kami. Perjuangan untuk mendapatkan pendidikan tidak seharusnya menjadi sedemikian sukar hanya kerana latar belakang kewangan. 

Jadi, untuk menjawab persoalan asal: hinakah jadi miskin? Jawapannya tidak. Apa yang hina adalah apabila sistem tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan menambah beban mereka dengan birokrasi yang tidak berperikemanusiaan. Apa yang hina adalah apabila orang miskin terus-menerus dipinggirkan dan ditolak ke tepi hanya kerana mereka tidak mampu membayar harga yang diminta oleh sistem yang sepatutnya membantu mereka. Apa yang hina adalah apabila janji-janji politik hanya tinggal janji tanpa pelaksanaan yang nyata untuk membantu golongan yang memerlukan.



Monday, 9 September 2024

REFORMASI PELANTIKAN NAIB CANSELOR

Hampir setiap tahun, akan ada berita tentang pelantikan Naib Canselor (NC) universiti-universiti oleh Menteri Pendidikan Tinggi. Ada yang terus menegang jawatan, ada yang berpindah ke universiti lain, dan ada juga yang digantikan. Menteri diberi kuasa untuk melantik NC sesebuah universiti mengikut peruntukan undang-undang, setelah berunding dengan Lembaga universiti tersebut. Hal ini membuatkan tiada penglibatan mahasiswa dalam proses pemilihan NC sama sekali.

Misalnya, baru-baru ini, NC baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) telahpun dilantik. Beliau merupakan bekas NC Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)¹. Meskipun Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM telah mengeluarkan sebuah kenyataan² agar NC baru yang dilantik mempunyai darah UiTM, Menteri telah melantik seseorang yang asing daripada sistem UiTM. 

Antara kekurangan amalan semasa adalah risiko pelantikan NC berdasarkan kepentingan politik Menteri. Oleh kerana Menteri lazimnya merupakan ahli politik dari parti tertentu, pelantikan NC berpotensi dicorakkan oleh agenda politik, bukan semata-mata berdasarkan kelayakan akademik atau kemampuan memimpin institusi pendidikan. Selain itu, perundingan dengan Lembaga Pengarah universiti juga dikhuatiri tidak telus kerana tiada kejelasan mengenai sejauh mana Menteri perlu mematuhi cadangan Lembaga atau boleh bertindak mengikut budi bicara beliau.

Di kesempatan ini, izinkan pengarang mengemukakan hujah balas kepada hujah Menteri Pendidikan Tinggi bahawa pelantikan Naib Canselor tidak melibatkan apa-apa campur tangan politik. Beliau memetik Seksyen 4A Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Pindaan 2019), yang memperuntukkan Jawatankuasa Penasihat bagi pemilihan Naib Canselor. Apa yang beliau sengaja kaburkan adalah hakikat bahawa pelantikan ahli-ahli jawatankuasa itu sendiri dilakukan oleh Menteri. Beliau boleh sahaja melantik orang politik ke dalam jawatankuasa tersebut. Selain itu, proses sedia ada tetap lemah dengan tidak melibatkan pemegang taruh lain dalam ekosistem universiti.

Ketiadaan penglibatan mahasiswa dalam proses pelantikan NC mempunyai implikasi yang serius. Walaupun mahasiswa adalah kumpulan terbesar yang terkesan oleh polisi dan keputusan universiti, mereka langsung tidak mempunyai suara dalam menentukan siapa yang memimpin institusi. Seorang NC yang dilantik tanpa mengambil kira pandangan mahasiswa berpotensi tidak memahami atau tidak mesra terhadap keperluan dan aspirasi mahasiswa. Ini boleh menyukarkan proses dialog atau perbincangan apabila terdapat isu-isu penting yang melibatkan komuniti pelajar, seperti masalah yuran, kebajikan mahasiswa, atau kebebasan akademik. Apabila seorang NC tidak dekat dengan suara mahasiswa, keputusan-keputusan yang dibuat mungkin tidak berpihak kepada kepentingan golongan ini, yang akhirnya merugikan seluruh ekosistem universiti.

Bagi memperbetulkan kecacatan ini, dicadangkan agar perundangan perlu dipinda untuk memastikan Menteri bukan sahaja berunding dengan Lembaga Pengarah universiti, tetapi juga dengan wakil mahasiswa, seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahupun gerakan-gerakan mahasiswa, selain persatuan kakitangan universiti. Penglibatan mahasiswa dalam proses pemilihan akan memberi mereka ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai kriteria dan keperluan yang penting bagi golongan pelajar. Hal ini menjadi praktis di negara jiran kita, Indonesia. Di sana, mahasiswa merupakan antara pihak yang paling berpengaruh dalam dalam arena politik, tidak kira politik nasional mahupun kampus. Mahasiswa juga mempunyai "kuasa" untuk meminta calon-calon Naib Canselor untuk mengeluarkan manifesto serta perancangan mereka untuk universiti sekiranya mereka terpilih nanti.

Setiap calon NC harus mengemukakan manifesto, sama seperti yang dilakukan oleh ahli politik ketika bertanding dalam pilihan raya. Melalui manifesto ini, calon NC dapat memperincikan visi, misi, serta strategi mereka untuk membangunkan universiti. Ini membolehkan komuniti universiti, termasuk mahasiswa, staf akademik, dan pentadbir, menilai setiap calon berdasarkan keupayaan mereka untuk membawa perubahan yang positif.

Pelantikan Naib Canselor yang lebih telus dan melibatkan mahasiswa bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan pentadbiran universiti, tetapi juga boleh memastikan pemimpin universiti yang dipilih benar-benar memahami dan menghargai keperluan seluruh ekosistem universiti. Dengan pindaan perundangan dan reformasi yang dicadangkan, diharapkan proses pelantikan NC akan menjadi lebih demokratik, telus, dan berasaskan merit, bukan hanya didorong oleh kepentingan politik semata-mata.

Seiring dengan usaha ke arah reformasi institusi pendidikan tinggi, adalah penting untuk memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan kepada kepentingan komuniti universiti keseluruhannya, termasuklah mahasiswa yang merupakan nadi kepada kelangsungan universiti itu sendiri.


Thursday, 5 September 2024

ISU SYARAT PIDN JPA

Baru-baru ini, aku terkesima apabila seorang sahabat berkongsi syarat permohonan bagi Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) JPA yang mensyaratkan pemohon mesti bebas daripada sebarang penyakit kronik. Syarat ini termasuk penyakit seperti HIV/AIDS dan penyakit mental seperti kemurungan dan skizofrenia. Bukan sahaja syarat ini bersifat diskriminasi, tetapi ia juga mencerminkan salah faham yang mendalam tentang penyakit kronik dan kesannya terhadap pelajar.

Mengecualikan pelajar berdasarkan status kesihatan mereka adalah satu bentuk diskriminasi yang nyata. Syarat seperti ini tidak menghiraukan ketahanan, semangat, dan kemampuan pelajar yang menghidap penyakit kronik. Ia menafikan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, walaupun keadaan kesihatan mereka seringkali berada di luar kawalan peribadi mereka. Dengan melaksanakan syarat seperti ini, mesej yang dihantar adalah jelas: bahawa pelajar dengan penyakit kronik dianggap kurang layak dan kurang mampu untuk mendapatkan peluang pendidikan. Ini adalah satu anggapan yang berbahaya dan tidak adil, sedangkan pelajar-pelajar ini juga berhak diberi peluang yang sama seperti rakan-rakan mereka yang sihat.

Salah Faham Mengenai Penyakit Kronik: Mengapa Keperluan Kesihatan Tidak Relevan

Syarat umum seperti ini juga gagal mengambil kira keunikan setiap individu yang menghidap penyakit kronik. Ramai individu dengan penyakit kronik dapat menguruskan keadaan mereka dengan baik dengan bantuan rawatan yang tepat dan sokongan dari masyarakat sekeliling. Mereka bukan sahaja mampu menjalani kehidupan yang normal, tetapi juga sering kali mencapai kejayaan akademik yang cemerlang. Andaian bahawa penyakit kronik secara automatik menghalang keupayaan pelajar untuk berjaya adalah berasaskan stereotaip yang lapuk dan tidak berasas.

Sebagai contoh, banyak individu terkenal yang telah mencapai kejayaan luar biasa walaupun menghidap penyakit kronik. Sekiranya syarat seperti ini dikenakan kepada mereka pada zaman dahulu, sudah tentu mereka tidak akan mampu mencapai kejayaan yang mereka kecapi kini. Menafikan penajaan kepada pelajar dengan penyakit kronik bermaksud menafikan akses mereka kepada pendidikan. Secara tidak langsung, ini juga bermaksud menafikan peluang mereka untuk menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai kapasiti, sama ada sebagai ahli akademik, profesional, atau pemimpin masyarakat. Pelajar dengan penyakit kronik membawa perspektif unik, pengalaman berharga, dan sumbangan yang kaya yang boleh memperkayakan komuniti akademik dan masyarakat secara keseluruhan. Oleh itu, daripada mengecualikan mereka, program penajaan sepatutnya menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan mereka mempunyai peluang yang sama untuk berjaya.

Isu Etika dan Moral: Pendidikan Untuk Semua

Mengenakan syarat kesihatan dalam permohonan penajaan menimbulkan persoalan etika dan moral yang mendalam. Pendidikan sepatutnya menjadi satu hak yang boleh diakses oleh semua orang, tanpa mengira status kesihatan mereka. Penajaan pendidikan, yang seharusnya menjadi alat untuk memperkasakan pelajar, tidak seharusnya menjadi mekanisme yang mengecualikan mereka yang menghadapi cabaran tambahan.

Sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk menyokong aspirasi semua individu, termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik. Pendidikan adalah alat yang paling berkuasa untuk memperkasa individu, dan menafikannya hanya kerana status kesihatan mereka adalah satu tindakan yang tidak adil dan tidak beretika. Mengasingkan individu berdasarkan keadaan kesihatan mereka bukan sahaja menafikan hak asasi mereka, tetapi juga melemahkan prinsip kesaksamaan dan keadilan yang sepatutnya menjadi asas bagi semua dasar pendidikan.

Cadangan: Membangunkan Pendekatan yang Lebih Inklusif

Keperluan untuk pemohon PIDN JPA bebas daripada penyakit kronik adalah satu dasar yang tidak adil, eksklusif, dan berdasarkan salah tanggapan tentang keupayaan individu dengan keadaan kesihatan ini. Pendekatan yang lebih inklusif harus dipertimbangkan untuk memastikan kesaksamaan dan keadilan dalam akses kepada pendidikan. 

Salah satu langkah yang boleh diambil adalah menggantikan syarat pengecualian kesihatan dengan penilaian yang lebih holistik terhadap kemampuan pelajar secara individu. Ini termasuk mempertimbangkan potensi akademik, keazaman, dan sokongan yang sedia ada untuk memastikan pelajar dengan penyakit kronik dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Selain itu, program penajaan juga harus menyediakan mekanisme sokongan tambahan untuk pelajar yang menghidap penyakit kronik. Ini boleh termasuk akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, bantuan kewangan tambahan untuk kos perubatan, dan sokongan mental dan emosi yang berterusan. Dengan cara ini, kita bukan sahaja memastikan bahawa pelajar-pelajar ini mempunyai peluang yang sama untuk berjaya, tetapi juga bahawa mereka dilengkapi dengan alat dan sokongan yang diperlukan untuk mengatasi cabaran yang mungkin mereka hadapi.

Kesimpulan: Perluasan Peluang Pendidikan untuk Semua

Keperluan kesihatan dalam permohonan PIDN JPA bukan sahaja tidak adil dan diskriminatif, tetapi juga berasaskan salah faham yang mendalam tentang penyakit kronik. Pendekatan yang lebih inklusif bukan sahaja akan selaras dengan prinsip kesaksamaan dan hak asasi manusia, tetapi juga akan memperkayakan komuniti akademik dengan pelbagai perspektif dan bakat yang unik. Penajaan pendidikan harus diberikan berdasarkan merit, potensi, dan keperluan, bukan berdasarkan status kesihatan. Dengan cara ini, kita boleh memastikan bahawa semua pelajar, tanpa mengira keadaan kesihatan mereka, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dan menyumbang kepada masyarakat.

Tuesday, 3 September 2024

TIPS AKSESIBILITI MEDIA SOSIAL

1. Jangan gunakan font yang fancy. Gunakan yang biasa.

2. Elak daripada menggunakan emoji sebagai poin peluru¹.

Nota kaki: Libatkan OKU

Sunday, 1 September 2024

TANGGUNGJAWAB ORGANISASI MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Antigangguan Seksual 2022¹. Pindaan ini dikatakan berkaitan membolehkan tindakan undang-undang dimulakan terhadap mana-mana organisasi yang gagal menangani kes gangguan seksual melibatkan kakitangannya². Ini adalah satu langkah yang amat penting dalam memastikan semua organisasi, tanpa mengira sektor, bertanggungjawab dalam menangani kes gangguan seksual dengan sewajarnya.

Aku sangat mengalu-alukan pindaan ini, dengan syarat bahawa ia turut meliputi organisasi seperti universiti yang gagal untuk menangani kes gangguan seksual antara pelajar dan pelajar yang lain. 

Kegagalan dalam menangani kes gangguan seksual bukan sahaja merujuk kepada kegagalan untuk menyiasat aduan gangguan seksual, malah kegagalan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat bagi semua individu di bawah tanggungjawab organisasi tersebut. Pindaan yang dicadangkan perlu merangkumi kewajipan untuk organisasi mengadakan mekanisme pencegahan yang berkesan dan menyediakan perlindungan yang mencukupi kepada mangsa. Langkah-langkah ini sepatutnya termasuk program pendidikan dan latihan yang komprehensif untuk semua kakitangan dan pelajar, memastikan mereka memahami hak mereka serta prosedur yang perlu diambil jika berlaku sebarang insiden gangguan seksual. Organisasi juga perlulah diwajibkan untuk membuat laporan polis berkenaan kes gangguan seksual, walaupun isu tersebut sedang disiasat mahupun sudah selesai secara dalaman. 

Aku bersetuju dengan cadangan ini dan berharap agar ia direalisasikan dalam kadar segera. Hal ini kerana aku juga merupakan salah satu mangsa kegagalan sebuah organisasi dalam menangani kes gangguan seksual. Organisasi perlulah dipertanggungjawabkan jika gagal menguruskan aduan kes gangguan seksual dengan baik. 

Dalam kes aku, organisasi tersebut bukan sahaja gagal menguruskan laporan aku dengan sempurna, malah gagal menerangkan proses membuat laporan. Proses ini sewajarnya didedahkan kepada semua pelajar semasa minggu orientasi, agar mereka tahu langkah-langkah yang perlu diambil jika mereka menjadi mangsa gangguan seksual. Selain itu, mereka yang akan menerima laporan perlu dilatih dengan secukupnya untuk memastikan mereka boleh mengendalikan kes dengan sensitiviti dan profesionalisme yang diperlukan.

Namun, dalam kes aku, penerima laporan gagal menerangkan proses yang ditetapkan dengan jelas, membuatkan laporan aku tergantung serta lewat diambil perhatian. Hal ini menyebabkan aku merasa dikhianati oleh sistem yang sepatutnya melindungi aku. Akhirnya, keputusan yang dibuat tidak menyebelahi aku, malah lebih memburukkan lagi keadaan dengan memberikan kelebihan kepada pihak yang melakukan gangguan tersebut.

Aku membuat laporan kepada pelbagai pihak, namun tiada siapapun yang memaklumkan kepada aku yang pada ketika itu naif, akan prosedur yang perlu diikuti. Aku tidak sempat membuat laporan polis, dan aduan pula tidak dilayan sebegitu lama.

Di kesempatan ini juga aku berharap agar suatu mekanisme perlindungan dapat diperkenalkan buat mangsa. Mangsa boleh memohon perlindungan daripada pihak berkuasa atau protection order bagi mengelakkan gangguan berulang. Aku mencadangkan pindaan ini memandangkan ketiadaan mekanisme sebegini membuatkan aku mengalami gangguan yang berterusan.

Di kesempatan ini juga, aku ingin menekankan betapa pentingnya untuk memperkenalkan suatu mekanisme perlindungan yang lebih komprehensif buat mangsa gangguan seksual. Pada masa ini, ketiadaan mekanisme perlindungan yang efektif telah menyebabkan mangsa seperti aku terus mengalami gangguan berulang, yang bukan sahaja mengganggu kesejahteraan mental dan fizikal, tetapi juga memberi kesan negatif terhadap kehidupan seharian dan produktiviti.

Aku berharap agar satu sistem perlindungan yang kukuh dapat diwujudkan, di mana mangsa boleh memohon perlindungan daripada pihak berkuasa dalam bentuk 'protection order' atau perintah perlindungan yang sah dan segera berkuat kuasa. Perintah perlindungan ini seharusnya mudah untuk dipohon dan diberikan dengan cepat untuk memastikan keselamatan mangsa terjamin, terutamanya dalam kes-kes di mana pelaku berada dalam lingkungan yang dekat dengan mangsa, seperti di tempat kerja, institusi pendidikan, atau komuniti setempat.

Selain itu, aku mencadangkan agar perintah perlindungan ini merangkumi pelbagai aspek, termasuklah larangan terhadap pelaku untuk mendekati atau berkomunikasi dengan mangsa, dan mengenakan hukuman yang tegas jika pelaku melanggar perintah tersebut. Langkah ini penting untuk memberi keyakinan kepada mangsa bahawa mereka dilindungi oleh undang-undang dan untuk mencegah sebarang kemungkinan gangguan berulang yang boleh mendatangkan trauma tambahan kepada mangsa.

Pindaan ini perlu dipertimbangkan dengan serius oleh pihak berwajib kerana tanpa adanya mekanisme perlindungan yang jelas dan berkesan, mangsa-mangsa seperti aku akan terus terdedah kepada risiko gangguan yang berulang, yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan kami. Justeru itu, aku menyeru agar langkah-langkah proaktif diambil segera untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual di Malaysia.

Dengan adanya pindaan-pindaan ini, aku berharap tiada lagi mangsa yang perlu melalui pengalaman pahit seperti yang aku alami. Organisasi perlu tahu bahawa mereka akan menghadapi akibat undang-undang jika gagal melindungi mereka yang berada di bawah tanggungjawab mereka. Perintah perlindungan yang dicadangkan juga bukan sahaja tentang melindungi mangsa gangguan seksual tetapi juga merupakan langkah penting dalam mewujudkan masyarakat yang lebih selamat, beretika, dan berperikemanusiaan. 

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...