Sunday, 1 September 2024

TANGGUNGJAWAB ORGANISASI MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Antigangguan Seksual 2022¹. Pindaan ini dikatakan berkaitan membolehkan tindakan undang-undang dimulakan terhadap mana-mana organisasi yang gagal menangani kes gangguan seksual melibatkan kakitangannya². Ini adalah satu langkah yang amat penting dalam memastikan semua organisasi, tanpa mengira sektor, bertanggungjawab dalam menangani kes gangguan seksual dengan sewajarnya.

Aku sangat mengalu-alukan pindaan ini, dengan syarat bahawa ia turut meliputi organisasi seperti universiti yang gagal untuk menangani kes gangguan seksual antara pelajar dan pelajar yang lain. 

Kegagalan dalam menangani kes gangguan seksual bukan sahaja merujuk kepada kegagalan untuk menyiasat aduan gangguan seksual, malah kegagalan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat bagi semua individu di bawah tanggungjawab organisasi tersebut. Pindaan yang dicadangkan perlu merangkumi kewajipan untuk organisasi mengadakan mekanisme pencegahan yang berkesan dan menyediakan perlindungan yang mencukupi kepada mangsa. Langkah-langkah ini sepatutnya termasuk program pendidikan dan latihan yang komprehensif untuk semua kakitangan dan pelajar, memastikan mereka memahami hak mereka serta prosedur yang perlu diambil jika berlaku sebarang insiden gangguan seksual. Organisasi juga perlulah diwajibkan untuk membuat laporan polis berkenaan kes gangguan seksual, walaupun isu tersebut sedang disiasat mahupun sudah selesai secara dalaman. 

Aku bersetuju dengan cadangan ini dan berharap agar ia direalisasikan dalam kadar segera. Hal ini kerana aku juga merupakan salah satu mangsa kegagalan sebuah organisasi dalam menangani kes gangguan seksual. Organisasi perlulah dipertanggungjawabkan jika gagal menguruskan aduan kes gangguan seksual dengan baik. 

Dalam kes aku, organisasi tersebut bukan sahaja gagal menguruskan laporan aku dengan sempurna, malah gagal menerangkan proses membuat laporan. Proses ini sewajarnya didedahkan kepada semua pelajar semasa minggu orientasi, agar mereka tahu langkah-langkah yang perlu diambil jika mereka menjadi mangsa gangguan seksual. Selain itu, mereka yang akan menerima laporan perlu dilatih dengan secukupnya untuk memastikan mereka boleh mengendalikan kes dengan sensitiviti dan profesionalisme yang diperlukan.

Namun, dalam kes aku, penerima laporan gagal menerangkan proses yang ditetapkan dengan jelas, membuatkan laporan aku tergantung serta lewat diambil perhatian. Hal ini menyebabkan aku merasa dikhianati oleh sistem yang sepatutnya melindungi aku. Akhirnya, keputusan yang dibuat tidak menyebelahi aku, malah lebih memburukkan lagi keadaan dengan memberikan kelebihan kepada pihak yang melakukan gangguan tersebut.

Aku membuat laporan kepada pelbagai pihak, namun tiada siapapun yang memaklumkan kepada aku yang pada ketika itu naif, akan prosedur yang perlu diikuti. Aku tidak sempat membuat laporan polis, dan aduan pula tidak dilayan sebegitu lama.

Di kesempatan ini juga aku berharap agar suatu mekanisme perlindungan dapat diperkenalkan buat mangsa. Mangsa boleh memohon perlindungan daripada pihak berkuasa atau protection order bagi mengelakkan gangguan berulang. Aku mencadangkan pindaan ini memandangkan ketiadaan mekanisme sebegini membuatkan aku mengalami gangguan yang berterusan.

Di kesempatan ini juga, aku ingin menekankan betapa pentingnya untuk memperkenalkan suatu mekanisme perlindungan yang lebih komprehensif buat mangsa gangguan seksual. Pada masa ini, ketiadaan mekanisme perlindungan yang efektif telah menyebabkan mangsa seperti aku terus mengalami gangguan berulang, yang bukan sahaja mengganggu kesejahteraan mental dan fizikal, tetapi juga memberi kesan negatif terhadap kehidupan seharian dan produktiviti.

Aku berharap agar satu sistem perlindungan yang kukuh dapat diwujudkan, di mana mangsa boleh memohon perlindungan daripada pihak berkuasa dalam bentuk 'protection order' atau perintah perlindungan yang sah dan segera berkuat kuasa. Perintah perlindungan ini seharusnya mudah untuk dipohon dan diberikan dengan cepat untuk memastikan keselamatan mangsa terjamin, terutamanya dalam kes-kes di mana pelaku berada dalam lingkungan yang dekat dengan mangsa, seperti di tempat kerja, institusi pendidikan, atau komuniti setempat.

Selain itu, aku mencadangkan agar perintah perlindungan ini merangkumi pelbagai aspek, termasuklah larangan terhadap pelaku untuk mendekati atau berkomunikasi dengan mangsa, dan mengenakan hukuman yang tegas jika pelaku melanggar perintah tersebut. Langkah ini penting untuk memberi keyakinan kepada mangsa bahawa mereka dilindungi oleh undang-undang dan untuk mencegah sebarang kemungkinan gangguan berulang yang boleh mendatangkan trauma tambahan kepada mangsa.

Pindaan ini perlu dipertimbangkan dengan serius oleh pihak berwajib kerana tanpa adanya mekanisme perlindungan yang jelas dan berkesan, mangsa-mangsa seperti aku akan terus terdedah kepada risiko gangguan yang berulang, yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesejahteraan kami. Justeru itu, aku menyeru agar langkah-langkah proaktif diambil segera untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual di Malaysia.

Dengan adanya pindaan-pindaan ini, aku berharap tiada lagi mangsa yang perlu melalui pengalaman pahit seperti yang aku alami. Organisasi perlu tahu bahawa mereka akan menghadapi akibat undang-undang jika gagal melindungi mereka yang berada di bawah tanggungjawab mereka. Perintah perlindungan yang dicadangkan juga bukan sahaja tentang melindungi mangsa gangguan seksual tetapi juga merupakan langkah penting dalam mewujudkan masyarakat yang lebih selamat, beretika, dan berperikemanusiaan. 

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...