Monday, 23 September 2024

KEBUMIKAN POLISI BAKI SIFAR

Pengenalan

Polisi Baki Sifar, atau lebih dikenali sebagai Zero Balance Policy, adalah satu polisi yang menghendaki pelajar universiti untuk menjelaskan bayaran yuran sepenuhnya sebelum mereka boleh didaftarkan sebagai pelajar aktif. Polisi ini juga merupakan prasyarat untuk mendaftar kursus di sesetengah universiti. Baru-baru ini, Universiti Malaya (UM) sekali lagi menarik perhatian apabila melaksanakan polisi ini, khususnya bagi pelajar Saluran Terbuka UM (SATU). Meskipun pelaksanaan ini terhad kepada satu kelompok pelajar sahaja, ia tetap menimbulkan persoalan moral dan etika. Polisi ini dianggap zalim, tidak berhati perut, dan bersifat diskriminasi terhadap pelajar yang berada dalam situasi kewangan yang mencabar.

Bantahan Terhadap Polisi

Pertamanya, kita harus menilai bahawa walaupun pelajar SATU dikenakan yuran lebih tinggi, ini tidak bermakna mereka semua berasal dari latar belakang kewangan yang kukuh. Pelajar SATU, seperti juga pelajar UPU, mungkin datang dari keluarga berpendapatan rendah, atau bahkan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan dan pinjaman. Polisi yang menghendaki mereka menjelaskan yuran sepenuhnya sebelum mendaftar kursus tidak langsung mengambil kira realiti bahawa kebanyakan pelajar sedang berdepan dengan tekanan kewangan yang berat, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, pasca-pandemik COVID-19.

Tajaan atau pinjaman pelajaran tidak disalurkan secara serta-merta. Proses pengesahan dan kelulusan tajaan memakan masa yang panjang, dan pelajar sering kali terpaksa menunggu dalam ketidakpastian. Sementara itu, pelaksanaan polisi ini tidak mengambil kira kelewatan tersebut, lantas menambahkan lagi beban emosi dan mental ke atas pelajar yang sudah sedia tertekan dengan cabaran akademik. 

Pelajar yang berasal dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah sudah sedia berdepan dengan ketidakseimbangan sosial-ekonomi, dan polisi sebegini hanya akan memperburukkan lagi jurang tersebut. Tekanan untuk mengekalkan baki sifar bukan sahaja mengganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran, malah meletakkan mereka dalam keadaan serba salah—sama ada untuk fokus pada akademik atau mencari cara untuk menampung kos pengajian.

Ketidakstabilan kewangan yang disebabkan oleh polisi ini boleh menjejaskan kesihatan mental pelajar, meningkatkan kebimbangan dan tekanan yang mereka alami. Dalam jangka masa panjang, ini boleh mengakibatkan prestasi akademik mereka merosot, dan akhirnya memaksa mereka untuk mempertimbangkan menarik diri daripada universiti. Kadar keciciran akan meningkat, sekali gus menjejaskan angka pendaftaran universiti dan juga reputasi institusi tersebut.

Apabila kita mempertimbangkan impak polisi ini dari sudut yang lebih luas, ia tidak hanya memberi kesan kepada pelajar secara individu, tetapi juga kepada pembangunan negara secara keseluruhan. Pelajar-pelajar ini adalah aset masa depan negara, dan apabila mereka dihalang daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya, negara berpotensi kehilangan tenaga kerja yang berkelayakan. 

Perbuatan Berulang: Kulit Berbeza, Isi Sama

Ini bukan kali pertama Polisi Baki Sifar menjadi isu panas di Malaysia. Sebelum ini, pada sesi akademik 2022/2023, polisi yang sama telah mendapat tentangan kuat daripada pelajar. Perdana Menteri Malaysia turut campur tangan dan mengarahkan agar polisi tersebut dihentikan serta-merta. Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa pelajar harus dibenarkan mendaftar kursus terlebih dahulu dan diberi kelonggaran untuk menjelaskan yuran selepas pendaftaran. Keputusan ini disambut baik oleh pelajar dan ibu bapa, yang menganggapnya sebagai langkah yang lebih berperikemanusiaan.

Namun begitu, Universiti Malaya kini kembali dengan langkah yang dilihat sebagai cubaan untuk mengelak daripada akauntibiliti dalam mematuhi arahan tersebut. Dengan mengehadkan polisi ini kepada pelajar SATU sahaja, pihak pengurusan universiti kelihatan licik dalam memanipulasi pelaksanaan polisi.

Mereka mungkin beranggapan bahawa pelajar SATU, yang yurannya lebih tinggi daripada pelajar UPU, lebih mampu untuk menjelaskan yuran. Tetapi, ini adalah satu anggapan yang tidak tepat dan tidak adil. Pelajar SATU menghadapi yuran yang boleh mencapai sehingga RM15,000, manakala pelajar UPU hanya perlu membayar sekitar sehingga RM2,000. Jika dilihat dari perspektif logik, bukankah pelajar UPU yang mempunyai yuran lebih rendah sepatutnya lebih mampu menjelaskan yuran mereka dengan segera?

Kenyataan oleh pihak pengurusan universiti bahawa pelajar seharusnya boleh menganggarkan jumlah yuran yang perlu dibayar dan tidak perlu menggunakan alasan 'pembayaran mendadak' sebagai justifikasi, menunjukkan ketidakpedulian mereka terhadap realiti kehidupan pelajar. Kenyataan ini hanya mencerminkan sikap dingin dan kurang empati pihak pentadbiran universiti. Mengapa menekan mereka yang sudah pun tersepit? Bukankah peranan universiti adalah untuk membuka peluang, bukan menutupnya?

Alternatif yang Lebih Adil

Dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan, universiti perlu menilai kembali polisi ini. Pelajar dan aktivis mahasiswa mencadangkan agar UM kembali kepada polisi kewangan yang membenarkan pelajar mendaftar tanpa perlu melunaskan yuran sepenuhnya sehingga keputusan peperiksaan akhir diumumkan. Polisi ini bukan sahaja lebih adil, tetapi juga memberi kelonggaran kepada pelajar untuk menyusun pembayaran secara tersusun, tanpa membebankan mereka secara kewangan dalam tempoh yang singkat.

Bagi menggalakkan pembayaran yuran lebih awal, universiti boleh memperkenalkan insentif seperti diskaun kepada pelajar yang membayar yuran lebih awal. Ini akan memberi motivasi kepada pelajar tanpa meletakkan tekanan yang tidak wajar ke atas mereka. Langkah-langkah ini boleh diintegrasikan dengan sistem yang lebih mesra pelajar, seperti pelan ansuran yang lebih fleksibel atau program pembiayaan khusus untuk pelajar berpendapatan rendah. Langkah ini lebih pragmatik dan mampu menggalakkan pelajar untuk membuat pembayaran tanpa memaksa mereka melakukannya dalam keadaan terdesak.

Kesimpulan: Polisi yang Perlu Dihapuskan

Polisi Baki Sifar ini jelas merupakan satu polisi yang tidak adil dan mendiskriminasikan pelajar berdasarkan keupayaan kewangan mereka. Pelaksanaan Zero Balance Policy tidak sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi pelajar universiti awam di Malaysia. Dasar ini perlu dihentikan dan tidak seharusnya dihidupkan kembali dalam apa jua bentuk. Pendidikan adalah hak asasi setiap rakyat Malaysia, dan dasar kewangan yang membebankan hanya akan menghalang pelajar dari mencapai potensi penuh mereka. Sebagai sebuah institusi yang berprestij, Universiti Malaya harus menunjukkan empati dan tanggungjawab sosial dengan memperkenalkan polisi yang lebih inklusif dan adil. Masa depan pelajar tidak seharusnya dikorbankan demi dasar kewangan yang tidak sensitif. Polisi Baki Sifar ini perlu ditanam dalam-dalam dan tidak patut sekali-kali digali semula.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...