Tuesday, 10 September 2024

HINAKAH JADI MISKIN?

Hinakah Jadi Miskin?

Hari ini, bapa aku mengajak aku ke Bangunan KWSP untuk mengeluarkan pembiayaan pendidikan. Kami menaiki lori gas yang bapa aku bawa secara rutin setiap hari. Sedang aku menulis siaran ini, bapa aku sedang memakai sarung tangan, mengangkat tong gas untuk diberikan kepada pelanggan. Kami baru pulang dari Bangunan KWSP. Pengalaman kami di sana agak mengecewakan.

Sejurus selepas masuk ke bangunan tersebut, bapa aku pergi ke kaunter untuk mengambil nombor giliran. Aku mengikutinya di belakang sambil membawa beberapa fail yang mengandungi dokumen penting. Nombor kami terus dipanggil apabila kami melangkah masuk ke kawasan menunggu. Kami berdua lalu bergegas ke kaunter dan duduk di situ.

Bapa aku menyatakan hasrat kami datang ke situ pada hari ini, iaitu untuk membuat pengeluaran pembiayaan pendidikan KWSP untuk aku yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama. Pembiayaan ini sangat diperlukan memandangkan kami datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dan perlu membayar yuran kemasukan untuk mendaftar.

Walau bagaimanapun, pihak KWSP memberitahu bahawa mereka memerlukan surat pengesahan sedang belajar untuk membolehkan pengeluaran tersebut. Sejujurnya polisi ini tidaklah 100% bermasalah. Aku faham akan alasan yang diberikan oleh kerani di kaunter tersebut iaitu untuk mengelakkan penipuan. 

Untuk mendapatkan surat pengesahan belajar, aku perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu. Dan untuk mendaftarkan diri pula, aku perlu membayar yuran kemasukan. Itulah sebabnya kami datang ke situ, iaitu untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membayar yuran tersebut. Proses yang berputar-putar ini jelas memperlihatkan bahawa sistem birokrasi sedia ada sangat tidak mesra golongan miskin. Kami datang untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran kemasukan, tetapi kami tidak dapat mengeluarkannya kerana kami belum mendaftar, yang memerlukan pembayaran yuran terlebih dahulu. Ia satu paradoks yang sangat menjengkelkan.

Kecewa, kami pulang segera tanpa apa-apa urusan yang lama. 

Pengalaman ini aku ceritakan untuk tekankan betapa susahnya hidup sebagai orang yang tidak berkemampuan, betapa rosaknya sistem sedia ada dan betapa perlunya reformasi dilakukan bagi menyelesaikan isu ini. Dalam kehidupan seharian, halangan yang dihadapi oleh golongan miskin bukan sekadar kekurangan kewangan semata-mata, tetapi sistem yang tidak fleksibel, birokrasi yang rumit, dan peraturan yang seolah-olah mengabaikan realiti hidup orang miskin.

Aku yakin ramai orang lain yang turut mengalami nasib yang sama. Jika tidak, manakan ramai yang bertanya mengenai urusan penangguhan bayaran.

Hal ini tidak akan berlaku sekiranya sistem sedia ada tidak begitu anti terhadap orang miskin. Pelajar diwajibkan untuk membayar suatu jumlah yang begitu besar untuk mendaftarkan diri. Ya, mungkin ada yang kata boleh buat penangguhan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pelajar tidak sepatutnya perlu melayan karenah birokrasi dengan perlu memohon penangguhan. Pelajar sewajarnya diberi peluang untuk mendaftarkan diri dan menjelaskan apa-apa yuran sepanjang semester pertama pengajian mereka.

Isu ini juga sedikit sebanyak diburukkan lagi oleh ketiadaan penajaan awal buat para pelajar. Kebanyakan pihak penaja hanya akan menawarkan tajaan semasa pelajar sedang dalam tempoh pengajian di semester pertama. Persoalannya, bagaimana dengan kos permulaan seperti yuran pendaftaran dan yuran kemasukan? Ini merupakan beban besar bagi pelajar yang datang dari keluarga kurang berkemampuan. Kebanyakan mereka terpaksa meminjam wang daripada keluarga, rakan, atau malah mengambil pinjaman peribadi yang boleh membawa kepada hutang dalam jangka panjang. Bagi golongan miskin, perkara ini sangat menyeksakan. Bukan sekadar beban kewangan, tetapi juga beban emosi dan mental akibat kegusaran yang berterusan mengenai kemampuan untuk melanjutkan pelajaran. Keadaan ini sering kali menyebabkan pelajar dari latar belakang kurang berkemampuan merasa rendah diri dan terpinggir, lalu tidak menyambung pengajian tinggi. Akibatnya, keluarga mereka terus berada dalam kitaran kemiskinan.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan amalan ini harus dihapuskan. Jika tak mampu untuk menjadikan pendidikan tinggi percuma, sekurang-kurangnya, permudahkanlah urusan pelajar bagi semester pertama. Pihak penaja perlulah membuka permohonan tajaan seawal yang mungkin. Pihak universiti pula perlulah peka akan kewujudan pelajar dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan, dan membenarkan mereka menangguhkan pembayaran yuran kemasukan secara automatik. 

Pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam hal ini. Meskipun kerajaan yang ada hari ini merupakan kerajaan gabungan antara parti politik yang mempunyai manifesto yang berlainan, kedua-duanya mempunyai janji berkaitan pendidikan tinggi. Pakatan Harapan dalam manifestonya berikrar untuk menawarkan biasiswa buat golongan B40. Barisan Nasional pula yang ahlinya kini memegang portfolio Menteri Pendidikan Tinggi, bertekad untuk menawarkan pendidikan tinggi percuma buat semua individu dari keluarga B40. Meskipun janji berbeza, matlamatnya sama, iaitu untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam mengakses pendidikan tinggi.

Sebenarnya polisi ini juga agak bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri pada Oktober 2023. Pada ketika itu, beliau turut mengumumkan bahawa yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, walaupun jumlah ini jauh lebih rendah berbanding yuran di universiti swasta, ia masih merupakan beban yang besar.

Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana pelajar yang mempunyai kekangan dari segi kewangan tidak boleh dihalang atau dinafikan daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan yuran kemasukan. Persoalannya, masih terpakaikah polisi ini? Kenapa aku, dan ramai lagi pelajar miskin, masih terpaksa berhadapan dengan masalah ini di universiti-universiti awam?

Dalam dunia yang semakin maju, kesamarataan akses kepada pendidikan adalah hak asasi. Jika benar-benar serius ingin membina masyarakat yang lebih adil dan saksama, pihak-pihak berkenaan harus memperbetulkan dasar-dasar yang sedia ada, agar golongan miskin tidak terus ketinggalan hanya kerana halangan kewangan yang kelihatan kecil di mata mereka, tetapi merupakan batu besar di atas bahu kami. Perjuangan untuk mendapatkan pendidikan tidak seharusnya menjadi sedemikian sukar hanya kerana latar belakang kewangan. 

Jadi, untuk menjawab persoalan asal: hinakah jadi miskin? Jawapannya tidak. Apa yang hina adalah apabila sistem tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan menambah beban mereka dengan birokrasi yang tidak berperikemanusiaan. Apa yang hina adalah apabila orang miskin terus-menerus dipinggirkan dan ditolak ke tepi hanya kerana mereka tidak mampu membayar harga yang diminta oleh sistem yang sepatutnya membantu mereka. Apa yang hina adalah apabila janji-janji politik hanya tinggal janji tanpa pelaksanaan yang nyata untuk membantu golongan yang memerlukan.



No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...