Isu penempatan mahasiswa di institut pendidikan tinggi merupakan masalah struktural yang memberi impak mendalam terhadap kesejahteraan pelajar dan kualiti pendidikan di Malaysia. Ramai pelajar menghadapi kesulitan mendapatkan penempatan yang sesuai, yang boleh menjejaskan prestasi akademik dan kesihatan mental mereka. Masalah ini terutamanya dirasai oleh pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, serta mereka yang belajar jauh dari rumah. Saban tahun, bilangan pelajar universiti meningkat, tetapi fasiliti seperti kolej kediaman tidak ditambah kerana pelbagai alasan. Ini memaksa pelajar mencari tempat tinggal di luar kampus, yang sering kali mahal dan tidak selesa.
Pihak universiti sering kali mengambil pendekatan reaktif, bukannya proaktif, dalam menangani masalah ini. Kekurangan perancangan jangka panjang dalam memperluaskan kolej kediaman dan fasiliti penempatan mengakibatkan masalah ini berlarutan saban tahun. Kegagalan untuk memahami dan merancang berdasarkan peningkatan jumlah pelajar menyebabkan universiti tidak menyediakan tempat tinggal yang mencukupi. Malangnya, masalah ini sering dianggap remeh oleh pihak pentadbiran, dan pelajar dibiarkan untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri, meskipun penempatan adalah tanggungjawab bersama antara universiti, kerajaan, dan masyarakat.
Untuk menyelesaikan masalah ini, pendekatan baru oleh pelbagai pemegang taruh termasuk kerajaan dan pihak pentadbiran universiti amatlah diperlukan. Kerajaan harus mewujudkan undang-undang kawalan harga sewa dan keadaan rumah bagi memastikan pelajar mendapat penempatan yang kondusif. Bantuan deposit rumah sewa juga boleh ditawarkan kepada para pelajar. Sekiranya tidak boleh diberikan secara pemberian, ia boleh ditukar kepada bentuk pinjaman boleh ubah, di mana pelajar tidak perlu membayarnya semula jika mendapat ijazah kelas pertama dan sebagainya.
Idea-idea segar juga didahagakan bagi menyelesaikan isu defisit akomodasi pelajar. Idea seperti penubuhan Koperasi Perumahan Mahasiswa juga patut dikaji. Melalui koperasi ini, universiti bersama-sama dengan kerajaan boleh menyediakan perumahan yang lebih berpatutan dan dikhususkan untuk pelajar. Koperasi ini boleh berfungsi sebagai badan yang menguruskan projek perumahan pelajar, membina lebih banyak penempatan di kawasan sekitar kampus dengan harga yang mampu milik. Pada masa yang sama, koperasi ini boleh berfungsi untuk menguruskan penyewaan rumah atau bilik di luar kampus bagi pelajar yang memerlukan, dengan memastikan standard dan harga sewa yang adil dan kondusif.
Selain itu, kerajaan boleh menggalakkan inisiatif keluarga angkat, di mana pelajar tinggal bersama keluarga tempatan, dengan menawarkan insentif seperti potongan cukai mahupun bantuan kewangan. Program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos perumahan bagi pelajar tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari nilai-nilai kemasyarakatan dan membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti setempat. Pada masa yang sama, ia akan memberikan mereka persekitaran keluarga yang menyokong, yang penting bagi kesejahteraan emosi dan psikologi mereka.
Di samping itu, kerajaan juga boleh meneroka pelaksanaan tahun senggang serta peluasan sistem pengajian anjal bagi mengurangkan bilangan pelajar di kampus pada satu-satu sesi akademik. Ini membantu mengurangkan permintaan terhadap penempatan di kampus.
Penambahbaikan jaringan pengangkutan awam juga perlulah dititikberatkan memandangkan ramai mahasiswa yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan rumah sewa terletak jauh dari kampus. Antara konsep yang boleh diguna pakai ialah perkhidmatan Demand Response Transit (DRT).
DRT ini ibarat Grab atau teksi tapi versi bas/van¹. Pelajar boleh memesan DRT untuk pergi ke atau pulang dari kampus dalam kadar yang berpatutan. Hal ini boleh ditawarkan kerana van mampu memuatkan lebih ramai penumpang, dan mereka boleh bersama-sama membayar kos tambang². Inisiatif ini mendapat tempat di Selangor namun tidak terhad kepada pelajar saja³. Walau bagaimanapun, perkhidmatan sebegini hanya sesuai di kawasan luar bandar dengan kepadatan rendah. Mod pengangkutan awam lain juga boleh diperbaiki untuk menutup kelemahan ini. Tambahan lagi, universiti boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan bas percuma atau subsidi pengangkutan bagi pelajar.
Seterusnya, penarikan semula subsidi yuran pengajian tinggi yang kini turut dinikmati oleh golongan berkemampuan wajar dikaji. “Subsidi” tersebut boleh disasarkan buat mereka yang benar-benar layak. Wang yang dijimatkan pula boleh digunakan untuk membiayai usaha ke arah menoktahkan krisis penempatan ini.
Mahasiswa adalah pewaris masa depan negara, dan kebajikan mereka harus diutamakan. Mereka tidak patut dibiarkan menyelesaikan masalah ini sendiri, kerana ia boleh mengganggu fokus mereka dalam menuntut ilmu dan kemahiran di varsiti masing-masing.
No comments:
Post a Comment