Friday, 28 March 2025

SKIM PENDIDIKAN TINGGI PERCUMA SARAWAK PERLU DIJADIKAN DASAR NASIONAL

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Sarawak telah mengumumkan bahawa Skim Pendidikan Tinggi Percuma atau Free Tertiary Education Scheme (FTES) Sarawak akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Pengumuman ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada pelajar di Sarawak tetapi juga menjadi tamparan hebat kepada hujah lama yang sering digunakan untuk menolak pendidikan tinggi percuma—bahawa ia adalah idealistik, utopian, dan mustahil untuk dilaksanakan.

Jika Sarawak, salah sebuah wilayah dalam Malaysia dengan belanjawan yang jauh lebih kecil berbanding Kerajaan Persekutuan, mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma, mengapa kerajaan Persekutuan masih gagal merealisasikan perkara yang sama?

Langkah Kerajaan Sarawak ini menjadi bukti bahawa pendidikan tinggi percuma bukan sekadar slogan atau retorik politik, tetapi sesuatu yang boleh direalisasikan dengan kehendak politik yang kuat. Model FTES boleh menjadi asas kepada perbincangan yang lebih besar mengenai keperluan menjadikan pendidikan tinggi percuma di seluruh Malaysia.

Kerajaan Persekutuan kini berada dalam kedudukan yang sukar. Jika mereka terus berdiam diri atau berdolak-dalik, ia hanya akan mengesahkan bahawa mereka lebih cenderung mengekalkan sistem yang membebankan mahasiswa dan keluarga mereka dengan hutang pendidikan, berbanding memperjuangkan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.

Satu persoalan utama yang sering diajukan apabila berbicara tentang pendidikan tinggi percuma adalah sumber pembiayaan. Namun begitu, jika Sarawak yang mempunyai autonomi kewangan terhad di bawah Perlembagaan Persekutuan mampu membiayai skim ini, maka alasan bahawa "Malaysia tidak mampu" menjadi semakin tidak masuk akal.

Malaysia memiliki pelbagai sumber pendapatan—hasil petroleum dan gas, cukai korporat, dividen GLC, dan sebagainya. Sebaliknya, setiap tahun, berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk projek mewah yang tidak mendesak, ketirisan dana, serta keutamaan perbelanjaan yang meragukan. Jika sebahagian daripada dana ini disalurkan kepada pendidikan tinggi percuma, ia bukan sahaja boleh mengurangkan beban kewangan pelajar, tetapi juga melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran tanpa terjerat dalam hutang PTPTN.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar komited untuk mengangkat taraf pendidikan rakyat, mereka harus segera mengkaji bagaimana model FTES Sarawak boleh diperluaskan ke IPTA di seluruh negara. Ini bukan hanya soal ekonomi, tetapi soal keadilan sosial dan masa depan negara.

FTES adalah bukti bahawa perjuangan untuk pendidikan tinggi percuma semakin hampir menjadi kenyataan. Kendatipun begitu, kita tidak boleh berhenti di sini. Tekanan politik harus diteruskan agar dasar ini diperluaskan ke seluruh negara.

Mahasiswa (terutamanya kesatuan mahasiswa), masyarakat sivil, dan kesatuan akademik perlu menggunakan momentum ini untuk terus mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih berani. Jika kita benar-benar percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada kemajuan, maka ia tidak boleh terus dikomersialkan seperti satu produk di pasaran.

Kerajaan Persekutuan harus berasa malu kerana ketinggalan jauh di belakang dalam isu pendidikan tinggi percuma. Sarawak telah menunjukkan bahawa ini bukan satu fantasi tetapi satu realiti yang boleh direalisasikan dengan kehendak politik yang jelas.

Jika Sarawak mampu melaksanakan FTES, Malaysia juga mampu. Kini, tanggungjawab terletak pada rakyat untuk terus menuntut pendidikan tinggi percuma sebagai hak yang sepatutnya dinikmati oleh semua, bukan sekadar segelintir yang mampu membayarnya.

Wednesday, 26 March 2025

MICROSLEEP, SIMPTOM KAPITALISME

Beberapa tahun kebelakangan ini, kemalangan akibat microsleep semakin menjadi-jadi, dan setiap kali berita mengenainya tersebar, reaksi yang biasa kita lihat adalah nasihat klise seperti "Pastikan tidur cukup sebelum memandu." Namun, kita perlu bertanya: mengapa begitu ramai orang mengalami keletihan kronik sehingga tertidur ketika memandu?

Jawapannya bukan sekadar gaya hidup individu yang buruk atau kesalahan peribadi—tetapi kerana sistem ekonomi yang mengeksploitasi tubuh dan masa pekerja demi keuntungan pemodal.

Dalam kapitalisme, tenaga kerja dilihat sebagai komoditi yang mesti dimaksimumkan penggunaannya dengan kos minimum. Ini menghasilkan beberapa realiti yang kita hadapi hari ini:

Pertama, beban kerja yang tidak manusiawi. Waktu kerja panjang dan lembur tidak berbayar semakin menjadi norma, terutamanya dalam sektor korporat. Pekerja juga digalakkan (atau dipaksa secara halus) untuk bekerja melebihi had fizikal mereka, dengan alasan produktiviti dan daya saing. Akibatnya, ramai mengalami keletihan kronik, tetapi gaji yang diterima masih tidak cukup untuk kehidupan yang selesa.

Selain itu, sistem kapitalisme mempromosikan pemilikan kereta individu sebagai keperluan, bukan pilihan, kerana syarikat automotif dan minyak mendapat keuntungan besar darinya. Kesesakan lalu lintas menyebabkan orang terpaksa menghabiskan berjam-jam di jalan raya setiap hari, menambah lagi keletihan mereka. Jika pengangkutan awam diperkuatkan, banyak masa boleh dijimatkan dan tenaga kerja boleh digunakan dengan lebih berkesan.

Di samping itu, dalam sistem ini juga, kejayaan diukur berdasarkan output kerja, bukan kesejahteraan manusia. Apabila seseorang terlalu letih atau sakit akibat beban kerja, beban tanggungjawab tetap diletakkan di bahu individu, bukannya sistem yang memaksa mereka ke keadaan itu.

Mengatasi masalah ini memerlukan perubahan radikal, bukan sekadar pembaikan kecil dalam sistem yang sudah rosak. 

Pengangkutan awam yang cekap, percuma, dan luas harus dijadikan keutamaan, agar rakyat tidak perlu bergantung pada kenderaan peribadi. Kenderaan persendirian turut perlu dikurangkan secara berperingkat dengan subsidi kepada sistem bas, rel, dan mobiliti mesra alam.

Selain itu, waktu bekerja juga hendaklah disingkatkan. Dasar kerja dari rumah harus diperluaskan untuk mengurangkan keperluan perjalanan harian yang membebankan. Kerja lebih masa harus dikawal ketat, dengan kadar gaji yang lebih tinggi jika perlu dilakukan.

Microsleep bukan sekadar masalah individu, tetapi cerminan dari sistem yang mengorbankan manusia demi keuntungan. Selagi kita hidup dalam ekonomi yang memaksa rakyat bekerja melampaui batas fizikal mereka, masalah keletihan, kesihatan mental, dan kemalangan akibat keletihan akan terus meningkat.

Satu-satunya "vaksin" sebenar terhadap pandemik keletihan ini adalah dunia tanpa kapitalisme, di mana kerja diatur berdasarkan keperluan manusia, bukan keuntungan syarikat. Dunia di mana pengangkutan awam percuma, waktu kerja lebih pendek, dan kesejahteraan lebih diutamakan daripada keuntungan.

Kita tidak seharusnya menerima keletihan sebagai sebahagian normal dari kehidupan moden—kita berhak untuk hidup dengan lebih bermaruah.

Wednesday, 12 March 2025

KAPITALISME UNTUK ORANG MISKIN, SOSIALISME UNTUK ORANG KAYA

Kerajaan Madani yang antara lain dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH) sekali lagi membuat onar dengan melakukan perkara yang sama seperti pendahulu mereka, cuma kini dijustifikasikan atas alasan yang berbeza. Sebelum ini, mereka mempertahankan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan. Kemudian, mereka menghalalkan pelantikan ahli politik memegang jawatan dalam GLC/GLIC. Kini, mereka menjustifikasikan tindakan bailout (sekali lagi) Sapura Energy.

Pusinglah ikut mana pun, bailout tetap bailout dan matlamat tidak menghalalkan cara. Jika ia bertujuan murni sekalipun, tindakan bailout syarikat ini tetap salah. Inilah bukti bahawa kapitalisme yang diamalkan di Malaysia bukan pasaran bebas, tetapi kapitalisme kroni di mana keuntungan diswastakan, tetapi kerugian disosialisasikan kepada rakyat.

Apabila universiti awam tertekan dek kekurangan geran kerajaan, mereka menyuruh universiti menjana pendapatan sendiri. Apabila sistem kesihatan awam semakin tenat dek ketidakcukupan bajet, mereka secara perlahan-lahan mahu menswastakannya kerana dianggap tidak mampan. Apabila didesak agar menetapkan gaji minimum pada kadar yang tinggi, keluar alasan bahawa Malaysia bukan negara sosialis. Tapi apabila syarikat swasta gagal menguruskan kewangan sendiri, dana awam pula digunakan untuk menyelamatkannya lalu digelar pelaburan strategik.

Jika mereka ini benar-benar kisah akan kebajikan rakyat, mereka akan bersuara menentang penswastaan sektor kesihatan dan pendidikan yang sedang secara diam-diam berlaku. Akan tetapi, apa yang mereka buat? Hal ini membuktikan bahawa hujah yang menjustifikasikan bailout ini atas alasan rakyat akan terkesan hanyalah retorik semata-mata. Usah tunggang nama rakyat untuk menjustifikasikan tindakan ini. Jijik dan tidak bermaruah!

Bailout ini juga menggunakan retorik nasionalisme ekonomi sebagai alat untuk menutup sifat kapitalisnya. Mereka menyebut bahawa ribuan vendor Bumiputera akan terkesan jika Sapura jatuh, seolah-olah ini adalah isu survival kaum. Hakikatnya, kapitalis tidak peduli pun dengan nasib pekerja. Jika mereka benar-benar peduli dengan rakyat miskin, mereka akan memperjuangkan upah minimum yang lebih tinggi, pemansuhan hutang PTPTN, atau jaminan sosial yang lebih kukuh. Tetapi tidak—mereka hanya bercakap soal rakyat apabila ia boleh digunakan untuk mempertahankan kepentingan kapitalis besar.

Perkara ini membuktikan bahawa kapitalisme dalam bentuknya sekarang bukanlah satu sistem ekonomi yang adil, tetapi satu mekanisme untuk mengekalkan keistimewaan kelas pemodal sambil menindas kelas pekerja dengan retorik kosong. Oleh itu, penyelesaiannya bukanlah sekadar menolak bailout ini sahaja, tetapi mempersoalkan sistem ekonomi yang membolehkan eksploitasi ini berlaku sejak awal.

Jika kita benar-benar serius tentang ekonomi rakyat, kita harus mencabar struktur kapitalisme yang mewujudkan situasi ini. Kita tidak boleh membiarkan syarikat besar terus menggunakan kerajaan sebagai alat penyelamat mereka sambil membiarkan rakyat biasa berjuang sendiri. Bailout ini bukan penyelesaian—ia adalah simptom kepada sistem yang rosak. Apa jaminan yang suntikan ini akan menyelesaikan segala-galanya? Ini bukan kali pertama suntikan dibuat. Namun begitu, isunya masih belum selesai.

Sebaliknya, kita harus menuntut nasionalisasi sektor strategik yang benar-benar penting, kawalan rakyat ke atas ekonomi, dan dasar-dasar yang memastikan kekayaan tidak hanya berkumpul di tangan elit, tetapi diagihkan secara adil kepada semua rakyat. Sebarang suntikan dana tidak boleh dibuat secara tampa syarat. Syarikat yang mahu diselamatkan oleh kerajaan wajib diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan kerajaan. Sebarang suntikan juga hendaklah melalui Parlimen dan bukannya keputusan unilateral Menteri Kewangan sahaja.

Jika duit rakyat digunakan untuk menyelamatkan Sapura, ia sewajarnya menjadi milik rakyat. Jika tidak, biarkan sahaja pasaran menentukan nasib syarikat itu. Audit forensik seperti yang digembar-gemburkan oleh Anwar Ibrahim sebelum ini juga perlulah dilakukan segera dan didedahkan dapatannya kepada umum. Rakyat berhak mengetahui wang mereka akan digunakan untuk tujuan apa.

Saturday, 8 March 2025

HENTIKAN PEMOLISAN MORAL!

Acapkali tiba bulan Ramadan, pasti akan ada sekurang-kurangnya satu berita mengenai serbuan pihak berkuasa terhadap mereka yang tidak berpuasa. Ada yang menyokongnya atas alasan amar makruf, nahi mungkar. Namun begitu, pada hemat aku, pemolisan moral sebegini tidak sewajarnya berlaku.

Kita tak pernah tertanyakah, adakah tindakan ini selari dengan ajaran Islam? Adakah semua negara Islam lain di dunia yang melakukan amalan ini? "Tidak" merupakan jawapan bagi kedua-dua soalan ini. Berpuasa atau tidak, itu urusan mereka dengan Tuhan. Kita tiada hak untuk mencabul privasi mereka atas alasan agama.

Islam adalah agama yang mengutamakan keikhlasan, bukan paksaan. Lebih parah, pemolisan moral ini bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW sendiri. Sepanjang hayat baginda, tidak ada satu pun peristiwa di mana baginda mengarahkan pasukan penguatkuasaan untuk menangkap orang yang tidak berpuasa. Sebaliknya, baginda lebih memilih pendekatan dakwah dan kasih sayang. Jika Rasulullah sendiri mengambil pendekatan lemah-lembut sebegitu, siapakah kita untuk mencipta "pasukan polis puasa"?

Pemolisan moral juga tidak dilaksanakan secara adil. Berapa banyak kes sebegini yang sebenar-benarnya melibatkan mereka yang ponteng puasa tanpa sebab? Kebanyakan mereka yang ditangkap sebenarnya mempunyai alasan kukuh—mereka sakit, musafir, atau mempunyai keadaan khas yang membenarkan mereka berbuka puasa bersandarkan hukum agama.

Tetapi, penguatkuasaan ini hampir selalu menyasarkan golongan miskin—peniaga kecil, buruh, dan pekerja kilang yang terpaksa makan secara sembunyi-sembunyi kerana keletihan bekerja. Pernahkah kita dengar operasi "Ops Ponteng Puasa" di hotel lima bintang, restoran mewah, atau jet peribadi? Pernahkah kita melihat golongan elit ditangkap kerana tidak berpuasa. Tidak. Ops sebegini hanya menyasarkan rakyat biasa, bukan mereka yang berkuasa. Inilah hipokrisi besar masyarakat kita. Yang kaya boleh hidup bebas dalam kemewahan tanpa perlu takut serbuan, tetapi yang miskin terpaksa makan dalam ketakutan kerana takut ditangkap.

Ops sebegini juga sebenarnya taktik biasa sang penguasa untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu mendesak di mana mereka mendapat manfaatnya. Isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa—semua ini sering diabaikan walaupun jauh lebih besar dosa dan impaknya. Sebelum ada yang berhujah bahawa itu bukan di bawah bidang kuasa mereka, adakah pemolisan moral pula berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama?

Apabila ibadah dipaksa dengan undang-undang, ia tidak lagi dilakukan atas dasar keikhlasan. Sebaliknya, ia mencipta budaya takut dan kepura-puraan. Budaya sebeginilah yang melahirkan fenomena "Geng Plastik Hitam"—golongan yang berpura-pura berpuasa tetapi menyorok untuk makan secara rahsia. Pada akhirnya, pemaksaan ini lebih merosakkan imej Islam daripada membantu umat Islam menjadi lebih baik.

Malaysia sering mempromosikan dirinya sebagai negara Islam progresif—tetapi moral policing seperti ini lebih menyerupai negara autoritarian. Kita mengecam Taliban kerana memaksa wanita bertudung, tetapi kita melakukan perkara yang sama dengan penguatkuasaan agama yang tidak perlu.

Jika kita benar-benar mahu mengangkat Islam, pemaksaan bukan caranya. Undang-undang yang sudah tidak lagi relevan dalam konteks moden perlulah dimansuhkan secara tuntas dalam kadar segera. Reformasi undang-undang syariah didambakan bagi memastikan agama tidak diperalatkan untuk menghukum individu secara tidak adil.

Puasa adalah tentang keikhlasan dan keinsafan, bukan ketakutan dan penguatkuasaan. Sudah tiba masanya kita kembali kepada prinsip Islam yang sebenar—bukan dengan memaksa orang beribadah, tetapi dengan memupuk kefahaman yang tulus. Kerana di akhirnya, siapa yang berpuasa dan siapa yang tidak—itu urusan mereka dengan Allah, bukan dengan pegawai penguatkuasa.

SURI RUMAH BUKAN BURUH PERCUMA

Dalam sistem kapitalisme, hanya kerja yang menghasilkan keuntungan dianggap sebagai pekerjaan “sebenar.” Tetapi tanpa kerja domestik yang dilakukan oleh suri rumah, ekonomi tidak akan berfungsi. Buruh di kilang, pejabat, dan sektor lain hanya boleh bekerja kerana ada seseorang yang mengurus rumah, memasak, menjaga anak, dan memastikan tenaga kerja kembali ke tempat kerja setiap hari. Namun begitu, sistem ini menganggap kerja suri rumah sebagai sesuatu yang “semula jadi” dan tidak perlu dibayar—satu bentuk eksploitasi yang telah berakar dalam struktur masyarakat di seantero dunia.

Kapitalisme tidak hanya mengeksploitasi buruh di tempat kerja tetapi juga mengeksploitasi kerja yang tidak dibayar di rumah. Sistem ini memerlukan tenaga kerja yang murah dan bersedia bekerja setiap hari, tetapi enggan membayar kos untuk menghasilkan dan menyelenggara tenaga kerja itu. Tanpa kerja rumah, tenaga kerja tidak boleh berfungsi. Para pekerja tidak dapat keluar mencari nafkah jika rumah tidak terurus, makanan tidak disediakan, dan anak-anak tidak dibesarkan. Tetapi siapa yang melakukan semua ini? Suri rumah, tanpa gaji, tanpa cuti, tanpa perlindungan sosial.

Konteks Tempatan 

Di Malaysia, norma sosial masih meletakkan beban kerja domestik lebih banyak ke atas wanita, walaupun mereka juga bekerja di luar rumah. Hal ini menyebabkan fenomena dwi-beban, di mana wanita perlu bekerja sepenuh masa dan pada masa yang sama menanggung kerja domestik yang tidak diupah. Feminisme liberal gagal memahami bahawa suri rumah dari kelas pekerja tidak mempunyai "pilihan" untuk sekadar "bekerja" kerana mereka sering terpaksa bekerja dua kali ganda.

Lebih buruk lagi, apabila wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, mereka kehilangan hak perlindungan sosial. Jika suami meninggal dunia atau berlaku perceraian, mereka sering ditinggalkan tanpa jaringan keselamatan kewangan.

Kendatipun Kerajaan Malaysia sudah memperkenalkan caruman KWSP untuk suri rumah di bawah i-Suri, tetapi jumlahnya masih rendah. Ia perlu diperluaskan dengan sumbangan yang lebih besar daripada pihak kerajaan dan suami. Aku juga tidak pasti sama ada Skim PERKESO sudah dilakukan atau tidak. Jika tidak, kerajaan boleh memperluaskan skim ini supaya suri rumah mendapat perlindungan jika mengalami kecederaan atau kecacatan ketika melakukan kerja domestik.

Suri Rumah = Buruh Tanpa Gaji

Jika seorang pekerja di kilang atau pejabat dipaksa bekerja tanpa gaji, kita akan menyebutnya sebagai perhambaan atau eksploitasi melampau. Tetapi apabila seorang wanita bekerja di rumah selama 16 jam sehari tanpa sebarang upah, ia dianggap “lumrah.” Perkara ini bukan kerana kerja itu tidak bernilai, tetapi kerana kapitalisme tidak mahu membayarnya.

Secara kasar, jika kita mengira gaji untuk kerja yang dilakukan oleh suri rumah berdasarkan kadar upah bagi kerja serupa di pasaran (pengasuh, tukang cuci, tukang masak, pengurus rumah), seorang suri rumah sepatutnya dibayar lebih daripada RM2,000 sebulan. Tetapi dalam kapitalisme, keuntungan lebih diutamakan daripada keadilan sosial—jadi kerja ini dibiarkan tidak bergaji.

Menurut laporan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), kerja domestik tanpa gaji yang dilakukan oleh wanita menyumbang sekurang-kurangnya 10% kepada KDNK di banyak negara. Tetapi kerana ia tidak dikategorikan sebagai kerja rasmi, ia tidak dimasukkan dalam statistik ekonomi negara.

Mengapa Kita Perlu Gaji untuk Kerja Rumah?

Gerakan feminis kiri seperti Wages for Housework Campaign telah lama menuntut agar kerja rumah diiktiraf sebagai pekerjaan dan diberi gaji. Jika kerja ini benar-benar penting untuk ekonomi, mengapa ia tidak dibayar? Beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan termasuklah gaji asas untuk suri rumah. Kerajaan boleh menyediakan gaji minimum untuk kerja domestik sebagai suatu bentuk pengiktirafan dan perlindungan sosial.

Inisiatif ini boleh dibiayai dengan cukai ke atas syarikat besar yang bergantung kepada tenaga kerja yang direproduksi secara percuma di rumah.

Selain itu, jika lelaki dan wanita sama-sama mempunyai waktu kerja yang lebih singkat, kerja domestik boleh dibahagikan secara lebih adil. Waktu bekerja hendaklah dikurangkan bagi semua untuk menggalakkan kerja rumah dikongsi secara adil oleh pasangan. Masa ini adalah masa yang tepat untuk mempertimbangkan pelaksanaan hari bekerja empat (4) hari seminggu.

Di samping itu, sistem perkhidmatan awam yang menyokong kerja domestik hendaklah disediakan. Akses kepada penjagaan anak percuma, perumahan awam yang lebih baik, dan sistem sokongan masyarakat dapat mengurangkan beban kerja rumah yang tidak dibayar. Kerajaan turut boleh mengkaji cara untuk mengukur dan mengiktiraf kerja rumah dalam statistik ekonomi agar ia mendapat perhatian yang sewajarnya dalam dasar sosial dan ekonomi.

Dalan Islam, tanggungjawab untuk membayar "gaji" suri rumah ini sebenarnya terletak pada bahu suami. Walau bagaimanapun, di Malaysia, para isteri masih bergelut untuk menuntut nafkah yang merupakan hak mereka ini. Sistem ini perlulah dirombak sepenuhnya. Pemotongan gaji automatik suami boleh dilakukan untuk menjamin pembayaran nafkah.

Kesimpulan: Pembebasan Wanita yang Sebenar

Selagi kita hidup dalam sistem kapitalisme, kerja domestik akan terus dieksploitasi. Pengiktirafan dan bayaran untuk kerja rumah hanyalah langkah awal—yang lebih penting adalah mencipta masyarakat di mana semua kerja dihargai dan tidak ada sesiapa yang dipaksa bekerja secara percuma demi keuntungan orang lain.

Pembebasan wanita bukan sekadar memberi mereka hak untuk bekerja di luar rumah sambil terus memikul beban kerja domestik. Masyarakat yang adil adalah masyarakat yang mengiktiraf semua bentuk kerja—sama ada di pejabat, di kilang, atau di rumah.

Monday, 3 March 2025

BELAJAR INTEGRITI TAK PERLU KE LONDON

Aku terpanggil untuk mengulas perihal isu para ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengadakan lawatan ke luar negara untuk belajar soal integriti. Dikatakan bahawa wang rakyat sebanyak RM200,000 digunakan untuk tujuan tersebut.

Ini bukan perkara baru. Budaya lawatan ke luar negara dengan alasan “belajar” sesuatu telah lama wujud, dan selalunya ia hanya sekadar percutian bertopengkan akademik. Apa hasil ketara yang pernah kita lihat daripada lawatan sebegini? Bagaimana RM200,000 ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk mahasiswa dan rakyat?

Dalam masyarakat kita, ada satu kepercayaan yang tidak masuk akal tetapi sangat dominan—bahawa untuk memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam, kita perlu pergi ke luar negara. Seolah-olah tiada ilmu yang boleh didapati dalam negara sendiri.

Bahkan, jika kita tengok corak lawatan ini, ia selalu tertumpu kepada negara-negara Barat. Kenapa mesti ke Eropah atau Amerika? Kenapa tidak ke negara jiran seperti Indonesia yang juga mempunyai pengalaman dalam membangunkan sistem integriti mereka? Atau ke negara yang lebih dekat dengan realiti sosioekonomi kita?

Masalah ini bukan hanya berlaku dalam kalangan mahasiswa. Pemimpin negara sendiri melakukan perkara yang sama. Setiap tahun, pegawai kerajaan lawat luar negara untuk belajar tatakelola awam yang cekap, tetapi ketirisan projek kerajaan tetap berlaku saban tahun. Ahli politik pergi ke luar negara untuk "menarik pelaburan", tetapi pulang dengan hasil yang tidak jelas, sekadar perbincangan yang entah bila akan direalisasikan.

Dalam kalangan mahasiswa, selain MPP UMS, kita sudah lihat contoh MPPK yang pergi ke UK kononnya untuk melihat bagaimana kesatuan mahasiswa berfungsi di sana. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah mereka membawa pulang model kesatuan mahasiswa yang lebih demokratik? Tidak. Adakah mereka memperjuangkan lebih banyak hak mahasiswa? Tidak. Adakah mereka sekadar seronok dapat pergi ke luar negara? Ya.

Hari ini, kita boleh lihat sendiri MPP di kebanyakan universiti semakin lesu, semakin birokratik, semakin mirip pentadbiran universiti sendiri. Kalau betul lawatan ini bertujuan reformasi, kenapa MPP semakin tunduk kepada pentadbiran? Ini bukan kali pertama, dan ini bukan kali terakhir. Selagi budaya lawatan luar negara ini diteruskan, selagi itulah pembaziran akan berulang.

Kalau benar mahu belajar tentang integriti, integriti itu bermula dengan diri sendiri. Ia bermula dengan menolak pembaziran seperti ini. Kalau RM200,000 ini digunakan untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa—mungkin dengan membiayai program bantuan makanan atau biasiswa kecil—itu lebih bermakna daripada membeli tiket kapal terbang untuk beberapa orang yang akhirnya tidak membawa perubahan.

Kalau kita benar-benar serius mahu membentuk pemimpin yang berintegriti, maka sudah tiba masanya kita menolak budaya pembaziran ini. Cukuplah dengan alasan "lawatan akademik" yang hanya menjadi satu lagi bentuk ketirisan dana. Jika kita benar-benar mahu melahirkan pemimpin berprinsip, mereka perlu belajar untuk mempertahankan integriti di tanah air sendiri sebelum melangkah ke negara orang.

UNIVERSITI AWAM WAJIB DIBUKA KEPADA ORANG AWAM

Universiti awam sepatutnya berkhidmat untuk orang awam. Idea ini bukan idea radikal—ia logik yang paling asas. Tetapi di Malaysia, kita ada sistem di mana sesetengah universiti awam ditutup kepada bukan Bumiputera, dan kini ada cadangan untuk mengenakan syarat sosioekonomi bagi kemasukan. Dulu, kita asingkan pelajar berdasarkan kaum. Sekarang, kita nak asingkan mereka berdasarkan kelas pula? 

Pada pandangan pertama, memperkenalkan syarat sosioekonomi untuk kemasukan UiTM mungkin kelihatan seperti langkah untuk membantu Bumiputera yang kurang berkemampuan. Tetapi realitinya, ini hanya mencipta satu lagi bentuk peminggiran, kali ini dalam kalangan Bumiputera sendiri. Ia seolah-olah mengatakan bahawa hanya Bumiputera miskin yang layak mendapat akses ke UiTM, sementara yang lain tidak. Usah berlagak seolah-olah kalian peduli akan nasib orang miskin jika berfikiran sebegini. 

Sistem klasifikasi sosioekonomi di Malaysia masih mempunyai banyak kelemahan. Terdapat ketidaktentuan dalam menentukan kategori "mampu" atau "kurang berkemampuan," terutama dengan ketiadaan kayu ukur yang jelas bagi stratifikasi ekonomi seperti kumpulan T20, M40, dan B40 yang sering kali dikritik sebagai tidak menggambarkan realiti sebenar kos sara hidup dan akses kepada sumber. Sekiranya tiada mekanisme pengukuran yang tepat, usaha untuk menapis kemasukan ke universiti berdasarkan faktor sosioekonomi boleh menjadi arbitrari dan berpotensi mencetuskan ketidakadilan baharu dalam kalangan Bumiputera sendiri.

Semakin kita memisahkan pelajar berdasarkan kaum dan kelas, semakin sukar untuk mereka memahami dan bekerjasama dalam dunia sebenar. Kalau kita betul-betul serius mahu membina perpaduan nasional, universiti kita mesti mencerminkan kepelbagaian dan kerencaman Malaysia.

Sistem yang mengehadkan kemasukan ke institusi tertentu hanya akan menyempitkan bakat dan inovasi. Universiti yang hebat lahir daripada kepelbagaian idea dan persaingan sihat. Selagi UiTM terus dikunci, ia tidak akan mencapai potensi penuhnya sebagai sebuah institusi akademik yang unggul.

Menyeru pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera bukan bermakna tidak kisah akan akses kepada pendidikan oleh Bumiputera miskin, tetapi merupakan suatu pengiktirafan bahawa Bumiputera terus miskin disebabkan oleh ekslusiviti UiTM itu sendiri—yang dimanipulasi oleh golongan elit untuk kepentingan mereka. Meletakkan syarat sosioekonomi untuk kemasukan adalah naif dan tamak kerana tidak mengambil kira kesukaran untuk menetapkan kayu ukur yang adil, selain seolah-olah menafikan kewujudan golongan bukan Bumiputera yang miskin. 

Ekslusiviti UiTM tidak wajar dipertahankan atas apa dasar mahupun data sekalipun. Institusi yang menerima dana awam wajib terbuka kepada orang awam. Jika kerisauannya adalah kekurangan tempat buat golongan Bumiputera miskin, bina lebih banyak universiti. Jika hospital awam tidak cukup dan sesuatu golongan mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, kita tidak akan mengehadkan akses kepada hospital awam buat golongan yang kurang berkemampuan sahaja, tetapi akan menyeru untuk pembinaan lebih banyak hospital. 

Berhentilah mempertahankan sistem pendidikan yang eksklusif dan ketinggalan zaman. Malaysia memerlukan sistem pendidikan tinggi yang adil, inklusif, dan kompetitif. Pendidikan sepatutnya menyatukan masyarakat, bukannya memisahkan mereka. Kalau kita betul-betul mahu melihat Malaysia maju, maka sudah tiba masanya pintu universiti awam dibuka kepada semua rakyat. 

Saturday, 1 March 2025

KAPITALISME AMAL?

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada awal tahun lepas telah bercadang untuk memperkenalkan bursa sosial menjelang hujung tahun sama sebagai satu mekanisme pembiayaan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial. Konsep ini bertujuan untuk membolehkan organisasi yang menjalankan projek kemasyarakatan mendapatkan dana daripada pelabur, mirip seperti bagaimana syarikat tersenarai di bursa saham.

Awal tahun ini, Program Perintis Bursa Sosial (SEPP25) ini telahpun dilancarkan oleh SC bersama dengan 5 NGO termasuklah Mercy Malaysia World Wide Fund for Nature-Malaysia (WWF-Malaysia). Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan. 

Pada tahun lepas, semasa aku mula-mula peka akan cadangan ini, aku menganggap ia sebagai suatu cadangan yang sangat bagus dan kelihatan seperti satu langkah inovatif dalam membiayai projek sosial. Walau bagaimanapun, setelah membaca perkembangan terkininya dan membuat analisa mendalam, aku merenung sejenak—apakah ini benar-benar satu bentuk pemberdayaan sosial, atau hanya satu lagi alat neoliberal demi mengekalkan dominasi kapitalis?

Kita perlu memahami bursa sosial bukan sebagai satu sistem kebajikan, tetapi sebagai satu mekanisme pasaran. Ia membawa beberapa persoalan asas yang perlu dikritik dari perspektif keadilan sosial dan sosialisme.

Bursa sosial meletakkan projek sosial dalam sistem persaingan pasaran. Hal ini bermaksud NGO perlu menarik minat pelabur, bukannya berdasarkan keperluan masyarakat, tetapi berdasarkan potensi keuntungan sosial yang boleh diukur. Projek yang kurang menarik kepada pelabur, seperti aktivisme hak pekerja, perjuangan anti-kapitalisme atau usaha membina kesedaran politik, akan diketepikan. Adakah keadilan sosial sepatutnya dijual seperti saham? Kebajikan dan pembangunan sosial tidak boleh diswastakan kepada pasaran. Ia adalah tanggungjawab negara!

Dalam sistem ini, kuasa dana berada di tangan pelabur swasta. NGO tidak mendapat jaminan pembiayaan—mereka bergantung kepada keputusan kapitalis untuk menentukan projek mana yang layak dibiayai. Dalam sistem kapitalisme, pelabur hanya akan menyokong projek yang tidak menggugat status quo mereka. Perjuangan seperti hak pekerja, perumahan mampu milik atau anti-privatisasi akan terpinggir kerana ia bercanggah dengan kepentingan pelabur.

Sepatutnya, kebajikan sosial dibiayai melalui sistem percukaian progresif dan perbelanjaan kerajaan. Dengan kewujudan bursa sosial, kerajaan boleh sahaja lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada pasaran. Hal ini mengukuhkan naratif neoliberal bahawa sektor swasta lebih efisien dalam mengurus kebajikan, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan awam. Kenapa kita membiarkan NGO bertungkus-lumus mencari dana, sedangkan kerajaan boleh mengenakan cukai lebih tinggi kepada syarikat besar dan menggunakan hasilnya untuk membiayai perkhidmatan sosial secara langsung?

Bursa sosial membolehkan syarikat besar melabur dalam projek sosial untuk membina imej baik. Banyak syarikat yang mempunyai sejarah eksploitasi pekerja, merosakkan alam sekitar, atau meraih keuntungan daripada dasar neoliberal akan menggunakan ini sebagai alat pencitraan (greenwashing). Pada masa yang sama, mereka terus menerus mengeksploitasi tenaga buruh dan alam sekitar tanpa pembaharuan struktur. Bukankah lebih baik syarikat ini membayar cukai yang adil daripada mereka memilih sendiri projek sosial untuk menyelamatkan imej mereka?

Daripada mengalihkan tanggungjawab sosial kepada pasaran, kita memerlukan penyelesaian yang lebih adil dan progresif seperti mengenakan cukai tinggi kepada syarikat gergasi dan golongan kaya. Kemudian, salurkan dana ini untuk membiayai projek sosial. Negara juga harus meningkatkan peruntukan bagi pendidikan, kesihatan, dan kebajikan, bukannya menyerahkan tugas ini kepada NGO dan pasaran.

Bursa sosial bukanlah penyelesaian sebenar kepada masalah sosial—ia hanya mengekalkan ketidaksamaan dalam wajah yang lebih mesra pasaran. Jika benar kita mahukan masyarakat yang sentosa, kita tidak boleh menggantikan sistem negara kebajikan dengan “pasaran kebajikan.”

Kapitalisme tidak boleh menjadi ubat kepada simptom yang diciptakan oleh penyakit (kapitalisme) itu sendiri.

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...