Ini bukan perkara baru. Budaya lawatan ke luar negara dengan alasan “belajar” sesuatu telah lama wujud, dan selalunya ia hanya sekadar percutian bertopengkan akademik. Apa hasil ketara yang pernah kita lihat daripada lawatan sebegini? Bagaimana RM200,000 ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk mahasiswa dan rakyat?
Dalam masyarakat kita, ada satu kepercayaan yang tidak masuk akal tetapi sangat dominan—bahawa untuk memahami sesuatu isu dengan lebih mendalam, kita perlu pergi ke luar negara. Seolah-olah tiada ilmu yang boleh didapati dalam negara sendiri.
Bahkan, jika kita tengok corak lawatan ini, ia selalu tertumpu kepada negara-negara Barat. Kenapa mesti ke Eropah atau Amerika? Kenapa tidak ke negara jiran seperti Indonesia yang juga mempunyai pengalaman dalam membangunkan sistem integriti mereka? Atau ke negara yang lebih dekat dengan realiti sosioekonomi kita?
Masalah ini bukan hanya berlaku dalam kalangan mahasiswa. Pemimpin negara sendiri melakukan perkara yang sama. Setiap tahun, pegawai kerajaan lawat luar negara untuk belajar tatakelola awam yang cekap, tetapi ketirisan projek kerajaan tetap berlaku saban tahun. Ahli politik pergi ke luar negara untuk "menarik pelaburan", tetapi pulang dengan hasil yang tidak jelas, sekadar perbincangan yang entah bila akan direalisasikan.
Dalam kalangan mahasiswa, selain MPP UMS, kita sudah lihat contoh MPPK yang pergi ke UK kononnya untuk melihat bagaimana kesatuan mahasiswa berfungsi di sana. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah mereka membawa pulang model kesatuan mahasiswa yang lebih demokratik? Tidak. Adakah mereka memperjuangkan lebih banyak hak mahasiswa? Tidak. Adakah mereka sekadar seronok dapat pergi ke luar negara? Ya.
Hari ini, kita boleh lihat sendiri MPP di kebanyakan universiti semakin lesu, semakin birokratik, semakin mirip pentadbiran universiti sendiri. Kalau betul lawatan ini bertujuan reformasi, kenapa MPP semakin tunduk kepada pentadbiran? Ini bukan kali pertama, dan ini bukan kali terakhir. Selagi budaya lawatan luar negara ini diteruskan, selagi itulah pembaziran akan berulang.
Kalau benar mahu belajar tentang integriti, integriti itu bermula dengan diri sendiri. Ia bermula dengan menolak pembaziran seperti ini. Kalau RM200,000 ini digunakan untuk memperjuangkan kebajikan mahasiswa—mungkin dengan membiayai program bantuan makanan atau biasiswa kecil—itu lebih bermakna daripada membeli tiket kapal terbang untuk beberapa orang yang akhirnya tidak membawa perubahan.
Kalau kita benar-benar serius mahu membentuk pemimpin yang berintegriti, maka sudah tiba masanya kita menolak budaya pembaziran ini. Cukuplah dengan alasan "lawatan akademik" yang hanya menjadi satu lagi bentuk ketirisan dana. Jika kita benar-benar mahu melahirkan pemimpin berprinsip, mereka perlu belajar untuk mempertahankan integriti di tanah air sendiri sebelum melangkah ke negara orang.
No comments:
Post a Comment