Pada pandangan pertama, memperkenalkan syarat sosioekonomi untuk kemasukan UiTM mungkin kelihatan seperti langkah untuk membantu Bumiputera yang kurang berkemampuan. Tetapi realitinya, ini hanya mencipta satu lagi bentuk peminggiran, kali ini dalam kalangan Bumiputera sendiri. Ia seolah-olah mengatakan bahawa hanya Bumiputera miskin yang layak mendapat akses ke UiTM, sementara yang lain tidak. Usah berlagak seolah-olah kalian peduli akan nasib orang miskin jika berfikiran sebegini.
Sistem klasifikasi sosioekonomi di Malaysia masih mempunyai banyak kelemahan. Terdapat ketidaktentuan dalam menentukan kategori "mampu" atau "kurang berkemampuan," terutama dengan ketiadaan kayu ukur yang jelas bagi stratifikasi ekonomi seperti kumpulan T20, M40, dan B40 yang sering kali dikritik sebagai tidak menggambarkan realiti sebenar kos sara hidup dan akses kepada sumber. Sekiranya tiada mekanisme pengukuran yang tepat, usaha untuk menapis kemasukan ke universiti berdasarkan faktor sosioekonomi boleh menjadi arbitrari dan berpotensi mencetuskan ketidakadilan baharu dalam kalangan Bumiputera sendiri.
Semakin kita memisahkan pelajar berdasarkan kaum dan kelas, semakin sukar untuk mereka memahami dan bekerjasama dalam dunia sebenar. Kalau kita betul-betul serius mahu membina perpaduan nasional, universiti kita mesti mencerminkan kepelbagaian dan kerencaman Malaysia.
Sistem yang mengehadkan kemasukan ke institusi tertentu hanya akan menyempitkan bakat dan inovasi. Universiti yang hebat lahir daripada kepelbagaian idea dan persaingan sihat. Selagi UiTM terus dikunci, ia tidak akan mencapai potensi penuhnya sebagai sebuah institusi akademik yang unggul.
Menyeru pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera bukan bermakna tidak kisah akan akses kepada pendidikan oleh Bumiputera miskin, tetapi merupakan suatu pengiktirafan bahawa Bumiputera terus miskin disebabkan oleh ekslusiviti UiTM itu sendiri—yang dimanipulasi oleh golongan elit untuk kepentingan mereka. Meletakkan syarat sosioekonomi untuk kemasukan adalah naif dan tamak kerana tidak mengambil kira kesukaran untuk menetapkan kayu ukur yang adil, selain seolah-olah menafikan kewujudan golongan bukan Bumiputera yang miskin.
Ekslusiviti UiTM tidak wajar dipertahankan atas apa dasar mahupun data sekalipun. Institusi yang menerima dana awam wajib terbuka kepada orang awam. Jika kerisauannya adalah kekurangan tempat buat golongan Bumiputera miskin, bina lebih banyak universiti. Jika hospital awam tidak cukup dan sesuatu golongan mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, kita tidak akan mengehadkan akses kepada hospital awam buat golongan yang kurang berkemampuan sahaja, tetapi akan menyeru untuk pembinaan lebih banyak hospital.
Berhentilah mempertahankan sistem pendidikan yang eksklusif dan ketinggalan zaman. Malaysia memerlukan sistem pendidikan tinggi yang adil, inklusif, dan kompetitif. Pendidikan sepatutnya menyatukan masyarakat, bukannya memisahkan mereka. Kalau kita betul-betul mahu melihat Malaysia maju, maka sudah tiba masanya pintu universiti awam dibuka kepada semua rakyat.
Bacaan lanjut: https://m.malaysiakini.com/letters/722607
No comments:
Post a Comment