Monday, 28 October 2024

KOLEJ KEDIAMAN: MERIT ATAU KEPERLUAN?

Sistem merit untuk menentukan kelayakan menduduki kolej kediaman bukanlah sesuatu yang asing di institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara. Hampir semua universiti mempunyai sistem yang serupa untuk menentukan mereka yang layak menduduki kolej kediaman bagi setiap semester. Sistem ini pada dasarnya memberi keutamaan kepada pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan yang berjaya mengumpul merit melalui pelbagai penyertaan dalam aktiviti kampus.

Namun begitu, persoalannya adalah: adakah sistem ini adil? Adakah ia wajar diteruskan? Sistem ini pernah dipertimbangkan untuk dihapuskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sewaktu ia dikepalai oleh Khaled Nordin. Walau bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai perkara tersebut apabila tampuk kepimpinan kementerian bertukar tangan.

Penggemar sistem ini berpendapat meritokrasi merupakan cara paling ideal dalam menentukan kelayakan menduduki kolej kediaman. Walau bagaimanapun, sistem ini sebenarnya tidak mengambil kira pelbagai aspek penting yang mempengaruhi kehidupan mahasiswa. Pada hemat aku, sistem ini tidak sepenuhnya buruk, tetapi perlu dipertimbangkan semula agar ia mengambil kira keperluan tertentu mahasiswa.

Sistem merit berfungsi dengan andaian bahawa semua pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mengumpul merit. Akan tetapi, realitinya adalah jauh berbeza. Bayangkan, mahasiswa yang mampu duduk di luar kolej dapat menduduki kolej, sebaliknya mahasiswa yang mempunyai isu kewangan perlu menyewa rumah atau bilik yang kosnya mencekik darah. Apabila mereka terbeban dengan kos sedemikian, sudah tentunya mereka tidak mempunyai peluang yang tinggi untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan merit untuk mereka menduduki kolej pada semester seterusnya. Mereka perlu bekerja secara sambilan demi meringankan beban kewangan masing-masing. Natijahnya, mereka terus-menerus gagal menduduki kolej walaupun mereka memerlukannya.

Satu lagi aspek yang kritikal ialah pelajar yang menduduki kolej kediaman mempunyai kelebihan besar dalam mengumpul merit. Dengan tinggal di kampus, mereka lebih dekat dengan aktiviti-aktiviti yang memberikan merit dan dapat menyertai dengan lebih mudah. Mereka juga tidak perlu risau tentang masalah pengangkutan atau masa perjalanan yang panjang. Ini berbanding dengan pelajar yang tinggal di luar kampus, yang sering kali perlu menguruskan masa dan tenaga untuk perjalanan yang lebih jauh, dan oleh itu, kurang peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti ini. Secara tidak langsung, pelajar yang sudah berada di dalam kolej kediaman cenderung untuk terus mengekalkan kedudukan mereka semester demi semester, manakala mereka yang tinggal di luar kampus semakin sukar untuk mendapatkan tempat.

Ini mewujudkan satu kitaran yang tidak adil, di mana pelajar yang sangat memerlukan kemudahan kolej tidak dapat mengumpul merit kerana kekangan kewangan, manakala pelajar yang datang daripada keluarga yang lebih berkemampuan, dan yang tidak bergantung kepada kolej kediaman, lebih cenderung untuk mendapat tempat kerana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti yang memberikan merit.

Berkaitan "kemampuan" mahasiswa, aku ingin tekankan juga bahawa tanggungan keluarga yang masih bersekolah atau menuntut di universiti juga perlu diambil kira selain pendapatan. Pendapatan pun berbeza klasifikasinya mengikut kawasan.

Apabila bercakap mengenai keperluan pula, bukan mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan sahaja yang memerlukan kolej kediaman. Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit mental—dua golongan ini sering dianaktirikan dalam permohonan kolej. Bukan mudah untuk duduk di luar kampus bagi OKU. OKU sering menghadapi masalah mobiliti, dan kawasan tempat tinggal di luar kampus belum tentu menyediakan aksesibiliti yang mereka perlukan. Infrastruktur dan pengangkutan yang tidak mesra OKU menyebabkan mereka menghadapi cabaran besar untuk bergerak ke kampus, apatah lagi untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengukur kelayakan mereka menduduki kolej hanya berdasarkan merit kerana banyak faktor yang di luar kawalan mereka. 

Di samping itu, pesakit mental juga memerlukan akses kepada perkhidmatan sokongan dan kesihatan. Hal ini sukar didapati di luar kampus. Ada dalam kalangan mereka ini yang perlu dipantau oleh orang sekeliling kerana berisiko mencederakan diri sendiri serta berisiko memb*nuh diri. Jika mereka mempunyai ideation sebegini, tinggal di kolej kediaman bakal memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan dalam kadar segera. Warga rumah sewa misalnya belum tentu mempunyai latihan atau pengalaman yang sama seperti mereka di kolej kediaman dalam menguruskan situasi sebegini.

Memaksa mereka ini untuk bersaing bersama dengan pelajar lain ibarat menguji gajah, paus dan monyet untuk memanjat pokok. Tidak semua pihak mempunyai kemampuan yang sama. Universiti mempunyai tanggungjawab sosial dalam memastikan bahawa keperluan mereka ini diambil kira. 

Sistem meritokrasi mutlak/mengutamakan meritokrasi menyebabkan ramai pelajar yang duduk dekat dengan kampus, yang datang dari latar belakang keluarga yang berkemampuan dan sebagainya, berjaya mendapat kolej, hanya sebab mereka mempunyai merit kolej yang tinggi. Hal ini langsung tidak mengambil kira kelebihan atau cheat code yang mereka ada.

Kelayakan menduduki kolej kediaman tidak seharusnya hanya bergantung pada merit semata-mata, tetapi juga mengambil kira keperluan individu pelajar. Pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental perlu diberikan pertimbangan khas walaupun mereka mungkin tidak mempunyai merit yang tinggi.

Bayangkan diri anda sebagai seorang pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah, terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos sara hidup. Setiap hari, anda perlu mengimbangi antara kerja, pelajaran, dan kehidupan seharian, dan pada masa yang sama, anda juga perlu bersaing dengan rakan-rakan yang lebih berkemampuan untuk mengumpul merit. Mereka yang mampu menyertai aktiviti di kampus dengan mudah, tanpa perlu risau tentang wang, masa, atau pengangkutan. Anda pula, walaupun memerlukan tempat di kolej, sukar untuk menyertai aktiviti yang memberikan merit kerana terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan anda. Apa yang anda rasakan? Kecewa, terpinggir, atau seakan-akan tiada peluang? Situasi ini realiti bagi ramai pelajar. Universiti perlu berusaha ke arah mewujudkan sistem yang benar-benar inklusif dan adil untuk semua pelajar.

Kuota patut ditetapkan bagi golongan memerlukan sebegini. Golongan seperti OKU pula sewajarnya mendapat kolej secara automatik sehingga tamat pengajian.

Selain itu, program-program yang menawarkan merit juga perlu direka semula untuk menjadi lebih inklusif. Ini bagi memastikan semua pihak dapat menyertainya walaupun mempunyai kekangan tertentu. Program wajib diadakan di tempat yang boleh diakses oleh OKU, dan wajar dilakukan secara hibrid bagi mengalakkan penyertaan mereka yang tidak boleh turut serta dalam program secara fizikal. Jenis program-program yang diadakan juga perlulah mengambil kira kewujudan golongan yang tidak boleh menyertai program tertentu. Misalnya, tidak semua OKU boleh menyertai program seperti larian, manakala tidak semua pesakit mental boleh mengikuti program yang agak triggering.

Persaingan yang tinggi untuk mendapatkan kolej kediaman juga wujud kesan kekurangan kapasiti kolej kediaman untuk menampung jumlah pelajar yang begitu ramai. Oleh itu, adalah perlu untuk meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan persaingan dan memastikan lebih ramai pelajar boleh mendapatkan penempatan di kolej. Mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian dalam pelajaran selain aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan, dan bukannya perlu khuatir tentang kerja sambilan atau rumah sewa. 

Mungkin akan ada yang berhujah bahawa sistem sedia ada sudah cukup adil. Walaupun sistem ini pada permukaannya dianggap sebagai sebuah sistem berdasarkan merit, adakah ia benar-benar mengambil kira merit? Terdapat golongan pelajar yang layak mendapat kolej secara automatik apabila melibatkan diri dalam badan beruniform atau badan pelajar tinggi. Bagi mereka yang berada dalam badan beruniform mungkin tiada isu sangat, tapi mereka yang berada di badan pelajar boleh membuat kerja sambil lewa, tidak menunaikan manifesto dan sebagainya dan masih akan mendapat penempatan di kolej kediaman. Itu belum cerita soal mereka yang mendapatkan merit setelah memegang jawatan tinggi dalam program-program yang dilaksanakan, namun, pada hakikatnya, merupakan seorang free rider. Tak kurang juga mereka yang membolot segala jawatan demi mengumpul merit setinggi yang boleh. 

Sistem sedia ada juga terdedah kepada penyalahgunaan, dengan pelajar yang tidak menyertai program boleh mendapat merit kerana mengisi borang kehadiran yang pautannya mudah didapati. Sistem ini mementingkan kuantiti daripada kualiti. Sistem ini sudah terbukti tidak adil. Jika hendak mengatakan bahawa sistem baru yang akan diadaptasi berisiko tidak adil, sekurang-kurangnya sistem tersebut tidak mengenepikan mereka yang jelas berhak mendapat kemudahan kolej.

Anggapan umum adalah bahawa seseorang yang mempunyai merit yang tinggi merupakan seorang yang sangat aktif. Ini tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar. Ada pula mahasiswa yang tidak mempunyai begitu banyak merit, tapi masih aktif dengan menyertai aktiviti yang tidak menawarkan merit di luar kampus seperti program anjuran NGO dan sebagainya. Adakah mereka ini tidak aktif? Tidak sama sekali. 

Bercakap mengenai merit juga, mengumpul merit saja tidak mampu menjamin seseorang itu layak untuk mendapat penempatan di kolej kediaman. Ada merit minimum yang mereka perlu kumpulkan bagi melayakkan mereka menduduki kolej dan meirt ini tidak tetap, bahkan kadangkala tidak didedahkan kepada mahasiswa. Mereka yang tidak mendapat kolej kediaman tidak selalunya tidak aktif. Cumanya, terdapat pelajar yang lebih aktif daripada mereka. Pelajar yang aktif tersebut pula mempunyai pelbagai kelebihan seperti masa lapang, wang ringgit, kesihatan tubuh badan yang mengizinkan mereka melibatkan diri dalam sebanyak aktiviti yang boleh serta mengumpul merit semaksimum yang mungkin. Bagaimana pula dengan nasib mereka ini? Mungkin mereka tiada kelebihan untuk sertai begitu banyak aktiviti. Bukankah kalau begitu, sia-sia sahaja mereka mengumpulkan merit? Sekurang-kurangnya, penghargaan perlu diberikan kepada mereka yang mengumpul merit melebihi purata. Penghargaan ini boleh diberikan dalam bentuk seperti pembawaan nilai merit ke semester hadapan, mahupun bantuan untuk mendapatkan penempatan di luar kampus. 

Kesimpulannya, sistem merit yang sedia ada wajar dikaji semula untuk memastikan ia lebih inklusif dan adil. Keperluan pelajar yang kurang berkemampuan, OKU, dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental tidak boleh diabaikan. Sistem yang adil bukan sahaja memberi peluang kepada mereka yang aktif dalam kokurikulum, tetapi juga mengambil kira keperluan sebenar mahasiswa, terutamanya mereka yang paling memerlukan sokongan. Dengan pembaharuan yang betul, sistem ini boleh menjadi lebih adil dan setara untuk semua.

Monday, 21 October 2024

HUJAH MENENTANG PELAKSANAAN SEMULA PLKN

1. Dalam keadaan ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19, dana kerajaan sepatutnya disalurkan kepada sektor-sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan pembangunan ekonomi, yang lebih memerlukan perhatian segera. Sektor kesihatan, misalnya, memerlukan lebih banyak sumber untuk memperbaiki kemudahan dan perkhidmatan, manakala pendidikan memerlukan peningkatan untuk menyokong pemulihan pembelajaran yang terjejas. Melaksanakan semula PLKN, yang memerlukan dana yang besar, hanya wajar dipertimbangkan apabila negara mempunyai lebihan dana, bukan ketika masih bergelut dengan isu pemulihan.

2. Hujah bahawa PLKN perlu untuk membina jati diri dan disiplin anak muda menunjukkan bahawa sistem pendidikan sedia ada gagal untuk memenuhi fungsi ini. Daripada menghidupkan semula PLKN, pembaharuan yang lebih mendalam dan menyeluruh dalam sistem pendidikan perlu diberi keutamaan. Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan harus dibangunkan sebagai platform utama untuk memupuk semangat patriotisme, disiplin, dan nilai-nilai murni, bukannya bergantung kepada program singkat seperti PLKN.

3. Menjadikan PLKN sebagai program wajib mencabul hak kebebasan individu untuk memilih jalur hidup mereka sendiri. Individu sepatutnya mempunyai hak untuk memilih sama ada mahu mengikuti program latihan seperti PLKN berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing, bukan melalui paksaan. Pemaksaan ini boleh menyebabkan kebencian dan ketidakselesaan dalam kalangan peserta, sekali gus menjejaskan keberkesanan program.

4. Program yang bersifat wajib boleh membawa kepada ‘disengagement’ atau kelesuan dalam kalangan peserta yang dipaksa mengikuti program ini. Peserta mungkin hanya memenuhi syarat tanpa motivasi sebenar untuk terlibat secara aktif. Program berbentuk sukarela terbukti lebih berkesan kerana peserta yang memilih untuk menyertainya adalah mereka yang mempunyai minat dan komitmen sebenar, menghasilkan impak yang lebih besar terhadap pembangunan diri.

5. Sejarah pelaksanaan PLKN menunjukkan terdapat risiko penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam pengurusan program. Terdapat laporan mengenai tender kontrak yang tidak telus serta kemungkinan wujudnya amalan kronisme dalam pelantikan pembekal atau tenaga pengajar. Menghidupkan semula program ini mungkin membuka ruang untuk korupsi, sekali gus menyebabkan dana awam dibazirkan tanpa memberi pulangan yang setimpal kepada negara.

6. Salah satu kelemahan terbesar PLKN adalah kesukaran untuk mengukur kejayaannya secara objektif. Walaupun program ini bertujuan untuk memupuk disiplin dan patriotisme, tidak ada petunjuk jelas yang dapat menunjukkan bahawa ia berjaya mencapai matlamat tersebut. Jika impak program tidak dapat diukur secara efektif, ia menimbulkan persoalan sama ada pelaburan besar dalam PLKN benar-benar berbaloi.

7. Malaysia mempunyai pelbagai program kesukarelawanan dan khidmat masyarakat yang boleh dijadikan alternatif kepada PLKN. Program seperti Rakan Muda, RELA, dan aktiviti sukarelawan dalam komuniti boleh memainkan peranan dalam membina nilai-nilai murni dan jati diri dalam kalangan belia. Program sukarela ini tidak memerlukan perbelanjaan besar, dan pada masa yang sama, boleh memberikan impak yang lebih positif kerana peserta melibatkan diri dengan penuh keikhlasan.

8. PLKN boleh menjadi penghalang kepada pelajar yang merancang untuk melanjutkan pelajaran atau memulakan kerjaya mereka lebih awal. Dalam dunia yang semakin kompetitif, para pelajar memerlukan masa untuk memfokuskan kepada pencapaian akademik dan pembangunan profesional. Memaksa mereka mengikuti program ini akan menyebabkan penangguhan dalam perjalanan akademik dan kerjaya mereka, yang mungkin merugikan jangka panjang.

9. Dengan kadar pengangguran belia yang tinggi, Malaysia memerlukan program latihan yang fokus kepada kemahiran yang relevan dengan pasaran kerja. PLKN tidak memberikan penyelesaian jangka panjang kepada masalah kemahiran dan pekerjaan. Sebaliknya, kerajaan boleh melabur dalam program latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang lebih mendalam, sesuai dengan keperluan industri.

10. Salah satu matlamat PLKN adalah untuk memupuk perpaduan nasional, tetapi realitinya, masalah perpaduan tidak boleh diselesaikan hanya dengan memaksa belia berinteraksi selama beberapa bulan. Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih holistik dan berterusan dalam membina hubungan etnik dan perpaduan sosial. Program dialog antara kaum, reformasi pendidikan yang inklusif, dan penglibatan komuniti jangka panjang lebih sesuai untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan nasional.

Sunday, 20 October 2024

KISAH "SERAM" DI UKM & UiTM

Kisah Pertama (UKM): Apa Sejarah Bilik Ni?

Malam telah larut. Jarum di jam telah melepasi angka 12. Kebanyakan bilik di blok kolej kediaman aku berada dalam keadaan gelap. Sedikit bunyi yang boleh didengari. Ramai yang sudah tidur. Aku terbaring di atas katil memikirkan beberapa perkara. Telefon pintar berada di tanganku. Tiba-tiba, aku berasa hendak melepaskan hajat. "Ah, sudah," getusku dalam hati. Masa inilah kau nak melepaskan hajat. Tak mengapa. Aku dah biasa dengan benda ini. Aku pun terus memakai selipar, membuka pintu bilik dan menutupnya semula. 

Koridor aras pada waktu itu memang gelap. Aku pun tak tahu kenapa lampu tidak dipasang. Cahaya hanya ada pada kedua-dua penghujung aras. Satu penghujung menuju ke blok lain, manakala penghujung yang satu lagi menuju ke tandas dan bilik mandi. Kedua-dua tandas dan bilik mandi terbuka lampunya. Suasana pada ketika itu agak sejuk. Bilik aku berada berdekatan dengan penghujung yang satu lagi. Aku perlu berjalan jauh untuk ke tandas. 

Langkah demi langkah, aku berjalan ke tandas. Aku berasa seram sejuk. Untuk mengalihkan perhatian daripada apa-apa "entiti" yang mungkin muncul, aku tumpukan fokus aku kepada skrin telefon. Untuk pengetahuan pembaca, di aras aku ini, bersebelahan dengan bilik mandi, ada satu bilik kosong. Aku tak pasti sama ada ia stor atau bukan. Pintunya kadang-kadang tertutup, kadang-kadang terbuka. Keadaan bilik itu memang bersepah, macam baru diserang monyet. Ada satu hari tu, pada waktu pagi, aku nampak kipas bilik itu terbuka dan ada seluar yang disidai. Amboi amboi amboi.

Akan tetapi, aku yakin bahawa apa yang aku nampak pada malam itu bukan seluar. Setibanya aku di hadapan bilik itu yang pintunya terbuka, aku ternampak macam ada sekujur tubuh yang tinggi lampai, seolah-olah tergantung pada siling bilik itu. Meremang bulu roma aku pada waktu itu. Tapi aku cukup berpengalaman untuk tidak overreact dan meneruskan langkah ke tandas. Aku tak lama di tandas. Usai melepaskan hajat, aku mencuci tangan dan terus keluar. Dalam perjalanan pulang, aku hampir pengsan. Kau tahu aku nampak apa? Aku nampak entiti tadi kini berdiri di pintu dengan separuh badannya boleh dilihat. Matanya merah dan aku boleh nampak giginya yang tajam. Dia tersenyum pada ketika itu. Aku tanpa membuang masa tak berbuat apa-apa dan terus pulang ke bilik.

Sampai saja di bilik, aku terus tutup dan kunci pintu bilik. Rakan sebilik aku masih tidur. Aku terus minum air untuk melegakan tekak dan baring di atas katil. Sebelum melelapkan mata, aku terfikir, apa sejarah bilik tersebut sampai begitu rupa? Sudahlah bersepah. Memang tiada siapa yang nak kemas ke? Tenggelam dalam persoalan, aku pun terlelap.

Wednesday, 9 October 2024

HUJAH MENENTANG PENARIKAN SUBSIDI PENDIDIKAN ORANG KAYA

Topik subsidi pendidikan yang dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi kini menjadi perbincangan hangat, terutamanya selepas disentuh oleh Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan. Terdapat spekulasi bahawa isu ini akan disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2025 nanti, dengan kemungkinan rombakan atau pensasaran semula subsidi pendidikan yang dinikmati oleh golongan kaya. Namun, langkah menarik subsidi pendidikan daripada golongan ini boleh mendatangkan kesan yang mendalam, bukan hanya kepada sistem pendidikan negara tetapi juga kepada keseluruhan struktur sosial dan ekonomi negara.

Pendidikan, seperti kesihatan, merupakan sektor penting dalam pembangunan negara. Pelaburan dalam sektor ini adalah pelaburan untuk masa hadapan negara. Subsidi pendidikan berbeza dengan subsidi bahan api kerana ia tidak hanya memberikan manfaat sementara, tetapi mempunyai impak jangka panjang kepada ekonomi dan kesejahteraan sosial. Pendidikan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, inovatif, dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, penarikan subsidi pendidikan, terutamanya untuk golongan kaya, boleh menjejaskan kesinambungan pembangunan modal insan negara.

Tidak dinafikan bahawa subsidi bahan api sering kali lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, kerana mereka cenderung memiliki lebih banyak kenderaan dan menggunakan lebih banyak bahan api. Justeru, menyasarkan subsidi bahan api lebih masuk akal kerana ia tidak memberikan pulangan sosial yang setimpal dengan kos yang ditanggung. Sebaliknya, subsidi pendidikan, meskipun dinikmati oleh golongan kaya, tetap membawa kesan positif kepada pembangunan negara.

Salah satu alasan yang sering dikemukakan untuk menjustifikasikan penarikan subsidi pendidikan adalah kekurangan dana. Namun, jika kita perhalusi, isu sebenar bukanlah kekurangan dana, tetapi pengurusan dana yang tidak cekap dan dasar kewangan yang tidak strategik. Banyak laporan mengenai perbelanjaan tidak berhemah oleh pihak kerajaan seperti kos majlis-majlis rasmi yang tidak perlu, atau pengubahsuaian kediaman pemimpin negara. Dana ini sepatutnya boleh dialihkan untuk menampung subsidi pendidikan bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak terjejas.

Selain itu, kerajaan juga masih tidak mengeksploitasi peluang untuk meningkatkan pendapatan negara, terutamanya melalui dasar percukaian yang lebih adil dan progresif. Golongan kaya sering mendapat pengecualian cukai yang besar, dan ini merupakan salah satu sebab utama mengapa kerajaan terpaksa mempertimbangkan langkah seperti menarik subsidi pendidikan. Sebaliknya, jika golongan ini dikenakan cukai yang sewajarnya, mereka boleh terus menikmati pendidikan percuma atau murah tanpa perlu menarik subsidi mereka. Dengan ini, keadilan dalam pengagihan kekayaan dapat dicapai.

Penarikan subsidi pendidikan daripada golongan kaya berpotensi mewujudkan pemisahan kelas yang lebih ketara dalam sistem pendidikan negara. Golongan kaya mungkin akan memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau universiti swasta yang lebih mahal, meninggalkan institusi awam yang didominasi oleh golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Ini akan mengakibatkan stratifikasi sosial yang lebih jelas, dan mengurangkan integrasi sosial dalam kalangan pelajar dari latar belakang yang berbeza.

Tambahan pula, golongan kaya yang terkesan mungkin akan menuntut pengecualian cukai, kerana mereka merasakan mereka tidak mendapat manfaat yang setara daripada pembayaran cukai mereka. Jika ini berlaku, ia akan merugikan negara kerana kebanyakan pendapatan negara datang daripada cukai yang dibayar oleh golongan ini. Tanpa sumbangan mereka, perbelanjaan negara untuk sektor-sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan akan terjejas, sekaligus menjejaskan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang amat bergantung kepada subsidi ini.

Sebagai alternatif kepada penarikan subsidi, kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi terhadap golongan kaya. Ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan negara, tetapi juga boleh digunakan untuk mengekalkan subsidi pendidikan bagi semua lapisan masyarakat. Dengan cara ini, keadilan dalam akses kepada pendidikan dapat dipertahankan, kerana golongan kaya sebenarnya sudah “membayar” kos pendidikan mereka melalui cukai. Malah, jika dilaksanakan dengan baik, sistem percukaian yang progresif ini boleh membuka jalan kepada pendidikan percuma sehingga ke peringkat pengajian tinggi, satu langkah yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada negara.

Isu subsidi pendidikan yang dinikmati oleh golongan kaya bukanlah masalah yang mudah diselesaikan dengan hanya menarik balik subsidi. Kerajaan perlu melihat kepada pengurusan kewangan negara yang lebih cekap dan dasar percukaian yang lebih adil. Subsidi pendidikan tidak boleh disamakan dengan subsidi lain seperti bahan api, kerana impaknya jauh lebih besar dan berkekalan. Daripada menimbulkan pemisahan kelas dalam pendidikan, langkah-langkah lebih holistik seperti reformasi cukai boleh memastikan bahawa pendidikan terus menjadi alat mobiliti sosial dan ekonomi yang kuat, serta menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia.

Di kesempatan ini juga aku ingin menegur segelintir pihak yang cetek akal dan mempunyai pemikiran hitam putih dengan menganggap golongan yang anti terhadap penarikan subsidi pendidikan dan kesihatan buat golongan kaya ini sebagai "pembela" orang kaya. Hanya disebabkan seseorang itu tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut, tak bermakna mereka mahu bela orang kaya. Mereka juga inginkan keadilan dan kebanyakan antara mereka masih memperjuangkan sistem percukaian yang lebih progresif bagi menampung subsidi semua pihak tanpa mengira kelas. Hal ini berbeza dengan golongan yang kononnya anti-mahakaya, namun memberikan pengecualian cukai (bukan pengurangan cukai) buat golongan mahakaya. Itu belum pula cerita pasal subsidi kenderaan elektrik (EV) yang hanya mampu dibeli oleh golongan kaya. 

Tidak cukup dengan penarikan subsidi, kini ada yang mengusulkan penapisan kemasukan pelajar mengikut status sosioekonomi ibu bapa pula. Dalam usaha menegakkan keadilan sosial, kita tidak boleh menggantikan satu bentuk ketidakadilan dengan ketidakadilan yang lain. Idea ini juga tidak praktikal kerana akan penuh dengan karenah birokrasi dan menelan kos yang mahatinggi—kos yang sebenarnya boleh digunakan untuk mendanai pendidikan tinggi percuma. Solusi kepada segala permasalahan semasa dalam ekosistem pendidikan tinggi negara adalah dengan membina lebih banyak universiti dan menawarkan pendidikan tinggi secara percuma, bukannya mengehadkan akses universiti awam kepada orang awam, tanpa mengira latar belakang kaum dan sosioekonomi.

Tuesday, 8 October 2024

MAHASISWA DAN PENGURUSAN UNIVERSITI

Mahasiswa dan pengurusan universiti seringkali berada dalam dinamika yang rumit. Di sebelah pihak, universiti merupakan institusi yang bertanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang mendukung perkembangan intelektual dan kebebasan berpendapat. Namun begitu, di pihak yang satu lagi, terdapat realiti yang menunjukkan pengurusan universiti sering kali berfungsi sebagai entiti yang dominan, menentukan arah dan polisi yang memberi kesan besar kepada kehidupan mahasiswa. Pertembungan antara mahasiswa dan pengurusan universiti sering membawa kepada situasi di mana mahasiswa menjadi mangsa akibat ketidakseimbangan kuasa.

Ketidakseimbangan kuasa ini berpunca daripada beberapa faktor asas. Pertama, pihak pengurusan universiti bukan sahaja merangka polisi, tetapi juga melaksanakannya serta bertindak sebagai pihak yang menghukum sekiranya berlaku pelanggaran polisi. Dalam konteks perundangan, situasi sebegini melibatkan percampuran kuasa antara cabang eksekutif, legislatif, dan kehakiman, yang mana ia membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Sebagai contoh, peraturan yang digubal mungkin terlalu berat sebelah atau bersifat autoritarian kerana ia lebih mementingkan kepentingan pihak pengurusan daripada mahasiswa. Dalam kes ini, mahasiswa berhadapan dengan tindakan tatatertib yang bersifat menekan dan boleh menggugat kebebasan mereka untuk bersuara atau bertindak. Antara contoh terkini ialah isu Polisi Baki Sifar atau Zero Balance Policy. Polisi ini mempunyai dampak yang besar ke atas kehidupan mahasiswa. Polisi ini dibuat oleh pihak pengurusan universiti tanpa mengadakan perbincangan dengan mahasiswa terlebih dahulu. Apabila mahasiswa bangkit membantah polisi tersebut, ramai antara mereka yang diugut oleh pihak pengurusan universiti. 

Seharusnya, seperti mana sistem demokrasi yang diamalkan di peringkat kerajaan, struktur di dalam universiti juga perlu dipecahkan kepada tiga cabang kuasa yang jelas: eksekutif, legislatif, dan kehakiman. Pihak pengurusan universiti boleh terus berperanan sebagai eksekutif yang melaksanakan polisi, tetapi pembentukan peraturan universiti perlu melibatkan peranan legislatif, yang mana dalam konteks ini boleh diterjemahkan sebagai parlimen mahasiswa. Parlimen mahasiswa ini hendaklah menjadi platform rasmi untuk mahasiswa mengusulkan pendapat dan menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan polisi universiti. Sebarang perubahan besar, seperti kenaikan yuran, perlulah melalui perbincangan dan pengesahan di parlimen ini.

Cabang kehakiman pula memerlukan pembentukan suatu badan bebas yang berfungsi ala-ala mahkamah di luar kampus. Badan ini hendaklah terdiri daripada individu-individu yang bebas daripada pengaruh pengurusan universiti, memastikan bahawa sebarang pertikaian atau kes tatatertib yang melibatkan mahasiswa ditangani dengan adil dan saksama. Badan ini juga akan berperanan sebagai pengimbang kepada tindakan pengurusan universiti, memastikan bahawa segala keputusan dan pelaksanaan polisi tidak melanggar hak asasi mahasiswa.

Tanpa sistem semak dan imbang ini, pihak pengurusan universiti cenderung bertindak seperti seorang diktator. Sejarah telah menunjukkan bahawa mahasiswa yang berani bersuara dan mencabar keputusan pengurusan sering kali diugut atau diancam dengan tindakan tatatertib. Situasi ini mencerminkan ketidakadilan yang wujud dalam sistem pengurusan universiti yang autoritarian, di mana sebarang penentangan dianggap sebagai ancaman terhadap kuasa mereka. Sekiranya terdapat badan kehakiman bebas yang berperanan menilai tindakan pengurusan, sudah tentu pihak universiti akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan yang menekan mahasiswa.

Selain itu, mahasiswa perlu diiktiraf sebagai entiti penting dalam proses pentadbiran universiti. Universiti merupakan ruang mereka untuk belajar, berkembang, dan bersosial; maka, mereka wajar diberikan kuasa dalam menentukan arah tuju pentadbiran universiti. Salah satu isu utama yang perlu ditangani ialah proses pelantikan Naib Canselor. Buat masa ini, Naib Canselor dilantik oleh Menteri yang mungkin tidak mempunyai kefahaman mendalam tentang keadaan di dalam universiti. Pemilihan Naib Canselor yang lebih demokratik, melibatkan mahasiswa dan warga kampus lain, adalah satu langkah penting ke arah mencipta persekitaran yang lebih telus dan inklusif.

Dalam konteks ini, Naib Canselor boleh dianggap seperti seorang perdana menteri universiti, yang memimpin dan menentukan hala tuju universiti. Walau bagaimanapun, berbeza dengan perdana menteri yang dipilih oleh rakyat atau wakil rakyat, Naib Canselor dipilih oleh oleh seseorang yang tiada kaitan secara langsung dengan universiti. Menteri hanya perlu melakukan konsultasi bersama dengan pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Akan tetapi, tiada jaminan atau bukti bahawa Menteri perlu atau telah mengikut saranan LPU. Proses yang samar ini membuka ruang untuk Menteri melantik seseorang yang bukan sahaja tidak berkelayakan, malah dia boleh melantik konco-konconya di universiti-universiti. Oleh itu, sebarang pelantikan hendaklah melibatkan penglibatan mahasiswa melalui proses pilihan raya yang telus, di mana mahasiswa boleh memilih calon yang mereka percaya akan memperjuangkan hak mereka. Setidaknya, Menteri perlulah berunding dengan mahasiswa terlebih dahulu sebelum melantik Naib Canselor. Proses ini perlulah bersifat telus dan terbuka, dengan mahasiswa boleh mendedahkan saranan mereka semasa berunding dengan Menteri. Sekiranya Menteri tidak mengikut kehendak mahasiswa, sudah tentunya keputusan beliau akan dipersoalkan. Selain itu, mahasiswa perlu dilibatkan dalam proses pembuatan dasar, terutama dasar-dasar yang memberi impak langsung kepada mereka, seperti dasar berkaitan yuran, penempatan kolej, serta kebajikan.

Dengan adanya parlimen mahasiswa yang kukuh dan badan kehakiman bebas yang adil, universiti boleh menjadi institusi yang benar-benar menghormati kebebasan bersuara dan hak asasi mahasiswa. Parlimen mahasiswa akan berfungsi sebagai platform untuk mahasiswa mengemukakan pandangan dan cadangan, manakala badan kehakiman akan memastikan bahawa sebarang tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan adalah berdasarkan prinsip keadilan dan ketelusan. Sistem ini juga boleh mengurangkan ketakutan di kalangan mahasiswa untuk bersuara, kerana mereka tahu bahawa tindakan mereka akan dilindungi oleh badan-badan yang neutral dan tidak berpihak kepada pengurusan universiti semata-mata. Pihak universiti juga tidak akan sewenang-wenangnya membuat keputusan yang membebankan mahasiswa.

Secara keseluruhan, adalah penting untuk memastikan bahawa hubungan antara mahasiswa dan pengurusan universiti adalah hubungan yang seimbang, di mana hak dan suara mahasiswa dihormati. Dengan memperkenalkan sistem semak dan imbang yang lebih jelas dan adil, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih demokratik dan inklusif di universiti, yang mana kebebasan akademik dan kebebasan bersuara benar-benar dihargai dan dijamin.

Wednesday, 2 October 2024

REFORMASI SESI ORIENTASI UNIVERSITI

1. Pengisian yang lebih bermanfaat seperti perkongsian berkenaan akademik dan sebagainya.

2. Tiada lagi aktiviti yang memakan banyak tenaga. Mungkin ada yang berpendapat bahawa program sebegini wajar dijadikan pilihan, namun, ia akan mengakibatkan mereka yang tidak boleh mengikutinya berasa terkecuali. 

3. Rakaman/siaran langsung sesi penting.

4. Tinjauan maklum balas mahasiswa.

5. Sesi townhall bersama dengan pihak berkepentingan.

6. Mengambil iktibar dan pengajaran daripada sesi orientasi sebelum ini dan maklum balas yang diterima.

7. Pengenalan kepada organisasi dan kelab tanpa perlu sesi yang berasingan.

8. Sesi berkaitan perancangan kewangan.

9. Bengkel kemahiran belajar dan pengurusan masa.

10. Campus tour ringkas

11. Sesi orientasi tidak sampai seminggu.

12. Penyebaran maklumat penting melalui platform atas talian tanpa perlu sesi fizikal yang redundant.

13. Yuran pendaftaran dikurangkan susulan 

14. Penyediaan buku panduan komprehensif bagi mengelakkan mereka yang tidak dapat menyertai sesi orientasi ketinggalan bas.

15. Latihan holistik buat fasilitator untuk mengelakkan kejadian seperti prank berulang.

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...