Sunday, 20 October 2024

KISAH "SERAM" DI UKM & UiTM

Kisah Pertama (UKM): Apa Sejarah Bilik Ni?

Malam telah larut. Jarum di jam telah melepasi angka 12. Kebanyakan bilik di blok kolej kediaman aku berada dalam keadaan gelap. Sedikit bunyi yang boleh didengari. Ramai yang sudah tidur. Aku terbaring di atas katil memikirkan beberapa perkara. Telefon pintar berada di tanganku. Tiba-tiba, aku berasa hendak melepaskan hajat. "Ah, sudah," getusku dalam hati. Masa inilah kau nak melepaskan hajat. Tak mengapa. Aku dah biasa dengan benda ini. Aku pun terus memakai selipar, membuka pintu bilik dan menutupnya semula. 

Koridor aras pada waktu itu memang gelap. Aku pun tak tahu kenapa lampu tidak dipasang. Cahaya hanya ada pada kedua-dua penghujung aras. Satu penghujung menuju ke blok lain, manakala penghujung yang satu lagi menuju ke tandas dan bilik mandi. Kedua-dua tandas dan bilik mandi terbuka lampunya. Suasana pada ketika itu agak sejuk. Bilik aku berada berdekatan dengan penghujung yang satu lagi. Aku perlu berjalan jauh untuk ke tandas. 

Langkah demi langkah, aku berjalan ke tandas. Aku berasa seram sejuk. Untuk mengalihkan perhatian daripada apa-apa "entiti" yang mungkin muncul, aku tumpukan fokus aku kepada skrin telefon. Untuk pengetahuan pembaca, di aras aku ini, bersebelahan dengan bilik mandi, ada satu bilik kosong. Aku tak pasti sama ada ia stor atau bukan. Pintunya kadang-kadang tertutup, kadang-kadang terbuka. Keadaan bilik itu memang bersepah, macam baru diserang monyet. Ada satu hari tu, pada waktu pagi, aku nampak kipas bilik itu terbuka dan ada seluar yang disidai. Amboi amboi amboi.

Akan tetapi, aku yakin bahawa apa yang aku nampak pada malam itu bukan seluar. Setibanya aku di hadapan bilik itu yang pintunya terbuka, aku ternampak macam ada sekujur tubuh yang tinggi lampai, seolah-olah tergantung pada siling bilik itu. Meremang bulu roma aku pada waktu itu. Tapi aku cukup berpengalaman untuk tidak overreact dan meneruskan langkah ke tandas. Aku tak lama di tandas. Usai melepaskan hajat, aku mencuci tangan dan terus keluar. Dalam perjalanan pulang, aku hampir pengsan. Kau tahu aku nampak apa? Aku nampak entiti tadi kini berdiri di pintu dengan separuh badannya boleh dilihat. Matanya merah dan aku boleh nampak giginya yang tajam. Dia tersenyum pada ketika itu. Aku tanpa membuang masa tak berbuat apa-apa dan terus pulang ke bilik.

Sampai saja di bilik, aku terus tutup dan kunci pintu bilik. Rakan sebilik aku masih tidur. Aku terus minum air untuk melegakan tekak dan baring di atas katil. Sebelum melelapkan mata, aku terfikir, apa sejarah bilik tersebut sampai begitu rupa? Sudahlah bersepah. Memang tiada siapa yang nak kemas ke? Tenggelam dalam persoalan, aku pun terlelap.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...