Sebelum itu, izinkan aku untuk mengupas mengenai ketidakwajaran pengembalian semula UPSR dan PT3.
Aku lihat masyarakat kita ini tak tahu atau buat-buat tak tahu tentang rasional di sebalik pemansuhan UPSR dan PT3. Saudara dan saudari sekalian, idea pemansuhan UPSR dan PT3 ini bukan idea baharu yang muncul pada era pandemik COVID-19. Cadangan pemansuhan peperiksaan terbabit sudah ada sejak sekian lama. Cuma pada zaman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikepalai oleh Dr. Radzi Jidin baru idea tersebut menjadi realiti. Tidak dinafikan bahawa pandemik menjadi antara faktor utama UPSR dan PT3 dimansuhkan. Walau bagaimanapun, terdapat justifikasi lain di sebaliknya.
Pertama sekali, seperti yang kita semua sedia maklum, antara alasan utama pemansuhan UPSR dan PT3 adalah untuk mengurangkan tekanan murid. Di kesempatan ini aku ingin menempelak sesetengah individu yang berpemikiran kolot dengan membandingkan zaman persekolahannya dengan zaman persekolahan kini. Kononnya mereka pada ketika dahulu tidak stres pun dengan adanya UPSR dan PT3. Perlu ditekankan bahawa silibus kini sudah berubah dan jauh lebih kompleks. Selain itu, impak pandemik COVID-19 membuatkan ramai murid yang belum menguasai 3M (Membaca, mengira, menulis) pun lagi. Jadi untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3 pada ketika ini boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penganiayaan kanak-kanak.
Meskipun mereka mendakwa bahawa mereka tidak terbeban dengan peperiksaan dahulu, hakikat tidak boleh dinafikan bahawa ada juga yang terbeban, terutamanya murid dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan. Antara isu dengan UPSR dan PT3 adalah peperiksaan terbabit menilai pelajar menggunakan satu standard yang sama, tanpa mengambil kira perbezaan latar belakang pelajar baik dari segi ekonomi mahupun gaya pembelajaran serta minat. Senario ini boleh diibaratkan seperti menyuruh monyet, gajah dan ikan untuk memanjat pokok. Hal ini juga menjadi salah satu punca utama peperiksaan terbabit dimansuhkan.
Akan tetapi, masyarakat kita gagal memahami dan terus-menerus mahu UPSR dan PT3 atas bermacam-macam alasan. Ada yang mendakwa bahawa peperiksaan itu perlu untuk mengukur pencapaian pelajar. Tahukah anda bahawa sebenarnya ada saja peperiksaan dilakukan sebagai gantian, terutamanya buat UPSR? Peperiksaan tersebut dinamakan sebagai Ujian Akhir Sesi Akademik atau UASA. Maka, apa isunya? Usah berdolak-dalik pula dengan mengatakan bahawa UASA tidak begitu berat. Bukankah hujahnya hanya berkaitan murid perlu diikat dengan peperiksaan? Jelaslah di sini bahawa masyarakat kita sendiri pun tak cukup pengetahuan lagi berkaitan isu yang ingin diulas.
Bercakap pasal tak cukup pengetahuan, aku tak faham mengapa masyarakat kita terus menyokong sistem penilaian sedia ada meskipun mengetahui kelemahannya. Kita semua sedia maklum berkenaan betapa tidak holistiknya UPSR dan PT3 jika hendak dibandingkan dengan peperiksaan seperti STPM. Ia hanya mengukur murid secara sumatif pada penghujung Tahun 6 dan Tingkatan 3. Dan keputusan peperiksaan tersebut akan memberikan kesan seumur hidup. Bagaimana jika keadaan buat murid pada ketika itu tidak begitu membolehkan mereka untuk menduduki peperiksaan dengan baik? Misalnya, ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia? Masalah dengan masyarakat kita ini adalah mereka tidak mengambil kira faktor ini apabila mereka ingin menilai keputusan peperiksaan seseorang. Apa yang mereka tahu, yang dapat A itu semuanya pandai, dan yang tak dapat A semuanya bodoh.
Hal ini merupakan faktor lain peperiksaan terbabit dimansuhkan. Untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa nilai dan kemampuan seseorang itu terletak pada bilangan A yang dicapai olehnya. Jika UPSR dan PT3 dikembalikan, bersediakah kita untuk menggugurkan pemikiran lama ini? Sebentar tadi, kita berbincang soal tekanan. Sebenarnya bukan sahaja peperiksaan itu sendiri yang memberikan tekanan, tapi ekspektasi masyarakat buat para murid untuk mendapatkan sebanyak A yang boleh. Mereka dengan A yang banyak kemudiannya diraikan secara gilang-gemilang, meminggirkan mereka yang sebaliknya. Mereka yang sebaliknya itu oula kemudiannya akan dianggap bodoh dan malas belajar, selain dipersalahkan atas kelutusan yang diterima.
Hal ini dangkal sama sekali, memandangkan minat setiap pelajar itu berbeza-beza. Masyarakat kita tidak sepatutnya begitu mengagung-agungkan mereka yang mempunyai deretan gred A apatah lagi meminggirkan mereka yang menunjukkan prestasi yang baik dalam peperiksaan. Mungkin mereka mempunyai kelebihan dari aspek lain, dan itulah sebabnya UASA yang lebih holistik diwujudkan bagi menggantikan UPSR yang rigid.
Kepandaian, pada hemat aku, bukan merupakan faktor utama pelajar mendapat gred yang baik. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi gred seseorang pelajar dan salah satunya adalah kemahiran menjawab yang tak semua pelajar boleh atau mampu kuasai. Hal ini tidak semestinya kerana mereka bodoh tapi mungkin kerana mereka tidak mempunyai kemudahan seperti sesetengah orang. Ada yang mempunyai akses kepada bahan pembelajaran yang berkualiti tinggi. Ada pula yang dihantar untuk mengikuti tuisyen oleh ibu bapa. Manakala, wujud pula mereka yang perlu mengimbangi antara membantu keluarga dan pelajaran. Malangnya, kesemua golongan ini diukur menggunakan satu kayu ukur yang sama.
Kemahiran menghafal juga penting. Teori aku adalah pelajar aliran agama mamph mendapatkan keputusan yang sangat cemerlang kerana mereka mempunyai kemahiran menghafal yang baik.
Usah bermimpi soal mengembalikan semula UPSR dan PT3 jika isu-isu ini tidak terlebih dahulu diselesaikan.
Syarat pengembalian UPSR dan PT3 adalah peperiksaan terbabit mestilah mempunyai format yang baharu dan bukan seperti sebelum ini yang sarat dengan kelemahan. Aku mencadangkan agar format seperti STPM diaplikasikan, dan UPSR dan PT3 sewajarnya dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ketimbang Lembaga Peperiksaan (LP) Malaysia sebelum ini.
No comments:
Post a Comment