Monday, 2 December 2024

DASAR NASIONALISASI

Percaya atau tidak, antara cita-cita yang masih aku cita-citakan adalah untuk bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Dia punya "suasano" tu seronok. Namun, di sebalik semua itu, aku tak dapat menafikan bahawa ada banyak aspek perkhidmatan KTMB yang perlu ditambah baik.

Dalam entri kali ini, aku ingin mengulas tentang bagaimana kita boleh memperbaiki perkhidmatan KTMB. Salah satu cara yang aku percaya paling berkesan ialah dengan menjadikan KTMB milik negara semula. Dalam erti kata lain, nasionalisasi semula KTMB.

Jika dahulu, perkhidmatan kereta api merupakan antara sektor awam utama dalam negara. Ia memiliki suruhanjaya perkhidmatannya yang tersendiri. Sektor kesihatan pun tidak mempunyai suruhanjaya perkhidmatan mereka sendiri.

KTMB merupakan salah satu produk Dasar Penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada era 1980-an. Dasar ini dilaksanakan kononnya untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Sektor-sektor lain yang turut menjadi mangsa dasar ini termasuk telekomunikasi, elektrik, dan pos.

Namun, setelah berdekad-dekad, persoalan utama masih kekal: Adakah penswastaan benar-benar mengurangkan beban kewangan kerajaan dan meningkatkan kecekapan?

Hakikatnya, jawapan kepada persoalan ini tidaklah begitu meyakinkan. Sebaliknya, penswastaan sering kali hanya mengalihkan masalah kewangan kerajaan kepada rakyat biasa. Perkhidmatan yang dahulunya mampu milik kini menjadi semakin mahal, tetapi kualitinya tidak seiring dengan harga yang dibayar.

Lebih menyedihkan, kini kita melihat pemimpin generasi "baharu" seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi langkah serupa dengan mencadangkan penswastaan sektor penting seperti kesihatan dan pendidikan.

Penswastaan sering disokong dengan alasan untuk "mengurangkan beban kewangan kerajaan." Namun, bagi aku, alasan ini sudah tidak relevan lagi. Ia hanyalah alasan lapuk yang digunakan untuk mengaburi mata rakyat.

Sebenarnya, sektor seperti pendidikan, kesihatan, telekomunikasi, dan kereta api merupakan sektor terpenting dalam pembangunan negara. Beban kewangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menswastakan sektor ini. Sebaliknya, kerajaan perlu lebih kreatif dalam mencari pendapatan tambahan untuk menampung keperluan sektor awam dan bukannya mengambil jalan pintas dan malas dengan menswastakan mereka.

Dengan memindahkan hak milik sektor-sektor ini kepada entiti swasta, fokus perkhidmatan sering kali berubah daripada kepentingan rakyat kepada mengaut keuntungan. Contohnya, sektor telekomunikasi dan kereta api hari ini mengenakan kos yang tinggi kepada pengguna, tetapi kualiti perkhidmatannya masih mengecewakan.

Aku yakin ramai rakyat Malaysia berkongsi rasa geram apabila terpaksa membayar harga mahal untuk perkhidmatan yang kurang memuaskan. Jika penswastaan benar-benar meningkatkan kecekapan, mengapa kita masih berdepan isu kelewatan, gangguan perkhidmatan, dan kekurangan infrastruktur yang menyeluruh?

Sudah tiba masanya untuk kita mengakui bahawa Dasar Penswastaan telah gagal memenuhi matlamat asalnya. Oleh itu, satu Dasar Nasionalisasi perlu diperkenalkan untuk mengambil semula kawalan sektor-sektor strategik ini di bawah kerajaan.

Dengan nasionalisasi, sektor-sektor ini boleh kembali kepada matlamat asalnya, iaitu memberikan perkhidmatan berkualiti pada kos yang berpatutan kepada rakyat tanpa tekanan untuk menjana keuntungan. Sektor-sektor ini juga dapat dirancang dengan lebih baik untuk menyokong pembangunan ekonomi dan sosial jangka panjang.

Nasionalisasi bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia adalah langkah yang perlu untuk memastikan kepentingan rakyat terus diutamakan.

Aku percaya, KTMB dan sektor-sektor penting lain harus kembali menjadi milik negara. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, tetapi juga mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap fungsi sektor awam.

Kerajaan perlu sedar bahawa penswastaan bukanlah penyelesaian untuk segala masalah. Sebaliknya, usaha gigih untuk memperbaiki pengurusan kewangan dan menambah pendapatan negara adalah jalan yang lebih bertanggungjawab.

Aku berharap suatu hari nanti, KTMB bukan sahaja menjadi simbol nostalgia, tetapi juga contoh kejayaan sebuah sektor awam yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.




No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...