Merdeka daripada cengkaman penjajah? Mungkin betul, dan mungkin tidak. Merdeka itu lebih daripada sekadar tidak lagi berada di bawah penjajahan.
Bagi sesetengah individu misalnya, masih ramai antara mereka yang berusaha untuk mencapai kemerdekaan dari segi kewangan. Merdeka daripada hutang, merdeka daripada perlu bergantung kepada bantuan orang lain.
Walaupun kita mendakwa bahawa kita telah merdeka daripada pengaruh penjajah, hakikatnya kita masih mengamalkan banyak tinggalan mereka. Undang-undang lapuk, kod pakaian dan sebagainya. Tak kurang juga pengaruh baru seperti kecerdasan buatan generatif (GenAI) yang sedang rancak meracuni minda masyarakat.
Dari segi pendidikan pula, kita masih dijajah oleh silibus yang bias, menyembunyikan hakikat sebenar sejarah. Kita tidak digalakkan untuk berfikir secara kritis, sebaliknya hanya menghafal semata-mata.
Kita mungkin sudah merdeka dari cengkaman penjajah, tapi penjajah bentuk baru pula muncul, iaitu golongan elit. Tindak-tanduk mereka tak ubah seperti penjajah Barat. Golongan seperti Orang Asli dan Bajau Laut menjadi mangsa ketamakan mereka ini yang lebih mementingkan keuntungan daripada benda lain. Golongan Bajau Laut dibakar penempatan mereka untuk memberi ruang kepada destinasi pelancongan baru buat golongan sekelas mereka dari Barat. Orang Asli pula secara paksa rela perlu keluar dari penempatan mereka demi memberi laluan kepada pembinaan empangan, pembalakan hutan, perlombongan nadir bumi dan lain-lain. Bagi golongan elit, mereka bukan sahaja tidak pernah dijajah, malah kini menjadi tanpa segan silu menjajah dan menjarah.
Untuk mengaburi mata masyarakat daripada mempersoalkan tindakan mereka, sekali-sekala mereka akan memarakkan api perkauman. Objektif utama mereka: Mengalakkan pergaduhan sesama mereka yang berada dalam satu kelas.
Golongan elit ini termasuklah golongan pemodal. Mereka hidup senang-lenang sementara masyarakat biasa bekerja untuk mereka tanpa menerima upah yang sepadan.
Hakikatnya, kita belum lagi merdeka dalam sesetengah aspek.
No comments:
Post a Comment