Friday, 22 November 2024

TOLAK PERKAHWINAN BAWAH UMUR!

Rosak. Masyarakat kita rosak. Jijik. Aku sangat jijik melihat betapa ramai manusia yang mengaku dirinya sebagai manusia, lebih-lebih lagi yang beragama Islam, menghalalkan dan menormalisasikan perkahwinan bawah umur.

Pelik. Masyarakat kita pelik. Mereka yang baru berumur 18 tahun dikatakan belum cukup matang untuk mengundi tapi mereka yang berumur kurang daripada itu sudah cukup matang untuk berkahwin. Menghalalkan perkahwinan bawah umur tapi tidak mahu pendidikan seks diberikan kepada kanak-kanak atas alasan belum tiba masanya. Pendidikan seks ini bukan soal nak ajar anak-anak buat benda tak senonoh, tapi nak ajar mereka memahami tubuh badan, menghormati diri sendiri, dan melindungi diri daripada eksploitasi. Hipokrit. Masyarakat kita hipokrit. Apabila ada yang mengkritik amalan ini yang dikatakan ada kaitan dengan Islam dan diamalkan sejak zaman-berzaman, dinafikan bahawa ia dibenarkan oleh agama. Walau bagaimanapun, golongan yang sama mengiyakan kritikan ini. 

Marah. Aku sangat marah membaca alasan bodoh bahawa orang ramai sepatutnya gembira ada perkahwinan berlaku dan yang tak gembira itu hanyalah mereka yang cemburu. Walhal golongan ini jugalah yang menyibuk pasal negara lain yang membenarkan perkahwinan sejenis antara orang dewasa. Kenapa tak gembira saja? Sebab Tuhan tak reda? Mana kau tahu perkahwinan bawah umur itu diredai oleh Allah? Nampak tak kebengapannya di situ? Maaf sebab emosi. Kerana aku geram dengan masyarakat kita yang hipokritnya bukan kepalang. Masyarakat kita sering menuduh bahawa amalan ini hanya diamalkan oleh golongan LGBT dan liberal namun lihatlah hakikatnya yang sebaliknya. Nampak gayanya golongan LGBT dan liberal mempunyai moral yang lebih baik berbanding masyarakat kita dalam hal yang satu ini. Mereka pula yang tegas menentang perkahwinan bawah umur meskipun masyarakat kita mengatakan bahawa mereka yang menghalalkannya. Manakala masyarakat kita yang kononnya terpaling bermoral pula yang membenarkan amalan ini. Itupun masyarakat kita ada hati nak pertikai pindaan undang-undang perkahwinan di negara jiran baru-baru ini. Perbandingan ini dibuat bukan untuk menjustifikasikan perkahwinan sejenis tetapi lebih kepada untuk mendedahkan kemunafikan masyarakat kita.

Yang lebih menyakitkan hati, ada juga yang menggunakan hujah bahawa Rasulullah SAW berkahwin dengan Saidatina Aisyah RA semasa beliau berada di bawah umur untuk menjustifikasikan tindakan ini. Walhal apabila ada yang menggunakan hujah ini untuk mengkritik Islam, dilabel sebagai menghina Islam. Aku tak faham.

Tak kiralah apa alasannya sekalipun, tiada manusia yang wajar berkahwin sebelum mencapai umur 18 tahun. Malahan, menurut pendapat aku, ada sebilangan yang tidak patut kahwin pun sebelum mencapai umur yang lebih tinggi kerana umur seseorang itu mencapai kematangan berbeza-beza. Cumanya 18 tahun itu ditetapkan sebagai standard minimum. 

Kenapa? Boleh fikir logik. Apabila Undi18 dilaksanakan, bukan main ramai lagi yang bising mengatakan bahawa mereka yang berumur 18 tahun belum cukup matang untuk mengundi. Dah tu, kau rasa yang 15 tahun, 13 tahun sudah cukup matang untuk mendirikan rumah tangga ke? 

Aku ingat lagi waktu sekolah dulu banyak nasihat supaya jangan bercinta. Kenapa agak-agak? Kerana para penasihat tahu peri pentingnya pelajaran dan pendidikan sebelum berkahwin. Dah tu, kalau bercinta pun dibilang jangan, takkan kahwin boleh pula kan? Kahwin lebih berat daripada bercinta. Ironi, bukan? Mereka yang belum mencapai umur 18 tahun sewajarnya memfokuskan diri dalam pelajaran. Apabila berkahwin, sudah tentu mereka tidak boleh memfokuskan diri, dek mempunyai komitmen yang besar. Yang sudah bekerja ni pun susah payah untuk menyeimbangkan komitmen keluarga dan kerja, apatah lagi yang belum menduduki SPM lagi pun.

Kemudian bukan ke sekarang trend generasi tua menghina generasi muda sebagai tak bijak (walhal itu hasil kegagalan generasi mereka membesarkan generasi muda)? Jadi kenapa tanpa segan silu membenarkan mereka yang tak bijak untuk berkahwin berbanding fokus kepada pelajaran?

Salah satu hujah lain menentang perkahwinan bawah umur adalah jika kita melihat silibus pendidikan itu sendiri, ada sebab mengapa topik seperti perkahwinan diajar pada tahun-tahun terakhir persekolahan. Kau rasa wajar ke orang kahwin sebelum ada ilmu yang secukupnya, bukan saja soal perkahwinan, tapi ilmu lain juga? 

Dalam Islam pun hukum perkahwinan ada bermacam-macam ya. Ini yang masyarakat kita jarang tekankan. Apa yang mereka tahu, kahwin itu hukumnya wajib. Kahwin empat itu pula hukumnya sunat. Walhal ada perkahwinan yang hukumnya makruh dan haram. Adalah menjadi satu keperluan untuk seseorang itu mampu menyediakan nafkah zahir dan batin sebelum berkahwin. Jika tidak, ia boleh menjurus kepada hukum perkahwinan yang haram yang berisiko menzalimi atau memudaratkan pasangan. 

Usah sembang pasal budaya nenek moyang. Zaman sudah berubah dan keadaan sudah berbeza. Tak boleh bandingkan semudah itu sahaja. Hanya kerana sesuatu itu tradisi, tidak bermakna ia betul atau wajar diteruskan. Kalau kau nak ikut tradisi zaman nenek moyang, kenapa kau pakai kereta? Kenapa kau guna telefon pintar? Sembang pasal adat, tapi hanya ikut apa yang menguntungkan kau. Munafik.

Apa yang lebih menjengkelkan adalah apabila yang berkahwin itu adalah orang dewasa dan kanak-kanak bawah umur. Apa sudah tiada manusia di muka bumi ini yang dewasa yang kau boleh jadikan pasangan? Pada hemat aku, lazimnya golongan yang mencari pasangan bawah umur ni seorang pemangsa dan manipulatif. Mereka tahu bahawa mereka senang mengawal dan mengeksploitasi insan yang belum cukup matang. Mungkin juga mereka ini memilih untuk berbuat demikian kerana orang dewasa sudah sedar akan sikap manipulatif mereka. Dan usah sembang soal jodoh. Kalau setiap perkahwinan dihalalkan sebab jodoh, kenapa tidak perkahwinan sejenis? Allah tak reda? Sekali lagi, mana kau tahu Allah reda perkahwinan kau dengan budak-budak? 

Jika kita lihat pun, mereka yang berkahwin bawah umur ini perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa. Di situ saja kita dah boleh simpulkan bahawa mereka ini belum cukup matang untuk mendirikan rumah tangga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk tidak merosakkan zaman kanak-kanak anak-anak mereka dengan mengahwinkan mereka terlalu awal. Meskipun ada kes di mana kanak-kanak yang ingin dikahwinkan itu berhak untuk menolak, namun perlu ditegaskan bahawa mereka masih belum cukup mampu untuk membuat keputusan. Ibu bapa, wali atau hakimlah yang perlu membuat keputusan yang betul dan tepat dengan memastikan bahawa seseorang itu sudah cukup umur (18 tahun) dan sudah cukup matang.

Apabila ibu bapa bersetuju atau malah memaksa anak-anak berkahwin sebelum waktunya, ini adalah kegagalan mutlak sebagai penjaga. Tugas kau adalah melindungi anak-anak, bukan menyerahkan mereka kepada hidup penuh kesukaran. Jangan cuba berselindung di sebalik alasan agama atau budaya. Kalau kau benar-benar peduli, kau akan pastikan anak-anak kau mendapat pendidikan, bukan pasangan.

Apabila berlakunya perkahwinan bawah umur maka timbullah pelbagai masalah. Perkahwinan bawah umur ini tak berhenti di situ saja. Ia membawa kepada masalah lebih besar—keganasan rumah tangga, perceraian, anak-anak terbiar. Ini bukan pendapat aku semata-mata; statistik pun dah tunjuk. Tapi masyarakat kita buta angka. Mereka lebih sibuk dengan pandangan orang daripada fakta sebenar. Belum cerita pasal buang anak lagi. Kesan buruk amalan ini sudah terbukti menjangkaui kesan baiknya. Jika tidak, manakan mungkin kerajaan sudah mula melihat isu ini dengan serius. Ada negeri yang sudah mula menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun. Tiada alasan lagi bahawa ini tidak boleh dilakukan di seluruh negara. 

Tiada isu bahawa tindakan ini mengharamkan perkara yang halal. Perlu ditekankan bahawa para pemerintah umat Islam boleh sahaja menetapkan umur minimum perkahwinan dan ia wajib dipatuhi oleh rakyat. Agak janggal apabila berlakunya proses akad kanak-kanak lelaki dan perempuan bagi menghalang mafsadah-mafsadah yang boleh terhasil dari perkahwinan tersebut. Hal ini bukan sahaja jelas mengiktiraf risiko negatif akibat perkahwinan bawah umur, namun turut membuktikan bahawa penetapan had umur minimum perkahwinan. Islam itu fleksibel. 

Ketidakselarasan umur minimum perkahwinan dengan umur minimum untuk mendapatkan lesen, membeli rokok, meminum arak, bekerja dan sebagainya juga boleh dijadikan argumen bagi menentang perkahwinan bawah umur. Bagaimana boleh untuk had umur minimum bagi perkahwinan, suatu beban yang besar lebih kurang daripada had umur minimum perkara yang lain?

Perkahwinan bawah umur menafikan kanak-kanak daripada menikmati zaman kanak-kanak mereka sepenuhnya. Bayangkan seorang budak berusia 15 tahun, yang sepatutnya sibuk belajar untuk peperiksaan, tiba-tiba kena urus rumah tangga, suami, anak. Aku tak faham bagaimana ini boleh dianggap normal. Kalau kau rasa ini tak apa, kau sebahagian daripada masalah.

Kehamilan bawah umur boleh mendatangkan pelbagai dampak negatif bukan sahaja kepada kesihatan fizikal, malah kesihatan mental si ibu dan si bayi. Tanpa kita sedar, perkahwinan bawah umur ini juga merupakan antara faktor utama wujudnya kes kemiskinan bergenerasi atau kitaran dengan tiadanya pendidikan. Aku tak suka apabila orang kata keputusan seseorang itu tidak kahwin bawah umur bukan urusan mereka. Oh tahu pula kisah hanya urusan sendiri? Realitinya ia urusan masyarakat dan aku rasa menjadi fardu kifayah untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku kerana kesannya akan melibatkan masyarakat juga. 

Bercakap mengenai kehamilan, perkahwinan bawah umur ini lazim dilakukan akibat keterlanjuran yang mengakibatkan anak luar nikah dan sebagainya. Aku melihat ini sebagai langkah penyelesaian berbentuk jalan pintas, tak sepatutnya berlaku dan tidak berkesan sekalipun dalam mencegah kehamilan luar nikah. Seperti yang aku bangkitkan sebelum ini, pendidikan seks yang komprehensif merupakan salah satu langkah penyelesaian utama dalam menangani isu sebegini.

Biarlah ada yang menuduh aku ini sebagai anti-Islam, cuba memburukkan nama Islam dan sebagainya. Kerana aku tahu bukanlah aku yang berbuat demikian, tetapi mereka yang terus-menerus mahu menjustifikasikan perkahwinan bawah umur atas berbagai-bagai alasan. Sendiri yang menampakkan seolah-olah Islam ini membenarkan kezaliman terhadap kanak-kanak, kemudian nak bising pula apabila dikritik? Tolong muhasabah diri ya. Hanya sebab ia dibenarkan, tidak semestinya ia patut. Dan masyarakat kita perlu belajar bezakan juga antara sah dan wajib/sunat. 

Terlampau banyak sebenarnya hujah yang boleh digunakan untuk tidak membenarkan perkahwinan bawah umur ni. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat untuk melindungi kanak-kanak dan memastikan bahawa mereka membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat, bukan dipaksa memikul beban orang dewasa sebelum masanya. Kanak-kanak patut dijaga, bukannya jadi penjaga. Jangan cakap ini soal agama, sebab agama tak pernah benarkan kezaliman. Jangan cakap ini soal budaya, sebab budaya yang memudaratkan tak patut dipertahankan.

Akhir kata, jangan biarkan kanak-kanak jadi mangsa atas kebodohan dan ketamakan kita. Kalau kita betul-betul manusia, kita tak akan biarkan perkara ini berterusan. Berhenti normalisasikan perkahwinan bawah umur. Noktah.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...