Thursday, 7 November 2024

UiTM VS. SJK

Setiap kali ada pihak yang mencadangkan pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera, wajib akan ada pihak yang akan turut mencadangkan penutupan sekolah vernakular. Penjajaran ini membingungkan, kerana kedua-dua institusi mempunyai tujuan yang sama sekali berbeza dan memenuhi keperluan/kehendak kumpulan yang berbeza.

Atas dasar apa mereka ingin sekolah vernakular ditutup? Kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan? Tahukah anda bahawa UiTM juga tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar? Agak pelik bukan untuk mencadangkan penutupan sekolah vernakular atas dasar itu memandangkan UiTM juga sewajarnya ditutup kalau kita guna pakai logik yang sama? Walau bagaimanapun, dalil seperti itu jarang dibangkitkan, menonjolkan standard dwi dalam perbahasan ini. Dalam kes ini, wujud persamaan antara kedua-dua institusi ini. Ini mencerminkan isu yang lebih mendalam: perdebatan sebenarnya bukan mengenai bahasa atau pendidikan, tetapi mengenai identiti dan dinamik kuasa. Sekolah vernakular dilihat sebagai institusi yang melindungi dan mempromosikan budaya masyarakat bukan Bumiputera, manakala UiTM pula dilihat sebagai benteng keistimewaan Bumiputera.

Dari segi perbezaan, mereka yang beriya-iya suruh menghapuskan sekolah vernakular menganggap ia sebagai halangan kepada perpaduan nasional. Ini kerana setiap bangsa bersekolah di sekolah yang berbeza. Hal ini tidak benar sama sekali. Sekolah vernakular merupakan sekolah aliran yang menggunakan bahasa pengantar selain daripada bahasa Melayu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil. Pada suatu ketika dahulu, kita juga ada sekolah vernakular Inggeris dan Melayu. Namun, setelah beberapa dekad, sekolah vernakular Melayu kini "dijadikan" sekolah kebangsaan. Setiap sekolah tidak mempunyai halangan terhadap mana-mana bangsa untuk memasukinya. Sekolah kebangsaan mempunyai pelajar berbilang bangsa, walaupun dalam jumlah yang sedikit. Sekolah vernakular juga menerima pelajar yang bahasa ibundanya berbeza. Bahkan, ada saja mereka yang berbangsa India yang bersekolah di SJKC, dan mereka yang berbangsa Cina yang bersekolah di SJKT. Golongan Bumiputera juga diterima di sekolah-sekolah ini. 

Bertentangan dengan tuduhan bahawa SJK menggalakkan pengasingan etnik, sekolah-sekolah ini semakin menjadi lebih berbilang kaum. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lebih ramai ibu bapa Bumiputera telah mendaftarkan anak-anak mereka di SJKC, mencerminkan persepsi mereka bahawa sekolah-sekolah ini menawarkan standard pendidikan yang lebih tinggi, terutamanya dalam mata pelajaran seperti Matematik dan Sains. Trend ini menunjukkan bahawa sekolah vernakular bukan berasaskan etnik tetapi lebih kepada bahasa, yang dilihat ramai ibu bapa sebagai aset berharga dalam dunia global hari ini.

Sekolah vernakular merupakan sebuah institusi berasaskan bahasa, manakala UiTM merupakan sebuah institusi berasaskan bangsa (separa benar). UiTM hanya menerima golongan Bumiputera yang terdiri daripada orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak. Meskipun tidak disebut secara zahir dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, UiTM juga menerima pelajar Orang Asli. Kenapa aku kata bahawa ia separa benar yang UiTM ini institusi berasaskan bangsa? Hal ini kerana UiTM menerima kemasukan pelajar antarabangsa. Ya, pelajar asing boleh diterima masuk namun tidak pelajar tempatan bukan Bumiputera. Janggal, bukan? Ketidakselarasan dalam dasar ini mencerminkan kerumitan dan percanggahan sistem, dan ia merumitkan lagi hujah untuk mengekalkan UiTM eksklusif. 

Bercakap soal Perlembagaan, tahukah anda bahawa ada pihak yang cuba cabar status sekolah vernakular dari segi perlembagaan? Ya, dia kalah. Sekolah vernakular telah diisytiharkan sebagai berperlembagaan. UiTM, walau bagaimanapun, masih tidak jelas statusnya di sisi perlembagaan. Orang kita suka memetik kontrak sosial semasa membangkang idea pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera, tanpa menyedari hakikat bahawa jika kontrak sosial itu benar-benar wujud, ia turut melibatkan hak kaum minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri, dan bukannya hak berkaitan kerakyatan sahaja. Ini juga termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Akta Pendidikan 1996 juga membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa YDPA bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain, dan ini sudah tentunya meliputi sekolah vernakular. Tapi, orang kita bukan saja suruh tutup sekolah vernakular, malah mencabar keabsahannya di mahkamah. Orang kita sendiri pun melanggar kontrak sosial, ada hati nak perlekehkan mereka yang dikatakan tidak belajar soal kontrak sosial kerana membangkang polisi penerimaan pelajar UiTM. Tak sedar diri. Apa yang lagi menjengkelkan, mereka ini menyuruh orang menghormati perlembagaan, tapi mereka sendiri tidak menghormatinya dengan terus-menerus menggesa penutupan sekolah vernakular. Mereka ini jugalah yang akan merentan jika suatu hari nanti ada yang cuba mencabar kesahan UiTM dari segi perlembagaan. Walaupun UiTM diwujudkan sebagai institusi khas untuk Bumiputera di bawah dasar tindakan afirmatif, tidak ada sebutan yang jelas mengenai UiTM dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah sangat hipokrit bagi mereka yang menyokong penerusan dasar eksklusif UiTM untuk secara serentak menyeru penutupan sekolah vernakular, kerana kedua-dua institusi wujud dalam kerangka perlembagaan yang sama. Jika ada, sekolah vernakular mempunyai kedudukan undang-undang yang lebih jelas daripada UiTM apabila ia berkaitan dengan kewujudannya di bawah undang-undang Malaysia.

Sejujurnya, aku tiada masalah untuk institusi seperti UiTM dikekalkan. Namun, bajet buat institusi sedemikian tidak wajar datang daripada kerajaan, dan ia wajar beroperasi pada skala yang lebih kecil, mempunyai satu atau beberapa kampus saja, bukannya 34 buah kampus. Dana hendaklah diagihkan semula kepada universiti awam lain yang lebih inklusif, dan kampus-kampus hendaklah dikembalikan kepada rakyat. 34 kampus UiTM dan yuran pengajian yang disubsidi kerajaan tidak termasuk sama sekali dalam "hak" (istilah sebenar ialah kedudukan) istimewa Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak.

Kesimpulannya, perbandingan antara sekolah vernakular dan UiTM adalah cacat kerana beberapa sebab. Sekolah vernakular terbuka kepada semua, memelihara kepelbagaian budaya dan bahasa, dan telah diisytiharkan sebagai perlembagaan oleh mahkamah. UiTM, sambil memainkan peranan penting dalam memartabatkan Bumiputera, beroperasi dengan cara yang jauh lebih eksklusif. Sebarang seruan untuk menutup sekolah vernakular atas dasar perpaduan nasional mengabaikan realiti bagaimana sekolah ini beroperasi dan hakikat bahawa mereka dilindungi oleh perlembagaan.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...