Thursday, 7 November 2024

SWASTAKAN UiTM?

Pertengkaran mengenai polisi penerimaan pelajar UiTM sudah menjadi isu tahunan, jika tidak bulanan di aplikasi Twitter. Kedua-dua pihak yang menyokong dan membantah pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera mempunyai hujah mereka yang tersendiri. Pada hemat aku sendiri, aku merasakan bahawa hujah yang dikemukakan oleh pihak yang menyokong tampak lebih logik dan berasas. Walau bagaimanapun, aku ingin cadangkan suatu solusi yang aku rasa tidak pernah dicadangkan sebelum ini oleh sesiapapun, iaitu idea untuk menjadikan UiTM sebuah universiti swasta. 

Antara punca ketidakpuasan hati golongan bukan Bumiputera (dan Bumiputera) terhadap UiTM adalah kerana ia merupakan sebuah institusi awam, yang mendapat dana daripada kerajaan. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh diakses oleh semua orang. Kita boleh berhujah bahawa terdapat banyak lagi universiti lain di Malaysia, tetapi samakah UiTM dengan mereka? Jangan kita lupa bahawa UiTM mempunyai sekurang-kurangnya satu kampus di setiap negeri, dan yuran pengajiannya murah bukan kepalang. 

Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah UiTM juga boleh diakses oleh pelajar antarabangsa, meskipun ramai yang kerap menekankan bahawa UiTM ekslusif untuk Bumiputera sahaja. Bayangkan, orang Cina dari China dan orang India dari India boleh sambung belajar di UiTM, tapi tidak orang Cina dan India Malaysia. Lin Dan boleh sambung belajar di UiTM, namun tidak Lee Chong Wei. Ada yang buat lawak bahawa orang bukan Bumiputera perlu balik ke "negara asal" masing-masing dan menjadi warganegara di sana terlebih dahulu. Barulah mereka boleh mengikuti pengajian di UiTM.

Pada tahun 2019, UiTM menerima pelajar antarabangsa seramai 276 orang. Pada ketika ini, lebih kurang 1,634 orang pelajar antarabangsa sedang menuntut di UiTM. Kemasukan ini dilihat perlu untuk melayakkan UiTM untuk berada dalam QS World University Rankings serta meningkatkan pendapatan universiti, tetapi ia juga mendedahkan ketidakkonsistenan: mengapa alasan ini boleh diterima buat pelajar asing tetapi bukan untuk bukan Bumiputera di negara sendiri?

Di Malaysia, selain UiTM, terdapat kira-kira 19 universiti awam lain. UiTM pula mempunyai 34 buah kampus, universiti dengan kampus terbanyak di Malaysia. Jika kita menganggap kampus-kampus ini sebagai sebuah universiti, majoriti universiti awam di Malaysia adalah tertutup buat golongan bukan Bumiputera. Cuba letakkan diri anda dalam kasut mereka. Bayar cukai, tapi tak dapat akses kemudahan. Sangat logik untuk rasa tidak puas hati. Bahkan, ada golongan yang lebih kaya daripada mereka, dapat masuk ke UiTM. Mereka pula terpaksa berusaha lebih, bersaing dengan lebih ramai pelajar, menggunakan lebih banyak wang untuk ke menara gading. Bayangkan bahawa kita bayar cukai untuk mendanai sebuah universiti yang hanya boleh diakses oleh golongan bukan Bumiputera. Oleh itu, janganlah cepat melatah walaupun anda tidak bersetuju dengan cadangan untuk membuka UiTM kepada semua rakyat, kerana alasan di sebaliknya sangat kukuh. 

Ramai pihak sering mengibaratkan UiTM ini sebagai rumah Bumiputera dan oleh itu, golongan bukan Bumiputera perlu menghormatinya. Apa yang enggan mereka sedari ialah rumah itu turut dibayar oleh golongan bukan Bumiputera tadi. UiTM bukan milik sesuatu bangsa. UiTM milik kerajaan dan jika kerajaan memutuskan untuk membuka UiTM kepada golongan bukan Bumiputera pada suatu hari nanti, UiTM perlu patuh. UiTM tidak akan mampu berada pada tahap ini sekarang ini tanpa hasil cukai dan penat lelah pensyarah bukan Bumiputera. Janganlah kita berlagak sombong kepada golongan bukan Bumiputera sambil tanpa segan silu memakan subsidi yang mereka turut sumbangkan. Bukan itu sahaja, golongan Bumiputera juga dapat memasuki sekolah vernakular yang kebanyakan dananya disumbangkan oleh golongan bukan Bumiputera. Ya, sekolah vernakular tak pernah halang kemasukan golongan Bumiputera. 

Cakap pasal sekolah vernakular, orang kita sering membangkitkan kontrak sosial sebagai dalil kewujudan UiTM. Jika tidak silap aku, jika kontrak ini benar-benar wujud, ia juga merangkumi hak bangsa minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka. Bahkan, ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi, orang kita persoalkan juga. Jadi, kenapa kita marah mereka yang mempersoalkan pasal UiTM? Sekurang-kurangnya mereka tidak sampai mencabar constitutionality UiTM di mahkamah. Ada orang kita yang sampai mencabar constitutionality sekolah vernakular di mahkamah. Akhirnya, kalah, dan sekolah vernakular diisytiharkan sebagai berperlembagaan. Itupun, masih ada yang mempersoalkannya. Satu perkataan: hipokrit. Aku harap ada pihak yang akan memfailkan semakan kehakiman berhubung polisi penerimaan pelajar UiTM.

Meskipun dikemukakan dengan berpuluh-puluh hujah bernas, sesetengah individu Bumiputera masih enggan menerima cadangan itu. Oleh itu, izinkan aku untuk mencadangkan idea yang pada pendapat aku, dapat memuaskan hati kesemua pihak. UiTM sewajarnya diswastakan. Dengan menswastakan UiTM, ia tidak lagi ditanggung oleh wang cukai rakyat. Hal ini dapat memuaskan hati golongan bukan Bumiputera. UiTM boleh dijadikan sebuah universiti semi-kerajaan dengan pemilikan oleh MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp.), seperti UniKL. 

Kebergantungan UiTM kepada sumber kerajaan yang terhad telah mengakibatkan banyak kesan negatif. UiTM juga terpaksa mencari dana sendiri demi kelangsungannya. Bagi kerajaan pula, beban kewangan untuk mendanai UiTM semakin meningkat saban tahun. Oleh itu, penswastaan adalah dialu-alukan bagi meringankan beban kewangan kerajaan. 
Sebagai sebuah universiti swasta, UiTM boleh didanai melalui pelbagai sumber, termasuk yuran dari pelajar yang berkemampuan, sumbangan korporat, dan dermawan. Penswastaan UiTM juga boleh dijalankan melalui model wakaf pendidikan, yang membolehkan pengumpulan dana untuk menyokong pendidikan Bumiputera. Model ini bukan sahaja membantu dalam menampung kos operasi, tetapi juga dapat melibatkan masyarakat dalam usaha pendidikan. Wakaf dapat menjadi satu cara untuk memperkuat sokongan terhadap institusi pendidikan Bumiputera.

Idea penswastaan ini mungkin merisaukan banyak pihak mengenai perubahan tumpuan UiTM daripada institusi yang memperkasakan golongan Bumiputera kepada sebuah entiti komersial yang mengutamakan keuntungan. Walaupun UiTM diswastakan, kerajaan masih boleh menyediakan bantuan kewangan melalui MARA dan agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dalam memperkasakan golongan Bumiputera. Skim biasiswa, pinjaman, atau dana khas boleh diwujudkan untuk membantu mereka yang berkelayakan melanjutkan pelajaran di UiTM.

Penswastaan juga dapat memperkenalkan lebih banyak fleksibiliti dalam pengurusan dan pentadbiran universiti. Sebagai sebuah universiti swasta, universiti ini akan mempunyai lebih banyak kuasa autonomi dalam menentukan hala tuju akademik, termasuk pengenalan program-program baru dan kerjasama antarabangsa. Dalam era globalisasi ini, universiti perlu berdaya saing di peringkat antarabangsa, dan penswastaan boleh membantunya untuk bertindak lebih pantas dan efisien dalam memenuhi keperluan ini. Autonomi ini juga bermakna universiti boleh menyesuaikan kurikulum dan program pengajiannya mengikut kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan. Universiti tidak lagi terikat dengan birokrasi kerajaan yang kadangkala menghalang perkembangan inovatif dalam sistem pendidikan tinggi.

Dengan menjadikan UiTM sebagai institusi swasta Bumiputera, ia tidak lagi perlu berdepan dengan tekanan untuk dibuka kepada semua kaum, kerana pendanaannya tidak bergantung kepada sumber awam. Ini memberikan UiTM kebebasan untuk mengekalkan identiti dan objektifnya sebagai pusat pendidikan yang dikhususkan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera.

Penswastaan UiTM mungkin merupakan langkah yang kontroversial, tetapi ia juga boleh menjadi penyelesaian yang paling realistik dan berkesan dalam menyelesaikan isu-isu yang telah lama berlarutan. Dengan menswastakan UiTM, kita dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, mempertingkatkan kualiti pendidikan, dan pada masa yang sama memastikan misi asal universiti untuk memperkasakan Bumiputera diteruskan. Pendekatan ini dapat memuaskan semua pihak—golongan Bumiputera, bukan Bumiputera, dan kerajaan—sambil memastikan kelangsungan UiTM sebagai salah satu universiti terpenting di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...