Thursday, 7 November 2024

25 SOALAN BERKAITAN UiTM YANG WAJIB DIJAWAB

1. Adakah penerimaan pelajar Orang Asli di UiTM selaras dengan Akta 173 dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, memandangkan golongan tersebut tidak disebut secara jelas dalam Artikel 153?

2. Adakah penerimaan pelajar antarabangsa pada peringkat pascasiswazah di UiTM turut selaras dengan peruntukan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 173? Benarkah bahawa ia juga merupakan syarat untuk UiTM berada pada QS World University Rankings? 

3. Adakah terdapat kemungkinan untuk mencabar dasar penerimaan pelajar di UiTM di mahkamah bagi memastikan ia selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada? Tindakan ini juga boleh menyelesaikan perdebatan yang berlarutan sejak sekian lama.

4. Apakah rasional di sebalik penambahan kampus UiTM kepada puluhan kampus dari segi keperluan pendidikan nasional dan penggunaan sumber awam?

5. Adakah kemudahan subsidi yuran pengajian di UiTM termasuk dalam "hak keistimewaan" Bumiputera seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan? Adakah ia akan ditarik bagi membolehkan penyaluran semula subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan?

6. Sekiranya penerimaan pelajar bukan Bumiputera di UiTM tidak selari dengan peruntukan perundangan berkaitan, adakah ini bermaksud perundangan terbabit perlu dipinda? Jika sebaliknya, adakah ini bermakna penerimaan pelajar bukan Bumiputera sememangnya dibenarkan di UiTM?

7. Adakah UiTM masih mematuhi objektif asal penubuhannya memandangkan golongan pelajar dari bandar dan yang berkemampuan turut diterima sebagai pelajar? Untuk rekod, objektif asal penubuhan UiTM atau Dewan Latihan/Latehan RIDA pada ketika itu adalah untuk membantu golongan luar bandar atau kampung. Tiada sebarang kaum yang disebut secara jelas dalam objektifnya. Persepsi bahawa UiTM ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu mungkin datang daripada hakikat bahawa kebanyakan orang luar bandar dan kampung pada masa dahulu adalah berbangsa Melayu. Namun kini, ramai orang Melayu yang sudah mula berhijrah ke bandar. Terdapat juga golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera yang tinggal di luar bandar.

8. Sampai bilakah dasar penerimaan pelajar pelajar di UiTM akan kekal tidak berubah? Sewajarnya, setelah beberapa dekad ditubuhkan, kewujudan UiTM tidak lagi diperlukan memandangkan apa-apa dasar afirmatif sepatutnya bersifat sementara. Jika dasar afirmatif perlu berkekalan untuk selama-lamanya, adakah dasar itu benar-benar berkesan dalam mencapai objektifnya?

9. Adakah Akta 173 dan Artikel 153 "menghalalkan" penubuhan UiTM sehingga berpuluh-puluh kampus memandangkan hanya disebut perihal kuota dalam kadar yang munasabah, dan bukannya universiti khas? Adakah kerajaan berhasrat untuk menukarkan kampus-kampus ini kepada universiti biasa dan hanya mengekalkan kampus induk sebagai satu-satunya kampus UiTM?

10. Sejauh manakah kebenaran suatu cadangan oleh Suruhanjaya Reid supaya Artikel 153 dikaji semula selepas 15 tahun dan kenapa ia tidak dilaksanakan, jika benar? 

11. Adakah kewujudan UiTM menghalang perpaduan nasional, memandangkan berlakunya pengasingan antara kaum? Hal ini berbeza di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang baru-baru ini dikhabarkan semakin ramai pelajar Bumiputera yang diterima masuk.

12. Bagaimanakah sebenarnya kaedah penentuan status Bumiputera seseorang di Malaysia? Adakah seseorang individu yang dalah satu dari ibu bapanya merupakan bukan Bumiputera dikategorikan sebagai golongan Bumiputera?

13. Berapakah pecahan penerimaan pelajar yang berbangsa Melayu, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak? 

14. Prof. Shad Saleem Faruqi dalam Buletin Pejabat Penasihat Undang-undang UiTM (Buletin Lex-Amicus) Jilid 3 November 2016 mendedahkan bahawa Seksyen 1A Akta UiTM tidak menghalang penerimaan pelajar antarabangsa mahupun bukan Bumiputera. Tambah beliau, sebarang perubahan dasar penerimaan hanya perlu melalui dua peringkat iaitu penetapan kadar baharu oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas nasihat Kabinet/Jemaah Menteri dan setelah dirunding dengan Majlis Raja-raja. Adakah ini benar?

15. Memandangkan UiTM kini pun sudah tidak lagi berada di bawah MARA, adakah ia wajar terikat kepada objektif lamanya? Selain itu, mengapakah tidak berlaku perubahan nama UiTM? Hal ini banyak menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai yang masih menganggap UiTM berada di bawah MARA.

16. Ketika memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, wajar ditekankan mengenai kepentingan sah kaum-kaum lain. Apakah yang dimaksudkan dengan kepentingan ini dan adakah ia terpelihara?

17. Apakah kesan dasar penerimaan pelajar yang eksklusif terhadap prestasi akademik pelajar memandangkan wujudnya kajian yang mengatakan suasana pembelajaran yang lebih rencam menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik?

18. Apakah sebenarnya objektif asal penubuhan UiTM (atau RIDA atau ITM)? Hal ini kerana berbagai-bagai versi berbeza dapat dilihat.

19. Mengapakah pelajar yang berkemampuan diberikan subsidi yuran pengajian yang begitu banyak di UiTM? Bukankah ini bercanggah dengan matlamat kerajaan dalam usaha mensasarkan subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan?

20. Adakah penggunaan wang rakyat berbilang kaum bagi membiayai UiTM boleh dijustifikasikan memandangkan ia tidak dibuka buat semua kaum? Adakah kerajaan berhasrat untuk mewujudkan akaun khas yang hanya didanai oleh mereka yang ingin serta sedikit dana kerajaan bagi tujuan mendanai UiTM?

21. Naib Canselor UiTM menjustifikasikan penerimaan pelajar antarabangsa atas dasar "menambah pendapatan." Mengapa hujah ini tidak terpakai untuk menjustifikasikan penerimaan pelajar bukan Bumiputera? 

22. Adakah dasar penerimaan pelajar di UiTM benar-benar akan membantu golongan Bumiputera kurang berkemampuan memandangkan bilangan pelajar dari latar belakang berkemampuan semakin meningkat?

23. Adakah dasar penerimaan pelajar di UiTM mempengaruhi kedudukan UiTM dalam QS World University Rankings yang kini sudah merudum berbanding tahun sebelumnya?

24. Adakah kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula sistem UiTM pada ketika ini yang mendatangkan banyak isu? Hal ini kerana UiTM merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai berpuluh-puluh kampus di seluruh pelosok tanah air.

25. Adakah kontrak sosial benar-benar wujud? Jika ya, apakah intipatinya? Adakah ia termasuk hak penggunaan bahasa-bahasa minoriti seperti yang didakwa oleh Tun M? Jika ya, mengapakah perkara ini dipersoalkan oleh golongan tertentu sehingga dicabar di mahkamah?

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...