Thursday, 7 November 2024

KEPERLUAN REFORMASI SISTEM PENGAMPUNAN

Sistem pengampunan di Malaysia ini benar-benar memerlukan reformasi. Sistem sedia ada ini mungkin kelihatan sudah sempurna pada permukaannya. Namun begitu, "pengampunan" salah seorang penjenayah terbesar negara baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai keperluan sistem ini dirombak. 

Seperti yang kita semua sedia maklum, sistem sedia ada memberikan kuasa pengampunan kepada YDPA. Kuasa pengampunan ini mungkin adil untuk diberikan kepada baginda dalam situasi biasa seperti pengampunan banduan normal. Akan tetapi, untuk baginda diberi kuasa untuk mengampunkan pemimpin politik, terutamanya pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan baginda, mewujudkan risiko konflik kepentingan. Untuk makluman pembaca, Najib Razak, Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang, telah diampunkan oleh YDPA yang kini merupakan Sultan Pahang. Tidakkah wujud konflik kepentingan di situ? Maka, adalah perlu untuk sistem ini ditambah baik.

Antara cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan ialah memindahkan kuasa untuk mengampunkan individu yang mempunyai konflik kepentingan dengan YDPA kepada Parlimen. Kuasa pengampunan Parlimen ini sudah menjadi amalan biasa di Switzerland. 

Selain itu, keputusan YDPA juga hendaklah boleh untuk dicabar di mahkamah. Adalah tidak logik untuk keputusan yang sebegitu besar dan signifikan, tidak boleh untuk dipersoalkan. 

Pengampunan juga hendaklah diberikan kepada kesalahan yang tidak serius sahaja. Kesalahan serius seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya tidak patut dipertimbangkan untuk diberi pengampunan. Hal ini demikian kerana kesalahan ini begitu besar dan meninggalkan kesan yang signifikan. Misalnya, salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja mengakibatkan kerugian wang ringgit, malah boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. 

Pengurangan hukuman pula hanyalah wajar untuk dipertimbangkan buat mereka yang dihukum secara keterlaluan seperti hukuman mati bagi kesalahan memiliki dadah. Jika mereka dihukum penjara pula, mereka hendaklah menjalani hukuman sekurang-kurangnya 3/4 tempoh hukuman terlebih dahulu. 

Bagi kesalahan sebegini juga, hukuman tidak wajar dikurangkan sehingga tahanan rumah. Had perlulah ditetapkan bagi pengampunan. Jika tidak, kuasa ini boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Ketelusan merupakan kunci utama kepercayaan rakyat terhadap sesebuah institusi kerajaan. Mesyuarat Lembaga Pengampunan perlulah disiarkan secara langsung. Setidak-tidaknya, minit mesyuarat itu perlulah didedahkan kepada umum, terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi. 

Idea lain yang boleh dipertimbangkan adalah dengan mewujudkan sebuah Suruhanjaya Pengampunan di mana ahlinya dilantik oleh YDPA dengan cadangan Parlimen.


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...