Kampus
Selalu kita dengar hujah bahawa terdapat banyak lagi universiti lain di Malaysia selain UiTM ketika sesi perdebatan mengenai pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera. Hakikatnya, sekiranya setiap kampus UiTM dikira sebagai sebuah universiti, majoriti universiti awam di Malaysia ini tidak dibuka kepada golongan bukan Bumiputera. Hanya 19 universiti awam yang tinggal buat golongan bukan Bumiputera. Golongan Bumiputera bukan sahaja boleh memilih 35 kampus UiTM, malah semua universiti awam lain. Untuk rekod juga, universiti tempatan lain tidak mempunyai kampus di setiap negeri, mahupun menawarkan yuran pengajian yang begitu rendah seperti UiTM. Maka, tidak menghairankan jika ada yang berhasrat untuk masuk ke UiTM, terutamanya mereka dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan.
Institusi ini bermula sebagai sebuah pusat latihan kecil di Petaling Jaya. Kini, UiTM telah berkembang dengan 35 buah kampus yang dibina menggunakan wang cukai rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Perlu difahami bahawa ketika ditubuhkan dengan objektif “membantu” golongan Bumiputera, UiTM tidak mempunyai kampus sebanyak ini. Oleh hal yang demikian, dicadangkan agar kampus-kampus yang dibina selepas penubuhan institusi ini dikembalikan kepada rakyat dan dijadikan universiti biasa. UiTM Ini bukan sahaja memastikan kesamarataan akses kepada pendidikan tinggi, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan antara kaum. Pembinaan kampus tambahan juga perlu dihentikan; UiTM seharusnya kekal dengan jumlah kampus yang sama seperti semasa penubuhannya. Pembinaan kampus tambahan yang tidak mendapat “restu” daripada kaum lain boleh dilihat sebagai tindakan yang tidak sensitif dan mencipta lebih banyak ketegangan.
Antara punca utama golongan bukan Bumiputera ingin memasuki UiTM adalah proksimiti tempat tinggal mereka dengan kampus. Tidak semua universiti mempunyai jaringan yang begitu luas. Oleh itu, adalah wajar untuk kampus-kampus bukan induk dijadikan Universiti Malaysia atau diambil alih universiti lain. Namun, kampus induk masih boleh mengekalkan polisi penerimaan pelajar Bumiputera sahaja.
Langkah ini juga boleh menyelesaikan isu yang menghantui sistem UiTM. Meskipun menerima bajet terbesar daripada kerajaan, UiTM masih mempunyai dana yang tidak mencukupi. Bagi tahun 2024, universiti awam yang menerima dana terendah daripada kerajaan ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan bajet sebanyak RM97,769,200. UiTM menerima peruntukan terbesar iaitu hampir 20 kali ganda bajet UPNM, iaitu sejumlah RM1,817,096,200. UiTM mempunyai 35 buah "kampus." Jika peruntukan yang diterima oleh UiTM dibahagikan secara sama rata kepada setiap kampus, ia hanya akan menerima RM51,917,034, jumlah yang sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan bajet UPNM. Hal ini menyebabkan berlakunya ketidakadilan dari segi pembahagian peruntukan, dengan kampus Shah Alam diutamakan, dan kampus-kampus di luar bandar dianak tirikan. Jika tidak, takkan ada kampus yang mempunyai masalah air dan pengangkutan akibat kekurangan bajet. Malah, ada kampus yang terpaksa melakukan kelas tertentu secara atas talian kerana kekurangan dewan kuliah. Sistem ini juga menyebabkan tekanan kepada portal pelajar, mengakibatkan kerap berlakunya isu ketika pendaftaran kursus. Membuka UiTM kepada golongan bukan Bumiputera mampu meningkatkan pendapatan universiti. Namun, langkah ini tidak mendapat sambutan.
Cakap tentang bajet, agak lucu melihat gelagat golongan konservatif berhujah. Apabila disoal mengenai keperluan bajet UiTM untuk melebihi 20% daripada keseluruhan bajet untuk universiti awam, mereka berdalih dengan mengatakan UiTM mempunyai banyak kampus. Namun, mereka juga yang selalu menggunakan hujah seperti "UiTM ada satu sahaja. Banyak lagi universiti awam lain." Hujah mereka hanya menjurus kepada soalan tambahan—mengapa sebuah universiti yang terhad kepada satu segmen masyarakat perlu mempunyai cawangan sebanyak itu?
Isu ini juga menimbulkan permasalahan berkaitan konvokesyen. Seperti yang kita semua sedia maklum, semua yang menuntut di UiTM yang terletak di Semenanjung Malaysia akan mengikuti sesi konvokesyen di Shah Alam. Hal ini menimbulkan permasalahan seperti kos pengangkutan, sesi konvokesyen yang sangat lama dan sebagainya. Mempunyai pelajar yang begitu ramai, UiTM kini telah melalui lebih 100 kali konvokesyen, meskipun baru berumur 25 tahun. Ada universiti yang lebih ranum dari UiTM yang masih belum melalui 100 kali sesi konvokesyen. Isu ini turut membawa kepada sesi konvokesyen yang lambat, sehinggakan ada pelajar yang perlu menghadiri konvokesyen ketika sedang berada di alam pekerjaan mahupun melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Subsidi
UiTM menerima peruntukan tertinggi melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di mana yuran pengajiannya disubsidi oleh kerajaan. Ini menjadikan yuran pengajian sangat rendah dan boleh diakses oleh pelajar Bumiputera. Namun, subsidi ini tidak wujud semasa penubuhan UiTM dahulu dan tidak seharusnya dianggap sebagai “hak” keistimewaan. “Hak” yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kuota kemasukan, bukan subsidi yang terus menerus diberikan. Oleh itu, adalah wajar untuk menilai semula dan mungkin menarik balik subsidi ini. Kebanyakan faedah daripada subsidi ini kini dinikmati oleh golongan kaya yang tidak sepatutnya menerima bantuan ini. Wang yang dapat dijimatkan daripada pengurangan subsidi ini boleh disalurkan dalam bentuk biasiswa untuk semua golongan yang memerlukan, tanpa mengira bangsa. Ini akan memastikan sokongan pendidikan dapat diteruskan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Hal ini juga akan mengurangkan desakan untuk membuka UiTM kepada golongan bukan Bumiputera yang antara lainnya kerana yurannya yang cukup murah dan ditanggung kerajaan.
Cukai
Pendanaan UiTM datang dari Akaun Wang Disatukan, yang dibiayai oleh cukai rakyat pelbagai kaum. Ini menunjukkan bahawa UiTM adalah sebuah universiti awam dan seharusnya dibuka kepada semua rakyat Malaysia. Jika institusi ini enggan menerima perubahan, adalah wajar bagi rakyat untuk diberikan pilihan sama ada mereka ingin wang cukai mereka digunakan untuk membiayai UiTM atau tidak. Tidak adil untuk menggunakan wang cukai yang dibayar oleh semua lapisan masyarakat untuk institusi yang tidak memberikan akses kepada semua. Sebagai perumpamaan, adalah tidak molek jika wang cukai yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber digunakan untuk pembinaan sesuatu yang hanya dapat dimanfaatkan oleh segelintir. Prinsip asas di sebalik sistem cukai adalah bahawa ia digunakan untuk manfaat semua pihak, dan apabila sesebuah institusi yang dibiayai sepenuhnya oleh dana awam mengecualikan sebahagian besar masyarakat daripada mengakses perkhidmatannya, ini menjadi satu isu keadilan dan hak asasi. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan segmen masyarakat yang lain, terutamanya mereka yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan yang setara di institusi awam lain dengan kadar yuran yang sama rendah.
Wujud pula hujah terbaru bahawa UiTM tidak menerima satu kaum sahaja. Kita semua tahu hakikat itu. Apabila orang ramai menyebut berkenaan kaum, mereka lazimnya merujuk kepada golongan Bumiputera yang walaupun tidak diiktiraf sebagai sejenis kaum, dianggap sebagai suatu kaum pada masa ini. Usahlah berbalah soal penggunaan istilah ini. Orang Bumiputera sendiri pun kadang-kadang tanpa sedar atau sedar, sengaja atau tidak sengaja, mengatakan bahawa UiTM merupakan hak istimewa Melayu. Sewaktu protes pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera pun, ada insan yang membawa plakad yang bertulis "UiTM UTK BANGSA MELAYU." Sekejap Melayu, sekejap Bumiputera. Yang mana satu? Golongan yang menyentuh soal perkara remeh sebegini, yang ada dalam kalangan mereka sendiri pun buat, hanya ingin mengalihkan perhatian daripada isu sebenar. Yang kelakarnya, mereka senaraikan kaum-kaum Bumiputera bukan Melayu yang diterima di UiTM, seolah-olah itu akan mengubah hakikat bahawa UiTM masih ekslusif buat golongan tertentu. Universiti awam lain yang menerima dana awam menerima lebih banyak kaum daripada UiTM. Begitu juga sekolah vernakular.
Yang lebih menghiburkan lagi, senarai itu termasuk Orang Asli yang tidak disebutkan secara jelas dalam Perkara 153. Status penerimaan Orang Asli sebagai pelajar di UiTM masih menjadi tanda tanya. Mereka yang ingin mengekalkan status quo sering memetik Perkara 153 dan Akta UiTM tapi bagaimana Orang Asli yang tidak disebut dalam kedua-dua perundangan tersebut boleh diterima masuk di UiTM? Belum cerita soal pelajar antarabangsa. Kalau nak kata Orang Asli diterima atas alasan bahawa mereka merupakan Bumiputera, istilah Bumiputera itu sendiri tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa peruntukan undang-undang yang UiTM gunakan untuk menjustifikasikan penerimaan Orang Asli?
Pendedahan mereka hanya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada memberikan jawapan (semua sudah sedia maklum UiTM menerima kemasukan Bumiputera bukan Melayu). Persoalan pertama ialah berkenaan Orang Asli tadi. Persoalan kedua, benarkah mereka ini benar-benar diterima masuk ke UiTM? Adakah pecahan demografi pelajar UiTM untuk membuktikan polisi ini tidak sekadar berada di atas kertas, namun dilaksanakan? Berapa ramaikah pelajar dari golongan ini yang memohon ke UiTM namun ditolak dan tempat mereka dirampas oleh golongan elit Melayu? Persoalan ketiga, mengapa masih ramai yang menganggap UiTM ekslusif buat kaum Melayu saja? Adakah bilangan pelajar Bumiputera bukan Melayu sebegitu sedikit? Jika di UiTM Cawangan Sabah dan Sarawak, tidak pelik untuk ramai dalam kalangan Anak Negeri mereka yang diterima masuk ke UiTM. Di Semenanjung ini yang penting. Berapa ramai Orang Asli yang diterima masuk ke UiTM? Sepanjang pengajian aku di UiTM, aku tak pernah lagi kenal mana-mana pelajar Orang Asli yang belajar di UiTM. Yang aku kenal, ramai anak golongan elit Melayu yang mendominasi UiTM.
Tak perlu sampai ke situ rasanya untuk tahu UiTM ini pentingkan golongan Bumiputera bukan Melayu atau tidak. Polisi yang dibuat kebanyakannya menyusahkan pelajar dari Borneo. Cuba beritahu aku, dalam banyak-banyak ahli pihak pengurusan UiTM, berapa ramai Bumiputera Melayu dan berapa ramai Bumiputera bukan Melayu? Bumiputera bukan Melayu ini hanya akan digunakan sebagai alat oleh golongan pelampau bangsa untuk menghalalkan status quo. Walhal, hakikatnya, golongan ini dilayan sama teruk atau lebih teruk dengan golongan bukan Bumiputera. Aku lihat dengan mata aku sendiri berapa ramai orang Melayu yang memperlekehkan orang Borneo, mengejek bahawa mereka tinggal di atas pokok dan sebagainya. Orang Asli pula jangan cerita. Tanah Orang Asli pun dicerobohi akibat ketamakan syarikat-syarikat korporat. Dan tiada satu pun setakat ini golongan konservatif yang memperjuangkan hak mereka ini. Sudah-sudahlah mempergunakan kaum minoriti ini bagi tujuan politik kotor.
Bagi masyarakat bukan Bumiputera, perasaan tidak adil dalam isu ini bukan sahaja berpunca daripada halangan untuk mengakses UiTM, tetapi juga daripada hakikat bahawa mereka membayar cukai yang digunakan untuk mengekalkan institusi yang mengecualikan mereka. Sekiranya ini berterusan, ia akan mengikis rasa kepercayaan terhadap sistem pendidikan awam dan meningkatkan jurang antara kaum. Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkuasa untuk menimbang semula dasar-dasar berkaitan UiTM, bukan hanya untuk kepentingan Bumiputera, tetapi untuk keseluruhan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Dalam konteks ini, kita perlu memikirkan semula model pembiayaan dan operasi UiTM. Sebuah universiti yang dibiayai oleh rakyat harus mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat. Oleh itu, adalah penting untuk mengadakan perbincangan yang lebih mendalam mengenai keperluan untuk menilai semula status quo ini, demi masa depan pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan berdaya saing di Malaysia.
T20
Golongan T20 selain mereka yang tidak berasal dari kawasan luar bandar tidak wajar diterima oleh UiTM. Hal ini kerana ia bertentangan dengan objektif asal penubuhannya. UiTM perlulah mengutamakan golongan Bumiputera minoriti seperti Anak Negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli, selain Melayu miskin. Kini, kebanyakan tempat di UiTM diboloti oleh mereka yang mampu menuntut di universiti awam lain. Ada juga yang mampu menuntut sehingga ke luar negara. Hasilnya, ramai mereka yang kurang berkemampuan terlepas peluang untuk masuk ke UiTM. Adalah memalukan dan menjengkelkan untuk mereka yang memiliki kereta mewah pemberian ibu bapa dibenarkan untuk belajar di UiTM walhal ada pelajar Bumiputera yang perlu mencari saluran lain untuk meneruskan pengajian akibat gagal permohonan UPU. Sistem UPU sewajarnya secara automatik tidak boleh membenarkan golongan sebegini untuk memohon.
Sekurang-kurangnya, benarkan mereka ini untuk masuk ke UiTM, dengan syarat mereka tidak menikmati subsidi mahupun menikmati sedikti sahaja subsidi.
Penswastaan (Opsyenal)
UiTM setelah dijadikan hanya satu kampus seperti asal boleh dijadikan sebuah universiti swasta yang hanya menerima golongan Bumiputera. Hal ini amatlah wajar memandangkan institusi pendidikan yang dibiayai oleh kerajaan sewajarnya dibuka kepada semua kaum, sama seperti sekolah vernakular yang sering dipertikaikan. Sekolah vernakular menerima kemasukan semua kaum di Malaysia. Penswastaan UiTM boleh meredakan kehangatan isu dasar penerimaan pelajar UiTM, selain masih memberikan peluang kepada golongan Bumiputera untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Universiti ini boleh didanai melalui yuran oleh golongan kaya, dana korporat, sumbangan daripada syarikat Bumiputera, dermawan dan badan-badan amal yang menyokong pendidikan Bumiputera. Kerajaan masih boleh memainkan peranan dalam pendidikan Bumiputera dengan menawarkan biasiswa buat mereka melalui MARA. Penswastaan ini juga boleh direalisasikan melalui model wakaf pendidikan.
Model universiti hibrid atau awam-swasta juga boleh diteroka. Buat waktu ini, universiti yang mengguna pakai model ini ialah UniKL yang merupakan sebuah universiti swasta dan semi-kerajaan yang dimiliki oleh MARA Corp. Hal ini akan mengembalikan operasi UiTM di bawah MARA dan bukan lagi KPT. Cawangan UiTM sebagai universiti swasta juga boleh diwujudkan di luar negara, dengan pembukaan khusus buat penduduk Bumiputera di negara berkenaan. Misalnya, UiTM di Amerika Syarikat dibuka kepada Orang Asli Amerika.
Dengan perubahan ini, UiTM sebagai institusi swasta Bumiputera tidak lagi perlu berdepan dengan tekanan untuk dibuka kepada kaum bukan Bumiputera, kerana ia tidak lagi menggunakan pendanaan awam secara eksklusif.
Pelajar Antarabangsa
UiTM juga perlulah berhenti menerima pelajar antarabangsa kerana ia bertentangan dengan kenyataan bahawa UiTM hanya untuk Bumiputera sahaja. Bayangkan, orang Cina dari China dan orang India dari India boleh sambung belajar di UiTM, tapi tidak orang Cina dan India Malaysia. Berbagai-bagai alasan diberi untuk menghalalkan pengecualian ini, tapi tiada satu pun yang memuaskan. Antaranya termasuklah menambahkan pendapatan, selain sebagai syarat untuk UiTM berada dalam QS World University Rankings. Jika UiTM mahu mengekalkan polisi penerimaan sedia ada yang enggan membenarkan golongan bukan Bumiputera masuk UiTM, polisi munafik ini perlulah dikebumikan serta-merta tanpa berdolak-dalik.
Aku terpanggil untuk memasukkan benda ini yang aku rasa agak ironi. Seseorang berhujah bahawa UiTM turut menerima pelajar antarabangsa, maka, hujah bahawa UiTM adalah terhad kepada satu kaum atau golongan sahaja adalah tidak benar. Kau rasa? Padahal bukan kami saja yang mengatakan bahawa UiTM terhad kepada satu golongan saja, malah golongan konservatif juga. Merekalah yang kerap menekankan bahawa UiTM hanya menerima golongan Bumiputera sahaja. Kadangkala, mereka akan menggunakan perkataan Melayu bagi menggantikan Bumiputera, seolah-olah kedua-duanya mempunyai maksud yang sama. Apabila dihenyak dengan realiti bahawa UiTM menerima kemasukan pelajar antarabangsa, mereka berdalih bahawa itu merupakan pelajar exchange sahaja. Geli hatiku. Dia macam bertentangan dengan hujah bahawa UiTM ekslusif untuk Bumiputera sahaja. Tindakan sedemikian ibarat membuka pekung sendiri dan menimbulkan beberapa persoalan lanjut. Pendek kata, janganlah perli orang yang label UiTM hanya untuk Melayu kerana golongan kalian sendiri pun ada yang melabelkannya sedemikian. Malah, MPP UiTM Sabah pun pernah berbuat demikian namun memperbetulkannya setelah kantoi.
Selain itu, ada juga hujah bahawa pelajar antarabangsa membayar yuran yang berbeza dan hanya diterima di peringkat pascasiswazah. Setahu aku, memang yuran pascasiswazah berbeza yurannya dengan prasiswazah bagi semua pihak, tak kira pelajar antarabangsa atau tempatan. Ironinya, mereka berlindung di sebalik hujah ini, namun enggan membuka program-program di peringkat pascasiswazah kepada golongan bukan Bumiputera. Kenapa itu? Juga, ini bercanggah dengan hujah bahawa UiTM khas buat Bumiputera sahaja. Membayar yuran yang berbeza masih membolehkan mereka menikmati kemudahan yang disediakan oleh wang cukai rakyat.
Sebenarnya ada istilah untuk fenomena ini. Tokenisme. Tokenisme ialah amalan membuat usaha simbolik untuk menjadi inklusif atau pelbagai, selalunya dengan memasukkan sebilangan kecil individu daripada kumpulan terpinggir tanpa memberi mereka kuasa atau perwakilan sebenar. Ini boleh mewujudkan penampilan kepelbagaian sambil gagal menangani isu sistemik atau menyediakan peluang yang bermakna untuk individu tersebut. Tokenisme sering menumpukan pada perwakilan dangkal dan bukannya penglibatan atau perubahan yang tulen. UiTM mengambil pelajar antarabangsa dan golongan Bumiputera bukan Melayu untuk tampak inklusif, namun hakikatnya berapa saja mereka ini yang diterima masuk? Tidak dilupakan bagaimana UiTM masih menghalang kemasukan golongan bukan Bumiputera yang kurang bernasib baik, terutamanya golongan India yang sering menjadi mangsa akibat perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Tindakan afirmatif berdasarkan bangsa dibuat atas alasan bahawa orang Melayu, dari segi ekonomi, jauh terkebelakang dari orang Cina. Bagaimana pula dengan orang India? Sekurang-kurangnya orang Melayu masih memegang kuasa politik. Orang India sering dilupakan dan sering tersepit.
Cadangan untuk membuka program pascasiswazah kepada golongan bukan Bumiputera ini datang sendiri daripada "Bapa" UiTM, Allahyarham Tun Arshad Ayub. Namun, pada awal tahun ini, apabila dicadangkan agar suatu program pascasiswazah dibuka kepada golongan bukan Bumiputera demi kepentingan negara, dibantah melalui protes entah apa-apa. Pembukaan tersebut juga bersifat sementara. Kenapa perlu bantah sedangkan pelajar antarabangsa boleh diterima masuk? Hipokrasi dan kemunafikan golongan ini perlu dikaji.
Allahyarham juga menegaskan bahawa persepsi yang UiTM merupakan hak Bumiputera adalah tidak tepat. Hak istimewa tidak sama dengan kedudukan istimewa.
Perlembagaan
Ada yang berhujah bahawa jika polisi penerimaan pelajar UiTM tidak berperlembagaan, sudah tentu akan ada pihak yang mencabarnya di mahkamah. Walau bagaimanapun, kita perlulah ingat bahawa Akta Hasutan itu wujud.
Kesahan polisi penerimaan pelajar UiTM di sisi perlembagaan mestilah diputuskan oleh mahkamah. Hal ini kerana badan berkanun seperti UiTM tidak secara jelas diberikan kuasa oleh perlembagaan untuk melaksanakan tindakan afirmatif. Ketidakpastian ini mencetuskan persoalan tentang legitimasi dasar-dasar yang diambil untuk mengutamakan Bumiputera dalam kemasukan pelajar. Mereka yang hendak mencabar polisi ini tidak seharusnya dihalang melalui apa jua cara sekalipun.
Proses kehakiman boleh memberi penjelasan yang lebih jelas mengenai batas kuasa UiTM dan sama ada dasar-dasar ini mematuhi prinsip-prinsip perlembagaan. Selain itu, keputusan mahkamah juga dapat mencorakkan arah masa depan dasar pendidikan di Malaysia. Jika mahkamah memutuskan bahawa polisi penerimaan pelajar UiTM tidak selaras dengan perlembagaan, ia mungkin mendorong reformasi dalam cara institusi pendidikan awam lain menangani isu-isu berkaitan pengambilan pelajar. Sebaliknya, jika polisi tersebut diakui sah, ia akan mengukuhkan kedudukan UiTM dalam konteks perlembagaan, tetapi juga mungkin memicu perdebatan lanjut tentang keadilan sosial dan akses pendidikan.
Berikut merupakan interpretasi aku berkenaan Perkara 153:
Perkara ini tidak memandatkan sebuah universiti khas buat golongan Bumiputera (perkataan Bumiputera tidak wujud pun dalam Perlembagaan) (dan pelajar antarabangsa) walaupun satu, apatah lagi sehingga berpuluh-puluh kampus. Apa yang disebut adalah berkenaan kuota. Perkara ini turut disokong oleh "Bapa" UiTM, Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub, yang mengatakan bahawa persepsi bahawa UiTM merupakan hak Melayu atau Bumiputera adalah tidak benar.
Perkara 153 (1), selain menyebut soal kedudukan (bukan hak yang mutlak dan tidak boleh disangkal atau ditarik balik) istimewa, ia juga mengatakan bahawa kepentingan sah kaum-kaum lain perlulah dipelihara. Jika kita lihat pada ketika ini, golongan Bumiputera membentuk 70% daripada penduduk Malaysia. Walau bagaimanapun, di universiti awam, mereka membentuk 81.9% daripada mahasiswa. Hal ini jelas menunjukkan underrepresentation golongan bukan Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi. Hal ini menimbulkan persoalan—adakah kepentingan sah mereka ini terpelihara?
Perkara 153 (8A) pula, pada hemat aku, mengatakan bahawa reservasi tempat di universiti awam hanya boleh dibuat jika jumlah pelajar yang layak mengikuti pengajian lebih sedikit daripada jumlah tempat yang ditawarkan. Hal ini bermakna bahawa sistem merit untuk melayakkan diri ke universiti perlulah diutamakan. Jika tidak ada yang mencukupi merit, baki tempat akan diberikan kepada golongan dengan kedudukan istimewa. Bukannya mengutamakan bangsa melebihi merit. Jika ini bukan kesnya sekalipun, Perkara tersebut menetapkan bahawa YDPA hanya berkuasa untuk menetapkan kuota dalam kadar yang munasabah. Kuota yang munasabah sudah tentunya bukan 100%. Boleh dikatakan bahawa polisi UiTM melebihi had yang dibenarkan. Reservasi kuota bermakna permohonan terbuka kepada semua orang, dengan bilangan tempat tertentu yang dikhaskan untuk kumpulan tertentu. Faktor populasi dan keperluan perlukah menjadj antara perkara yang memandu peratus kuota bagi golongan-golongan tertentu.
Perkara 153 juga pada peringkat awal disetkan untuk mempunyai klausa matahari terbenam atau sunset clause. Perkara ini sepatutnya luput setelah 15 tahun kecuali diperbaharui oleh Parlimen. Allahyarham Tun. Dr. Ismail Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan istimewa ini merupakan suatu cercaan kepada kemampuan orang Melayu, dan menjangkakan bahawa apabila semakin ramai orang Melayu yang terdidik dan yakin diri, mereka akan menolak untuk terus-menerus mempunyai kedudukan istimewa. Kenyataan beliau ini ada betulnya, dengan orang Melayu sendiri membantah polisi berkaitan Perkara 153.
Lagi berkaitan Perkara 153, ramai yang beranggapan bahawa Perkara ini rigid dan tidak boleh diubah. Sebenarnya, ia boleh diubah melalui mekanisme tertentu. Walau bagaimanapun, aku ingin menyentuh tentang polisi di bawah perkara ini. Pada hakikatnya, polisi seperti polisi penerimaan pelajar UiTM dan Dasar Ekonomi Baru merupakan polisi kerajaan yang boleh diubah tanpa memerlukan pindaan perlembagaan. Jika benar bahawa ia memerlukan pindaan, rasanya tiada sebab untuk orang kita bising pasal pembukaan UiTM kepada golongan bukan Bumiputera, memandangkan pindaan perlembagaan hampir mustahil dan memerlukan sokongan hebat dan memakan masa.
Pindaan perlembagaan memerlukan sokongan ramai Ahli Parlimen, dan hampir mustahil akan berjaya, kerana Ahli Parlimen majoritinya tidak akan menyokong. Namun, wujud pula kerisauan bahawa suatu hari nanti ini akan terjadi apabila berlakunya persempadanan semula kawasan pilihan raya, dan majoriti Ahli Parlimen yang diundi ialah golongan bukan Bumiputera. Pindaan perlembagaan bukan sahaja memerlukan sokongan Ahli Parlimen, malah sokongan Majlis Raja-raja yang merupakan pelindung orang Melayu. Pembukaan sebuah program pascasiswazah UiTM secara sementara sambil menunggu program yang sama dimulakan di UM juga tidak akan dicadangkan sekiranya ia memerlukan pindaan perlembagaan. Maka, fobia orang kita akan perkara ini adalah tidak berasas sama sekali.
Realitinya, jika polisi hendak dirombak, ia hanya memerlukan YDPA mengubah polisi berkaitan. Dalam hal ini, baginda perlulah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri. Majlis Raja-raja, walau bagaimanapun, perlu dikonsultasi (bukan diminta kebenaran) terlebih dahulu sebelum mana-mana perubahan berkenaan tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153 dibuat. Kesimpulannya, Perkara 153 tidak perlu dipinda bagi membolehkan golongan Bumiputera masuk ke UiTM. Dalam erti kata lain, perkara tersebut—membenarkan golongan bukan Bumiputera untuk memasuki UiTM—tidak melanggar Perkara 153. Fakta ini diperkukuhkan lagi dengan penerimaan pelajar antarabangsa—baik pelajar pertukaran atau tidak. UiTM juga boleh menerima pelajar Orang Asli yang tidak terkandung dalam Perkara 153, melalui polisi "Bumiputera."
Prof. Shad Saleem Faruqi dalam menegaskan bahawa UiTM tidak dikhususkan buat Melayu atau Bumiputera. Seksyen 1A Akta UiTM tidak secara jelas menghalang UiTM daripada menerima pelajar bukan Bumiputera. Seksyen itu membenar dan mengupayakan, bukan menidakupayakan.
Buat yang tertanya siapa Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi ini, dia bukan calang-calang orang. Dia ni boleh dianggap sebagai "Bapa" UiTM juga. Kerana apa? Kerana dia memainkan peranan dalam menggubal Akta UiTM. Siapa kau nak nafikan kata-kata penggubal Akta UiTM sendiri bahawa Akta ini tak menghalang kemasukan pelajar bukan Bumiputera? Dia juga pernah menjawat jawatan sebagai Penasihat Undang-undang UiTM ya. Dia kini memegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya sebagai Profesor Undang-undang Perlembagaan. Ya, kepakaran beliau juga ialah undang-undang perlembagaan. Aku lebih yakin akan penerangan beliau berbanding ahli politik terkait perlembagaan dan Akta UiTM.
Jika diteliti juga, struktur ayat dalam Artikel tersebut sangatlah fleksibel dan tidak memandatkan polisi afirmatif yang rigid seperti penubuhan universiti khas buat golongan Bumiputera mahupun menetapkan apa-apa peratusan kuota. Hal ini demikian untuk membenarkan keanjalan dalam pelaksanaan polisi afirmatif. Hal ini berdasarkan hakikat bahawa polisi lama mungkin tidak berkesan mahupun tidak sesuai dilaksanakan pada masa hadapan. Orang Melayu tidak akan selama-lamanya dibelenggu oleh kemiskinan. Jika begitu, maka wujud kecacatan jelas dalam polisi afirmatif sedia ada.
Sekiranya kuota kemasukan UiTM dibuka sedikit kepada bukan Bumiputera, ia masih tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Polisi afirmatif dan kedudukan istimewa masih wujud. Universiti biasa mengutamakan merit dan bukannya ras seperti UiTM. Walaupun wujudnya sedikit kuota kepada bukan Bumiputera, universiti ini masih berbeza berbanding universiti lain.
Bahasa Melayu
Golongan konservatif sering menyeru pemansuhan sekolah vernakular atas alasan bahawa mereka tidak menggunakan bahasa Melayu. Yang munafiknya, UiTM yang menggunakan bahasa Inggeris terus-menerus dipertahankan. Kalau benar mahu status quo UiTM dikekalkan, jadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di UiTM demi membuktikan bahawa kalian benar-benar mahu memartabatkan bahasa Melayu.
Sekolah Vernakular
Berhenti sentuh sekolah vernakular. Apa yang aku nampak sekarang ini ialah orang kita boleh sentuh sekolah vernakular, tapi mereka merentan kalau orang sentuh UiTM. Apabila orang bangkitkan soal UiTM setelah mereka membangkitkan soal sekolah vernakular, mereka menggelupur seolah-olah mereka suci dan bukan mereka yang mula membakar arang.
Walhal sekolah vernakular itu merupakan antara *hak* yang dikurniakan kepada golongan bukan Bumiputera selain kerakyatan dalam "kontrak sosial" (jika ia benar-benar wujud). Namun, sekolah vernakular terus-menerus dikacau tanpa rasa serba salah. Apabila UiTM disentuh, tahu pula rasa jengkel. Kebanyakan cadangan ini pun datang daripada ahli politik sendiri, berbeza dengan isu UiTM yang lebih berorientasikan rakyat. Ahli politik konservatif tanpa henti meminta agar sekolah vernakular ditutup atas alasan bahawa ia penghalang perpaduan. Namun, pada masa yang sama, mereka juga menghantar anak mereka ke sekolah vernakular, mahupun sekolah antarabangsa. Untuk pendidikan tinggi pula, anak mereka akan menuntut di luar negara, mahupun UiTM yang tidak mempunyai kaum selain Bumiputera. Hal ini berbeza dengan sekolah vernakular yang terbuka buat semua kaum.
Kenapa aku mempersoalkan kewujudan kontrak sosial? Terma ini hanya wujud sekitar 1980-an dan tiada dokumen fizikal sah seperti Perjanjian Malaysia 1963 untuk membuktikan kewujudannya. Tiada di Arkib Negara. Kali pertama istilah ini digunakan adalah oleh ahli politik PEKEMBAR dalam suatu ucapan politik pada tahun 1986. Hal ini membuatkan ia tiada asas dari segi undang-undang.
Beberapa ahli akademik dan cendekiawan telah menerangkan bahawa idea quid pro quo untuk kewarganegaraan tidak terkandung dalam mana-mana laporan atau dokumen berkaitan Suruhanjaya Reid. Quid pro quo bermaksud sesuatu yang ditawarkan atau diminta sebagai pertukaran untuk sesuatu yang lain. Ramai yang mendakwa bahawa Perkara 153 merupakan pertukaran bagi kerakyatan buat orang Cina dan India. Walau bagaimanapun, tiada bukti akan kewujudan kontrak ini, dan ia dianggap sebagai suatu yang dibuat-buat oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu. Prof. Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz, bapa kepada Gabenor BNM terlama, bersetuju dengan perkara ini. Beliau yang juga merupakan profesor diraja pertama di Malaysia menegaskan bahawa kontrak sosial tidak wujud, dan ia hanya fantasi yang direka oleh politikus berpandukan kepentingan mereka.
Berbeza dengan konsep kontrak sosial yang terkemuka dalam falsafah politik Barat, kontrak sosial yang satu ini sering dilabel sebagai alat propaganda dan tiada asas sejarah. Apabila diminta untuk memberikan bukti kontrak ini, majoritimya tidak boleh berbuat demikian, mahupun menyuruh merujuk Perlembagaan. Walau bagaimanapun, Perlembagaan tidak mengandungi apa-apa bukti mengenai kontrak ini. Mereka yang menggunakan kontrak ini sebagai senjata politik sering memberi amaran bahawa kedudukan istimewa pribumi tidak boleh dicabar. Jika tidak, kontrak tersebut dianggap terbatal. Jika kontrak itu terbatal pun, apa yang akan terjadi? Semua rakyat berbangsa Cina dan India akan dilucutkan kewarganegaraan mereka? Bagaimana pula dengan mereka yang telah menyumbang kepada negara seperti Lee Chong Wei? Perbuatan ini juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Persekutuan. Dengan ketiadaan dokumen kontrak juga, kontrak itu tidak legally enforceable.
Bercakap mengenai pelanggaran kontrak sosial, orang kita juga secara tidak langsung melanggarnya secara halus dengan melabelkan orang Cina dan India sebagai pendatang dan menyuruh mereka untuk balik ke negara asal mereka.
Kontrak sosial ini juga, jika wujud, bukannya merupakan persetujuan antara imigran dan penduduk asal Tanah Melayu. Orang Asli tidak dilibatkan dalam perbincangan. Meskipun orang Melayu sebahagiannya boleh dikira berasal dari Tanah Melayu, adalah tidak molek untuk mengatakan bahawa orang Melayu sebagai penduduk asal tanah ini menganugerahkan orang Cina dan India kerakyatan.
Keadaan kini juga sudah berubah. Menggunakan perjanjian lama untuk keadaan masa kini kurang sesuai. Ibarat menggunakan undang-undang trafik pada zaman sebelum kereta dicipta pada waktu ini.
Bercakap juga mengenai kontrak sosial, jika benar ia wujud dan jika benar ia merupakan suatu quid pro quo kepada kewarganegaraan, ia sepatutnya telah wujud semasa kontrak sosial itu dimeterai lagi. Walau bagaimanapun, UiTM hanya wujud (sebagai sebuah universiti) beberapa dekad setelah kemerdekaan, itupun hasil desakan Bumiputera sendiri. Kedudukan istimewa tidak memberikan kuasa mutlak kepada Bumiputera untuk menubuhkan sebuah universiti yang bersifat eksklusif malah mempunyai begitu banyak cawangan. Adapun institusi yang boleh dikatakan sebagai syarat kewarganegaraan adalah Dewan Latihan RIDA.
MARA
Nama UiTM hendaklah ditukar tanpa sebarang alasan. Orang ramai masih menganggap bahawa UiTM masih berada di bawah MARA. Hakikatnya, UiTM telah menjadi sebuah universiti awam di bawah KPT dan bukan lagi berada di bawah MARA. UiTM wajar dijenamakan semula sebagai Universiti Tun Arshad Ayub atau Universiti Bumiputera Malaysia.
Bercakap tentang MARA, orang kita sering mempertahankan eksklusiviti UiTM kerana menganggap bahawa UiTM masih berada di bawah MARA. Apa yang mereka betul-betul atau sengaja tidak perasan adalah Maktab Rendah Sains MARA aka MRSM, sebuah institusi yang benar-benar berada di bawah MARA pun kini telah membuka pintu kepada golongan bukan Bumiputera. Maka, apa alasan untuk UiTM, sebuah institusi di bawah KPT untuk mengekalkan dasarnya yang sedia ada? Perubahan polisi kemasukan ke MRSM membuktikan yang dasar mengecualikan bukan Bumiputera merupakan keputusan polisi dan bukannya mandat perlembagaan. Malah, kuota ini turut disokong oleh individu seperti Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengakui impak positifnya seperti menggalakkan interaksi antara kaum¹.
Bumiputera
Mengikut UPU, Bumiputera ialah mereka yang salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka merupakan Orang Melayu/Orang Asli/Anak Negeri Sabah. Bagi Sarawak, untuk melayakkan seseorang itu mempunyai status Bumiputera, kedua-dua ibu bapanya perlulah merupakan Anak Negeri. Hal ini kadangkala menyebabkan orang Sarawak yang mempunyai salah seorang ibu bapa yang merupakan Bumiputera, dikira sebagai bukan Bumiputera.
Hal ini juga kadangkala mengecualikan golongan yang mempunyai darah Bumiputera seperti Peranakan daripada memasuki UiTM. Walhal ada dalam kalangan mereka ini yang telah menetap di Malaysia lebih lama daripada mereka yang berhijrah dari pulau Sumatera, Jawa dan lain-lain. Malah, ada dalam kalangan orang India yang diberikan status Bumiputera setelah mereka "masuk Melayu."
UiTM perlulah memastikan definisi Bumiputera yang digunakannya dalam menentukan kelayakan memasuki UiTM merangkumi mereka ini.
No comments:
Post a Comment