Sunday, 14 July 2024

ADA APA DENGAN SISTEM KONFEDERASI?

Hai dan apa khabar, semua? Hari ni, aku nak kongsikan serba sedikit pasal konfederasi. Apa tu? Nantikan...

Konfederasi: Pakatan antara Wilayah

Mesti ada yang tertanya-tanya, apa itu konfederasi? Ada kaitan dengan persekutuan (federation) ke? Untuk pengetahuan semua, konfederasi ialah suatu bentuk kerajaan yang seakan-akan persekutuan. Konfederasi ialah gabungan antara negeri yang berdaulat dalam satu ikatan yang longgar. Kuasa negeri dikekalkan dan kedaulatan negeri terpelihara. Sesetengah ahli konfederasi juga memiliki hak untuk meninggalkan konfederasi.

Dalam sistem konfederasi, ahli-ahli konfederasi mempunyai bidang kuasa yang lebih luas berbanding sistem persekutuan. Hanya bidang kuasa yang memerlukan kerjasama antara semua ahli seperti hal ehwal luar negara dan pertahanan sahaja yang terletak di bawah kerajaan pusat. Isu-isu seperti pendidikan dan kesihatan pula terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

Antara contoh negara konfederasi yang masih wujud ialah Switzerland. Bidang kuasa kerajaan pusat di sana sangatlah terhad dan kebanyakan hal berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri (kanton). Namun begitu, negara ini kini dianggap lebih sebagai sebuah negara persekutuan berbanding konfederasi, walaupun mempunyai perkataan "konfederasi" pada nama rasminya.



Baru-baru ini, pada 6 Julai 2024, Konfederasi Negara-negara Sahel telah ditubuhkan. Konfederasi ini dianggotai oleh Mali, Burkina Faso dan Niger. Konfederasi ini mempunyai populasi seramai 72 juta orang. Ia ditubuhkan berasaskan matlamat keamanan sejagat.


Kelebihan Sistem Konfederasi

Antara kelebihan sistem ini ialah negeri mempunyai kebebasan untuk mengelola wilayah sendiri dalam pelbagai bidang. Hal ini membolehkan pentadbiran yang lebih licin memandangkan isu-isu tempatan dapat diberikan lebih tumpuan. Misalnya, timbul isu pada ketika ini di mana kerajaan pusat di Malaysia lebih memfokuskan pembangunan di kawasan Lembah Klang. Hal ini mengakibatkan wilayah seperti negeri-negeri Borneo dan Pantai Timur terpinggir.

Sistem ini juga membolehkan negeri untuk belajar antara satu sama lain. Contohnya, sesebuah negeri boleh melaksanakan sesuatu polisi di negerinya terlebih dahulu. Jika ia berkesan, negeri lain boleh mengikutinya. Negeri-negeri juga boleh bersaing antara satu sama lain.

Tahukah Anda?

Pada suatu ketika dahulu, di kawasan yang kini menjadi sebahagian daripada Negeri Sembilan, Malaysia, wujud sebuah konfederasi bernama Konfederasi Negeri Sembilan. Ia diasaskan pada tahun 1895. Enam tahun sebelum itu iaitu pada tahun 1889, Luak Tampin, Rembau dan Seri Menanti disatukan sebagai Konfederasi Seri Menanti. Konfederasi Negeri Sembilan merangkumi kawasan yang lebih besar dengan kemasukan Luak Johol, Sungai Ujong dan Jelebu.

Persekutuan atau Konfederasi?

Maka, itulah serba sedikit penjelasan mengenai sistem konfederasi. Unik, bukan? Pada pendapat anda, adakah wajar sistem persekutuan Malaysia digantikan dengan sistem konfederasi?

Sumber:

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...