Sunday, 14 July 2024

KEUNIKAN MAJLIS PERSEKUTUAN SWITZERLAND

Hai dan apa khabar, semua? Dalam perkongsian hari ni, aku nak berkongsi tentang keunikan Majlis Persekutuan Switzerland. Switzerland merupakan negara yang terletak di Eropah. Ia dikatakan sebagai antara negara termaju di dunia, dengan menduduki tangga paling atas dalam ranking Human Development Index (HDI).

Latar Belakang

Majlis Persekutuan Switzerland (“Majlis Persekutuan") merupakan antara badan eksekutif yang unik dalam dunia demokrasi moden. Ia menawarkan model kepimpinan kolektif yang berbeza dari sistem eksekutif lain di dunia. 

Ahli-ahli Majlis

Majlis Persekutuan dianggotai oleh tujuh orang ahli dengan kuasa yang sama rata, masing-masing mengetuai sebuah jabatan persekutuan. Mereka dipilih secara tidak langsung oleh badan legislatif negara berkenaan. Setelah terpilih sebagai ahli majlis, seseorang itu perlulah melepaskan jawatan utama dalam parti politik (jika ada). Dia walau bagaimanapun masih kekal menjadi ahli parti politik terbabit.

Kerajaan persekutuan sewajarnya mewakili penduduk Switzerland. Oleh itu, Parlimen akan memberi perhatian kepada kriteria yang berbeza dalam proses pelantikan ahli majlis. Menurut Perlembagaan, ia mesti mengambil kira bahawa wilayah negara dan wilayah bahasa diwakili secukupnya. Selain itu, kekuatan parti politik juga dititikberatkan. Satu lagi kriteria pilihan raya ialah lelaki dan wanita harus diwakili dalam Majlis Persekutuan dalam jumlah yang hampir sama.

Setelah diundi oleh Parlimen, ahli-ahli majlis akan menentukan sesama sendiri soal jabatan yang mereka akan pegang.

Ciri-ciri Unik Majlis Persekutuan

Antara keunikan Majlis Persekutuan terletak pada sistem presidennya yang bergilir. Setiap tahun, salah seorang daripada tujuh anggota majlis akan diangkat sebagai Presiden Konfederasi Switzerland. Presiden bukanlah diundi oleh Majlis Persekutuan, tetapi badan legislatif Switzerland sendiri.

Di Switzerland, kesemua ahli majlis berperanan sebagai ketua negara dan kerajaan. Mereka mempunyai kuasa yang sama rata. Jawatan Presiden hanyalah bersifat primus inter pares atau first among equals, yang bermaksud Presiden tidak mempunyai kuasa tambahan berbanding ahli majlis yang lain. 

Lebih mengasyikkan lagi, majlis ini dianggotai oleh wakil-wakil rakyat dari semua parti utama. Hal ini menyumbang kepada kestabilan politik dan meminimumkan risiko perubahan dasar yang mendadak apabila berlakunya perubahan kerajaan. Komposisi majlis ditentukan oleh suatu formula ajaib bernama Zauberformel. Tiga parti terbesar masing-masing memegang dua buah kerusi majlis, manakala bakinya dipegang oleh parti keempat terbesar.

Kelebihan dan Kelemahan

Sistem ini berbeza dengan sistem di kebanyakan negara dimana kuasa dimonopoli oleh seorang individu saja dan parti-parti pembangkang tidak mempunyai wakil dalam kerajaan. Natijahnya, negara sebegini berisiko mempunyai pemimpin diktator dan sering menyaksikan pergolakan politik mahupun senario seperti kerajaan tidak boleh dibentuk kerana parlimen tergantung.

Sistem ini juga membolehkan lebih ramai wanita dilibatkan dalam proses membuat keputusan, di samping memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik memandangkan ahli majlis datang dari latar belakang yang pelbagai.

Namun begitu, unik bukan bermakna sempurna. Antara kelemahan sistem ini adalah ketiadaan had tempoh memegang jawatan. Ada ahli yang memegang jawatan sehingga 20 tahun. Para ahli majlis juga tidak boleh "dipecat" melalui undi tidak percaya. Secara praktisnya, ahli majlis berkhidmat sehingga mereka memutuskan untuk bersara. Meskipun begitu, sistem ini dianggap sebagai salah satu sistem paling cekap di dunia. 

Mesyuarat Majlis

Majlis Persekutuan lazimnya bermesyuarat setiap minggu pada hari Rabu, kecuali ketika Parlimen bersidang. Pada waktu itu, mesyuarat akan dianjakkan kepada hari Jumaat. Mesyuarat akan dipengerusikan oleh Presiden Konfederasi. Mesyuarat biasanya akan bermula pada jam 9 pagi dan berlangsung selama beberapa jam.

Seramai sepuluh orang mengambil bahagian dalam mesyuarat Majlis Persekutuan iaitu:

1. Tujuh ahli Majlis Persekutuan
2. Canselor Persekutuan: Kepala Canseleri Persekutuan merangkap Ketua Kakitangan (Chief of Staff)
3. Naib Canselor I: Berperanan sebagai jurucakap kerajaan dan akan melakukan sidang media setiap kali selepas mesyuarat.
4. Naib Canselor II

Wala bagaimanapun, hanya tujuh orang ahli majlis yang akan membuat keputusan. Lazimnya, keputusan yang dibuat oleh majlis adalah berbentuk konsensus. Namun, ada kalanya undian dilakukan bagi keputusan-keputusan tertentu. Keputusan undian dan mesyuarat majlis secara umumnya adalah tertutup. Dalam keadaan di mana undi adalah terikat, undi Presiden dikira dua kali.

Semasa mesyuarat berlangsung, lebih daripada satu bahasa digunakan, termasuklah bahasa Jerman, Itali dan Perancis. 

Sekali atau dua kali setahun, majlis akan mengadakan mesyuarat di luar lokasi bagi mengeratkan hubungan dengan kanton-kanton.

Tahukah Anda?

Di Switzerland, kuasa pengampunan terletak pada cabang perundangan. Hal ini berbeza dengan keadaan di Malaysia, di mana kuasa pengampunan terletak pada cabang eksekutif yang terbuka untuk disalahgunakan.

Sumber:


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...