Apa itu Beka Melayu?
Beka Melayu ialah suatu gerakan pemurnian bahasa Melayu. "Pemurnian" dilaksanakan dengan menyingkirkan perkataan-perkataan yang dipinjam dari bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Sanskrit, Arab, Parsi, Jepun, Siam, Tamil, Belanda, Cina dan sebagainya. Akan tetapi, perkataan-perkataan dari bahasa-bahasa rumpun Austronesia iaitu Jawa, Sunda, Aceh, Cham dan lain-lain adalah terkecuali. Malah, ada ketikanya perkataan daripada bahasa-bahasa terbabit dipinjam sebagai pengganti perkataan pinjaman asing bukan Austronesia.
Ada Apa dengan Beka?
Perkataan "beka" membawa erti "bercakap-cakap" atau "bermesyuarat" (Kamus Dewan Edisi Keempat). Penggiat Beka Melayu di platform media sosial "Twitter" atau kini dikenali sebagai "X" telah meluaskan makna perkataan berkenaan untuk mencakupi makna "bahasa". Hal ini kerana perkataan "bahasa" itu sendiri dipinjam dari bahasa Sanskrit.
Tujuan Gerakan
Tujuan usaha atau gerakan ini adalah menyahkan semua kosa kata asing dan menggantikannya dengan padanan daripada bahasa serumpun. Bahasa variasi baru ini menerima semua unsur Austronesia jati yang sebahagian besarnya adalah daripada bahasa Melayik, misalnya bahasa Melayu sendiri, Minangkabau, Iban, Temuan, Jakun, Cham, dan banyak lagi.
Para penggiat Beka Melayu tidak berniat untuk menjadikan Beka Melayu sebagai bahasa perhubungan, bahasa baharu, atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Kebanyakan mereka hanya menjadikan ia sebagai satu hobi sahaja. Tujuan utama Beka Melayu setakat hari ini hanyalah ingin mengkongsikan gambaran tentang bahasa Melayu tanpa sebarang serapan asing.
Adalah menjadi hasrat aku untuk mewujudkan sebuah kamus Bahasa Melayu-Beka Melayu pada masa hadapan.
Sumber:
No comments:
Post a Comment