Friday, 4 April 2025

PERIHAL PENSYARAH XENOFOBIK

Menjadi seorang pendidik bukanlah sesuatu yang mudah. Ia merupakan suatu amanah yang pastinya akan dipertanggungjawabkan kelak. Oleh itu, adalah perlu untuk para pendidik mengajar anak didik mereka dengan penuh berhati-hati. Akan tetapi, sesetengah pensyarah seolah-olah mengabaikan hakikat ini.

Ini kisah seorang pensyarah dalam bidang sosial yang mempunyai sifat xenofobik, sesuatu yang sangat janggal, memandangkan bidang sosial memerlukan seseorang itu untuk berfikiran kritis. Pensyarah ini bersubahat dengan kelas pemerintah dalam menyebarkan propaganda bahawa pekerja migran merupakan perampas pekerjaan orang tempatan. Daripada meruntuhkan prejudis, pensyarah ini memperkukuhkannya. 

Dakwaan ini bukan sahaja tidak benar, malah jelas bersifat xenofobik. Punca kurangnya peluang pekerjaan dalam kalangan warganegara adalah kerana para majikan tidak mahu membayar upah yang bermaruah. Kesannya, tiada warganegara yang mahu bekerja dengan mereka. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk mengupah warga asing yang bagi mereka, upah yang ditawarkan adalah cukup baik. Pekerja migran juga hampir mustahil untuk menubuhkan mahupun menyertai kesatuan buruh untuk memperjuangkan hak mereka, menyebabkan mereka menjadi pilihan para majikan yang mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pekerja.

Retorik ini sebenarnya juga pelik kerana di universiti-universiti, semakin ramai pelajar antarabangsa diterima masuk saban tahun. Tiada pula timbul isu bahawa mereka ini mengambil tempat rakyat Malaysia. Kenapa pula begitu? Sebab mereka beri duit kepada kita? Nak kata begitu pun tak boleh, kerana pekerja migran juga membeli barang di Malaysia, dan secara tidak langsung membayar cukai seperti Sales and Services Tax (SST). Alasan yang tinggal tidak lain tidak bukan adalah xenofobia, ketakutan tidak wajar terhadap warga asing.

Adalah amat mengecewakan terutamanya apabila perkara ini dilakukan oleh seorang pensyarah, bukan seorang guru. Universiti bukanlah seperti sekolah di mana kurikulumnya dikawal sebahagian besarnya oleh pihak kerajaan, dan di mana pendidik diikat longgar tangannya daripada menggalakkan pemikiran terbuka. Sifat ini bukan saja berbahaya kerana ia anti-manusia, malah ia juga menggalakkan propaganda kelas pemerintah, sekaligus mengalihkan tumpuan masyarakat daripada menentang musuh sebenar mereka, iaitu golongan pemerintah sendiri. Natijahnya, kes penyeludupan pekerja asing dibiarkan berlaku, dan sang pemodal boleh terus menggaji pekerja migran dengan murah sambil golongan kelas pekerja bertengkar mengenai siapa yang mengambil hak siapa.


No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...