Wednesday, 26 February 2025

IPTA RUGI: SIAPA YANG SALAH?

Sekilas pandang, berita perihal kerugian institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mungkin menimbulkan persoalan sama ada terdapat salah urus kewangan dalam kalangan pentadbiran universiti. Namun begitu, jika diteliti dengan lebih mendalam, masalah ini sebenarnya merupakan natijah daripada kekurangan dana kerajaan, yang menyebabkan universiti dipaksa mencari sumber kewangan sendiri, termasuk mengkomersialkan kemudahan universiti. Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana pendapatan janaan sendiri (yuran pelajar) tidak dapat menampung perbelanjaan operasi universiti merupakan antara asbab utama yang dipetik, maka langkah penyelesaiannya adalah dengan menaikkan yuran pelajar. Kendatipun begitu, seperti yang disebutkan sebelum ini, isu utama adalah geran mengurus yang terhad.

Kerajaan sering berdalih dengan alasan rasionalisasi subsidi, tetapi hasil penjimatannya tidak disalurkan kembali kepada sektor pendidikan tinggi. Senario ini menyebabkan universiti beroperasi dalam keadaan defisit, sementara mahasiswa dipaksa menanggung beban kewangan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab negara.

Salah satu hipokrasi terbesar kerajaan dalam isu ini adalah bagaimana mereka memperlakukan universiti seperti syarikat perniagaan, sedangkan IPTA sepatutnya berfungsi sebagai institusi ilmu untuk manfaat rakyat. Universiti bukan syarikat. Oleh hal yang demikian, keuntungan dan kerugian tidak sepatutnya menjadi ukuran utama kejayaan IPTA.

Jika universiti beroperasi dalam defisit, ia bukan kerana salah urus universiti semata-mata, tetapi kerana pengurangan peruntukan kerajaan yang menyebabkan mereka terpaksa mencari dana sendiri. Jika kerajaan benar-benar mahu universiti berfungsi sebagai pusat ilmu, mereka harus berhenti memaksa IPTA menjalankan operasi seperti syarikat dan sebaliknya memastikan dana yang mencukupi diberikan.

Solusi utama dan tuntas bagi menoktahkan isu ini sudah tentulah penambahan peruntukan kepada universiti-universiti terbabit serta semua universiti awam lain. Sektor pendidikan sewajarnya diutamakan seiring dengan sektor penting seperti kesihatan. Kerajaan sering melihat pendidikan sebagai beban kewangan, tetapi hakikatnya, pendidikan tinggi adalah pelaburan untuk masa depan negara. Jika Malaysia mahu membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, pendidikan harus menjadi keutamaan utama.

Kerajaan perlu meningkatkan peruntukan untuk pendidikan tinggi secara progresif, dengan sasaran sekurang-kurangnya 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menteri Pendidikan Tinggi harus memainkan peranan utama dalam memastikan belanjawan 2026 memberi lebih banyak dana kepada universiti awam. Jika benar beliau percaya bahawa universiti tidak sepatutnya bermotifkan keuntungan, beliau mesti berusaha keras untuk mendapatkan peruntukan tambahan.

Dalam situasi ini, badan perwakilan mahasiswa, khususnya kesatuan-kesatuan mahasiswa, dan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) juga tidak boleh berdiam diri. Mereka mesti menjadi suara mahasiswa untuk menuntut peruntukan yang lebih besar bagi pendidikan tinggi. Kesatuan mahasiswa mempunyai kuasa tawar-menawar dan keupayaan untuk memobilisasi ribuan pelajar sekiranya tuntutan mereka diabaikan. Mahasiswa tidak boleh hanya sekadar berkompromi dengan status quo atas alasan ketidakcukupan bajet, sedangkan perbelanjaan kerajaan membuktikan sebaliknya. 

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...