Tuesday, 25 February 2025

INISIATIF PEMBANTU GURU MYSTEP: DASAR SEPARUH MASAK

Baru-baru ini, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) UPSI mengeluarkan kenyataan menyokong inisiatif Pembantu Guru MySTEP yang diperkenalkan oleh kerajaan. Mereka melihatnya sebagai langkah positif untuk mengurangkan beban kerja guru. 

Sebagai cahaya mata seorang pendidik, aku amat memahami isu beban kerja guru yang melampau. Aku sendiri pernah menulis artikel melalui Pena MKM mengenai isu ini kerana ia adalah satu bentuk eksploitasi yang berpanjangan dalam sistem pendidikan kita.

Walau bagaimanapun, pada hemat aku, MySTEP bukanlah satu penyelesaian jangka panjang, tetapi hanya sekadar langkah sementara kepada masalah sistemik dalam pendidikan negara.

MySTEP bukanlah pekerjaan tetap, tetapi program kontrak jangka pendek. Hal ini bermakna individu yang menyertainya tidak mempunyai jaminan pekerjaan jangka panjang atau laluan kerjaya yang jelas. Jika kerajaan benar-benar serius untuk mengurangkan beban guru, jawatan pembantu guru yang tetap hendaklah diwujudkan bukan ditampung dengan pekerja kontrak yang boleh dibuang bila-bila masa.

MySTEP hanyalah satu lagi langkah kapitalisme neoliberal untuk menggantikan tenaga kerja tetap dengan pekerja kontrak murah, tanpa hak dan perlindungan pekerjaan yang sepatutnya.

Kerajaan dilihat rancak mempromosikan MySTEP sebagai peluang pekerjaan kepada graduan, tetapi realitinya, ini hanya menormalkan pekerjaan tidak tetap dan bergaji rendah. MySTEP juga menunjukkan bahawa kerajaan lebih cenderung menggunakan pekerja kontrak murah berbanding melabur dalam pekerjaan tetap yang stabil.

Perlu dihebahkan juga bagaimana inisiatif MySTEP itu sendiri mempunyai reputasi yang buruk, dengan pekerja di bawah inisiatif ini mendakwa bahawa majikan mereka memanipulasinya untuk membuat mereka bekerja seperti pekerja tetap namun dengan upah yang jauh lebih rendah¹. Ada juga kes di mana gaji pekerja ditahan sehingga kontrak tamat².

Pembantu Guru MySTEP mungkin memberikan kelebihan kecil dalam jangka pendek, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah utama sistem pendidikan kita. Kerajaan sepatutnya mewujudkan lebih banyak jawatan guru tetap, pembantu guru dan kakitangan pentadbiran, selain mengurangkan beban pentadbiran guru yang tidak relevan. Budaya pekerjaan kontrak yang hanya mengeksploitasi graduan muda sewajarnya ditolak sepenuhnya, bukan dijustifikasikan.

Sebagai mahasiswa, kita mempunyai tanggungjawab untuk tidak menerima mentah-mentah setiap inisiatif kerajaan tanpa analisis kritis. Kita wajib menolak budaya pekerjaan kontrak yang mengeksploitasi graduan muda dan menuntut pembaharuan sebenar yang menjamin pekerjaan tetap dan bermaruah.

No comments:

Post a Comment

KENAPA PRODUK BOIKOT MASIH DIIKTIRAF HALAL?

Kita hidup dalam dunia di mana syarikat multinasional mengaut untung berbilion-bilion, sambil menindas rakyat dan menyokong rejim penjenayah...